Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,382
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

TILAM YANG baru saja kusarung cadar baru padanya kurenung lama. Ini bilik terakhir yang harus kukemas pagi ini.  Antara banyak-banyak bilik yang telah aku kemas, rasanya ini bilik yang paling kurang semaknya. Barangkali penginapnya hanya seorang diri. Melihat katil yang tidak terusik sangat, aku agak penghuni bilik ini malam tadi jenis tidur yang cermat.Tak tidur buas macam ular sawa. Berlengkar ke kiri ke kanan sampai tercabut cadar. Sewaktu aku kemas bilik air tadi pun, peralatan mandi di bilik air tidak terusik langsung. Bahkan mungkin tidak disentuh. Agaknya dia bawa barang pembersih sendiri.

Tuala pun tersangkut kemas di rak besi bilik air meskipun sudah digunakan. Rumusnya,penghuni bilik ini malam tadi memang orang cermat. Tong sampah pun kosong saja. Aku mengemaskan semula vakum. Tuala kotor kuletak dalam tong plastik khas. Aku menghampiri meja kerja yang bersambung dengan meja televisyen. Ada remote control televisyen yang terletak di atas meja. Aku ambil remote control tersebut lalu kubuka laci meja. Tempat asalnya ialah di dalam laci meja. Lalu terus kuletak remote control itu ke dalam laci.

Namun,sewaktu laci mahu ditutup, mataku tertancap pada satu sampul surat berwarna coklat. Tanganku mati sejenak. Aku merenung lama sampul surat coklat itu.Rasanya bilik hotel tidak menyediakan sampul ini. Dadaku dipenuhi rasa ingin tahu yang melimpah ruah. Perlahan-lahan, sampul coklat itu kutarik keluar dari laci. Berat jugak! Ada barang! Bisik hati kecilku. Tanpa menutup kembali laci tersebut, aku memberanikan diri membuka sampul coklat yang langsung tidak digam itu. Aku menjenguk isi dalamnya tanpa menarik keluar isi kandungan sampul coklat berkenaan.

Mataku terbuntang sebaik terpandangkan isi kandungan sampul coklat. Apa???Haha...bukan bom ya. Tapi duit! Cash money!!! Duit setebal 5 inci genggaman tanganku! Mataku sudah terbeliak memandang jumlah duit itu. Not RM100 tersusun kemas di dalamnya. Dadaku berderau. Cepat-cepat kututup sampul coklat tersebut. Peluh merinik di dahiku.

Aduh...duit siapa ni yang tertinggal? Apa aku nak buat sekarang? Aku percaya, ini mesti duit pemilik penghuni hotel ni malam tadi. Tapi macam mana dia boleh tertinggal duit sebanyak itu dalam laci ni? Kalau akulah...duit sebanyak macam ni, aku takkan lupa punya! Ah..aku nak buat apa ni...Darahku meyerbu ke muka. Terasa bahangnya. Aku mula jadi tak tentu arah. Sampul coklat itu kupandang lama.

Nak masukkan balik dalam laci ni? Tapi kalau selepas ni bilik ini dihuni oleh orang lain macam mana? Kalau hilang pula duit ni macam mana? Apa penghuni bilik ni nak buat dengan duit sebanyak ni? Kasihan dia...mesti sekarang dia tengah tercari-cari duitnya. Aku sudah mula gelisah.

Adoi..apa aku nak buat sekarang ni? Aku mula kaget. Mataku meliar memandang sekeliling dengan sampul coklat yang masih kemas di dalam genggamanku. Simpan dulu! Simpan!

Ya! Simpan dulu! Biar aku simpan dulu! Nanti aku fikir apa nak buat dengan duit ni.... Cepat-cepat kusimpan sampul coklat di dalam troli yang ada cadar kotor di dalamnya. Troli besar itu terus kutolak laju keluar dari bilik itu. Pintu bilik terus kututup dan aku melangkah laju menuju ke arah lif khas untuk pekerja. Hatiku berdebar-debar. Tidak tenteram.




KAU tak nak keluar makan ke?” soal Lela padaku tengahari itu. Aku sedikit terkejut bila ditegur olehnya. Cepat-cepat aku menggeleng sambil memandang wajahnya. Dia sudah siap mengambil dompet untuk keluar makan tengahari dengan Kak Cah yang umurnya tua 10 tahun dari aku.

“Aku bawa bekal...tak apa. Korang pergilah...” pantas aku menjawap. Nasi lemak yang kubeli pagi tadi masih ada. Masih elok. Beli pagi tadi, tapi tak sempat dimakan sebab aku dah lewat sampai ke tempat kerja.

“Okey..aku pergi dulu. Kau nak kirim apa-apa?” soalnya lagi. Aku geleng laju. “Tak...”getusku. Lela mengangguk lalu terus keluar dari bilik rehat pekerja. Bila pintu bilik itu tertutup, aku duduk bersandar di lantai. Mindaku masih tidak dapat tenang. Otakku ligat berfikir. Tentang duit tadi. Agak-agak, berapa jumlah duit tadi ya? Rasa macam nak kira saja...tapi aku tak berani. Takut pekerja lain nampak pula. Ah...balik nantilah aku kira.

Tapi...itu duit siapa? Macam mana aku nak pulangkan? Kepalaku segera teringatkan wajah penyambut tetamu yang cantik manis di lobi. Bolehkah aku percaya padanya jika aku serahkan sampul itu pada dia? Takut juga... Kalau dia buat senyap macam mana? Nak serahkan pada ketua aku? Terbayang wajah lelaki cina di mataku yang garang. Takut aku... Nanti dia tuduh aku mencuri pula. Boleh ke dia tuduh aku mencuri?

Aku mengetap bibir. Susah macam ni...Kalau setakat duit tercicir RM100-RM200, takakan ada orang peduli sangat. Tapi kalau terjumpa duit sejelepuk macam tu...uih... yang ada iman pun boleh gelap mata... Macam mana aku nak buat...

Aku renung almari barangku yang sudah kukunci rapat-rapat. Kalau aku bawa balik duit ni...tak wajar juga. Bukan hak aku untuk aku bawa pulang. Lebih-lebih lagi kalau diketahui mak tiri aku nanti. Tak pasal-pasal dia hendakkan duit itu pula. Isy... aku garu leherku yang resah.

Buat seketika, aku merenung lama almari barangku itu. Alangkah bagusnya kalau itu duit aku... Aku mengukir senyum indah. Bolehlah aku pergi kedai buku, lepas tu aku akan borong semua novel yang ada kat rak buku kedai tu. Haa...bila dah borong buku banyak-banyak, macam mana aku nak angkut bawa balik rumah? Oh...aku mestilah kena sewa van supaya aku boleh bawa semua buku-buku tu.

Bila sampai di rumah pula, mak tiri aku dan Nini mesti terkejut tengok buku yang aku baru beli. Mak tiri aku mestilah curiga dari mana aku dapat duit sebanyak itu untuk memborong novel kan? Jadi, aku ni jujur sikit. Aku mesti cerita kat mak tiri aku.

“Makcik..saya terjumpa harta karun...” dengan sengih manja, mak tiri aku mesti akan peluk aku ketat-ketat sambil minta sikit duit aku. “Sayang makcik...Lily...bagilah mak cik sikit duit tu...mak cik nak beli pasu bunga. Pasu bunga kat depan rumah kita tu dah berlumut Lily...” dia mesti merayu kat aku macam tu punyalah...

Haa....Aku pun dengan baik hati mesti akan hadiahkan mak tiri aku sedikit duit. Koman-koman RM1000 supaya mulutnya dapat ditutup. Oh ya...untuk Nini pula, aku akan beri dia hadiah RM5000 sebab aku sayangkan dia! Aku melebarkan senyum. Buku-buku aku pula, dah jadi terlalu banyak. Nampak gayanya, kenalah aku beli rak buku baru. Ops...bilikku tak muat pula nanti! Kena minta ayah buat bilik baru untuk aku! Kalau nak buat bilik baru perlukan kos kan? Agak-agak, berapa kos untuk buat sebuah bilik baru untuk aku? Alamak...cukupkah duit?

Aku menggaru-garu kepala. Itu baru beli buku. Belum beli benda lain lagi. Aku nak bawa Nini pergi makan-makan kat seluruh Malaysia ni...isy...cukup ke duit tu?Aku kena kira ni....

Hoihhh!!!! Kau berangan ke apa Lily? Sedarlah diri sikit Lily! Itu bukan duit kau....aduh...aku menekup wajahku kesal. Jauhnya aku dah berangan dengan duit yang aku baru jumpa. Aku mengangkat wajahku merenung siling bilik. Tak boleh jadi ni! Nafasku mendengus kasar. Aku kena pulangkan balik duit tu pada tuannya walau dengan apa cara sekalipun! Itu tekad aku. Haram ambil duit orang kan? Aku pantas bangun, menyapu debu di punggung lalu kuhampiri almari barangku. Kuncinya kubuka. Pintu almari itu kuseka ke belakang. Sampul coklat itu masih ada di situ.




AKU merenung tanda nama yang dipakai oleh cik penyambut tetamu. Tertera nama‘Rania’ di dada gadis itu. Aku mengukir senyum bila aku sudah bersidai di meja penyambut tetamu.

“Hai Rania...” aku tersengih memandangnya yang baru saja meletakkan telefon ke gagang. Rania mengangkat wajahnya lalu memandangku.

“Ada apa?” soalnya sedikit kasar. Nampak sangat tidak selesa bila aku menegurnya. Barangkali dia penat dengan kerenah pelanggan. Atau dia baru saja dapat komplen. Boleh jadi juga. Maka sebab itu emosinya tidak berapa bagus sewaktu aku menyapanya. Aku garu keningku.

“Err..kau boleh tolong aku check tak...siapa yang sewa bilik 616 malam tadi ya...” soalku. Rania mengerutkan keningnya.

“Mana boleh reveal maklumat customer... Tak boleh...Tak boleh...! Kau nak buat apa tahu siapa yang sewa bilik tu semalam? Bukan ada kena mengena pun dengan kau...” marahnya padaku. Aku terkedu sekejap. Betul juga. Mana boleh aku main tanya saja maklumat pelanggan. Itu rahsia besar hotel. Jadi macam mana sekarang? Aku garu kepalaku yang tidak gatal. Isy...

“Ermm...kalau macam tu, boleh tak aku nak serahkan pada kau satu sampul surat. Aku terjumpa sampul ni dalam laci bilik tu waktu aku buat cleaning dalam bilik tu pagi tadi...” kataku sambil mengangkat sampul coklat itu ke meja penyambut tetamu setinggi dada aku. Rania memandangaku aneh. Dahinya berkerut dengan pandangannya silih berganti merenung sampul coklat di hadapannya.

“Aku rasa customer tu tertinggal dokumen ni...aku rasa penting ni...” kataku sambil menyerahkan sampul coklat itu pada Rania. Sampul itu terus Rania ambil. Dibeleknya sampul yang sudah kugam itu. Sampul coklat yang tertera nama syarikat di bahagian luarnya itu direnung lama. Duitnya aku telah keluarkan dan kusimpan dalam almari barangku. Di dalam sampul tersebut, aku menyelit sekeping nota agar tuan punya duit datang menuntut duit miliknya dariku. Lalu sampul itu aku gam rapat-rapat dengan gam gajah.

“Apa kat dalam ni?” soal Rania pelik bila merenung sampul yang nipis itu.

“Entah! Alah..kau simpan saja dulu sampul ni dengan kau. Kalau isi dalam sampul ni penting pada customer kita tu, dia mesti akan datang sini semula dan cari sampul ni. Tempat pertama yang dia akan cari ialah kau. Dia mesti datang kat meja receptionist ni untuk mengadu. Masa tu, kau bagilah kat dia sampul ni...” terangku panjang lebar. Rania mengulum bibirnya. Dia menyelit sampul itu di celah-celah dokumen miliknya.

“Hmm...yelah! Thanks!” itu saja katanya lalu dia kembali sibuk dengan kerjanya. Aku menghela nafas berat. Melihat Rania yang sedang membuka satu dokumen di meja tepi, seakan dia tidak mengendahkan aku, lalu aku atur jalan pulang. Aku menyeluk tanganku ke dalam kocek baju uniformku. Kakiku melangkah menuju ke bilik rehat pekerja. Aku sudah kira wang di dalamnya. Ada RM16,000 semuanya. Gila! RM16,000 main tinggal macam tu je... Aku geleng kepala.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany