Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,391
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

SEPERTI YANG aku janjikan pada Nini dan ayah, bila habis kerja hari Sabtu, aku naik bas dan pulang ke rumah. Nini juga sudah memohon kepada majikannya agar dia dapat diberikan cuti pada hari Ahad. Jadi, cutinya yang sebelum ini tidak tentu hari,kini bertukar pada hari Ahad. Tapi, jika ada kecemasan seperti pekerja yang sepatutnya bertugas tidak dapat hadir, Nini terpaksa juga bekerja pada hari cuti. Cuti itu kemudiannya akan diganti pada hari yang lain.

“Macam mana kerja? Seronok?” soal mak tiri aku sewaktu kami makan malam bersama. Aku,Nini, mak tiri aku dan ayah aku. Malam itu mak tiri aku masak kari daging.Teringat pula aku pada episod drama pendek di kedai runcit tempohari bersama Firdaus. Boleh pula dia berlakon masa tu...

“Bolehlah...”jawapku perlahan. Mak tiri aku tergelak.

“Ada pakwe dah? Jaga-jaga Lily...kamu tu lawa. Nanti tak pasal-pasal ada mat banglai kut belakang...” kata mak tiri aku mengusik lantas disusuli dengan gelak besarnya yang mampu meruntuhkan bumbung rumah. Ayah aku juga ketawa. Aku tersipu-sipu malu.

“Mana ada mak cik...” itu saja ayat yang aku mampu cakap.

“Makan macam mana?” soal ayah dengan pandangan tepat ke mataku.

“Err...kadang-kadang masak...tapi selalunya beli atau makan kat luar..” terkial-kial aku menjawab.

“Ada banyak kedai makan kat situ kan? Tak susahlah nak cari makan..” kata ayah lagi. Aku angguk. Kedai makan memang banyak. Hanya perlu sediakan duit saja. Kalau kedai ada, tapi duitnya tak ada pun, susah juga.

“Alah abang ni...buat apa nak bimbang. Pandailah dia cari makan sendiri. Dia dah besar. Bukan budak lagi...kan Lily?” mak tiri aku mencelah tiba-tiba. Ayah terdiam. Aku pun terdiam. Sama-sama merenung nasi di pinggan.

“Esok kita ke bandar...” tiba-tiba Nini bersuara. Aku mengangkat wajahku lantas memandang ke arahnya.

“Ada apa kat bandar?” soalku. Bandar Klang itu sudah beribu-ribu kali kami teroka sejak kecil. Selok-belok jalannya juga sudah aku hafal. Kalau jalan sambil pejam mata pun, aku tahu kiri kanan jalan ada bangunan apa.

“Parkson buat Sale. Jomlah kita pergi tengok...”kata Nini.

“Haa..pergilah! Bila lagi kamu nak belanja adik kamu ni beli baju ke...beli apa-apa ke...kamu kan baru dapat kerja baru...” mak tiri aku mencelah sekali lagi. Aku terkebil-kebil. Lagilah meluap-luap rasa hati aku nak cari lelaki kaya saat itu! Biar dia puas hati melihat duit aku nanti!




NOVEL-NOVEL cinta berserakan di atas katil. Aku dan Nini sama-sama merenung buku-buku tersebut dengan pandangan kosong. Usai makan malam, aku bersembang sekejap dengan ayah di ruang tamu. Cukup jam 10 malam, aku terus masuk bilik yang kukongsi bersama Nini.

“Aku dah mula risau sekarang...” keluhku perlahan.

“Dulu kau tak risau pun...” perli Nini sambil menelentangkan tubuhnya merenung siling bilik. Aku masih meniarap merenung novel.

“Dulu aku muda sangat...lagipun, aku tak terfikir sangat pasal ni..” sambungku resah.

“Kau kata kau tak nak cari....Nak biar cinta tu datang sendiri...” sindir Nini sekali lagi.

“Mhhh...aku rasa, kalau aku tunggu...sampai bila-bila pun aku takkan jumpa. Kau pun tahu kan lelaki idaman aku macam mana...” kataku resah.

“Tahu...kau nak lelaki yang kaya...hensem...muda...dan romantik!” sahut Nini dengan wajah lucu. Aku menghela nafas lemah. Bila pulak aku cakap aku nak lelaki romantik?

“Itulah masalahnya... Kat mana aku nak cari lelaki dengan pakej lengkap macam tu... Aku mesti berusaha...aku tak boleh duduk diam saja..” terngiang-ngiang kata-kata sindiran dari Firdaus pada aku lewat beberapa hari ini. Aku perlu buktikan pada Firdaus bahawa impian aku boleh jadi kenyataan kalau aku berusaha.

“Aku setuju!” Nini tersengih. Kali ini dia bingkas bangun dan duduk menghadapku. Aku mengiringkan badanku dan memandangnya.

“Jadi,kau rasa, kat mana aku patut dapat lelaki macam tu? Takkan lelaki macam tu nak muncul kat kilang pula kan...” getusku sambil berfikir. Nini diam sejenak,turut sama berfikir. Hai...nasib kaulah Nini dapat kakak tiri macam aku.Terpaksalah kau layan kepala mereng aku ni ...

“Kau boleh try cari kat dalam komuter! Aku dengar, ramai orang naik komuter pergi kerja. Manalah tahu kalau-kalau kau boleh jumpa seorang lelaki macam tu kat situ...” saran Nini. Aku diam sambil menimbangkan pendapatnya itu.

“Takkan orang kaya nak naik komuter?” soalku ragu-ragu. Nini mula goyah dengan pendirian sendiri.

“Tak payah cari kat komuter! Cuba kita cari dalam media sosial...” Nini memberi pendapat lain pula. Aku mengusap daguku. Membelai dagu seolah-olah ada janggut yang tumbuh di situ.

“Contohnya?”soalku yang agak buta kayu dalam hal ehwal media sosial.

Facebook...Instagram...Twitter...kau siap boleh berkenalan dengan artis tau! Ohh..aku lupa nak bagitau kau...aku dah jadi rakan FB dengan Shaheizy Sam tau! Jangan jealous!” Nini tiba-tiba macam gedik pula.

“Shaheizy Sam dah kahwin...okey...” aku mencebik sekaligus mencantas rasa terujanya.

“Ala...trylah! Banyak yang kau boleh jumpa dalam media sosial...” kata Nini merengek. Aku ragu-ragu sebenarnya dengan cadangannya itu. Tapi, tak cuba tak tahu juga kan?

“Macam mana kita nak cari facebook orang yang betul? Aku tak nak kena tipu dengan facebook palsu... “ soalku. Nini tersenyum lebar.

“Kita google lah dulu...cari mana-mana orang kaya atau kerabat di raja yang single-mingle lagi...yang hot...lepas tu kita try lah add friend dengan dia...” ujar Nini.

“Kalau dia ada akaun facebook...kalau tak ada?” soalanku itu merendahkan pendapat Nini.

“Masuk angin keluar asaplah...” Nini mencebik. Kami sama-sama terdiam selepas itu.

“Diorang nak layan ke orang macam kita ni?” soalku lagi. Aku benar-benar tak percaya dengan rancangan ini. Macam tak betul saja...

“Cubalah dulu! Kalau tak cuba, kita tak tahu!” marah Nini. Aku angguk perlahan. Pokok pangkalnya, cuba! Aku garu leher yang gatal. Bolehkah rancangan ini berjaya? Kabur saja jalannya.





Previous: Bab 6/1
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany