Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,395
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

NINI IKUT juga aku pagi itu  bila aku beritahunya yang aku mahu pergi berjalan-jalan di bandar. Memandangkan waktu kerjanya hanya akan bermula pada jam 3 petang, jadi pagi itu kami keluar bersama-sama. Mak tiri aku buat hal lagi pagi itu. Dia tak sediakan sarapan pun. Ayah aku buat tak peduli pada sikap mak tiri aku. Dia bangun pagi-pagi, pakai baju dan terus pergi kerja. Aku tahu, ayah mesti pergi bersarapan di luar. Kadangkala, rasa lucu juga melihat perangai mak tiri dan ayah aku ni. Sudah tua-tua sebegini pun, masih mahu buat perangai di hadapan anak-anak. Agaknya, sebab perangai gila mereka berdua inilah yang menyebabkan aku dan Nini jadi pendiam dalam rumah. Kami berdua sering melihat saja mak tiri dan ayah aku bergaduh.

Bila mereka bergaduh, kami berdua akan buat hal sendiri. Kadang-kadang menyendiri dalam bilik tidur sambil dengar lagu atau membaca novel-novel cinta. Kalau tidak pun, kami akan keluar merayau ke kompleks-kompleks membeli belah di bandar. Kedai yang selalu kami pergi pastilah kedai buku!

Bila berada dalam kedai buku, ada satu macam kepuasan bila berada di dalamnya.Kalaulah aku ada banyak duit suatu hari nanti...aku mahu ada perpustakaan aku sendiri di rumah! Itu impian aku.

“Kalau aku banyak duit..aku beli semua novel-novel ni! Biar asyik membaca 24 jam. Tak payah pergi kerja...” kataku sambil mataku menyorot pandang pada rak-rak di kedai buku. Kami sampai di bandar pada jam 11 pagi tadi. Selepas makan terus kami berdua melilau di kedai buku ini.

“Tunggulah kau kahwin dengan Prince Charming kau dulu.... Haa...macam mana? Dah jumpa?” soal Nini sambil memandangku. Aku diam.Menarik muncung sehasta. Kemudian menggeleng lemah.

“Masa bila aku nak jumpa? Timing aku tak betul dengan guest... Lagipun, susahlah nak dapat jumpa diorang unless kalau terserempak secara tak sengaja kat lobi...” keluhku.

“Dalam lif? Tak jumpa?” soal Nini hairan. Aku dan Nini sudah duduk bersila di lantai kedai buku itu sambil membelek buku-buku di situ. Kedai buku itu memang besar. Sampai ada pelanggan yang duduk bersila di lantai untuk meneliti buku kegemaran mereka. Tambahan pula, kedai itu sejuk saja dengan alat penghawa dingin dan ruangnya luas.

“Aku naik lif khas. Tak sama dengan lif guest...”kataku kesal. Nini mengetap bibir.

“Susah juga ni...” Nini mencongak sendirian. Aku diam sejenak. Merenung buku-buku di hadapanku.

“Kau tahu Nini...terkadang aku rasa macam nak berhenti kerja di situ..dan kerja balik di kilang lama aku...” luahku perlahan.

“Kau kan cabut je hari tu. Mana boleh pergi minta balik kerja kat kilang tu..” ujar NIni. Aku angguk. “ Itulah masalahnya...” keluhku. Kami sama-sama terdiam sejenak. Aku mula berfikir-fikir.

“Kau rasa...apa yang aku buat ni betul ke?” soalku perlahan. Nini memandangku pelik. Berkerut dahinya dengan soalanku.

“Buat apa?” soal Nini hairan.

“Cari Prince Charming aku...”

“Betul je...semua orang ada hak yang sama untuk bermimpi dan semua orang ada peluang yang sama untuk berusaha...” jawapan Nini melegakan hati aku yang walang.

“Tapi..kenapa aku perlu cari lelaki kaya? Kita ni...bukan kaya mana pun. Ada hati pula nak bersuamikan orang kaya...aku cuba berusaha juga, sampai tinggalkan kerja yang aku suka dan masuk bidang kerja yang aku tak tahu hujung pangkal. Tapi,hujungnya aku nampak kelam. Aku tidak nampak apa rasional tindakan aku sekarang ni...” luahku lagi. Nini terdiam. Dia menyimpan buku di tangannya ke rak buku semula.

“Sabarlah..baru nak masuk dua bulan...” pujuk Nini. Aku menghela nafas lemah.

“2 bulan... aku rasa macam apa yang aku buat ni macam satu kerja sia-sia. Aku rasa, kata-kata Firdaus betul. Aku ni mungkin banyak sangat terpengaruh dengan novel-novel dan drama tv...” keluhku lemah.

“Sabar...cuba lagi...” Nini masih tidak putus asa. Aku diam. Sabar? Hmm..aku boleh bersabar jika aku pasti dengan tindakan aku sekarang. Aku boleh bersabar jika aku tahu di hujung kesabaran aku ni ada buah tangan yang menanti. Aku boleh bersabar jika aku tahu apa yang aku buat ni adalah langkah yang betul. Tapi, masalahnya sekarang ialah, aku sendiri tidak percaya dengan keputusan aku kini. Aku sekarang bagai meragui setiap tindakan aku. Jadi, bagaimana aku hendak bersandar pada sebuah kesabaran dalam keraguan?

Apa sebenarnya yang aku cari dalam hidup? Soalan itu menghantui aku sekali lagi.




SELEPAS Nini pergi kerja, tinggal aku seorang diri di kompleks membeli belah itu. Memandangkan aku sudah terlalu lama duduk di kedai buku tersebut, aku bangun dan terus keluar. Aku mencari surau yang terletak dalam bangunan membeli belah tersebut. Waktu itu jam masih pukul 4.10 petang. Masih belum masuk waktu Asar. Tapi ada dua orang perempuan yang sedang membaca buku di dalam surau itu. Aku duduk bersandar di satu sudut. Tudung kubuka buat melegakan lemas panas.

Kurenung rak kecil yang menempatkan Al-Qur’an di tepiku. Ada beberapa naskhah Al- Qur'an dan buku-buku agama di dalamnya. Aku menarik nafas dalam-dalam. Tanganku laju membuka rak kaca itu. Sebuah naskhah Al-Qur’an kuambil dan kutatap. Aku letak di atas rak lalu aku bangun pergi mengambil wudhuk. Usai berwudhuk, kuambil kembali Al-Qur’an tadi lalu kurenung lama-lama.

Bismillahirrahmaanirrahiim. Dengan nama Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang. Tuhan... Aku pejam mata beberapa saat. Aku mencari apa yang hilang dalam diriku. Aku mencari sesuatu yang benar dalam hidupku. Kau tunjukkanlah aku jalan... Lalu naskhah suci kalam Tuhan itu kubuka perlahan-lahan. Aku pernah terbaca di dalam satu blog. Aku tidak ingat blog siapa. Naifnya aku kerana tidak dapat mengingati nama dan pemilik blog tersebut yang telah memberikan aku satu ilmu. Menurut blog tersebut, bila kita ada masalah, bila kita ada persoalan, bukalah Al-Qur’an. In sha Allah, halaman ayat yang kita akan temukan, adalah jawapan kepada masalah dan persoalan kita.

Selepas membaca teori dari blog tersebut, serius, aku tak pernah cuba lagi. Tapi kali ini, aku nekad mahu mencuba. Aku terpaksa lakukannya sebab, aku rasa aku tak punya tempat untukku mengadu dan berbincang. Hendak diadukan pada ayah? Dia sibuk bekerja. Hendak mengadu pada Nini? Balik-balik jawapannya sama saja. Tiada yang baru sedangkan aku perlukan jawapan yang lebih dari sekadar ‘sabar’.Hendak mengadu pada Firdaus? Huhu...aku malu. Tapi setiap kali aku cuba hubungi dia, selalu tak dapat. Mungkin telefonnya rosak atau apa..aku tak tahu. Dalam diam-diam,aku sebenarnya rindu juga pada dia. Teringin untuk bertemunya semula. Tapi masa masih belum mengizinkan aku berbuat demikian.

Aku membuka halaman dalam Al-Qur’an dengan rasa berdebar-debar. Sebenarnya aku amat berharap agar aku menjumpai sesuatu dalam pencarianku ini. Ku tatap ayat-ayat suci yang tertera di muka surat itu.

[Dialah (Tuhan) yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya  Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa tenang kepadanya...]  [Al-A’raaf :189]

Subhan Allah! Jeda. Aku terdiam lama sambil mataku layah merenung dinding putih yang kosong. Sungguh...Nabi Adam a.s meminta seorang teman dari Tuhan untuk menemaninya agar dia beroleh ketenangan. Hawa dikirimkan untuk menjadi pendamping Adam agar mereka berdua beroleh ketenangan. Manusia disuruh berkahwin agar beroleh ketenangan. Dalam setiap diri laki-laki mahupun wanita, mereka adalah saling melengkapi antara satu sama lain agar mereka beroleh ketenangan.

Jadi, apa yang manusia cari pada seorang teman? Ketenangan. Apa yang aku cari sekarang? Ketenangan. Tenang? Tenang bagaimana yang kau mahukan? Tenang bermaksud jiwaku bahagia, Bahagia bermaksud aku menjalani hidup dengan cara yang aku mahu dan aku tidak gundah dengan isinya. Aku mencari bahagia. Bahagia yang hakiki.

Bagaimana mahu mencapai bahagia yang hakiki? Aku selak lagi beberapa helai dalam naskhah agung itu.

[Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah kepada mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.] [Al-Baqarah: 186]

Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan makhluk. Bahagia hakiki hanya boleh dicapai jika kita menjaga dua hubungan ini. Menjaga hubungan dengan Allah bermaksud melaksanakan perintah Allah dan menggembirakan Allah dengan buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Konsep ini juga disebut sebagai taqwa.

Bila kita buat apa yang Allah suruh, lazimi perkara-perkara sunat, tinggalkan apa yang Allah tegah, maka hati akan jadi tenang. Urusan akan jadi mudah. Rezeki akan jadi murah. Hidup akan menjadi berkat. Bila berkat, walau sedikit mana kepunyaan kau..atau sehina mana kau di mata manusia, hati dan hidup kau akan jadi lebih tenang dan bahagia.

[Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa itu lebih mulia dari mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas.][Al-Baqarah:212]

Ada betulnya juga. Bila difikirkan balik, apa yang aku cari selama ini dalam hidupku?Aku berusaha di dalam peperiksaan untuk mendapatkan keputusan cemerlang, untuk siapa? Untuk manusia. Aku gagal. Aku kecewa. Aku cari kerja baik-baik untuk cari duit yang banyak. Duit yang banyak untuk apa? Untuk menampung keperluan aku. Tapi aku mahu lebih banyak duit. Untuk apa? Untuk membeli dan memenuhi kehendak aku. Kehendak manusia yang tidak akan pernah ada hujungnya. Untuk siapa semua itu? Untuk manusia. Aku lelah...

Jadi aku mencari lelaki kaya untuk apa? Kataku pada Firdaus, itu untuk menjamin keselamatan kehidupanku dan keharmonian rumah tanggaku kelak. Benarkah? Jika itu sebabnya, aku rasa cukup hanya punya Tuhan sebagai penjamin. Itu sudah memadai. Tapi naluriku berkata, sebenarnya itu untuk kepuasanku. Untuk siapa?Untuk nampak hebat di mata manusia. Lagi-lagi pandangan manusia juga yang aku julang tinggi. Apa pula pandangan Allah?

Aku sudah tidak sedap duduk. Kututup halaman itu. Mindaku berputar 360 darjah mencari hukum. Dari timur ke barat aku berfikir. Rupanya, bekerja untuk akhirat lebih senang dari bekerja untuk dunia...Aku menghela nafas penat. Patutlah sesetengah ahli kitab berkata, dunia ini ibarat medan perang. Kita hanya akan berehat bila masa kita dijemput pulang oleh Tuhan.

Tak usahlah berbicara panjang tentang hal ini lagi. Cukuplah untukku fahami bahawa untuk aku mencapai bahagia itu, aku perlu buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Meskipun aku tahu, aku ini bukan hamba Tuhan yang baik, tapi aku masih dalam proses menambah baik diriku sendiri. Iman itu bertambah dan berkurang. Pasti tiba saatnya bila aku lalai. Saat itu aku mohon agar Tuhan tidak melupakan aku. Agar Tuhan tidak menyerahkan nasibku pada tanganku. Kelak kubimbang, binasa seluruh hidupku. Aku menghela nafas yang panjang.

Jadi,bagaimana mahu menjaga hubungan dengan makhluk? Makhluk di sini pastilah bukan hanya merujuk kepada manusia semata-mata. Binatang juga makhluk. Makhluk ghaib juga makhluk. Yang pasti, silaturrahim sesama insan harus dijaga. Ya... jaga hubungan sesama insan. Saat itu aku teringat pada mak tiri aku. Pada ayah aku.

Aku akui, sikapku agak dingin dengan mak tiri aku. Dia baik sebenarnya. Dia baik...Jika ada pun sikap pilih kasih antara aku dan Nini, aku tidak akan salahkan dia kerana aku rasa Nini berhak dapat perhatian lebih kerana dia mengandungkan dan melahirkan Nini. Hanya seorang ibu dapat merasa naluri keibuan secara terus dengan anak yang lahir dari rahimnya. Berbeza dengan aku.Aku ni kira macam anak express. Express rakyat kot. Baru saja kahwin, terus dah ada aku di depan matanya. Sudah besar pula tu. Jadi dia tidak melihat aku sewaktu kecil. Dia tidak menjaga aku semasa aku kecil. Dia kenal aku sewaktu aku sudah besar. Jadi, aku tak kecil hati dengan sikap pilih kasihnya itu.

Kesimpulannya, mak tiri aku baik. Hanya mulutnya kuat membebel. Nak buat macam mana kan? Kalau itu yang membuatkan aku meluat padanya, aku rasa aku patut ubah sikap aku. Aku patut sedar, mak tiri aku bukan datang dari keluarga yang alim ulamak... yang faham selok belok hal agama. Mak tiri aku dibesarkan dalam generasi mana. Latar belakang pendidikannya yang bagaimana. Setahu aku, mak tiri aku ni tak sekolah.Dia buta huruf. Tapi, kalau bab duit..semua dia kenal! Not RM100...notRM50...memang dia hafal sangat. Begitulah besarnya pengaruh duit!

Ayah aku pun. Walau apa jua sikapnya pada aku, aku tetap sayangkan dia. Seburuk-buruk mana pun dia, kalau dia selalu tinggal solat sebab nak kejar trip ke...dia tetap ayah aku. Hakikat yang perlu aku terima adalah, tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Tiada. Langsung tak ada, kecuali Baginda Nabi S.A.W kerana Nabi S.A.W adalah maksum. Terpelihara dari dosa.

Jadi,memandangkan adanya ketidak sempurnaan di situ, aku perlu bersedia untuk menerima kekurangan diri mereka. Aku perlu menghormati perbezaan pendapat dan ideologi dengan mereka. Aku perlu bertolak-ansur dengan kehendak mereka. Hidup tentu jadi lebih mudah jika aku boleh berlapang dada dengan semua orang kan?

Ya...kalau sudah bulat keyakinan hati bahawa semua perkara adalah dari Tuhan, rezeki dariTuhan, nikmat itu dari Tuhan, ujian juga dari Tuhan, maka apa lagi kaugusarkan?

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany