Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,426
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

ARWAH MAK aku meninggal semasa aku tingkatan satu. Dia ada sakit barah. Dua tahun berperang dengan sakit barahnya, akhirnya dia pergi menemui Tuhan buat selamanya. Aku jadi yatim sejak saat itu. Kerja ayah yang tidak menentu, membuatkan aku sering ditinggalkan sendirian di rumah. Aku tahu, ayah memang tak mahu mencari kerja lain. Dia memang suka menjadi pemandu lori. Pekerjaan pemandu lori itu satu kerjaya dalam hidupnya sejak dia berumur 19 tahun lagi.Jadi, dia memang tidak reti nak buat kerja lain dah.

Bila dia dapat kerja menghantar barang ke luar daerah, dia akan risau. Kalau cuti sekolah, aku akan dibawa sama. Maka aku pun naiklah lori ikut dia pergi hantar barang. Kadang-kadang hingga ke Johor aku pergi. Kadang-kadang ke Kelantan. Wah..waktu tu rasa macam pergi bercuti pun ada. Tapi itulah....aku terpaksa tidur dalam lori. Kadang-kadang, bila ayah dah tak tahan mengantuk sangat, dia terpaksa berhenti di tepi lebuhraya atau di tepi mana-mana kawasan rehat untuk tidur. Memandangkan aku yang makin besar, dia makin bimbangkan aku.

Setahun selepas itu, semasa aku di tingkatan dua, ayah kahwin lagi. Kahwin dengan mak tiri aku ni lah. Namanya Normah. Tapi aku panggil dia ‘mak cik’ saja. Bagi aku,istilah ‘emak’ itu hanya ada pada arwah ibuku. Tidak ada pada perempuan lain.Biarpun dia isteri ayah, tapi aku lebih senang memanggilnya dengan panggilan‘mak cik’. Dia pun, bagai faham dengan keadaan aku, dia biarkan saja.

Maktiri aku ni, rupanya seorang janda. Janda anak satu. Waktu pertama kali dia datang ke rumah aku, dia masuk ke dalam rumah berpapasan dengan seorang budak perempuan yang umurnya 4 tahun lebih muda dariku. Sekelip mata aku dapat emak dan seorang adik perempuan! Bestkan?Waktu itu, aku dah terbayangkan satu babak dalam filem Cinderella.

Ohhhoo....mak tiri aku pasti akan suruh aku buat kerja rumah sampai hitam legam muka aku. Aku kena kemas rumah...memasak untuk dia dan anaknya dan semua baju-bajuku akan dirampas untuk anaknya! Anaknya pula akan menyuruh aku menyikat rambut,memakaikan dia baju dan mengurut badannya. Waaa...matilah aku macam ni! Aku nak meraung dah waktu tu. Tapi...sangkaanku meleset!

Mak tiri aku ni baik orangnya. Dia yang kematian suami dua tahun lalu,  menjaga aku dan ayahku dengan baik. Dia tak pernah marah-marah macam yang aku bayangkan. Cuma, dia ni mata duitan! Itu yang aku nampak pada sikapnya. Dia memang suka duit. Kalau sesiapa nak bodek dia, sogok saja dengan duit. Dia memang lupa diri. Bahaya mak tiri aku ni... Lagi satu, mulutnya memang becok. Dia memang suka bercakap. Nasib baiklah ayah aku ni jenis diam sikit. Kalau tak, bising satu rumah.

Tentang adik tiri aku tu...namanya Norhanisa. Tapi aku panggil dia Nini. Macam nama akukan? Lily....Nini... Budaknya sweet saja. Nini lemah lembut. Tak macam aku yang agak kasar. Nini juga lebih pandai dari aku. Dia punya keputusan SPM lebih baik dari aku. Maka sebab itu, dia dapat kerja di sebuah hospital swasta yang terkemuka sebagai penjaga kaunter pendaftaran. Kerja Nini memang tak menentu. Adakala, dia bekerja shift pagi. Adakala dia kerja shift petang. Kadang-kadang, dia kena shift malam...Tapi, gaji dia lagi banyak dari aku! Itu yang membuatkan mak tiri aku asyik membandingkan dia dengan aku.

Kalau nak ikut rasa kecil hati, memang kadang-kadang aku kecil hati dengan mak tiri aku. Nini balik kerja dilayan macam raja. Disendukkan nasi, disendukkan lauk ke pinggan, dituang air ke gelas...sambil-sambil tu dia dan Nini akan bersembang lembut. Tapi, tak sekali pun dia buat semua tu dengan aku. Memang aku sedih.Tapi aku sedar diri. Itu mak dia. Nini berhak dapat kasih sayang sebegitu. Sedangkan aku? Mak aku dah tak ada. Mengenangkan hal itu, aku jadi tidak kisah dengan layanan yang aku rasa berat sebelah tu. Nini memang ada emak. Aku tak ada emak.

Nini pula...bagai memahami aku, selalu baik dengan aku. Kami berkongsi bilik yang sama. Jadi, banyak rahsia yang kami kongsikan juga. Waktu aku sedih pun, Nini jugalah jadi pengubatnya. Sekarang kami sudah besar, masa dan kekangan kerja membuatkan kami jarang dapat berjumpa. Hari ini pula, Nini kerja shift malam. 

Previous: Bab 1/1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany