Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,424
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

KERJA BARU aku bermula hari Isnin berikutnya. Aku keluar dari rumah bersama Nini. Naik bas sama-sama dari rumah, dan kemudian Nini akan turun dahulu kerana tempat kerjanya tidaklah jauh sehingga sampai ke bandar. Kemudian, aku akan meneruskan perjalanan aku seorang diri di dalam bas sehinggalah bas tiba di destinasi terakhir iaitu Stesen Bas Klang Utara. Dari stesen itu, aku berjalan kaki hinggalah ke hotel.

Hari pertama aku bekerja, aku diberikan taklimat oleh ketua bahagian aku bekerja. Aku dapat uniform dan hari itu buat kerja dengan seliaan salah seorang pekerja di situ. Namanya Norlela. Aku panggil dia Lela. Kat sini, banyak perempuan dari lelaki. Kebanyakannya wanita yang sudah berumur 25 tahun ke atas. Jadi, aku rasa aku yang paling muda dalam unit aku itu.

Tak banyak sangat yang aku boleh cerita. Bekerja sebagai tukang cuci di hotel ini rupanya bukan satu kerja mudah juga. Pagi saja, ada taklimat yang akan diberikan oleh ketua bahagian. Bilik mana yang perlu diservis dan bilik mana yang yang tak boleh dimasuki. Tingkat berapa yang perlu dibersihkan dan bahagian mana yang perlu dirapikan. Kalau hari minggu, jadualnya makin padat kerana kebanyakan dewan-dewan perlu diselenggara hari itu untuk kegunaan pelanggan. Paling penting, tong sampah di sekitar hotel tidak boleh dipenuhi sampah.

Kami dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk memudahkan kerja dan mempercepatkan proses pembersihan di hotel. Aku dan Lela bernasib baik sebab termasuk dalam satu kumpulan. Kerja yang aku dapat ialah, membersih, mengemas dan membasuh kelengkapan bilik hotel.

Jadi,bermula dari hari itu, kerja aku tiap-tiap pagi ialah, datang ke bahagian aku dan semak nombor bilik yang perlu diberi keutamaan untuk pembersihan. Kemudian aku akan pergi dari bilik ke bilik dengan troli aku yang penuh dengan kelengkapan bilik hotel dan mengemas bilik.

Kerja aku banyak juga. Kutip sampah dalam bilik hotel, cuci bilik air, ganti kelengkapan bilik air dan dapur, ganti tuala mandi, tuala kegunaan am, ganti tisu, ganti sarung bantal, ganti cadar, vakum karpet dan bersihkan bilik. Semua sampah-sampah akan kubuang di tempat khas. Bila petangnya pula, aku akan membasuh cadar-cadar dan sarung bantal serta tuala yang kukutip dari bilik-bilik hotel. Kedengaran macam mudah, tapi penat juga. Oleh disebabkan itu, aku jarang dapat masa untuk berbual dengan Lela sewaktu kerja. Kalau dapatpun, sewaktu masa rehat kami. Itulah saja peluang berbual.

Bila jemuran basuhan aku sudah kering pada petang hari, tugasku ialah melipat semua basuhanku itu dan semua itu akan dikemaskan dalam beberapa bahagian yang telah dikhaskan. Aspek kebersihan sangat dititik beratkan oleh hotel ini. Kalau basuh tuala tak letak pelembut fabrik, alamatnya aku kena cuci semula. Kalau tidak,penyelia aku akan bising. Petang, sekitar jam 7 petang, aku akan mengharung kesesakan lalulintas di bandar Klang untuk pulang ke rumah. Kalau bas tak buat hal, aku akan sampai di rumah sekitar jam 7.40 malam. Ngan-ngam untuk aku solat Maghrib dalam keadaan tergesa-gesa kerana bimbang terlewat solat. Selepas jam 9 malam, barulah aku dapat menyedut udara bumi Tuhan ini dengan aman tanpa berfikir apa-apa lagi.

Itulah rutin harian aku sejak kerja baruku bermula. Oh ya, aku dapat cuti hari Rabu.Betul kata Firdaus, kerja di hotel ni cutinya tak tentu. Bulan ini hari Rabu. Mungkin bulan depan hari Jumaat pula. Tapi, jika ada sebarang kecemasan aku boleh bertukar cuti atas budi bicara penyelia aku yang membuat jadual untuk kami semua.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany