Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,443
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

AKU INGAT bila aku kerja di hotel empat bintang seperti ini, keadaannya tentulah seronok. Hal ini kerana aku dapat berjumpa dengan orang-orang kaya, orang-orang hebat dan perempuan-perempuan kaya yang cantik. Bila melihat golongan seperti ini, ia membuat aku rasa terinspirasi untuk mengubah hidup aku. Tapi, setelah hampir dua bulan aku bekerja di hotel ini, aku terasa mula jadi murung.

Aku keluar rumah pagi-pagi jam 7 pagi. Balik rumah jam 7.40 malam. Waktu aku keluar rumah, langit masih gelap. Bila aku balik ke rumah juga, langit sudah gelap. Aku fikir aku boleh berbual-bual atau berjalan-jalan dengan Nini selepas balik dari kerja, tapi sangkaanku meleset. Nini bekerja dengan jadual yang berubah-ubah. Tidak sama dengan jadual kerjaku. Yang ada menemaniku untuk berbual setiap hari hanyalah Lela. Itupun, bila petang. Lela akan pulang dari kerja dengan motorsikalnya. Dia ada motorsikal sendiri dan jalan ke rumahnya adalah bertentangan dengan rumahku.

Aku ingat aku boleh jumpa orang kaya. Paling koman pun, tunjuk mukaku ini dari jauh dan senyum sikit pada mereka. Tapi, sangkaanku jauh tersasar. Bagaimana aku nak berjumpa orang kaya kalau aku masuk kerja pun ikut pintu khas yang disediakan untuk pekerja? Aku tak masuk ke hotel tempatku bekerja melalui pintu utama. Kami semua masuk ikut pintu belakang yang khas. Kemudian, waktu aku bekerja pula, adalah waktu di mana pelanggan hotel sudah tiada di bilik.

Aku mengemas bilik kebanyakannya adalah sekitar jam 9 pagi hingga 12 tengahari.Waktu itu, kebanyakan pelanggan sudah keluar dari bilik atau tiada di bilik. Kalau ada pun, mereka akan masuk ke bilik pada jam 2 petang. Jam 2 petang pula,aku sudah tidak dibenarkan untuk membuat kemasan bilik pada bilik yang sudah ditempah. Jadi, cuba kau orang semua beritahu aku. Bila waktunya aku nak jumpa orang kaya? Atau lebih tepat lagi, bila masanya aku nak cari lelaki idaman aku?

Kecewa. Aku hampa. Peluangnya sudah macam tak ada. Setiap kali aku jeling pada si gadis penyambut tetamu yang cantik manis, aku jadi cemburu kerana dia berpeluang bertemu pelbagai orang. Tapi aku tak ada peluang seperti itu sedangkan tujuan utamaku untuk bekerja di hotel adalah untuk mengisi tempat itu. Tempat sebagai penyambut tetamu di lobi utama hotel!

Harrgghhhh...aku geram! Apa nasib aku ni! Aku renung telefon bimbitku. Lama ia tak berbunyi. Kawan-kawan semuanya sibuk bekerja. Kalau ada masa untuk bersembang pun waktu malam saja. Tapi bila malam tiba, semua kawan-kawan aku sibuk keluar dating dengan pacar masing-masing. Aku seorang saja yang melongo dalam bilik.

Firdaus! Apa khabar lelaki itu agaknya. Kalau dia tahu keadaan aku macam sekarang,agak-agak, apa reaksi dia nanti ya? Mesti dia gelakkan aku macam langit nak runtuh kan? Hmm...racun betul dia ni! Saat ini, hati aku dah berbelah bagi.  Masa aku sedang berlari dengan laju. Aku pula, masih termangu di sini kebingungan. Apa yang aku cari sebenarnya dalam hidup aku sekarang? Kurenung remang langit petang. Jalan di bandar Klang ini tidak pernah sunyi. Acapkali ia meriah dan hangat dengan penghuninya.




“ MALAM ni mak cik tak masak ye...kalau rasa nak makan..masak sendiri...” kata mak tiri aku sewaktu aku baru masuk ke dapur selepas solat Maghrib. Di atas dapur, tak ada periuk belanga yang bertenggek. Aku kelu.

“Ayah kamu ni kedekut betul...mak cik minta duit sikit je pun, dia tak nak bagi...” rungut mak tiri aku sambil menyelak surat khabar di tangannya. Ayah yang sedang minum kopi di depan televisyen memandang mak tiri aku.

“Nak buat apa sampai RM500?? Buat apa nak borong kain tu banyak-banyak? Bukan kita nak pakai sampai banyak tu...” rungut ayah pula. Aku garu kepala. Langkah kakiku terus ke dapur mencari apa-apa sahaja yang boleh kumasak atau kumakan terus. Perut aku dah lapar sebenarnya. Nini masih belum pulang dari kerja. Pukul 10 malam nanti baru dia balik. Itupun ayah akan pergi menjemputnya di klinik tempat dia bekerja.

“Kain tu, saya nak jual kat saudara-mara saya bang...RM500 tu bukannya banyak sangat pun...kalau kita beli kain dari Kiah tu, lepas tu kita jual, boleh dapat balik RM1000 bang...sekali ganda kita dapat pulangannya...” terdengar suara mak tiri aku asyik membebel di ruang tamu. Aku selongkar kabinet dapur. Terjumpa meggi kari 2 bungkus. Haa...bolehlah ni.

“Kamu bukan pandai menjual pun. Dulu...sejadah yang kamu ambil dari Joyah tu...kata nak jual jugak..alih-alih jualnya satu. Yang tersadai dalam bilik ada dekat 30 helai lagi. Kenapa tak pergi jual dulu yang itu?” suara ayah pula bertingkah-tingkah dengan mak tiri aku. Aku koyak plastik meggi dan kupanaskan air dalam periuk.

“Itu lain bang...kain yang Kiah jual ni murah betul bang...cantik-cantik. Kalau tak jual pun tak apa...saya boleh buat baju kurung. Kita pun ada anak dara dua orang kat rumah ni yang boleh pakai. Itu pun abang nak berkira ke...” makin rancak mak tiri aku membebel. Air di dalam periuk telah mendidih dan aku terus memasukkan meggi dua bungkus. Kukacau-kacau sekejap saja.

“Haa...tengok tu..ada hati tak nak jual pula. Tadi beria-ia kata nak jual. Boleh dapat Rm1000 lah! Sekarang kata nak pakai pula. Inilah sebab saya tak percayakan awak...”ayah menempelak pula. Meggi aku sudah siap lalu kucedok ke dalam mangkuk. Panas! Mangkuk itu kubawa ke meja makan.

“Awak ni...semua cakap saya pun awak tak percaya!!!” cemuh mak tiri aku. Akhbar di tangannya ditutup pantas dan dia memandang aku yang sedang duduk di meja makan. Mataku terpaku pada mak tiri aku dan ayah aku.

“Makan mak cik? Ayah?” pelawaku. Sebenarnya aku ajak-ajak ayam saja. Meggi ni cuma 2 bungkus. Cukup untuk perutku sorang saja. Kalau aku tahu mak tiri aku tak masak malam ni tadi, baik aku bedal nasi di kedai saja.

“Ada lagi meggi yang belum masak? Kamu dah simpankan untuk Nini sikit? Kalau dia balik nanti dia nak makan apa?” soal mak tiri aku kuat. Aku terkedu. Kurenung meggi panas di mangkuk.

“Dah habis...” aku jawab lemah.

“Hah...nanti kamu beli baru sebelum Nini balik! Mak cik tak masak malam ni...” kata mak tiri aku lalu bangun ke dapur.

“Alah...buat apa nak disibukkan pasal meggi yang sikit tu. Sekejap lagi kita pergi ambil Nini dari tempat kerja dia, saya belikan baru untuk dia...kamu..Lily..makan...”ayah bersuara menyebelahi aku bila melihat mataku terkebil-kebil memandang mereka berdua. Mak tiri aku buat tak endah dengan kata-kata ayah aku. Aku mengeluh perlahan dalam hati. Perbualan seperti ini sebenarnya, agak biasa juga. Mak tiri aku ni, kalau dia kata nak duit...dia nak jugak! Ayah pula,boleh tahan degil dengan sikap kedekutnya. Aku tak mahu masuk campur hal mereka. Meggi yang sudah suam perlahan-lahan aku kacau. Dengan lemah dan rasa serba salah, aku suap juga meggi itu ke mulut. Hatiku penuh  rasa sebu.




MALAM itu aku tidak dapat tidur. Nini sudah berdengkur di katilnya. Balik dari kerja tadi, dia makan, mandi dan solat. Selepas itu, terus dia tidur. Katanya dia penat sebab hari ini banyak kes kecemasan. Ada kes putus tangan sampai dia hendak muntah melihat darah dan daging yang terburai. Bila dia berhadapan dengan situasi seperti itu, memang dia akan terus tidur. Dia kepeningan. Aku faham benar sikapnya itu.

Aku merenung nombor telefon Firdaus. Rasa-rasa macam nak dail saja nombornya itu.Tapi, sekarang sudah jam 11.30 malam. Esok hari Rabu. Hari cuti aku. Pasti esok Firdaus perlu bangun awal untuk pergi bekerja. Jadi tak elok pula kalau aku kacau dia kan? Waktu ini, aku rasa rindukan saat-saat bersama dia. Aku teringin sangat nak pergi ke kawasan asrama aku dulu tu dan jalan-jalan di sekitar deretan kedai di situ bersama Firdaus. Kami boleh bersembang lama-lama hingga pukul 10 malam. Selepas itu, baru kami pulang ke asrama masing-masing. Adoi...rindunya. Rasa macam nak pergi minta balik kerja kat sana semula. Tapi,mana aku boleh buat macam tu. Dahlah aku berhenti pun main blah macam tu saja. Ada hati pula nak pergi minta kerja kat sana semula. Sampai kucing bertanduk empat pun, kilang tu takkan terima aku balik punya.Hisyy...menyesal...menyesal...

Aku kalih badan dan merenung Nini yang sudah terlena. Bahagianya dia dapat tidur sedangkan aku masih sukar untuk melelapkan mata. Fikiran aku sudah bertebaran ke seluruh alam ini mencari sesuatu yang aku sendiri tidak tahu. Aku rasa jiwa aku kosong. Entah di mana silapnya aku pun tidak tahu. Rasa seperti sesat dalam cahaya yang terang. Suasana terang benderang di hadapan aku. Jalan terbentang luas dan berliku-liku di hadapan mataku. Tapi aku bagai manusia kebingungan.Tak tahu apa patut ku buat. Tak tahu jalan mana harus kutuju. Tak tahu apa yang sepatutnya aku pilih. Kadangkala aku terfikir, apakah aku berada di tempat yang betul?

Galau...galau hati aku! Aku meniarap pula. Aku sedut udara dari bantal kepamku lama-lama. Esok aku mahu keluar berjalan-jalan di bandar. Mungkin aku terlalu sibuk bekerja hingga aku hilang dalam diri aku sendiri. Mungkin kerana aku penat? Aku perlukan sesuatu yang dapat memberiku satu tenaga baru. Ya..esok...aku nak pergi jalan-jalan! Seorang diri pun tak apa!

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany