Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,445
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8/1

“KAU tengok! Kau tengok!” aku terjerit-jerit macam orang kena nombor ekor. Dahlah di tepi jalan. Pantas aku menyuakan telefon bimbitku ke muka Firdaus yang sedang berjalan di sebelahku. Kami sedang dalam perjalanan pulang ke asrama. Firdaus mengambil telefon bimbitku lalu melihat dengan teliti.

“Dia dah accept friend request aku!!! Yahuuuu” Allah...Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya aku bila salah seorang dari 3 lelaki kaya yang aku hantar friend request tu terima persahabatan aku. Rasa macam nak melompat tinggi-tinggi sampai ke puncak awan. Lagi hebat perasaan itu, bila aku dapat buktikan pada Firdaus bahawa usaha aku mula menampakkan hasil.

“Ala...baru accept friend request...” cemuhnya sambil menyerahkan kembali telefon bimbitku.

“Eh...okeylah tu! Ada harapan tu...mission impossible dah tak impossible lagi...” cepat-cepat ku ambil kembali telefon bimbitku. Firdaus sekadar mencebik. Kami masih berjalan dan mataku masih tertancap di skrin telefon. Meneliti gambar-gambar lelaki itu yang telah sedia ada di dalam Facebook miliknya. Wah...hebatnya lelaki ini. Ada gambarnya di parti orang-orang kaya...gambarnya di Paris... di Mekah...

“Untungnyalah dia ni...muda-muda dah dapat pergi Mekah...” keluh hatiku. Sebagai Muslim,siapa yang tak nak pergi ke Mekah. Semua orang Islam pun pasti menyimpan hasrat untuk sampai ke rumah Allah itu suatu hari nanti. Mudah-mudahan, aku pun dapat sampai di sana juga nanti...

“Oppocot...”entah dari mana, tiba-tiba kakiku tersepak tunggul dan aku hampir-hampir terjatuh. Firdaus di sisi aku menahan badannya di depanku agar aku tak tersadung dan jatuh. Tapi dagu aku terhantuk di belakangnya.

“Haa...tengoklah telefon tu lagi...” rungutnya sambil menggosok bahunya yang ditunjal oleh daguku.

“Err..sorry...sorry...” kelam kabut aku meminta maaf padanya sambil menggosok dagu ku. Nasib baik telefon bimbit aku tak jatuh tadi...kalau tak punah harapan aku nak berfacebook dengan lelaki ni! Firdaus menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandangku.

“Jalan tengok depanlah!” marahnya lagi. Aku cebik. Tapi aku akur pada kata-katanya. Sukar nak berjalan dengan mata yang asyik terpaku pada skrin telefon. Itu baru tersadung tunggul di jalan. Bagaimana kalau aku tersasar jalan dan terus ke masuk ke longkang besar di tepi jalan tu? Aduhai...mahu masuk wad juga. Kalau aku cedera, lagi-lagi kalau cedera di muka, habislah saham aku nanti!

“Apa kau borak dengan mamat bangla tu tadi?” soal Firdaus tiba-tiba. Aku sudah memasukkan telefon bimbitku ke dalam kocek seluar. Bibirku menguntum senyum bila teringatkan wajah si Salman Khan celup.

“Oh...dia? Tak ada apa. Dia cuma tanya nama aku...” jawapku dengan senyuman.

“Jangan layan baik sangat mamat bangla ni. Diorang ni psiko sikit. Kalau kita layan lebih-lebih, dia kata kita beri harapan pada dia...silap-silap haribulan,esok-esok dia datang cakap I love you kat kau...” kata Firdaus.

“Takkanlah! Mana ada orang jatuh cinta cepat sangat macam tu...” getusku. Kami masih menongkah jalan mengatur langkah ke asrama yang kian hampir.

“Aku cuma ingatkan saja....” getus Firdaus.

“Hmm...iyelah...”aku mengeluh. Kami sama-sama terdiam seketika. Hanya kedengaran derap tapak kaki kami. Dia menoleh kepadaku.

“Kau dah try laksa kat kedai depan kedai gunting tu?” soalnya tiba-tiba.

“Laksa? Kedai gunting mana?” soalku pula.

“Ala..kedai gunting yang dekat dengan taman permainan tu..” katanya pula. Aku cuba mengingat satu persatu kedai yang ada di kawasan itu. Sungguh! Aku tak ingat sebab aku jarang berjalan di kawasan itu. Kalau ada pun aku ke kedai runcit dan selebihnya aku ikut Firdaus makan.

“Tak tahu..” aku menjungkit bahu.

“Takpe. Malam nanti, lepas Maghrib aku tunggu kau kat gate. Kita pergi situ. Laksa kat kedai tu, orang kata sedap...”ujarnya lagi.

“Apa lagi yang kedai tu jual? Laksa je?” soalku sambil memandang wajahnya.

“Banyak jugalah...ada bihun sup..mee kari..ada western food...macam-macam!”

“Menarik! Aku nak ikut..” putusku dengan senyuman. Dia turut tersenyum riang.




BALIK  ke bilikku, mataku buntang bila melihat beg baju aku yang kusimpan di bawah katil terburai. Baru saja aku nak cari baju untuk dipakai, tapi bila melihat keadaan beg yang sedikit bersepah, aku mula memasang curiga dalam hati. Lin baru masuk ke bilik dengan tuala di kepala. Rambutnya masih basah.

“Lin...beg aku ada orang buka ke?” tanyaku gelisah. Lin terus memandang aku. Dia duduk di katilku.

“Tak tahu...kenapa?” soalnya hairan. Aku tarik keluar beg yang sudah terbuka zipnya. Kucuba untuk tarik habis zip itu. Namun zip beg itu tersangkut pula. Patutlah beg itu tidak dizip habis. Zipnya sudah rosak rupanya.

“Aku rasa aku tak simpan baju-baju aku macam ni....” getusku penuh curiga. Baju-bajuku yang kulipat kemas kini sudah terbarai dan disumbat ke dalam beg.Lin memandangku penuh curiga.

“Cuba kau check. Ada yang hilang?” soalnya.Aku akur. Aku punggah satu persatu isi beg bajuku dan kubilang jumlah baju yang ada di dalamnya.

“Si Nita tu dah berhenti kerja tau. Dia dah keluar dari bilik ni pagi tadi...”beritahu Lin. Otakku hanya menangkap penerangan Lin, namun aku masih membilang jumlah baju. Tidak cukup 2 helai. Aku pandang Lin yang masih terpinga-pinga memandang aku.

“Baju aku hilang 2 helai lah...” kataku perlahan. Wajah Lin dibungkus resah.

“Ye ke? Kau dah check betul-betul?” soal Lin sungguh-sungguh.

“Betul. Baju tu aku baru beli. Baru pakai sekali. Aku ingat nak pakai malam ni...tapi dah hilang pula...” kataku lirih. Apa nak buat. Bukan rezeki aku lah nampaknya dengan baju tu. Dah hilang, biarlah hilang. Nak buat macam mana.

“Entah-entah si Nita tu yang kebas... dia tu pun, ada rekod tak baik yang aku dengar dari budak-budak kilang lain. Selalu kebas baju orang...” kata Lin penuh prasangka.

“Tak baik tuduh. Kita tak tengok dengan mata kepala kita sendiri..” tingkahku.

“Dia saja yang ada dalam rumah ni pagi tadi. Semua orang pergi kerja...” ujar Lin lalu bangun berlalu ke katilnya. Dia membelek baju-bajunya yang tersangkut di hujung katil.

“Eh...mana perginya jaket kulit aku yang warna kuning tu?” tiba-tiba Lin jadi panik. Dia paling sayang dengan jaket kulit warna kuningnya itu. Kalau dia keluar dengan abang angkatnya, jaket kulit itulah yang selalu dia pakai. Aku mula gelak.

“Apa lagi...jaket kulit kau pun agaknya dah kena culik...” hahahahhaaa.....aku dan Lin sama-sama ketawa gila. Tak tahu samada nak ketawa atau nak meraung. Yang penting, kami tak sabar nak tunggu kepulangan Kak Ja. Kita tengok apa pula barangnya yang hilang sebab antara kami bertiga, Kak Ja yang paling banyak barang!




“APASAL monyok?” tanya Firdaus sewaktu kami mula duduk di kedai makan Masakan Utarai tu.

“Baju aku hilang...” ceritaku padanya. Dia tergelak. Sampai terhinggut-hinggut bahunya. “Kau ni kenapa?” meluat sungguh aku tengok dia ni!

“Baju aje? Itu hal kecik beb...” dia masih ketawa lucu.

“Bukan setakat baju aku...baju room mate aku yang lain pun hilang jugak...baju Lin hilang sehelai. Lagi kesian, Kak Ja. Lisptik dia hilang sebatang, padahal lipstik tu baru dia beli dua hari lepas. Lepas tu, baju dia hilang 3 helai...gelang manik dia pun hilang...kesian betul..” aku bercerita lagi. Kami sama-sama ketawa.

“Siapa yang ambil?” soal Firdaus.

“Manalah aku tahu. Balik kerja tadi, tengok dah tak ada. Tapi diorang suspect si Nita yang ambil...” ujarku.

“Nita yang muka bulat-bulat. Putih-putih tu?” soal Firdaus. Mataku terbelalak memandangnya.

“Kau kenal Nita?” soalku hairan. Pelayan restoran datang menghantar pesanan makanan kami. Bicara kami terhenti sejenak sehinggalah pelayan itu beredar dari meja.

“Kenapa tak kenal pulak...dia awek Syukri yang kerja kat kilang Sankyu kan..” kataFirdaus. Kawasan asrama kilang itu bukanlah besar sangat. Jadi, samada kau kerja kilang mana pun, kau tetap akan jumpa orang-orang yang sama bila balik ke kawasan asrama yang letaknya berdekatan tu. Kalau nak bercerita tentang kisah masyarakat di kawasan kilang itu, memang tak cukup kertas nak tulis. Ada seribu satu macam cerita. Memang sensasi. Penyebaran berita melalui mulut jadi medium paling cepat. Sekarang, bila ditambah dengan kecanggihan teknologi seperti Facebook dan Twitter, lagilah cerita-cerita itu cepat berkembang dan beranak-pinak. Sampai tak boleh nak ditutup lagi. Hitam putih cerita, tak siapa dapat tentukan selain tuan punya badan. 

“Entah..”ujarku perlahan. Aku tak tahu nama pakwe dia. Tapi memang si Nita tu tak pernah lekat di bilik waktu malam. Nak campur urusan dia, aku ni siapa? Bukan mak dia pun...

“Si Nita tu selalu datang bilik Syukri tiap-tiap malam. Bila room mate diorang bising, nak report kat pejabat agama, terus si Syukri tu berhenti kerja dan hilang...Nita pun dah berhenti kerja kan?” soal Firdaus lagi. Aku angguk laju.

“Padahal dia tu baru masuk kerja je. Sayang kan...umur muda-muda macam tu dah buat hal..”keluhku. Firdaus tersenyum hambar. Dia mencedok kuah laksa lalu dihirupnya. Melihat dia makan aku pun mula makan. Aku pesan laksa kedah juga. Macam dia.

“Orang Kedah ni...kalau dapat makan laksa, mak mertua lalu depan mata pun dah tak nampak...” kata Firdaus tiba-tiba sambil menghirup kuah laksa. Sedap juga laksanya. Jujurnya, aku taklah berapa pandai masak laksa. Paling tak tahan nak mengupas isi ikan tu. Rimasnya melihat tulang-tulang ikan berserakan. Ceh...macam tajuk buku Sasterawan Negara Usman Awang pula. ‘Tulang-tulang Berserakan’.

“Kau suka laksa ke?” soalku sambil makan. Firdaus angguk.

“Orang Kedah ni...majoritinya memang suka makan Laksa...makan Bihun Sup...” katanya lagi.

“Iye ke?” aku tak percaya kata-katanya. Mana boleh dia buat rumusan sebegitu tanpa ada kajian. Kan?

“Tak tahulah...aku rasa saja..” haaa...kan aku dah kata. Dia sekadar buat rumusan tanpa fakta.

“Kau suka makan apa?” soalnya pula.

“Semua. Asalkan halal!” jawapku selamba. Matanya terkedip-kedip memandang aku. Aku dah mula rasa nak ketawa.




MALAM sudah larut. Sudah pukul 11.30 malam. Aku sudah baring di atas katil, sudah siap sedia hendak tidur. Telefon bimbit kubelek-belek lama. Aku meneliti satu demi satu maklumat dalam Facebook lelaki tadi. Nama penuhnya Tengku Khairudin. Kawan-kawannya memanggil dengan panggilan Khay. Dalam semua gambarnya, dia membahasakan dirinya Khay. Boleh tahan hensem si Khay ni. Aku mula membandingkan wajah Khay ini dengan wajah Firdaus.Ternyata Khay ini nampak lebih berkarisma dengan baju-baju mahalnya. T-shirt yang dipakainya saja  bukan main cantik. Buatan luar negara pastinya.

Hmm...kalau si Daus tu pakai macam ni, tak mustahil dia pun nampak smart juga. Alah...rupa nombor dua! Nombor satu, mesti kaya. Aku membelek lagi gambar-gambarnya. Banyak juga parti yang dihadirinya. Siap ada menteri-menteri. Nampak gayanya, Khay ni orangnya berpengaruh juga. Kalau tidak, bagaimana dia boleh duduk sebaris dengan menteri-menteri kabinet Malaysia. Aku menghela nafas penat.

Jemu membelek telefon, akhirnya aku bercadang untuk menyimpan saja telefon bimbitku.Namun, tiba-tiba satu bunyi dari telefon bimbit yang menandakan ada mesej peribadi Facebook masuk. Bingkas aku mencapai dan meneliti mesej tersebut.

Huh!!! Aku bermimpikah ini? Hati aku berderau tatkala skrin telefon bimbit kupandang. Ada mesej dari Tengku Khairudin a.k.a Khay!

[Hi there.] Alamak! Bahasa orang putih! Ada bunyi lagi dari telefon bimbitku.

[You look familiar. Have we met before?] Aku sudah ternganga. Mataku terkebil-kebil. Waktu itu, dadaku menderu rasa gemuruh. Mesej peribadi itu kutatap bagai tak percaya. Sepanjang hari aku puas berfikir bagaimana aku mahu membuka langkah untuk bersembang dengan lelaki ini, tapi tiba-tiba dia yang hantar mesej peribadi pada aku dahulu? Ohh...keajaiban apakah ini!!!

Aku dah rasa macam nak terjun dari katil. Tangan aku mula tergawang-gawang ke udara. Kupekup mukaku dengan bantal. Ya Allah!!! Seronoknya!!! Macam mana dia boleh tegur aku dulu ni.... Aku dah tak senang duduk. Waktu ini, yang terbayang di muka aku hanyalah wajah Firdaus. Tak percaya sangat kata-kata aku sebelum ni kan? Haa...ambik kau labu! Sekarang fakta mana lagi yang kau nak nafikan?

Hahahhaa!! Aku dah jadi gila! Aku tak sabar nak tunggu hari siang. Pagi esok, aku akan tunjukkan mesej ni pada Daus dulu. Biar dia baca! Hahahhhaa....aku dah tak betul! Aku pandang kembali skrin telefon. Alamak...apa aku nak balas mesej niye? Ini...kena balas baik-baik ni. Tak boleh main cakap je. Kalau silap jawab,langsung hilang peluang aku untuk beramah-tamah dengan lelaki ni. Sudahlah dia saja satu-satunya peluang yang aku ada. Aku mengetap bibir. Mula berfikir-fikir. Simpan dulu. Tak payah teruja sangat nak balas. Jual mahallah sikit mek! Biar ada thrill. Kan? Aku tersenyum meleret semasa menyimpan telefon bimbit di tepi bantal. Selimut lantas kutarik ke dada. Selamat malam dunia....ahhh...indahnya dunia ini....

Previous: Bab 8
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany