Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,443
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

PAGI AHAD.Gigih aku dan Nini keluar awal pagi bersama dan menaiki bas menuju ke asrama kilangku. Itu kali pertama Nini datang ke kawasan itu. Matanya meliar saja memerhati sekeliling saat kami turun dari bas. Kami memberitahu kepada ayah dan mak tiri aku yang kami mahu pergi berjalan di Bandar Port Klang. Tapi,sebaliknya, kami telah merancang agenda sendiri hari ini.

Yalah...takkan aku nak keluar rumah dengan pakaian yang ala-ala European Princess tu? Aku rasa, mahu terjojol mata mak tiri aku. Kawan-kawannya akan mengata sepuluh hari sepuluh malam. Mak tiri aku juga yang akan bising nanti. Silap-silap, dia dan kawan-kawan gossipnya akan ikut aku dan Nini pergi berjumpa dengan Tengku Khairudin. Rosaklah date pertama aku nanti...

Jadi,aku dan Nini sudah berpakat untuk meminta pemandu Tengku Khairudin itu datang mengambil kami dari depan asrama aku saja. Lagipun, kat situ tak ada orang yang kenal mak bapak kami. Tentang rasa pelik berjalan dengan baju cantik tu...ah...biarkan saja. Aku tak peduli apa orang-orang kawasan kilang ni nak kata apa.

Sampai saja di bilik aku, terus aku dimekapkan oleh Nini. Kak Ja yang ada pagi itu terpinga-pinga melihat aku dan adik tiri aku. Dia kemudian menawarkan dirinya untuk menyolekkan aku. Aku apa lagi...terus hulur muka kat dia. Lagipun, barang-barang mekapnya lagi lengkap dari barang-barang mekap Nini. Aku jangan haraplah. Aku cuma ada pelembab muka dan bedak saja. Lain-lain barang aku tak ada.

Siap bersolek, aku pakai baju dan tudung pula. Kak Ja terkebil-kebil memandang aku tatkala aku sedang melilit selendang panjang berwarna biru di kepalaku.

“Nak jumpa mak mertua ke ni?” soal Kak Ja.

 “Lebih kuranglah...” jawap Nini bagi pihakku. Aku semat jarum sebagai hiasan terakhir di kepala. Kemudian aku berdiri di depan Kak Ja dan Nini. Lin tidak ada pagi itu di bilik. Dia balik ke kampusnya untuk mengambil barang bersama abang angkatnya. Itu kata Kak Ja.

Okay tak?” soalku kurang yakin. Tengok mukaku yang berbedak tebal seinci dalam cermin tadi, aku dah rasa macam pelakon opera cina. Siap dengan lisptik warna merah jambu. Nini memusingkan badanku.

“Lawa dah ni....Mujur kau tak pergi kerja dressing macam ni. Kalau tak...dah boleh  dapat title  Ratu Cantik Kilang...” kata Kak Ja. Hihihi...aku tersengih malu.

“Jomlah! Dah dekat pukul 10 ni...” Nini kelam kabut bersiap. Dia sekadar memakai blaus dan skirt labuh dipadankan dengan tudungnya. Kami bergegas mengambil barang-barang penting dan terus keluar dari rumah. Bila kami berjalan menuju ke pintu pagar, tak usahlah bayangkan keadaannya waktu itu. Aku rasa semua mata tertumpu ke arah kami yang sedang buat catwalk menuju ke pagar. Aku tebalkan muka. Jalan juga.

Driver dia datang naik kereta apa?” soal Nini padaku sewaktu kami sudah hampir ke pagar.

“Entah.Tapi dia bagi nombor plat kereta...” balasku sambil menyebut nombor plat keretayang telah diberitahu oleh Tengku Khairudin di dalam mesejnya yang terakhir. Nini angguk. Mata kami melingas mencari kereta tersebut.




AKU dan Nini saling berpandangan. Riak muka kami mula cemas. Rasa curiga mencurah-curah di dada. Hati sudah tidak tenteram lagi. Berolak-olak di dalam jiwa. Aku dan Nini sekarang telah terperangkap di dalam sebuah kereta Satria GTI yang hanya mempunyai dua pintu!

Punyalah tinggi angan-angan aku tadi. Aku membayangkan bakal dijemput dengan kereta mewah. Koman-koman pun kereta Mercedes Benz ke...tapi alih-alih, kereta Satria GTI ini yang muncul. Aku bayangkan pemandu Tengku Khairudin orangnya mungkin sebaya dengan ayah aku, memakai pakaian seragam yang bersih dan sopan. Tapi,yang datang tadi cuma seorang lelaki muda memakai t-shirt hitam gambar tengkorak dan berseluar jeans! Aku dah takut. Tak jadi hendak naik.

Tapi,lelaki itu tunduk hormat padaku dan menyerahkan sejambak bunga ros merah kepadaku.

“Tengku dah tunggu di Eastin Hotel, Damansara...” katanya. Aku dan Nini saling berpandangan. Ragu-ragu. Lelaki itu telah membukakan tempat duduk depan dan mempersilakan aku dan Nini untuk masuk ke dalam kereta. Aku dan Nini saling bertolak. Akhirnya, aku masuk juga bila kulihat banyak mata yang sedang memandang kami. Nini ikut naik selepas itu. Ah..tak apa. Ada Nini. Bisik hati kecilku.

Kami dibawa melalui Lebuhraya KESAS. Jauh menyimpang dari jalan menuju ke EastinHotel. Walaupun aku ni buta kayu tentang hotel, tapi hotel itu aku tahu di mana letaknya sebab aku pernah lalu di depan hotel itu sewaktu aku mengikut ayah menghantar barang ke utara tanahair. Pernah mengikut ayah yang bekerja sebagai pemandu lori membuatkan aku serba sedikit tahu selok belok jalan di Lembah Klang ini. Hati aku dah mula memberontak, minta penjelasan. Tapi aku buntu. Nini menggenggam erat jemariku.

Tit...Tit...Telefon bimbit lelaki itu berbunyi. Pantas dia menjawab.

“Haa...dah...dah...ada dua ni....Hahahahha....” dia terdiam seketika mendengar suara di hujung talian. Aku dan Nini saling berpandangan.

“Haa....makan besarlah! 2 lawan 1... hahahahaa... “ dia ketawa lagi. Aku dah mula rasa tak sedap hati. Mendengar perkataan ‘2 lawan 1’ itu, aku teringatkan Firdaus tiba-tiba. Aku renung kembali ke arah lelaki itu yang sedang bercakap di telefon. Lehernya saja berdaki. Rambutnya bersikat kemas, tapi gel rambutnya berbau masam. Ini bukan bau gel rambut mahal. Kujengah pandangan ke dalam ruang kereta. Ada rokok yang bersepah. Ada kertas-kertas yang berterabur di dashboard. Ada kaca mata hitam yang tergantung di cermin. Kalau kereta syarikat atau kereta milik seorang pemandu kepada orang kaya, beginikah rupanya?

Aku pandang Nini. Aku rasa kami sudah kena tipu. Aku yakin, lelaki ini bukan seorang pemandu. Tengku Khairudin pun satu penipuan. Kata menunggu aku di Hotel Eastin. Tapi sekarang, kami sedang dibawa menuju ke Cheras! Sah...aku dah kena tipu! Kupekup mukaku. Hisyy...membazir duit aku RM280 beli baju mahal-mahal!!! Arghhhh....aku menjerit di dalam hati.

Nini menyiku lenganku. Serta merta aku panggung kepala. Kulihat di sekitar kami. Dari jauh, aku nampak kawasan R&R yang semakin kami hampiri. Cepat-cepat aku bersuara.

“Encik...boleh singgah sekejap kat R&R depan tu? Saya dan adik saya ni nak pergi tandas sekejap...” pintaku lembut. Kuukir  senyuman paling manis untuk buat dia percaya. Dia menoleh ke arahku menerusi cermin pandang belakang.

“Tapi kita dah nak sampai ni. Boleh tunggu sekejap?” soalnya yang masih memandu laju.

“Saya dah tak tahan nak terberak ni....” aku mengerutkan dahi seraya pura-pura menekan perut. Dia kulihat resah. Sekejap-sekejap matanya melilau ke luar tingkap kereta. Kemudian dia angguk. Fuh...alhamdulillah.... aku hela nafas lega. Nini makin kejap memegang lenganku. Keretanya diperlahankan dan dia membelok masuk ke kawasan R&R.




“TINGGALKAN beg tu dalam kereta...” aku nak bawa keluar beg tangan aku sekali, tapi lelaki itu menegah. Dia memandang wajahku curiga. Aku memandang Nini dengan pandangan kelat.

“Tapi,saya nak touch up sikit lepas buang air...” kataku. Mudah- mudahan dia percaya. Dia tesenyum sinis.

“Tadi kata nak berak. Sekarang kata nak mekap. Ke...nak lari?” soalnya tiba-tiba. Aku dan Nini berpandangan cemas. Dia tolak semula kerusi tempat duduk hadapan yang menjadi benteng agar kami tidak dapat membolosi pintu keluar.

“Heyyy!! !Tolonglah!” aku dah menjerit geram bila dia mula memasukkan gear. Dia tertawa hingar.

“Kau ingat aku siapa? Akulah Tengku Khairudin!! Hahaha...” macam orang gila dia sedang ketawa sambil menekan minyak untuk melajukan kereta. Aku dah berpelukan dengan Nini. Huuu...nasib akulah kena tipu macam ni! Allah....Nini sudah menangis ketakutan. Aku dah tak tahu nak buat apa. Kereta sudah mula berjalan. Nak terjun dari kereta, pintu pula tak ada! Agaknya itu sebab dia guna kereta Satria GTI ni. Supaya mangsanya tak boleh lepas lagi. Waktu tu, aku dah terbayang wajah ayah dan mak tiri aku yang bakal menangis.

Ssrreeettttttt!!!! Sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu tiba-tiba memintas kereta Satria GTI yang kami naiki. Terhinggut ke depan sejenak kami bertiga di dalam kereta.

“Lahabau!!!” lelaki gila itu menghentak stereng keretanya. Dia sudah dipintas dan kini tidak dapat berjalan ke depan lagi. Seorang lelaki keluar dari perut kereta Proton Waja itu dari tempat duduk sebelah pemandu. Mataku terpaku melihat sosok tubuh itu. Firdaus???

Belum sempat lelaki gila itu memasukkan gear reverse, Firdaus sudah datang ke arah kereta lalu membuka pintu kereta yang tidak berkunci itu. Mujur tak berkunci!

“Suruh budak-budak perempuan tu keluar!” arah Firdaus garang.

“Kau siapa? “ soal lelaki gila itu dengan marah. Dia memandang tajam ke wajah Firdaus. Gaya macam nak pukul orang. Tapi bila melihat seorang lelaki lagi keluar dari tempat duduk pemandu Proton Waja itu, dia kecut perut. Wajahnya bertukar pucat.

“Aku ni abang diorang!” balas Firdaus tegas tanpa menoleh ke wajah lelaki gila tadi. Firdaus membaringkan kerusi tempat duduk hadapan. Sekaligus membolehkan aku dan Nini meloloskan diri untuk keluar. Aku tak tunggu lama. Cepat-cepat kutarik tangan Nini untuk keluar dari kereta itu. Beg tangan kuambil segera.

Sebaik kami keluar, terus Firdaus membukakan pintu kereta Proton Waja di bahagian tempat duduk belakang kepada kami. “Masuk!” arahnya tegas. Aku macam kucing penakut ,terus masuk bersama Nini. Lelaki itu hanya memandang kami dengan mulut yang ternganga.

Firdaus dan rakannya terus masuk ke dalam kereta. Gear kereta dimasukkan dan kereta Proton Waja itu terus meluncur laju membuat pusingan U di hadapan. Aku mengintai dari cermin kereta. Wajah Firdaus tegang. Nun di tepi jalan, kereta Satria GTI milik ‘Tengku Khairudin’ yang kaya raya masih tersadai di bahu jalan.  Adios!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany