Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,452
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

ADAT ORANG makan gaji agaknya, bila tengah bulan saja...memang poket dan dompet pun kering. Tambahan pula jika gaji tidak mencukupi untuk menampung keperluan sehari-hari. Aku dapat perhatikan pola perbelanjaan orang-orang yang tinggal di sekitar kawasan asrama kilang ini. Jika di hujung bulan dan awal bulan, kedai-kedai makan penuh pada waktu malam. Kedai runcit juga sesak bila hari petang dengan suri rumah yang sibuk membeli barang keperluan dapur untuk memasak.

Tapi bila tiba pertengahan bulan, kedai makan jadi suram. Pelanggan boleh dikira dengan jari tangan sahaja. Kedai runcit pula, jam 8 malam sudah surut sibuknya. Aku ada pelan perbelanjaan aku sendiri. Orang bujang macam aku ni, memang kena berkira sikit soal duit. Yang penting, aku kena menyimpan sedikit sebanyak dari sebahagian gaji aku. Manalah tahu, esok-esok aku susah.

Firdaus lain pula halnya. Aku tengok dia macam tak ada masalah duit saja. Sedang orang bujang lain waktu begini makan ala kadar, dia masih makan nasi kandar dengan air buah yang mahal harganya. Sampai RM5 segelas! Bagi aku, kalau minum air kat kedai sampai RM5 segelas...itu kira mahallah. Tak kiralah air apa pun... Sebab bagi aku RM5 tu, kita boleh dapat nasi lemak sebungkus. Tapi dia makan tanpa berkira waktu memesan makanan di kedai mamak tadi.

“Gaji kau berapa sebenarnya?” bila dah terlampau rapat berkawan dengan Firdaus, aku jadi tak malu nak bersembang soal gaji dengannya. Lagipun, sepanjang 2 bulan aku kerja kat sini, aku rasa dia manusia baik yang aku boleh percaya. Dia mengangkat wajahnya yang sedang tekun makan dan memandang aku hairan.

“Apasal kau tanya?” soal Firdaus ganjil.

“Taklah...aku tak pernah tengok kau mengeluh tak ada duit...” kataku. Sedang aku sendiri,memang berkira akan setiap sen yang aku belanja. Itulah hakikat sebenar kehidupan orang macam aku. Dia senyum sumbing.

“Tak payah tanyalah...” getusnya. Aku mencebik. Malam itu aku cuma pesan nasi lemak berlaukkan telur mata dan air sirap. Tapi tiba-tiba Firdaus tambah ayam goreng berempah dalam nasi lemak aku. Katanya, dia belanja. Aku diam saja. Kalau ikutkan hati aku, aku nak makan meggi saja di asrama. Tapi, Firdaus yang beria-ia mengajak aku keluar makan.

“Room mate kau tak memasak?” soalku lagi. Kadang-kadang, aku ada dengar rakan serumah dengannya yang selalu masak dan makan ramai-ramai. Kelakar pula bila dengar orang lelaki bujang memasak. Dia geleng.

“Tak...malam ni diorang tak ada di rumah...” balas Firdaus. Aku terangguk-angguk. Sekilas lalu, ingatanku teringatkan sesuatu. Dahiku berkerut.

“Daus...”aku membetulkan duduk yang kurasa kurang selesa. Lantas Firdaus memandang ke arahku. Dia menjungkit keningnya bagai bertanya ‘kenapa?’. Aku senyum tawar.

“Aku rasa...aku nak tukar kerjalah...”

“Uhukkk!!!” Firdaus tersedak lalu dengan pantas dia menghirup air Ribena laici yang ada di depannya. Aku melongo memandangnya.

“Kau okey ke?” soalku cemas. Dia pantas mengangguk. Letak kembali air di meja. Dia pandang mukaku.

“Kau nak tukar kerja? Kau baru je 2 bulan kerja kat sini! Dah nak tukar kerja lain? Kau memang suka lompat-lompat tempat kerja eh?” soalnya bertalu-talu. Aku menelan air liur pekat sambil menggaru pehaku yang tidak gatal. Resah.

“Tak adalah...aku dah fikir masak-masak hal ni...” keluhku.

“Hal apa?” soalnya garang. Dia sudah berhenti makan dan memusatkan tumpuannya terhadap perbincangan kami.

“Ala...tentang nak cari Prince Charming aku tu...”keluhku. Terjungkit keningnya memandangku.

Then?” dia minta aku menyambung peneranganku. Aku pun dalam rasa serba salah terpaksa bercerita.

“Aku rasa...cakap kau betul. Kalau aku nak cari lelaki kaya...hensem..aku kenalah cari kat tempat yang betul. Sekarang ni, aku cuma seorang pekerja kilang. Siang malam aku asyik jumpa orang yang kerja kilang saja. Peluang untuk aku jumpa orang yang hebat-hebat memang takkan ada. Kalau nak mengharapkan keajaiban untuk aku  terjumpa dengan orang hebat kat sini...aku rasa peluang tu tipis dan aku tak nak menunggu lagi. Jadi...itu sebabnya aku fikir...aku kena tukar kerja...” aku bersuara perlahan dan lambat-lambat. Dia kelihatan diam tak berkutik.

“Kerja apa kau nak buat?” soal Firdaus lirih dengan redup matanya yang tunak merenungku. Aku mengetap bibir, kemudian bersuara.

“Aku ingat...aku nak cuba minta kerja kat hotel 5 bintang. Kerja macam penyambut tetamu ke...adik aku kata, aku ada peluang untuk kerja jadi penyambut tetamu kat meja receptionist sebab aku lawa!” hihiii...boleh blah tak ayat aku? Macam ayat perasan kan? Tapi Firdaus kulihat diam. Dia seperti berfikir.

Dia mendengus resah. Air di meja dihirup hingga habis. Srpppp..srppp...bunyi air dalam straw yang sudah habis tapi masih dihirup lagi. Aku hanya memandang tindak tanduknya dengan diam. Sebenarnya aku cuba mencerna pemikirannya. Apakah dia marah atau dia suka dengan keputusan yang aku buat itu. Tapi wajahnya sukar dibaca. Fikirannya susah hendak diteka.

“Hmmm...okey jugak tu...” dia bersandar malas ke kerusi makan. Mataku bersinar mendengar kata-katanya. Dia menyokong aku?

“Bila kau nak berhenti kerja?” soalnya malas. Dia menyilangkan kedua belah tangannya ke dada. Berpeluk tubuh sekaligus menampakkan lengannya yang sasa. Ada bulu-bulu halus di lengannya. Sempat pulak aku tilik bulu di lengan Firdaus!

“Aku ingat nak minta cuti Jumaat ni. Adik aku beritahu ada open interview kat Hotel Premier Jumaat nanti. So aku nak try pergi minta... Manalah tahu kalau-kalau dapat... Lagipun hotel tu dekat sikit dengan rumah aku. Naik satu bas je pergi kerja...” ujarku penuh harap.

Firdaus terdiam, kemudian mengangguk perlahan. Dia menghela nafas lemah.

Well...good luck!” itu saja katanya sebelum dia bangun membayar harga makanan kami malam itu. Dia kemudian menghantar aku pulang hingga ke pagar asrama dan dia terus pulang tanpa kata. Langsung tidak toleh belakang untuk melihatku seperti selalu. Merenung kelibat tubuhnya yang kian hilang ditelan malam, aku diterpa rasa bersalah. Tapi kenapa? Kuhela nafas berat, lalu perlahan-lahan kuatur jalan pulang ke bilikku di tingkat dua.





SEJAK dari hari itu, kulihat Firdaus lebih suka berdiam diri. Dia memang nampak pendiam dari luaran. Tapi bila aku bersamanya dan dia memilih untuk diam, aku terasa begitu asing. Aku cuba buat lawak sedas dua...tapi tak jalan!  Dia cuma senyum segaris. Langsung dia tak ketawa. Aku sudah lelah nak berfikir tentang dia. Ada baiknya aku abaikan saja apa yang berlaku antara kami. Kalau dia memilih untuk diam atau apa saja perangai, itu hak dia. Lantaklah! Ada aku kisah?

Yang aku tahu, cuti aku Mrs. Chew sudahpun meluluskannya. Bukan senang tahu nak minta cuti sehari setengah pun. Itupun aku ambil cuti tanpa gaji. Aku belum ada cuti tahunan memandangkan aku baru saja kerja di kilang itu. Jadi, selepas aku habis kerja petang nanti, aku akan terus pulang ke rumah. Ayah aku dah beritahu yang dia akan mengambil aku dari tempat kerja. Kata ayah, dia ada menghantar barang sekitar Subang Jaya. Jadi,selepas dia selesai kerja, dia akan terus datang mengambil aku. Alhamdulillah. Tak payah aku susah-susah naik bas angkut-angkut. Jimat duit aku juga. Tak payah keluar duit tambang bas.

Bila petang menjelang, aku tidak menunggu Firdaus untuk pulang. Aku terus keluar seorang diri dan tergesa-gesa  menuju ke pintu pagar. Selepas aku mengetip Punch Card milikku, terus kucari bayang lori ayah. Bibirku mengukir senyum bila aku melihat sebuah lori 7 tan sudah tersadai di bahu jalan. Tanpa lengah, aku melintas jalan dan terus mendapatkan ayah.

“Ayah!!!” laungku sebaik aku sampai padanya. Lori yang tinggi terus kupanjat tanpa kekok .Aku anak pemandu lori. Panjat lori ni, dah lali bagi aku. Dulu, masa aku kecil-kecil ayah tak benarkan aku memanjat lorinya juga. Takut jatuh katanya.Tapi aku yang agak ‘tomboy’ ni panjat juga. Adalah sekali dua aku jatuh sampai lututku berdarah. Tapi, aku panjat sekali lagi.

“Beg?”soal ayah.

“Tak payah... Baju dah ada kat rumah..” kataku. Ayah angguk lalu menghidupkan enjin lorinya. Ngengg...ngengg....bruuummm...menderum bunyi lori ayah, sekaligus memancing perhatian pekerja-pekerja kilangku yang siap sedia untuk menerpa ke arah bas kilang yang baru tiba.

Aku sudah duduk dengan selesa di sisi ayah. Aku lemparkan pandangan ke arah kilang. Dari jauh, kulihat Firdaus sedang berpeluk tubuh seorang diri menunggu bas. Dia tidak berjalan bersama kawannya. Dia tunduk merenung jalan. Aku terdiam sambil merenung Firdaus dari jauh. Lori ayah sudah mula bergerak. Perlahan-lahan kami mula meninggalkan kawasan kilang itu. Makin jauh lori itu pergi, makin pilu rasa hati aku. Aku kerling ke arah bas kilang yang dikerumuni orang. Firdaus ikut sama. Barangkali, ada baiknya jika aku pindah kerja. Tak payahlah aku menyusahkan Firdaus yang terpaksa berjalan kaki denganku semata-mata  nak pastikan aku tak kena kacau dengan mat-mat kilang yang lain. Aku rasa firasatku tepat. Lori ayah sudah jauh meninggalkan kilang.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany