Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,427
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

MENGHAYUN LANGKAH dengan perasaan sebal dan serba salah begitu menyakitkan. Firdaus berjalan di hadapanku. Sejak peristiwa aku hampir-hampir diculik semalam, aku dah tak tahu nak letak mana muka aku ni. Lebih-lebih lagi bila berdepan dengan Firdaus.

Selepas dia ‘merampas’ aku dan Nini dari kereta Satria GTI itu, dia dan kawannya terus menghantar Nini pulang ke rumah. Tapi tidaklah betul-betul depan rumah sebab aku dan Nini minta mereka hantar di tepi jalan besar saja. Selepas itu, Nini akan jalan kaki sendiri hingga sampai ke rumah. Jalan besar itu taklah jauh sangat. Bahaya kalau berhenti depan-depan rumah. Apa pula kata mak tiri dan ayah aku nanti kalau mereka lihat aku dan Nini naik kereta orang yang tak dikenali. Cerita kami akan terbongkar dan panjang pula soal siasatnya nanti. Elok-elok aku dan Nini boleh jalan-jalan bebas, mahu kami kena perintah berkurung kalau mak tiri dan ayah aku tahu hal ini.

Firdaus dan rakannya bagai memahami. Mereka pun hantar Nini sampai ke tepi jalan besar saja. Lepas itu, terus mereka hantar aku pulang ke asrama pula. Sepatah katapun Firdaus tak bersembang dengan aku. Dia lebih banyak berbual dengan rakannya yang tekun memandu. Aku pula duduk diam di kerusi belakang menjeruk rasa. Walaubagaimana pun aku rasa segan dan bersalah, aku rasa aku patut ucapkan terima kasih pada dia sebab selamatkan aku semalam. Kalau tidak kerana tindakan ala-ala Superman dia tu, entah-entah aku dan Nini dah err....dot..dot...dot...

“Daus...aku minta maaf...” laungku. Firdaus menoleh ke tepi. Ke arahku. Dia berjalan sambil menyeluk tangannya ke dalam saku baju sejuknya yang dipakainya di luar uniform kilang.

“Hmm..”itu saja dia balas. Aku ketap bibir.

“Aku minta maaf sebab tak dengar cakap kau sebelum ni....dan, terima kasihlah sebab kau tolong aku dan adik aku semalam...” tambah aku lagi.

“Okey..” itu aje. Aku menghembus nafas lemah. Aku masih memandangnya sekali-sekala silih berganti dengan jalan di depanku.

“Aku tak sangka pula boleh ada orang yang menyamar guna maklumat peribadi orang lain..” aku masih rasa bersalah.

“Zaman teknologi ni, tak ada apa yang mustahil...” barulah dia bersuara panjang. Aku diam.

“Tapi...macam mana kau boleh ada kat situ waktu tu? On time pulak tu...” soalku hairan. Semalam pun aku dah berfikir juga. Barangkali dia ikut aku dari awal tak? Manalah tahu kan....

“Kebetulan aje aku lalu kat situ..aku nampak kau naik kereta tu...” kata Firdaus. Aku merenungnya penuh curiga.

“Iye ke? Mana boleh ada kebetulan macam tu... Kebetulannya!” takkan dia boleh ‘ter’ikut aku dari Klang sampai ke Lebuhraya KESAS? Kebetulan? Macam tak logik...Dia diam sejenak. Kami masih berjalan dan sudah tiba masa untuk melintas jalan. Dia melihat ke kiri dan ke kanan. Ada van. Lalu kami berhenti sejenak. Aku berdiri betul-betul di sebelahnya. Aku pandang wajahnya yang berkerut.

“Kau ikut aku kan?” soalku sekadar menduga. Zuuummmm....van lalu dengan laju di depan kami.

Line clear! Jom!” arahnya lalu kami berlari sama-sama melintasi jalan. Nafas jadi semput. Aku masih menanti kata-katanya. Tapi dia diam saja. Tidak menjawab.

“Daus...”panggilku lagi. Bila nak bagi jawapan ni? Kali ini aku sudah mendahului langkahnya dan memandangnya dari depan. Aku berjalan mengundur.

“Kan? Kau ikut aku kan?” soalku lagi. Dia meraup mukanya kemudian memandang aku.

“Okey. Ye...betul, aku ikut kau dari mula... Aku cuma nak pastikan kau selamat je. Lagipun, sejak dari mula lagi aku dah tak sedap hati dengan projek kau ni...”marah Firdaus. Aku melonjak riang.

“Haa..kan aku dah kata! Kau ni memang sahabat sejati lah!” aku tersengih-sengih memandangnya sambil berjalan seperti biasa. Tak mengundur lagi. Dia hela nafas berat.

“Aku tak sangka pula kau nekad sampai macam ni sekali semata-mata nak cari lelaki kaya... Waktu lelaki tu datang jemput kau dengan kereta tu pun sebenarnya kau sepatutnya dah boleh agak...” keluh Firdaus lagi. Bangunan kilang sudah ada di depan mata kami. Kami berjalan menuju ke pintu pagar untuk mengetip Punch Card.

“Aku dah agak sebenarnya. Tapi...entahlah...aku naik juga kereta tu sebab aku teringin juga nak jumpa Tengku tu...alih-alih...hmmhh...” aku menghembus nafas geram sambil tanganku memasukkan Punch Card ke dalam mesin. Ketip! Bunyinya. Lalu aku angkat semula Punch Card dan kuletak kembali ke tempat asalnya.

“Kalau kau nak cari lelaki kaya...kau sepatutnya cari kat tempat yang betul...” rungut Firdaus sambil menyimpan Punch Cardnya ke tempat simpanan di dinding bangunan. Kemudian kami sama-sama berjalan menuju ke seksyen kami.

“Tempat yang betul? Contoh?” soalku ingin tahu. Firdaus memandangku dengan tajam.

“Kau masih ada hati nak cari lelaki kaya ke?” soalnya hairan. Aku agak dia sudah ingat aku serik dengan peristiwa semalam. Laju aku angguk.

“Mestilah! Kalau aku gagal dengan cara ni, aku kena try cara lain...Usaha tangga kejayaan kan?” aku menjungkit kening ke arahnya sambil tersenyum.

“Oh mak.....” keluhnya sambil mengggaru kepala yang berserabut. Geram. Aku ketawa lagi.

“Kau ni memang gilalah!” itu saja kata-katanya yang terakhir sebelum kami berpisah dan duduk di tempat kerja masing-masing.





“LELAKI idaman kau memang ada satu syarat saja ke? Kaya?” soal Firdaus sewaktu makan tengahari di kantin. Di bawah pokok yang sama. Angin dingin yang bertiup mengelus lembut wajah kami berdua.

“Taklah...ada 4 syarat!” balasku.

“4??? Apa lagi 3?” soal Firdaus yang hampir tersedak. Aku tersengih sambil membuka mulutku luas-luas. Burger yang dilapisi 2 keping daging dengan timbunan sayur kugigit dengan rakus. Ada mayonis yang tercicir di tepi bibirku lalu cepat-cepat kukesat dengan sapu tangan. Firdaus masih memandang aku. Hmm...aku makan pun dia tengok? Lantak kaulah!

“Hensem!” kataku pendek dengan mulut yang penuh.

“Lagi2?” soalnya pula. Sesekali dia menyumbat nasi ke mulut. Satu perkara tentang Firdaus yang kuperhatikan ialah, bila waktu makan tengahari, dia mesti nak makan nasi. Tak kiralah lauk apa. Yang penting dia nak makan nasi juga pada waktu tengahari. Kalau waktu makan malam, dia kulihat boleh bedal apa saja.

“Muda...Tak nak yang tua...” sambungku.

“Okey...aku pun muda. Yang terakhir?” soalnya.

“Beriman..........” panjang sebutan aku. Dia tersengih. Kemudian menggeleng.

“Kau optimis yang lelaki macam tu wujud dalam dunia ni?” soalnya lagi. Masih berkisar tentang lelaki idaman aku. Eh..apa yang penting sangat cirri-ciri lelaki idaman aku pada dia? Sampaikan setiap hari asyik nak bercerita tentang hal yang sama? Cubalah ajak bersembang pasal Kak Bedah yang kena tangkap khalwat dengan pekerja dari Nepal kilang sebelah!

“Kita memang tak boleh tukar tajuk bila bersembang ye?” soalku pula padanya dalam nada menyindir. Dia mendengus.

“Bukanlah tak ada. Cuma...” kata-katanya mati sejenak. Dia menghirup air dengan straw. Kemudian menyambung kembali kata-katanya.

“Aku cuma nak tolong kau cari lelaki idaman kau tu...” perlahan nada suaranya. Aku mengelap bibir yang kotor dicemari sos burger.

“Okey...tadi, kau kata kena cari lelaki kaya kat tempat yang betul. Apa contoh tempat yang betul?” soalku tepat memandang wajahnya sambil mengunyah. Dia menghela nafas. Berfikir sejenak, kemudian memandang aku.

“Hotel 5 bintang...kelab lumba kuda...mmm...kat mana lagi...haa...kat restoran-restoran mahal yang selalunya cuma ada kat hotel besar-besar...” saran Firdaus. Aku termenung sejenak. Mataku terkebil-kebil. Ada banyak perkara yang berlumba-lumba membenam mindaku. Aku memasukkan cebisan burger yang terakhir ke dalam mulut. Aku kunyah lambat-lambat dengan fikiran yang sarat. Kata-kata Firdaus masuk akal!




MALAM itu aku telefon Nini dan kuberitahu tentang cadangan Firdaus. Nini menyokong tanpa bantahan sedikit pun.

“Betul! Masuk akal idea dia! Yelah...kau kerja kilang, takkan kau nak harap jumpa orang kaya dalam kilang pula kan? Kita tak berada dalam komuniti yang betul.... Aku sokong cakap abang Firdaus tu...” kata Nini di hujung talian. Aku angguk meskipun kutahu Nini memang takkan nampak reaksi aku.

“Tulah! Macam mana nak jumpa lelaki kaya kalau aku asyik berlegar dalam komuniti yang sama sejak aku lahir...kan?” kuulang semula cakap dia.

“Habis tu...macam mana sekarang? “ soalnya.

“Kau rasa?” soalku kembali. Tak ada idea.

“Kau jangan kak...idea aku sebelum ni hampir-hampir musnahkan kita. Kau masih nak percaya cakap aku ke?” Nini dah rasa lemah semangat dengan pendapatnya sendiri. Aku menghembus nafas lemah.

“Habis tu...” panjang muncung mulut kutarik. Ada nada merajuk.

“Lu fikirlah sendiri!” tagline Nabil Ahmad, pengacara dan pelawak terkenal negara itu ditirunya. Aku terdiam sekejap. Bagaimana sekarang?

“Susah-susah sangat nak cari Prince Charming kau...baik kau mengurat abang Firdaus tu. Dia tu hensem apa...muda...tapi kalau bab beriman tu, aku tak tahulah pula...Tapi tengok muka dia...ada tokoh jadi tok lebai...” usik Nini tiba-tiba.

“Hepppp!!! Mana aku boleh give-up cepat sangat!” marahku. Ada ke patut Nini suruh aku mengurat Firdaus? Tolonglah beb!

“Ikut kaulah... Jangan sampai bila dah putus asa, baru kau nak cari orang lain, waktu tu dah tak bermakna...” ujar Nini. Hmm...boleh tahan otak budak ni berfikir. Aku menarik nafas dalam-dalam.

“Aku tahu kerja ni susah Nini. Tapi aku masih berpegang pada harapan dan impian aku. Aku rasa, tak salah aku mencuba untuk mencapai impian aku selagi aku mampu berusaha. Samada impian aku bakal tercapai atau tidak, aku serah pada Tuhan. Biar dia yang tentukan...aku minta kau tolong doakan aku saja...okey...” ujarku lirih.

“Aku selalu doakan kau...” Nini memberi jaminan sekali lagi. Dari jauh, aku tahu dia sedang tersenyum. Hidup ini memang bukan indah mana bagi orang susah macam aku. Hari-hari berputar dengan perkara yang sama. Adakala, ujian yang menimpa membuatkan hidup aku jadi bergolak sedikit. Sampan kehidupanku teroleng di tengah laut cabaran. Tapi aku pasrah dan yakin dengan ketentuan Tuhan. Aku tahu, kita sudah ada takdir sendiri dalam hidup. Tapi, untuk kesekian kali dalam hidup, aku merasa mahu keluar dari kepompong hidupku yang biasa.

Jadi,aku telah memasang impian. Jika hidupku selama ini telah tersurat kerana ia adalah pemberian Tuhan, kali ini aku telah memilih untuk mencorak kehidupanku pada masa depan. Aku mahu masa depan yang lebih bersinar. Untuk itu, aku harus membuat pilihan yang tepat untuk mencari lelaki terbaik untuk kukahwini. Bercinta memberi maksud membuat pilihan untuk masa depan. Jadi aku telah menetapkan syarat untuk lelaki yang bakal kucintai. Aku mencari lelaki yang kaya, hensem, muda dan beriman! Adakah kau seorang lelaki? Ada ciri-ciri yang macam aku nak? Kalau ada, call aku!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany