Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,451
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

TAK BANYAK yang dapat aku ceritakan sepanjang minggu-minggu terakhir aku bekerja di kilang ini. Segalanya bagai mawar pudar warna. Bagai pantai tanpa ombak. Bagai sangkar yang kosong tanpa burung di dalamnya. Semuanya tawar. Sedangkan di awal kerja dahulu, hidupku tak pernah sunyi. Setiap hari, diariku terlakar dengan pelbagai kerenah manusia yang mencuit hatiku.

Tiada lagi keseronokan bekerja. Tiada lagi indahnya berbual sesama pekerja lain. Paling nyata dan terang, persahabatan aku dan Firdaus seakan hilang manisnya. Sikap dingin Firdaus seakan menghukum aku. Puas aku korek rahsia hatinya. Barangkali dia marah dengan keputusan aku. Tapi dia menafikannya. Bahkan katanya, dia gembira aku bakal berjumpa dengan lelaki yang aku cari. Dia gembira kerana impian aku sudah nampak sinar cahaya nyata. Aneh, aku seakan tidak mahu percaya kata-katanya.

Tapi kusimpan perasaan anehku itu dalam hati. Bila berdepan dengan Firdaus, aku masih berlagak selamba. Bahkan aku buat riak ceria tanda aku tak sabar nak berhenti kerja. Hari ini hari terakhir aku kerja di sini. Tak siapa pun yang tahu aku nak berhenti kerja kecuali Firdaus. Dia pandai menutup rahsia. Ini satu sebab mengapa aku suka berkawan dengannya. Dia memang tak suka bercerita hal kami pada orang lain hatta kawan-kawannya pun.

Ayah dah berpesan agar aku menunggu di pagar asrama petang nanti. Dia akan datang mengambil aku selepas kerjanya habis. Mungkin lambat sikit kata ayah. Aku tak kisah pun. Lambat pun tak apa. Boleh aku duduk lama-lama depan pagar ni dengan Firdaus. Aku dan Firdaus masih berdiri di tepi pagar asrama menantikan ayah aku. Kupandang wajahnya sekilas lalu di tepiku.

“Nanti bila senang-senang, kita jumpa ya..” kataku. Dia tersenyum tawar.

“Masa bila nak jumpa...Kerja hotel bukan macam kerja kilang. Ada cuti yang memang dah fix. Kerja hotel , cutinya tak menentu...”ujar Firdaus perlahan. Ada riak kecewa di wajah kami sebaik terdengar kata-katanya. Kuakui, itu memang betul. Kerja hotel, cuti memang tak tentu.Ikut jadual.

“Tapi kita masih boleh sembang dalam telefon. Calll ah aku kalau kau teringat kat aku...” kataku pula. Dia tersenyum, dan menarik nafas panjang. Kemudian dia mengangguk. Tanda dia akan hubungi aku suatu hari nanti. Kami terdiam sejenak. Penat berdiri agaknya, dia duduk bercangkung di tepi pagar. Aku masih lagi berdiri. Takut ayahku tak nampak aku pula yang sedang menunggunya nanti.

“Tak apa ke aku tunggu dengan kau kat sini? Nanti kalau ayah kau nampak, dia tak marah ke?” soal Firdaus gusar. Aku tunduk memandang wajahnya. Mata kami berlaga. Aku mengukir senyum manis.

“Tak apa. Nanti aku kenalkan kau dengan ayah aku...” jawapku. Firdaus kulihat mengangguk.

“Kau takut ke nak jumpa ayah aku?” soalku sekadar menduga. Atau lebih tepat aku saja nak usik dia. Tersengih dia sekejap.

“Nak takut apa...” keluhnya perlahan. Usai dia berkata begitu, aku nampak lori ayahku sudah hampir ke arah kami.

“Ayah aku dah sampai...” dengan lekas aku beritahu dia.

“Mana?”pantas dia bangun lalu meliarkan pandangan ke arah jalan.

“Tu...lori tu...” lori ayahku sudah perlahan-lahan berhenti di tepi kami. Ayah turun dari lori lalu terus menghampiri kami. Firdaus segera menghampiri ayah dan menghulur tangan untuk bersalam.

“Assalamualaikum, pak cik...” penuh hormat dia mencium tangan ayahku sewaktu mereka berbalas salam.

“”Waalaikumsalam.. Boyfriend kamu ke Lily?”sengaja ayah mengusik waktu itu. Merah padam muka Firdaus saat itu. Kami tergelak.

“Hisy...mana ada ayah! Ni kawan Lily. Nama dia Firdaus..” ujarku memperkenalkan Firdaus kepada ayah. Ayah ketawa lucu.

“Ayah ingat boyfriend tadi....haa..orang mana?” soal ayah pada Firdaus. Firdaus tersenyum lebar.

“Saya asal Kedah pak cik..” nampak benar wajahnya yang tersipu-sipu malu dengan ayahku.

“Ooo...oghang Kedah! Hang tak balik Kedah ka?” soal ayah berseloroh. Aku malas nak melihat mereka berbual, lalu kuangkat beg bajuku yang satu itu lalu terus kusumbat ke dalam lori ayah. Ayah masih berbual dengan Firdaus. Ayah memang macam tu. Dia mudah mesra dengan orang. Aku kembali semula kepada mereka.

“Nanti senang-senang pi lah rumah pak cik...tak jauh aih...Sungai Udang ja...” pelawa ayah dalam loghat utara. Firdaus angguk laju.

“In sha Allah pak cik,” dia tersenyum manis. Dah lama aku tak nampak senyuman seperti itu di wajahnya. Sejak kami berbincang tentang hal pertukaran kerja aku. Tanpa sedar aku merenungnya bahagia.

“Haa...dah boleh pergi dah? Ke ada benda yang lain tertinggal?” soal ayah sekaligus menyentakkan lamunan aku. Mujurlah mereka tak perasan aku dok perhati senyuman Firdaus. Cepat-cepat ku kalih pandangan.

“Hah..dah! Jom...” kataku laju. Ayah bersalaman lagi dengan Firdaus. “Jumpa lagi noo...” kata ayah lalu Firdaus tergelak. Ayah ni...pandai-pandai pula melawak dalam loghat utara. Selepas itu, aku dan ayah terus naik ke lori. Itu saat terakhir aku lihat wajah Firdaus. Saat itu juga,aku mula terasa bagai ada sesuatu yang tertinggal di situ. Bersama Firdaus.




AGAKNYA Firdaus jenuh menjawab dengan semua orang sekarang. Pasti dia diasak pelbagai pertanyaan dari orang sekelilingnya tentang hal aku. Ke mana hilangnya aku.Kenapa pergi tak beritahu? Supervisor kilangku mesti membebel panjang kerana sekali lagi tempat kerjaku kosong tanpa pengganti. Aku sudah rasa serba salah. Semalaman, aku tidak dapat tidur. Puas kupejam mata, bayang kilang, bayang Firdaus menjelma juga. Payahlah jika begini.

Masuk hari ke dua aku di rumah, aku bagai orang sasau. Aku asyik berkurung dalam bilik.Nini membebel pada aku bila tengok aku asyik dengar walkman dengan earphone sehari suntuk. Aku macam dah tak minat nak merewang depan halaman rumah atau merayap mencari makanan dalam peti ais. Bila Nini pergi kerja, suasana bilik jadi lagi senyap sunyi. Ayah juga pergi kerja. Kali ini ayah terpaksa pergi menghantar barang ke Johor. Mak tiri aku ikut kali ini. Jadi tinggallah aku dan Nini saja di rumah. Esok malam baru mak tiri dan ayah aku balik dari Johor.

Aku tahu sangat...kalau ayah ke Johor, mak tiri aku mesti nak ajak ayah aku pergi singgah di Ayer Hitam. Di situ, ada jual banyak kerepek dan barangan seramik yang mak tiri aku suka. Lagi-lagi pula, ayah baru dapat gaji. Apalagi, mak tiri aku pasti mengajak ayah aku membeli-belah di Ayer Hitam. Tengok sajalah bila mereka pulang nanti. Pasti ada pasu bunga baru yang mak tiri aku angkut balik.

Nini tak ada di rumah. Dia dah pergi kerja. Aku sudah mati akal. Rasa sepi seorang diri. Sepanjang hari aku terbaring di atas katil dengan earphone di telinga. Lagu-lagu jiwang karat tahun 80-an menjadi pilihan aku. Lagu ‘Ku Pendam Sebuah Duka’ nyanyian Dato’ Khatijah Ibrahim berdendang merdu dalam telingaku. Meskipun aku lahir dalam generasi lain, tapi bila masuk bab nak dengar lagu ni, aku lebih gemar memilih lagu-lagu lama. Lagu-lagu dari zaman 80-an, 90-an kerana bagi aku, lagu-lagunya lebih mempunyai jiwa. Liriknya pun penuh cerita. Bila digabungkan antara senikata dan melodinya, ia menjadi satu karya terbaik buat halwa telinga yang cukup untuk sampai ke hati dan menyentuh jiwa. Kalau ada orang nak gelak dengan pendapat aku ni, silakan. Aku tak kisah.

Sebenarnya,saat ini aku keliru. Meskipun aku dah berhenti kerja dan akan memulakan kerja baru minggu depan, tapi aku berperang dengan perasaan aku sendiri sekarang. Aku masih tertanya-tanya diriku sendiri. Apakah apa yang aku buat sekarang betul?Berolak-alik perasaan itu menujah benakku. Kadang-kadang aku rasa tindakan aku tepat. Aku perlu berani bertindak jika aku mahu impian aku menjadi nyata. Bila lagi aku mahu ambil langkah pertama dalam usaha mencari Prince Charming aku? Ini masanya!

Tetapi, mengapa ini masanya? Apa yang membuatkan aku terdorong untuk gigih merealisasikan angan-angan mat jenin aku? Mungkin betul kata Firdaus, aku ni dah terpengaruh dengan khayalan dongeng dari novel-novel yang aku baca dan drama tv yang aku tonton. Perempuan, macam budak kecil yang tak pernah membesar. Itu kata Ustaz Azhar Idrus. Sentiasa mahukan sesuatu yang indah-indah saja dalam hidupnya. Aiskrim...baju cantik...aksesori cantik...dari kecil hingga besar, tak pernah berubah pun. Aku juga tak terkecuali agaknya. Berangan nak kahwin lelaki yang kaya...hensem...muda dan beriman.

Mungkin betul juga kata Firdaus. Wujudkah lelaki seperti itu di dunia? Kalau ada yang kaya, tak semestinya dia hensem dan muda. Kalau ada yang hensem, tak semestinya dia kaya dan muda. Kalau ada yang muda, tak semestinya dia kaya dan hensem. Boleh jadi dia kaya, tapi tak hensem dan tua. Jadi, sanggupkah aku cari lelaki seperti yang aku mahu sampai ke tua?

Tapi aku dah ambil langkah berhenti kerja sekarang! Aku dah tak boleh berpatah balik! Aku dah tak boleh nak pergi minta kerja di kilang itu semula. Aku berhenti pun tanpa notis perletakan jawatan. Bagaimana aku nak mengadap muka-muka pekerja di situ? Supervisor aku tentunya pandang aku sampai juling matanya nanti. Hanya Firdaus yang aku rasa boleh beri aku kekuatan untuk berdepan dengan semua itu. Tapi, aku lagilah tak nak nampak kalah di depan mata Firdaus. Dia sudah tahu sebab aku tukar kerja. Paling tidak pun, aku mestilah berusaha sampai impian aku menampakkan hasil. Kalau tidak, malulah aku dengan Firdaus.

Baiklah...aku nekad sekarang. Aku akan teruskan pencarian aku. Aku takkan berhenti selagi aku tak temui lelaki kaya! Itu tekadku dengan nafas kembang kempis  yang keluar dari lubang hidungku.  

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany