Home Novel Cinta PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Fizziany
3/10/2017 23:56:05
42,453
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

PERMOHONAN ASRAMA aku diluluskan. Asrama kilang yang bakal aku huni terletak kira-kira 150 meter saja dari kawasan kilang. Ada 4 blok asrama yang berjiran dengan blok-blok asrama kilang lain. 2 blok asrama perempuan, 1 blok asrama lelaki dan 1 blok asrama untuk pekerja yang sudah berkahwin. 1 blok ada 8 tingkat. 1 tingkat ada 8 rumah. Satu rumah, ada 3 bilik yang boleh memuatkan maksima 4 orang satu bilik. Itu penerangan yang kudapat dari Mrs. Chew sewaktu mengisi borang permohonan asrama tadi.

Aku mengemas baju apa yang patut. Nini hanya memandangku dengan pandangan kosong.Dia tidak begitu setuju aku tinggal di asrama.

“Kau tak kisah ke kalau bercampur dengan budak-budak Indon?” soalnya. Dia tahu kilangku banyak pekerja kontrak yang berasal dari Indonesia. Aku pernah bercerita padanya.

“Okey apa...” kataku. Bahkan, kebanyakan pekerja-pekerja dari Indonesia, wajah mereka cantik-cantik. Kulit putih mulus dan badan mereka memang menggiurkan. Tambahan pula bila memakai uniform kilang yang berwarna biru muda itu. Lagi nampak cantik! Oleh sebab itulah, ramai pekerja lelaki tempatan yang berkahwin dengan pekerja dari seberang. Mereka pandai bersolek juga.

“Nanti kalau kau lapar?” soal Nini lagi. Aku memandangnya yang berwajah keruh.Tanganku sudah berhenti mengemas baju.

“Kau ni...macam aku tak reti memasak!” getusku. Nini hela nafas lemah. Aku memandang rak novel-novelku. Beberapa novel yang masih belum dibaca, aku bungkus masuk beg sekali. Bolehlah aku baca semasa di asrama nanti.

“Habis tu, aku nak borak dengan siapa?” soal Nini lagi. Kupandang wajahnya lirih.

“Tiap-tiap hari Sabtu, lepas kerja aku habis jam 12 tengahari tu, aku balik sini. Aku janji! “ ujarku. Nini diam sejenak. Kemudian bibirnya menguntum senyum perlahan-lahan. Dia angguk akhirnya.

“Boleh kita jalan-jalan kat bandar lagi...” katanya gembira. Aku angguk. Esok pagi,aku akan pergi kerja dengan beg baju yang akan kubawa terus ke asrama.





AKU tak faham betullah dengan lelaki ni! Aku tahu aku pekerja baru di situ. Tapi, tak bolehkah mata diorang ni fokus pada kerja mereka? Ada 5 orang lelaki dalam seksyen aku tu, yang asyik pandang-pandang aku 24 jam. Mulanya aku buat tak peduli. Mata diorang. Biarlah dia nak buat apa pun. Tapi kalau dah sampai aku menguap waktu buat kerja pun boleh jadi bahan untuk diorang mengusik aku, aku naik cuak juga.

Di depan aku, selang dua line ada seorang mamat dari Bangladesh. Kulitnya putih. Tak hitam-hitam manis macam Bangladesh lain. Rambutnya coklat gelap. Orangnya tinggi. Ada kumis nipis. Bila dia buka butang bajunya di bahagian atas, ternampaklah bulu dadanya yang penuh. Euwww...aku tak tahu nak definisikan itu sebagai apa. Seksi atau seksa?

Dia selalu pandang-pandang aku. Bila aku menguap, dia pun ajuk perbuatan aku. Ikut menguap sama. Aku diam ja. Malas nak layan. Kemudian, bila aku betulkan tudung aku yang senget sikit tu, dia kulihat pun terus pura-pura membetulkan tudung di mukanya padahal dia tak pakai tudung pun! Argghhh...aku geram! Aku buat tak peduli juga. Aku mengeliat, dia pun mengeliat juga! Hai...lawan tauke dia ni! Ikut hati, mahu saja aku luku kepala dia. Tapi aku tahu, lelaki ni, kalau dia dah buat perangai macam tu, kita jangan tunjuk reaksi marah atau geram kat dia.Nanti dia makin suka. Alah...lelaki ni kan..macam hantu. Makin kita takut,makin kuat diusiknya kita. Jadi aku buat bodoh..

Selang satu line depan aku, ada sorang mamat Melayu. Mukanya tiga segi. Rambut ala-ala Jimmy Lin. Pelakon terkenal Hong Kong yang berwajah babyface tu. Kalau Jimmy Lin tu, umur dah 40-an pun masih nampak macam muka budak sekolah menengah. Tapi, mamat ni yang kupanggil mamat tiga segi ni...mukanya agak berusia. tak tahulah berapa umurnya. Tapi rambutnya memang tak boleh blah....Memang macam Jimmy Lin betul!

Mamat tiga segi ni, sambil dia buat kerja, sambil matanya tengok aku. Kejap-kejap dia tengok aku. Mulanya aku ingat dia tengok akak Indonesia sebelah aku yang putih gebu ni. Akak tu tak pernah tegur aku. Dia kerja sebelah kiri aku. Kerja dia, check sound speaker samada alatan itu berfungsi atau tidak. Namun, bila kulihat dia mengenyit mata padaku sewaktu kakak Indonesia sebelah kiri aku ni pergi tandas, aku mula rasa tak best! Aku dah start jadi macam batu. Keras je bila dia pandang-pandang aku.

Tak cukup memandang dari jauh, bila setiap kali dia lalu depan aku samada dia nak pergi rehat atau pergi tandas, dia akan ketuk meja aku. Kononnya nak menyergah aku dan buat aku terperanjat. Tapi, sorrylah beb! Aku ni bukan jenis cepat terkejut! Jadi, aku pandang dia dengan muka toya saja. Terkebil-kebil. Dia pula, macam tak ada rasa malu,tersenyum-senyum sambil melangkah pergi.

Aku tunduk. Hmm...sambil-sambil buat kerja ni, sempat lagi aku dok fikir tentang lelaki-lelaki dalam seksyen aku ni! Tapi...lelaki pilihan aku pula macam mana?Aku renung dalam-dalam line yang sedang bergerak dengan kadar kelajuan biasa. Hari ini tak banyak sangat barang.

Lelaki pilihan aku? Aku melorek senyum di bibir. Tentulah aku nak cari lelaki yang sempurna! Ciri-ciri lelaki idaman aku ialah...

“Li!!! Tolong tangkap kejap!” suara garau Firdaus di sebelah kananku cepat-cepat mematikan angan-anganku. Cis! Bedebah! Dia kupandang dengan bibir yang kuketap geram. Dia panggil aku ‘Li’?? Dia ingat aku macam kawan lelaki dia ke?Ali...atau Hambali...atau Razali...maka boleh pula dipanggil dengan panggilan itu. Nama aku rasanya dah cukup pendek. Lily. Nak pendek lagi??

“Aku tak sempat tangkap! Banyak reject tu...” katanya lagi bila aku memandang tajam ke wajahnya. Aku segera lihat ke arah line di depanku. Ada beberapa speaker yang senget-benget penutupnya dan ada pula yang komponen bahagian dalamnya terkeluar. Tidak dipateri dengan betul. Kelam kabut aku menangkap satu persatu speaker yang kurasa tak melepasi piawaian itu. Tak payah ukur dah...tengok saja dah boleh tahu. Ini memang reject!





AKU tak tahu macam mana dia boleh selesa sangat memanggil aku ‘Li”. Bila aku nak balik ke asrama, dia tiba-tiba memanggil aku yang sedang berjalan menuju ke luar pagar seorang diri. Aku masih tiada kawan perempuan memandangkan jumlah pekerja perempuan dalam seksyen aku sangat minimum. Kalau ada pun, geng-geng akak Indonesia yang terang-terang sudah memangkah aku dari masuk geng mereka dan makcik yang selalu berkepit dengan suaminya tu.

Aku menoleh ke tepi. Ke arah parkir motorsikal. Dia menyurung motorsikalnya ke arah aku. Topi keledarnya tiada di kepala. Ada dalam bakul motorsikalnya.

“Kau naik bas ke?” soal Firdaus. Aku angguk. Ada perkhidmatan bas kilang yang akan datang mengangkut pekerja-pekerja kilang untuk pulang ke asrama walaupun jarak asrama dan kilang cuma beberapa kilometer saja. Tak sampai 1 kilometer pun.Cuma di seberang jalan sana. Waktu itu, suasana panas masih terasa meski jam sudah hampir jam enam petang. Firdaus kulihat berjalan bersamaku.

“Kau dah masuk hostel?” soalnya lagi. Dia dan aku sama-sama menunggu bas dan berkongsi kepadatan pekerja-pekerja yang sedang menunggu bersama mereka. Lelaki dan perempuan bercampur-baur. Ada resah yang mengigit tangkai hatiku bila melihat keadaan itu. Yalah...walaupun aku ni taklah baik sangat...tapi aku tak selesa sebenarnya kalau nak berebut-rebut naik bas dengan lelaki. Dah tu pula, paling tak tahan kalau terpaksa duduk dekat dengan pekerja lelaki dari negara asing. Bau masamnya mak ai....aku boleh pening seminggu! Tapi, macam aku mengutuklah pula kalau aku cakap macam tu. Tak baik kan?

Kalau aku fikir balik, logik jugalah badan mereka berbau masam. Sebab, mereka datang ke sini untuk kerja. Duit, bagi mereka sangat berharga. Setiap sen yang mereka dapat, akan disalurkan kepada keluarga di kampung. Jadi, soal nak wangi-wangi ni...adalah perkara terakhir yang akan mereka fikirkan. Bagi mereka, daripada membazir duit RM8.90 semata-mata nak beli deodorant,baiklah mereka guna duit tu untuk makan. Makan...makan...dan duit kiriman kepada keluarga. itu keutamaan mereka. Kita orang Malaysia yang tak pernah merasa susah sebegitu, memang trang tang tang akan kata...apalah sangat nak dikira dengan RM8.90 tu kalau nak dibandingkan dengan bau badan yang masam!

Hakikatnya, setiap manusia berbeza. Kita takkan dapat fahami situasi seseorang tanpa duduk di tempat orang itu sendiri dan merasa payah jerihnya. Jadi aku pun, tak usahlah nak mendabik dada  sangat! Itu pesanan aku buat diriku yang sering takbur dan riak ni...

Brummm...burmmm...eh.eh...punyalah aku berangan bab bau badan orang, tiba-tiba bas kilang berwarna biru dengan tulisan hitam itu sudah terpacak di depan mataku. Aku tak sempat nak buka langkah lagi, tiba-tiba kulihat pekerja-pekerja lain telah menghurung pintu bas. Bersesak-sesak dan bertolak-tolakan sesama sendiri. Ada yang nakal, memanjat tingkap dari arah belakang. Wah...dah macam Spiderman aku tengok!

Aku tak jadi naik bas bila kulihat keriuhan itu. Itu bukan satu panorama luarbiasa bagi aku yang dah lama kerja kilang ni. Tapi, aku tak sangka di sini lagi hebat situasinya. Mungkin kilang tempat aku bekerja sebelum ni cuma kilang kecil.Jadi aku tidak berpeluang menatap panorama ini. Kini, ia dah terbentang di hadapan mataku. Aku ketap gigi.

“Kau tak nak naik Li ? Bas dah nak jalan tu...” suara Firdaus sekali lagi mengingatkan aku bahawa dia ada di sebelah aku.

“Dah macam tin sardin tu...kau nak suruh aku naik juga?” soalku geram. Tak jadi nak naik bas, baikku jalan kaki saja pulang ke asrama. Dia tersengih sambil menolak motorsikalnya menyaingi langkahku. Aku memandangnya pelik.

“Kau ni kenapa? Motor kau habis minyak lagi ke?” soalku hairan.

“Taklah...”dia tersipu-sipu.

“Dah tu?” soalku pelik. Dia menyeringai sambil menjungkit bahu.

“Aku temankan kau tunggu bas je. Aku takut kat tak jumpa jalan balik...” katanya pula. Aku ternganga.

“Lawaknya kau ni. Asrama tu, dari sini pun nampak. Takkan aku boleh sesat...” gumamku pula lalu mula berjalan. Dia menolak motorsikalnya bersamaku.

“Jomlah...aku memang nak ajak kau balik sama pun sebenarnya” katanya berterus-terang. Payah juga kalau asyik berselindung ni...nampak macam bodoh saja. Aku pandang dia.

“Kau rasa aku nak naik ke motor dengan kau?” soalku hairan. Macam mana mamat ni boleh fikir yang aku akan sudi naik motor dengan dia? Dia menghela nafas berat. Memandangku dengan pandangan tajam, kemudian dia mengeluh.

“Ikut kaulah!” katanya lemah lalu segera menyarung topi keledar di kepalanya. Aku pula hanya memerhati tingkahnya. Bila dia siap memakai helmet, dia terus menghidupkan enjin motorsikalnya. Brengg.....brengg...kuat betul bunyi motorsikal Modenas itu.

“Aku balik dulu... Assalamualaikum!” katanya lalu terus memulas minyak. Berdesup motorsikalnya meninggalkan aku yang terkebil-kebil memandangnya yang kian hilang dari mata. Hmm...melepas....aku hela nafas lemah. Langkah kaki kuatur jua menuju jalan pulang ke asrama.

Previous: Bab 4
Next: Bab 5/1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fizziany