Home Novel Umum Ini Sebuah Cerita
(8)

“KAU naper, Danny?” Sam menegur hairan. Dia ke rumah Danny dengan alasan nak lepak, kemudian si kawan itu menariknya membeli barang keperluan rumah di kedai runcit ini. Tetapi sejak ulang-alik dari tadi, muka itu monyok sekali macam tak dapat berak dengan sempurna. Ya, dia sangat faham apa perasaannya berak keras setiap hari….

“Aqi tak balik rumah…”

Ler. Sam membuang teori mengarut di minda. “Aqi adik kau tu?”

“Ya…”

“Dia ke mana?”

“Mana la aku tau…” Rendah sekali nadanya membalas. Hampir-hampir kedengaran menggumam, bercakap dengan diri sendiri. Si rakan itu menjeling cuma. Setiap langkah Danny yang dah macam zombie setengah mati diekori. Sam tersenyum nipis. Tidak banyak yang dia tahu mengenai lelaki ini, tapi diam-diam, Sam sangat hormat rasa sayang Danny pada keluarganya, kerana Sam sendiri mengabaikan ibubapanya di kampung.

Danny mencapai tepung dadeh. “Aqi suka makan benda ni…” Bibir mengukir senyum nipis, teringat senyum lebar Aqi bila makan puding manis ini. Kadang-kadang Danny akan memasak kalau dia rajin. Tapi kebanyakan masa dia sangat malas, maka Aqi pergi beli sendiri di luar. Mana dia dapat duit pun Danny tak tau.

“Sayang benar kau kat adik kau…” ujar Sam, mencapai keropok dan diletakkan dalam bakul Danny.

“Adik aku kan…”

“Aku sebenarnya masih tak faham sebab sebenar kau ambik budak tu jadi adik angkat kau,” tuturnya, membuat Danny menoleh. “Aku ingatkan kau nak jaga dia sebab kau nak ‘makan’ dia nanti-nanti, atau pergunakan dia untuk kepentingan kau nanti-nanti… tapi macam tak je…”

Danny menoleh deras, lalu kolar rakannya itu dicekak dan ditarik deras. Sam terkejut, tertelan kata! Danny mencerun marah. Para pengguna di kedai runcit itu memandang mereka tak senang.

“Kau nak aku ‘makan’ kau dulu?” Penumbuk ditarik ke belakang kepala.

“Tak… terima kasih je.” Peluh dinginnya pecah. Danny ni bukannya boleh dibawa main. Dia tak rasa nak merasa penumbuk besi itu mengenai muka kacaknya. “Aku cuma fikir… mungkin sebab tu adik kau lari dari kau… Kau kan samseng walaupun bersih lagi dari rekod polis. Adik kau tu… betul-betul ke anggap kau abang kau sebenarnya?”

Danny memicing, menahan gelora amuk dalam dada. Pengawal datang tak lama kemudian dan kolar rakannya dilepaskan lekas. Dengusan kerbau jantan dilepaskan sekali, lalu berkalih. Sam membetulkan kolar bajunya, masih memerhati.

“Aku tak pernah terfikir pun… pasal nanti-nanti…” Tuduhan itu dipertikai, tapi kemungkinan Aqi lari dari rumahnya kerana tidak menganggap dirinya sebagai abang tidak pula dinafikan. Malah, persoalan itu menghentak hati ‘abang penyayang’ Danny. Riak garang bertukar sayu dalam sesaat.

“Dah habis la…”

Danny menoleh, terlihat dua remaja perempuan di rak sana. Gadis yang berambut ikat ponytail mencari sesuatu manakala rakannya yang berpakaian T-shirt ketat dan jeans sendat berpeluk tubuh.

“Kau nak apa?”

“Aku nak tepung dadeh. Abang aku balik hari ni…”

“Beli je la agar-agar.”

“Agar-agar mana sama ngan dadeh. Lagipun, abang aku nak sangat makan…”

“Wow? Si Shadow King tu suka makan dadeh? Aku ingatkan dia spesis telan pil.”

Watch your mouth. Dia jauh lebih baik dari tu.” Gadis itu mencemik, mencari lagi. “Abang aku memang la nampak jahat, tapi hati dia sebenarnya baik…”

“Hahah! Tell me about it.

“Hmph. Suka hati kau la.” Mangsa buli takkan nak menangkan pembuli mereka, kan? Batrisya terus melangkah dan mencari.

Here.” Danny menyampuk. Kedua-duanya menoleh. Jen terkejut beruk, lekas berundur menyelamatkan diri, meninggalkan rakannya itu sengsorang di sana. Kenal samseng itu! Batrisya masih selamba memandang kotak tepung dadeh di tangan Danny. “Kau nak kan?” soal si lelaki dengan riak kosong.

Batrisya terkelip. “Ah… ya… tapi…”

“Takpa. Adik aku tak balik rumah malam ni.” Kotak tepung dadeh diletakkan terus ke dalam bakul shopping Batrisya. Gadis itu kaku, mengangguk berterima kasih. Danny menjeling rendah. “Kau adik yang baik,” ujar perlahan sebelum berlalu.

“Erm…” Kepala dipusing ke arah Jen walau mata berat sekali meninggalkan gerak langkah lelaki tinggi itu. Pernah dilihat, tetapi tidak dikenali…. “Jen, kau rasa kita pernah jumpa – weeeeh…” Ternganga dia bila menyedari dia bercakap seorang. “Mana pulak minah tu pergi?! Baru kejap tadi kat sini…??” Kepala terpusing-pusing 360 darjah, masih bercakap sendiri.

Sementara itu, Danny menapak keluar dari kedai runcit, mencari Sam yang dah menghilang entah ke mana. Laju pulak dia lesap lepas diugut tumbuk. Danny mencekak pingang, naik angin. Kata nak lepak! Henfonnya berbunyi kemudian, menandakan mesej masuk. Dari Sam.

Nak cakap terjumpa awek cantik le tu…. Mata dijuling ke langit, lalu isi mesej dibuka.

-Adik kau kat rumah Don. Kena kurung. Padam mesej ni lepas kau baca-

Riak Danny berubah tegang.


MULUT diikat dengan kain. Tangan diikat di belakang badan dan kaki turut diikat. Peluang melepaskan diri, kosong peratus. Ruang bilik itu sempit kerana diisi perabot-perabot yang masih berbungkus dengan plastik dan diikat tali rafia. Pintu keluar cuma ada satu, dan dikunci juga. Kedudukan tingkap pula cukup tinggi dari lantai. Jika dilihat dari sudutnya, dahan dan dedaun pokok masih nampak. Maka bermaksud dia boleh meloncat turun ke bumi kalau dia boleh lepaskan diri dari ikatan tali ini.

Yeah. Semuanya akan berjalan dengan mudah… kalau dia boleh lepaskan diri dari ikatan tali ini!!!!

Aqi meronta sekuat hati bersama deraman suara yang melekat di kerongkong. Sesungguhnya dia sakit hati dengan ketidakupayaan diri sendiri sejak tiga hari lepas. Perutnya berkeroncong minta diisi. Anak tekak kering minta dibasahi. Sengsara yang dialami cuma dirasai sendiri, tak mampu dikongsi.

Sudah tiga hari dia diculik. Siapa dan kenapa, Aqi tak tahu tapi dia boleh agak penculikan ini berkenaan dengan Danny. Orang yang berdendam dengan lelaki itu terlalu banyak, dan banyak kali juga Aqi yang jadi mangsa namun selama ini tidak seteruk ini. Hati menjerit lagi buat kesekian kali.

Dia sepatutnya keluar dari rumah lelaki itu lama dulu…!!

Tak boleh tahan. Kalau begini, memang dia boleh mati dek dendam orang ke atas ‘abang angkat’nya itu. Ah, celaka hidupku.

Sudah. Pedulikan abang palsu itu dan cuba melepaskan diri dari sini sendiri. Lepas tu cuba keluar dari pekan liar ini. Lepas tu hidup la di mana-mana asalkan tidak berhubung dengan sesiapa!!

Sejak hari pertama diculik, akan ada orang yang menghantar makanan dan memberinya makan. Tali di tangan dilonggarkan ikatan dan begitu juga ikatan di mulut. Pernah juga Aqi cuba melepaskan diri dan menjerit, sebaliknya penumbuk di perut yang dia dapat. Sepanjang malam tidak boleh tidur dek kesakitan yang ditempahnya sendiri tanpa memikirkan baik buruk.

Dan dia jadi mangsa culik yang baik selepas itu.

Tapi Aqi ialah Aqi. Dia bukannya budak hingusan biasa yang menangis bila ditampar, tapi jenis yang menangis lepas menampar balik dan dia dibelasah secukupnya. Pengalaman dipukul dan dirotan sesuka hati beberapa tahun lepas membuatnya sangat benci menjadi lemah. Lagipun, siapa yang boleh tahan dipukul setiap hari setiap masa woih! Sakit, tau dak! Nak-nak, dia akan melawan selagi boleh, kemudian menangis atas setiap denyut sakit yang diterima. Lalu kerana kesakitan yang sangat dibenci itu, dia menjadi benci pada orang yang memberi padanya.

Orang dewasa. Yang mementingkan diri. Yang menyusahkan orang lain. Yang berbahagia dengan kesengsaraan manusia lain. Yang kalau boleh, akan dicari dan dibunuh bila dia dah besar sikit nanti. 11 tahun pengalaman itu cukup. Akalnya sudah boleh memahami. Orang dewasa yang lebih banyak menipu dari bercakap benar ialah manusia yang tidak patut dipercayai. Pengalaman menjadi pengajaran, dan menjadikan Aqi seorang rebelwalau di usia muda. Sangat muda.

Pemandangan di luar tingkap dipandang. Hari dah menjelang petang. Sudah nampak warna merah di kaki langit. Telinga juga cekap mendengar sayup-sayup azan dari mana-mana surau. Tak lama lagi makanan dah nak sampai. Aqi mendehem. Hari ni dia nak melepaskan diri. Walau apa pun yang terjadi.

Dan seperti yang dijangka, Don menapak masuk. Dua pasang mata itu bertemu. Lelaki itu diam, mendekati si kecil dan mencangkung di hadapannya. Makanan berupa roti putih, jem nanas dan air kosong diletakkan ke lantai.

Aqi memicing. Lelaki ini tidak pernah dilihat sebelum ni… tapi dia pedulik hapa! Lepaskan tali aku la…!

Don merenung anak mata hitam itu. Mata yang tajam bersinar. Mata yang nak hidup! “Kau ni macam Danny sendiri,” ujarnya, buat pertama kali sejak menculik Aqi. Gadis itu mengerut dahi. Don menghempas nafas, menopang dagu dan memandang keluar tingkap.

“Danny sekarang dah bukan Danny yang aku kenal dulu. Aku tau obsesnya pada ‘keluarga’nya… tapi…” Pandangan meredup pada langit sebelum ditoleh pada wajah comel itu lagi. “Kau nak tau sapa Danny? Dannial Van Humphrey, anak bangsawan dari keluarga Humphrey di selatan Filipina…” Rahsia didedahkan senada, dan Aqi nyata terkejut.

Filipinahuh?

“Dia seorang yang berdarah diraja, tapi memilih hidup sebagai seorang sampah tak berguna di tepi jalan.” Muka terkejut Aqi ditampar-tampar perlahan dengan muka tak beriak. Don tenggelam dalam kisah lama. “Lepas dibuang, kitorang sama-sama fly ke Malaysia sebab nak bina hidup baru. Hidup di sini bersama-sama bertahun-tahun… sampai berjaya dapatkan kerakyatan negara ni… tapi sejak kau muncul… Danny dah lupakan aku…” Dia meneram, geram. “Sejak dia dapat keluarga yang dia nak, Danny dah bukan Danny lagi! Kau ni menyibuk!!” Muka budak tu ditampar.

Aqi menderam, sakit. Hati menjerit geram. Bukannya aku nak!!

Don menghempas nafas. Marahnya bukan setakat itu. Marahnya sampai nak membunuh. Mulanya akal waras menghalang, sebab tak mahu ditangkap, tapi setelah sedar dia boleh menghapuskan bukti, dan John juga merestui, Don nekad. Pistol automatik di belakang badan ditarik keluar.

Mata Aqi terjojol luas melihat mesin membunuh itu. Mesin yang cuma memerlukan satu pergerakan jari dan maka selamat tinggal manusia. Satu manusia satu peluru. Pistol sangat-sangat menakutkan… dan Aqi sedar tentang itu. Lekas dia berkalih nak bergolek ke tepi, namun Don menahan tubuhnya. Aqi terperangkap. Rambut budak itu dicengkam, menahan pergerakan kepala. Laras pistol diletakkan kemas menyentuh dahi licin itu. “Takda orang yang akan tahu kau dah meninggal. Jangan risau…”

“Hmmmmpphh!! (Jangan!!)” Air mata meleleh deras. Taknak mati. Dia taknak mati…!!

“Bos.” Seseorang menyampuk. Don menahan niat, menoleh. Aqi yang terketar-ketar turut memandang ke pintu, melihat seorang lagi lelaki asing masuk. Anak buah Don melanjut kata, “Kawan bos, Danny ada kat sini.”

Membesar mata Don, membesar juga mata Aqi. Lalu dia menjerit kuat walau suara sekadar bergema di kerongkong. Rontaan yang terlalu kuat juga menyebabkan badannya terloncat-loncat macam cacing dibakar di atas kuali panas. Don menoleh padanya, lalu muka itu dilibas backhand. Tenaga lelaki itu cukup kuat dilepaskan hingga Aqi tergolek sekali, membelakangi lelaki itu. Tak bergerak-gerak lagi dah.

Don mendengus marah, bangun. Pistol kembali disimpan di belakang pinggang. Anak buahnya dipandang.

“Biar dia makan untuk yang kali terakhir ni.” Dan berlalu. Anak buahnya mengangguk.

Tali yang mengikat tangan Aqi dirungkai. “Hei budak. Pergi makan,” arahnya, namun tubuh itu tak bergerak. Dah pengsan? Lalu tubuh kurus itu dipusing mengadapnya, dan ketika itu juga Aqi melepas penumbuk ke muka itu.

Tumbukan kecil dari otot budak perempuan dua belas tahun itu, walau lemah, berkesan juga. Cuma berjaya dengan membuat anak buah Don terduduk ke belakang dek terkejut. Aqi tak menunggu, tak membiarkan masa melepasinya. Lantas, kain di mulut ditarik lepas dan dicekak pula pada leher lelaki dewasa itu sementara dia melonjakkan diri ke belakang lelaki itu. Sekuat tenaga kain di tangan ditarik, mencekik lelaki dewasa itu hingga putus nafas.

Pengsan.

Setelah tiada lagi rontaan yang dirasakan, tali kain perlahan-lahan dilonggarkan. Selajur, tubuh lelaki itu menimpanya terus. Aqi mengaduh, lalu manusia yang berat itu ditolak ke tepi. Dengan nafas yang termengah, Aqi meniup tangan yang sakit dan merah dek tekanan menarik kain. Tubuh itu dibiarkan di situ dan Aqi mendapatkan makanannya. Nak melarikan diri, mestilah kena bertenaga!

Sambil mengunyah, Aqi bergerak ke tingkap dan memandang ke bawah. Bila dilihat pada ketinggian… macam tingkat dua… tingkat dua, hok? Okey la kalau macam tu. Kemungkinan paling teruk pun, kaki patah. Tapi takpa, lebih baik keluar dari sini daripada mempertaruhkan nyawa menggunakan pintu keluar di mana orang yang nak membunuhnya ada di sana…. Air kosong diteguk senafas dan cawan dibaling selamba ke belakang. Kaki diletakkan di atas birai tingkap, bersedia melonjakkan diri.

Bang! Sedas bunyi pistol bergema seluruh rumah. Aqi menoleh deras. Spontan wajah Danny melayang di ruang mata. Riak Aqi menegang, lalu dia berlari keluar dari bilik itu.

Kejap Aqi! Kau nak kemana?!

Danny…!

Biar la dia! Kau nak keluar kan!!

Langkah Aqi terhenti mendengar kata bicara akalnya. Hati terdiam.

Macammana kalau Danny sedang mengamuk sekarang, dan datang sebab nak belasah orang jahat tu…?

Takkan la… dia bukannya tau kau di sini.

Jadi dia buat apa kat sini? Dan nampaknya sedang mengamuk?

Habis, takkan kau nak lepaskan peluang lari semata-mata nak dapatkan abang palsu yang entah-entah dah mati kena tembak tu…

Hati tersentap. Kalau dia kena tembak sebab aku, memang aku rasa bersalah sampai bila-bila! Kaki melangkah lagi, menuruni tangga.

Aqi, kau sayang nyawa kau atau nyawa abang palsu kau?

Tersentap dengan soalan diri sendiri lagi. Gadis itu menghempas nafas. Akalnya dikawal dan hatinya dikawal, diimbang biar sederhana. Nafas ditarik dalam-dalam dan dia melangkah perlahan menuruni tangga.

Aku buat apa yang aku nak buat, jadi diam!

Dan kaki berlari pecut, menuruni tangga.

Previous: (7)
Next: (9)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.