Home Novel Umum Ini Sebuah Cerita
(7)

PEJAM kelip pejam kelip, bulan bertukar tahun dan Aqi akan menghadapi UPSR tiga hari lagi. Dan sampai ke sudah pun Aqi masih memikirkan bagaimana nak keluar dari rumah Danny. Terasa ikhlas lelaki itu nak menjaganya, menganggapnya sebagai keluarga, tetapi hakikatnya mereka bukan sedarah.

Dia mahu menjalani kehidupan di tempat lain seorang diri… walaupun dia tidak pasti macammana nak berbuat demikian. Dia sedar, dia cumalah budak perempuan berusia dua belas tahun. Common sense sendiri boleh jawab tanpa perlukan bantuan pensyarah universiti untuk tolong fikirkan secara kritikal, mana mungkin dia boleh hidup sendiri tanpa bantuan orang dewasa.

Mana nak cari duit? Kedai runcit yang mana nak ambil dia bekerja? Keluarga mana yang cukup baik hati nak ambil dia jadi anak angkat? Heh. Danny itu pula terkecuali, kerana lelaki itu sendiri sangat desperate mahukan ahli keluarga. Memang lelaki yang pelik.

Lagipun….

Nak hidup dengan lelaki yang bernama Danny bukannya senang. Lagi-lagi bila dia mencari duit dengan melakukan jenayah jalanan. Ragut dan ugut dah macam aktiviti harian. Belasah orang memang senaman dan aktiviti kegemarannya di waktu lapang. Bila ditanya andai Danny ada simpanan ekstra, lalu dirinya dibawa ke junkyard tidak jauh dari rumah mereka.

“Semua ni… harta karun aku. Tak pernah berkurang. Sentiasa bertambah! Kau takkan jumpa barang-barang orang lain kat sini, sebab yang kat sini semuanya orang dah taknak! Hahha!! Aqi, tengok! Aku jumpa patung Gundam!!”

Mana lagi nak jumpa lelaki yang bergembira huhahuha di tempat pengumpulan sampah.

Tiada polis yang datang ketuk rumah untuk pasang gari di tangan Danny, sebab tiada masyarakat yang melapor. Kerana takut. Kerana Danny orang Xian! Nak kena balun oleh organisasi gelap itu dalam bayang sebab kacau anak buahnya? Silalah mencuba. Walaupun masih ada yang cuba nak menyerang dan membalas dendam, Danny sendiri akan selesaikan mereka cukup-cukup. Cuma, sangat jarang berlaku. Pun kalau terjadi, Aqi akan menonton dari belakang dan memerhati gaya Danny bertarung. Sedikit sebanyak, jiwa yang masih segar itu berminat nak meniru skil yang sama.

Baginya, Danny sebenarnya agak baik. Tidak pernah lagi lelaki itu membelasah dengan alasan suka suki, tetapi bila diarah mahupun orang lain yang sengaja cari pasal. Danny suka buat lawak supaya Aqi ketawa. Danny selalu bawa balik mainan yang dia jumpa di junkyard dan baikinya untuk Aqi main… walaupun… kebanyakannya figura gundam, anak patung Ninja Turtle, set mainan jet pejuang, mahupun kereta mainan. Danny ajar Aqi belajar. Danny beli makanan untuk Aqi dan memberi budak itu bahagian makanannya bila Aqi masih lapar nak makan.

Sesungguhnya Aqi mengaku, Danny seorang abang yang baik walaupun mereka bukannya keluarga sebenar….

Namun apa ada pada keluarga? Walaupun tidak sedarah, tapi terma ‘keluarga’ bukannya statik letaknya pada satu maksud. Aqi sedar fakta itu pada suatu hari.


JAM dah menunjukkan lebih pukul satu. Gadis berambut panjang lepas bebas itu dalam perjalanan balik dari sekolah ke rumah. Matahari masih gagah di dada langit, dan sinarnya juga gah sekali menyimbah penduduk bumi hingga ada yang kering anak tekak.

Aqi menyeluk poket baju kurung sekolahnya. Duit belanja yang Danny bagi belum digunakan lagi masa rehat tadi. Lalu 100Plus dibeli. Rasa segar terasa merangkul segenap tubuh bilamana anak tekak disimbah isotonic drink itu.

Kawasan perumahan setinggan dimasuki sambil dia menggoncang botol air di tangan. Akal memikir-mikir sebab kenapa dia terlalu suka minum energy drink ini. Sesungguhnya, kenangan yang tidak berkait itu… Aqi dah lupakan tanpa sekuman ingatan yang tinggal.

Langkahnya termati bila melihat tiga orang budak lelaki berdiri di depannya. Aqi terkebil, memandang ketiga-tiganya keliru. Kenapa dirinya dipandang dengan muka garang begitu?

“Kau Aqi kan?” Salah seorang bertanya.

Kaki spontan berundur setapak. Dia dikenali? “Kenapa?”

“Aku kenal kau.” Salah seorang dari mereka mendekat. “Abang kau yang jadi samseng tu kan? Mak aku selalu cakap jangan dekat dengan rumah kau…” Dia mendekat lagi dengan muka yang memerah dan mata berair, nak menangis. “Abang kau yang belasah bapak aku!!”

Aqi menelan liur. Kelat. Gagal nak melawan kerana tuduhan itu lebih menghampiri benar dari salah.

“Aku tak tau apa yang korang cakap.” Botol 100Plus di tangan ditutup terus dan dia berkalih, pergi.

Namun itu kesilapan pertama yang Aqi kena berjanji untuk jangan buat lagi. Jangan membelakangkan musuh yang berniat melukakan!!

Budak lelaki itu mendesis. Tanpa salam, Aqi terus diserang dan dibantu oleh dua rakannya yang lain. Tejatuh anak gadis itu bila ditolak dan menjerit kesakitan bila ditumbuk. Sakit! Tangan dan kaki melayang-layang cuba melawan, namun perut yang terdedah memberi ruang untuk ditendang. Aqi terbatuk, senak. Tubuh lekas merengkok sebulat bola, melindungi kepala dan perut sementara tiga pasang kaki itu masih tidak berhenti menendang.

“Aaaaaarghhh!!”


DANNY tertoleh. Terdengar jeritan kecil itu. Lagi-lagi jeritan milik suara yang cukup peka di telinganya. “Apa tadi tu?”

Sam, John dan Don menoleh serentak menoleh. “Apa dia apa?”

Terdengar jeritan lagi. Lebih kuat kali ini, bersama jerit pekik kemarahan. Riak Danny berubah tegang. “Suara Aqi!!” Lalu kaki memecut, mencari punca suara yang masih tak berhenti.

John mengerutkan dahi, lalu Sam dirujuk. “Aqi?”

“Nama adik dia kalau aku tak silap.”

“Ho…” Kepala diangguk ringan. “Biar la dia. Kita kena jumpa Syah sekarang…” Termati kata bila Don pula yang memecut pergi, mengejar langkah Danny yang entah ke mana. John terpejam kelip, memandang Sam dengan penuh keliru. Rakannya itu hanya mengangkat bahu, lalu berlari sama.

What the…?” John yang ditinggalkan hanya mampu terpinga.

Danny tiba ke tempat kejadian. Kepala terus naik tanduk melihat Aqi sedang dibelasah tiba budak lelaki. Kurang ajar!! “Hey hey!! Korang lepaskan dia!!” jeritnya terus mendekat. Terkejut budak-budak itu, berhenti menyerang.

Aqi yang masih merengkok, terdongak bila terdengar suara penyelamat. “Danny…!!” jeritnya gembira.

Keluh lega spontan terhembus, senang hati melihat adiknya masih okay. Budak-budak lelaki itu dipandang lagi. “Korang blah dari sini atau aku akan belasah korang sampai patah gigi tak tumbuh-tumbuh!!”

“Kau penjahat!! Penjahat jahat!!” Salah seorang dari mereka memekik.

Danny mencerun, melangkah setapak dua. Kaki sengaja dihentam kuat ke tanah berbatu pada langkah terakhir, membuatkan budak-budak itu terjerit takut. Seorang melarikan diri terus manakala yang lagi dua berani-berani takut nak menentang. Don dan Sam memuncul tak lama kemudian.

“Apa dah jadi, weh?” soal Sam.

Aqi perlahan-lahan bangun. Gila sakit… auhuhuhuh…. Tulang belakang yang terasa remuk dipukul-pukul dengan belakang tangan. Dah macam pesakit osteoporosis. Botol 100Plusnya dicari. Ada di situ. Mungkin dah suam sikit kerana panas matahari. Aqi bergerak, mendapatkan air minumnya itu.

“Gah!!” Terjerit lagi bila kening dihentak sesuatu yang keras. Aqi terpejam kelip, terasa cecair hangat yang mengalir ke pipi. Kening juga terasa denyut sakitnya. Wajah didongak, melihat dua budak lelaki itu membaling batu ke arah dirinya. Sebiji batu sebesar genggaman tangan lalu mengenai dahi.

“Aaaarhh… aduduuhuhuhu…” Tangis separuh terlepas kerana kesakitan yang diberi percuma. Kepala dirangkul lagi, berniat melindungi diri namun hujan batu tiba-tiba berhenti. Terkedu dia, lambat-lambat mengalihkan tangan dari kepala. Keluh lega spontan terluah bila melihat Danny berdiri di hadapannya namun kelegaan itu bersifat sementara bila Danny menarik keluar pistol yang melekat di pinggang belakang. Aqi tertegun, gagal nak bernafas sesaat.

Pistol dicekah, sekaligus menghasilkan bunyi tanda peluru dah masuk ke ruang slide. Jari telunjuk dimasukkan ke ruang picu dan lengan diluruskan ke hadapan, pada dua setan kecil di matanya sekarang. Waras akal nyata dah hilang ditelan amarah.

“Danny kau tak patut tembak budak!”

“Biarkan dia, Sam…”

Aqi terketar. Suara-suara di belakangnya menyentak telinga dan emosi. Dada terasa nak pecah kerana debar. Tenaga dalamannya menendang-nendang menjerit, hentikan Danny, lekas!! Refleks, kaki dilayangkan laju, menendang pelipat kaki lelaki itu.

Bang! Tembakan terlepas ke udara.

Terjerit budak-budak itu, meraung lantang macam nak memecahkan langit. Selajur mereka memecut lari macam tiada lagi hari esok. Sam mengeluh nafas lega manakala Don mencemik, tak senang hati.

“Danny!!” Aqi menjerit sekuat hati, seraya berlari ke hadapan lelaki itu dan menolak lengan sasa itu dari cuba menyasar ke arah budak-budak itu lagi. “Danny kau dah gila ke?!”

Tubuh kurus Aqi ditolak kuat. Danny benar-benar hilang akal, terlalu marah bila adiknya dipukul dan luka… bila satu-satunya ahli keluarganya itu dicederakan…. Dia marah. Sangat sangat!! Terasa nak meletup jantungnya sekarang seperti gunung berapi aktif meletupkan lava ke langit. Darah yang naik di kepala membuat dia gagal nak berfikir sekarang. Tak perlu fikir. Bunuh saja mereka! Hati menjerit.

“Jangan!!” Spontan Aqi meloncat dan menolak tangan Danny ke atas. Tembakan terlepas lagi ke langit. Bunyi das itu membuat budak-budak di hadapan sana terjatuh dari larian. Nyata terlalu takut sehingga kaki gagal menyokong tubuh.

Aqi pula makin terkejut. Dia benar-benar serius nak membunuh? Air mata hangat menitis membasahkan pipi. “Berenti… Danny, aku mintak kau berenti!!!” jeritnya sekuat-kuat hati. Lekas tangan yang memegang pistol itu dipeluk. “Tolong la berenti, please…!!”

Larian budak-budak semakin jauh hingga peluru tak mampu mengejar jika ditembak sekarang. Danny mendengus keras. “Kau tak guna…” ujarnya, rendah sekali deramannya. Seperti tersekat di anak tekak. Tangan ditarik kasar dari rangkulan itu dan laras pistol diletakkan tepat ke dahi si budak perempuan. “If you could stop being a pain in aaaa-ack…”

Terkaku.

Aqi terketar, juling mata melihat laras pistol di depan muka. Esak merasuk dada, lalu tangis terlepas terus tanpa dapat dikawal. Ketakutan. Kecewa. Dan lebih kecewa melihat muka marah Danny yang pertama kali dilihat. Tahap marah yang hampir membunuh…. Air mata dan hingus cair meleleh keluar, menangisi ketakutan dan kekecawaan di hati kecil.

Danny masih terpaku. Pistol lambat-lambat dialihkan dari dahi Aqi. Hambatan kejutan yang merasuk lebih hebat dari kejutan pengistirahan dirinya dibuang keluarga beberapa tahun lalu. Dadanya berombak, memandang Aqi yang masih menangis meraung di depan mata. Muka adiknya itu luka dan berdarah, dan dia sendiri hampir-hampir meletupkan kepala kecil itu hingga darah pun hilang tempat nak meleleh.

“Aqi…” Pistol dilepaskan dari tangan, jatuh ke bumi. “Aqi sorry…”

Tangan Danny ditepis lambat. Dengan sedu yang masih tak hilang, dia membina langkah. Botol 100Plus sempat dicapai sebelum dia pergi dari situ. Danny lambat-lambat mengekori, masih diserbu rasa bersalah.

Sementara itu, John, Don dan Sam di belakang memandang saja.

“Apa dah jadi?” John menegur kerana baru sampai. Don dan Sam menoleh terperanjat.

“Danny baru je nak pecah rekod bunuh budak-budak tadi tu… dan hampir-hampir bunuh adik dia sendiri… tapi…” Sam menjeling.

“Tapi?” John mengerling kembali.

“Dia lagi sayang adik dia dari layan marah dia.” Bahu dijungkit ringan.

John mendiam. Pistol yang terjatuh di tanah didapatkan dan arah Danny menghilang, direnung. “Aku rasa bingung kau awal-awal dulu mungkin ada benarnya, Don…” ujarnya tanpa menoleh.

Sam terkebil, tertoleh-toleh antara dua rakannya itu. Memandangkan kepalanya agak lembap, maka dia sangat kurang pasti apa dia yang berlegar di kepala kedua-dua temannya.

Don yang masih berdiri tegak di belakang, turut merenung arah yang sama dengan John. Bibir menutur kata. Perlahan. Cukup buat tahi telinga sendiri.

She’s a nuisance…”


MUKA dibersihkan dengan air paip, membersihkan sekali darah dan luka di mukanya. Aqi mendesis kuat, bertegang urat menahan perit sakit bila daging yang terdedah bertemu air. Plastik hitam yang berisi ubat-ubat first aid yang pernah disedekahkan oleh doktor Rohaida dirombak. Plaster dicari, lalu luka di dahi dan hujung kening ditampal sendiri.

Danny di belakang sekadar memerhati tingkah laku adiknya. “Aqi. Sorry.”

Diam. Muka yang basah dilap dengan baju sekolah yang dah kotor diwarnai debu, peluh dan darah. Keluh dilepaskan, berat sekali. Lalu dia bangun dari kerusi.

Danny bergerak sama melihat pergerakan adik angkatnya itu. “Aqi? Kau dengar tak? Aku mintak maaf…”

“Takpa… aku mintak maaf jugak…”

“Aku yang salah kat sini, Aqi.”

“Aku pun salah jugak, sebab muncul dalam hidup kau.” Aqi menjeling. “Kalau tak kau takkan perlu bersusah nak jaga pain in a neck macam aku.”

“Aargh…” Muka diraup, kasar sekali. “Look. Aku tahu aku salah sebab marahkan kau tadi… dan aku mintak maaf sebab letakkan pistol kat kepala kau, tapi hey… aku tak tembak kau pun kan? Emm?”

Anak gadis itu mendiam, lalu wajah si abang angkat dipandang. “Yang kau nak tembak dorang pulak, naper? Nak bunuh diorang?” soalnya pula, menahan geram.

Danny terdiam sebelum menjuih. Terus terang, dia sendiri tak sedar tadi. Bila dimakan amarah, akal waras entah ke mana. Nyata syaitan lebih mudah menguasai hati yang lemah. Yang dia tahu, budak lelaki tiga orang itu perlu dihukum kerana melukakan Aqi. Salahkah?

Memang. Salah sangat dan nampak bodoh kalau bertanya lagi. Tu melampau namanya kalau masuk tahap membunuh.

Danny mendehem, menyedarkan diri sendiri. “Aku sedar… aku memang salah. Ni first time aku ada family yang aku approve… tapi nampaknya aku masih sama macam dulu,” suaranya perlahan, seperti bercakap dengan diri sendiri. Pandangan Danny meredup melihat dinding papan rumahnya.

“Aku taknak ada ahli keluarga yang membunuh lagi…” Aqi membalas dengan suara tenggelam di anak tekak. Danny mengerut dahi, menoleh lambat.

“Lagi?”

“Aku benci pembunuh.” Anak mata hitamnya dikerlingkan pada Danny. Giliran lelaki itu terdiam. Baru teringat ayah budak ini meninggal dibunuh orang.

Nafas dihela panjang. Mengalah. Kepala Aqi ditarik lalu diusapnya lembut. “Sorry. Aku akan jadi abang yang baik mulai hari ni. You can count on me.

Aqi mendesis, menarik semula kepalanya. “Tak. Aku dah taknak.”

“Taknak?”

Kepala digeleng perlahan. Kaki turut melangkah berundur, menjauhi lelaki itu. “Thanks. Aku dah cukup puas jadi parasit. Aku nak blah dari sini.” Wajah lelaki itu dipandang sayu. “Sorry sebab susahkan.”

Remuk hati Danny dibuatnya. Buat seketika, akal gagal berfikir. Rambut yang memanjang menutup dahi digenggam kuat, dan nafas yang terasa menyesak di dada didenguskan deras. “Aqi…”

“Aku taknak berabangkan pembunuh.”

“Aku belum membunuh.”

“Aku masih taknak.” Makin jauh.

Danny menggigit bibir. “Aqi! Kalau kau terasa nak datang balik… kau ada kunci rumah, okay? Abang yang penyayang sentiasa maafkan adik yang tengah merajuk…”

Langkah Aqi termati. Sesaat dua, dia terus membatu di situ. Tubuh dipusing ke rumah kembali, cuma untuk menghadiahkan penumbuk ke perut abangnya. Danny mengerut dahi, menerima tumbukan kecil yang perlahan itu. Si adik tidak memandangnya langsung.

“Tu sebab cuba nak bunuh aku tadi…”

Riak Danny berubah sedikit. Aqi berkalih dan berlari terus, pergi dari situ. Kemana dia nak pergi? Masih satu misteri. Apa yang dia mahu buat masa ini ialah melayan rajuk dengan berseorangan.

Di bawah sedar, sepasang mata memerhati tingkah laku beradik angkat itu.


DAH tiga hari berlalu, dan UPSR dah pun bermula. Danny memandang langit, merenung muka dingin Aqi di situ. Betullah dia dah pergi…. Nafas terluah. Pasrah. Berserah. Lalu dia melangkah keluar dari rumah. Kunci pintu.

It’s short, but the time I had with you is great.

Macam berpisah dengan kekasih je. Hampeh.

Ternampak lelaki tua di tepi jalan. Bekas kosong yang berisi beberapa not seringgit ada di depannya, dan kotak berisi tisu diletakkan di atas riba. Berkopiah, dan baju kemeja itu lusuh sekali. entah macammana kehidupan pakcik ini. Ada kediaman ka? Anak-anak macammana? Badan yang susut itu tidak membenarkannya bekerja dengan normal… dan benda yang sama juga boleh berlaku pada Aqi walaupun berbeza usia.

Ah, lemahnya rasa tulang belakang. Naik haru kerana memikirkan nasib Aqi saja. Lalu poket diseluk, mencari duit.

Duit itu biasanya dikongsi untuk dia dan budak kecil itu. Dia akan berfikir dua kali dulu sebelum membeli barang, penting ke ndak, sebab duit tu nak digunakan untuk keperluan adik perempuannya…. Nampaknya dia tak perlu fikir lagi dah. Dah boleh boros macam dulu.

Menjaga Aqi bukannya mudah. Sebab budak itu memulakan hidup yang baru, maka kewangan sangat penting. Juga bermaksud, duit Danny terbang ke mesin wang untuk orang lain. Pakaiannya, makan minumnya, keperluan hariannya, keperluan persekolahannya…. Sejak Danny menerima tanggungjawab menjadi seorang abang, sejak itu poketnya kempis untuk keperluan diri sendiri. Tapi Danny tak merungut, sebab dia lebih gembira bila boleh ucap ‘Pergi tidur, budak kecik’ atau ‘Bangun! Sekolah!’. Sepanjang Aqi ada, dia merasa hidup buat pertama kali.

Menjadi seorang abang, sangat seronok.

Tapi sayang, peluang untuknya dah hilang. Mungkin kalau dia tidak mengacu pistol itu ke dahi Aqi, peluang untuk menjadi seorang abang masih wujud? Atau mungkin kalau dia tidak bertindak cuba membunuh budak-budak itu, Aqi akan memaafkannya? Lagipun Aqi marahkan dirinya kerana cubaan membunuh, bukan? Kerana Aqi sangat membenci pembunuh, bukan?

Nafas terhembus spontan, lalu langit dipandang. “Kalau… kalau ada peluang lagi sekali… aku akan betul-betul berubah… so please… balik rumah, budak kecik?”

Previous: (6)
Next: (8)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.