Home Novel Umum Ini Sebuah Cerita
(3)

BUNYI amukan di bilik Danny sudah lama berhenti. Senyap. Lelaki itu menapak masuk sambil membawa jag susu di tangan. Terhenti kejap langkahnya bila melihat bilik itu macam dilanda taufan. Kalau dalam kartun boleh tengok hujan turun dalam rumah, ni macam tengok bencana dunia menyerang biliknya. Live!

I don’t think I believe in one, but… God…” Jatuh rahang. Betul ke ini hasil kerja budak perempuan yang kesian dan selekeh dan cedera yang buat? Mata mencari sekujur tubuh busuk itu. Tu dia. Sedang terbaring mengiring mengadap sudut bilik. Lalu Danny mendekat.

“Hey.”

Tidak bergerak.

“Hey hey!!” Kaki menolak-nolak punggung rata itu. Lembik sekali gerak tubuh yang terbaring, namun tidak sekalipun si budak itu bereaksi. Danny mengerutkan dahi. Jag susu diletakkan di tepi dan dia mencangkung di belakang budak itu. Nafas ditahan, menghalang bau busuk tengik yang keluar dari tubuh si budak terus ke hidungnya.

Rambut panjang berminyak itu diselak, memperlihatkan pipi yang cengkung. Dah mati ka? Kepala budak perempuan yang tidak dikenali itu ditarik sedikit. Kelopak matanya masih terbuka, walau kuyu sekali. Anak mata hitam masih nampak di antara ruang kelopak yang cukup kecil. Nafasnya masih ada. Perlahan. Dada juga masih ada turun dan naik. Pun sangat perlahan!

“Budak!” Muka itu ditampar kuat. Terteleng muka cengkung itu, namun sebarang reaksi positif langsung tiada. Sebaliknya, air mata yang menitis dari birai mata yang masih hidup.

Danny mengeluh berat. “Malang aku. Nak ambik kau jadi budak aku, kau nak mati pulak.” Keluh panjang dilepaskan dan bahu turut jatuh, sesal. Patutnya ambik yang sihat sikit, hok?

“Tak…”

Suara kecil dan tebal itu kedengaran, perlahan sekali. Hampir tiada. Danny menjeling. Bibir kering dan pucat itu sedang bergerak, mahu menuturkan sesuatu. Lalu telinganya didekatkan.

“Belum nak mati… taknak mati…” Diam seketika. “Masih perlu bunuh Ruby…”

Berkerut seribu dahi Danny. Muka pucat cengkung dipandang lagi. Melihat bibir itu masih nak meluahkan bicara lemah, dia memberikan sepenuh perhatian.

“Lapar… haus gila…” Anak mata hitam itu memandangnya. “Nak KFC…”

“Whoa, demand-nya engkau!”

Bibir dipekam seketika. “Masih nak hidup… tolong aku… tolong…” Mata dipejamkan, melepaskan air mata terakhir.

Danny bungkam. Budak perempuan yang masih tidak diketahui namanya ini dah tidak bergerak langsung. Mata terpejam, dan mulut tetap terbuka. Tidak ditutup. Belakang kepala digaru lalu. “Aku ada susu ni, weh. Bangun la. Minum kalau kau haus sangat.”

Tiada reaksi.

Jag susu dicapai, lalu ditunjukkan di depan mata yang terpejam. Sah-sah la dia tidak nampak. Danny menuang susu ke dalam mulut yang terbuka itu, terluah kembali. Sial… lalu muka si budak disimbah terus! Susu bertakung di dalam mulut yang tertutup rengkungnya. Ada juga susu yang masuk ke dalam hidung, lantas membuatkan budak itu terbatuk sekali dua dalam pengsan. Danny mengeluh keras.


SELESAI merawat budak perempuan busuk berambut panjang, doktor Rohaida keluar dari wad. Lelaki berambut Mohawk yang menghantar budak itu padanya tadi dicari. Ada di sana, sedang duduk di kerusi menunggu sambil membaca majalah. Doktor Rohaida mencerun. Danny dirapati dengan langkah laju. Bila lelaki sasa itu menoleh pada, sebiji penampar dilayangkan.

Hah! Merasa menampar samseng.

Danny terperanjat, menoleh kembali. “Kau kenapa?” Pipi yang terasa perit, digosok.

“Budak tu on the verge to death! Lebam dia terlalu teruk kat seluruh badan! Kesan peluru pun segar lagi. Dan badan budak tu sendiri tak cukup nutrition nak bagi sel badan dia makan dan jaga badan dia sendiri!! Kalau dibiarkan, lethal! Aku kena masukkan SO2 kat peringkat awal ni!”

“Bla bla, science, bla! She’s like that masa aku jumpa dia, yang kau tampar aku, kenapa?!”

Doktor Rohaida mendengus. “No reason.”

“Wha?” Ternganga dibuatnya.

Si doktor perempuan melabuh duduk di sebelah samseng. “Woman’s instinct aku cakap kau responsible separuh atas apa yang berlaku kat dia. Tak macam kau nak hantar budak pengsan tepi jalan kat aku terus.”

Kening Danny terjungkit sedikit. Terasa hati bila naluri perempuan itu benar. “Aku terasa nak buat charity alang-alang hari jumaat. Besar pahala.”

“Hari jumaat tiga hari lagi, LOL.”

“Jiran hari jumaat.”

“Orang macam kau pun fikir nak kumpul pahala, huh?”

“Siapa yang tak suka pahala? Ganjaran naik ke syurga, lepas tu boleh minum arak puas-puas kat sungai arak.”

Doktor perempuan itu sekadar menggelengkan kepala. Bukannya dia tak tahu Danny tiada agama. Mereka berkenalan sejak kedatangan awal Danny ke negeri ini, iaitu hampir sembilan tahun lepas. Kerana terlalu kerap terlibat dalam pergaduhan dan cedera parah, dan terlalu kerap juga Danny mencarinya meminta dirawat, hubungan terbentuk tanpa dipinta. Mujur ada rupa. Nak digoda, Danny hanya berminat dengan hubungan di luar nikah. Maka, cancel.

Danny menjeling wanita bertudung itu. “So, how was her?”

“Buat masa ni, kritikal. Kita cuma perlu tunggu dia sedar dan boleh makan sendiri,” ujarnya membuatkan Danny mengangguk. Doktor Rohaida menjeling. “Lepas budak tu sedar, kau nak buat apa?”

“Entah. Tanya dia, kenapa nak sangat hidup dalam kat tepi jalan tak reti nak balik rumah, kut.”

Angguk. “Mana kau jumpa dia?”

Kat spot lepak aku masa aku tengah belasah orang yang John suruh belasah dan budak tu tiba-tiba datang dan John tiba-tiba angkat pistol nak bunuh dia sebab jadi saksi jenayah kitorang dan aku terpaksa pengsankan budak tu sebab dia nak lari… “It called jodoh.”

“Haa?” Tak menjawab soalan!

Danny tersenyum kecil. Wajah pelik si doktor perempuan direnung redup, membuatkan Danny teringat lelaki yang cuba mengugutnya dahulu. Permintaan supaya melindungi adik perempuannya… budak perempuan itu kah?

Takda kaitan. Budak itu dah merayap sekitar Melihah Hilir dari awal lagi, tapi permintaan lelaki bernama Farid itu lebih lewat. Tapi huh… baru je bersetuju nak berbuat baik, seorang budak dah pun wujud mintak dijaga. You play a good hand, takdir.


MALAM itu, Asyikin tersedar dari pengsan yang sementara. Pandangan yang kabur perlahan-lahan bertukar jelas. Siling di atas sana terang sekali, ditambah dengan lampu siling. Dimana dia sekarang? Dan macammana dia ada di sini…?

Ingatan berbalam-balam masuk ke ruang fikiran. Dia masih ingat perutnya lapar gila… hampir-hampir ditembak samseng… diculik samseng dan dikurung di dalam rumah buruk… dan perutnya masih lapar gila… dan lelaki itu datang cuma untuk menampar mukanya semasa dia berbaring.

“Graaaaahhhh!!” Jerit Asyikin meletup, melepaskan marah yang masih meletup-letup dek dikurung di dalam bilik kecil.

“Gaaaaahh!!” Satu jeritan terlepas sama. Lebih tebal dan garau suaranya.

Asyikin terperanjat, menoleh. Lelaki berambut Mohawk itu nampak terpinga-pinga di atas kerusi. Berkerut dahi Asyikin dibuatnya.

“Kau?”

Danny bangkit dari duduk. Tersedar yang dia tertidur di atas kerusi, dan tersedar dia dah menemani budak pengsan ini sampai lewat malam! Aaah… tapi bangun tidur dalam keadaan mengejut begini… pening. Pelipis ditekan dan diurut sedikit.

“Kau buat apa kat sini?” Asyikin bertanya geram. Tubuh cuba ditolak bangun, namun pinggangnya terlalu sakit untuk melakukan sebarang pergerakan. Lalu dia hanya berbaring.

“Tertidur.”

Terdiam si budak. Lelaki itu yang bergerak ke kabinet kecil di sudut wad, dipandang.

“Ida dah masukkan susu ke dalam darah kau sebab badan kau terlalu lemah katanya. Peket susu tu habis esok.” Packet susu yang digantung pada tiang I.V. ditunjukkan. Asyikin menoleh ke arah yang ditunjukkan. Terkedu seketika melihat dirinya rupanya dah dicucuk dengan jarum. Lelaki itu bersuara lagi, membuatnya menoleh. “Ida cakap jangan bagi makan berat sangat lepas kau sedar, so aku beli yang senang hadam la. Nak tauhu?”

Geleng.

“Taknak sudah.”

“Aku nak sesuatu yang boleh dinikmati kunyahan dan rasanya…”

Menoleh lagi Danny bersama kening bercantum. “You really know what you want, kan, little girl.”

“Aku tak faham inggeris,” balasnya selamba. “Tapi aku nak tau jugak macammana aku boleh ada kat sini.”

“Aku yang hantarkan kau.”

“Kau sapa?”

“Aku Danny.”

“Okay.”

“Aku dah beli apa-apa yang patut dalam plastik ni. Ikut suka kau la nak guna atau tak. Aku nak balik. Mengantuk. Kalau ada apa-apa, bagitau je kat doc sini. Dia walaupun kuat membebel, hati dia baik.”

“Kau pun sama…” Asyikin memotong, mematikan kata-kata Danny.

“Apa dia?”

Bibir dileretkan. “Terima kasih… sebab hantarkan aku ke klinik. Aku tak plan nak mati, tapi kena kurung kau benar-benar buat aku lemah hari itu.”

Danny mendiam. Apa yang dibisikkan budak perempuan itu semasa kesedaran diri hampir padam kedengaran lagi di lubang telinga. Walaupun dia cuma pendengar, tetapi berat beban kata-kata itu… bukannya sesuatu yang patut diluahkan oleh budak sekecil itu!

Wajah dipalingkan, enggan terlalu prihatin dengan watak asing di dalam hidupnya. Lalu tanpa sepatah kata, dia melangkah keluar dari wad. Asyikin yang ditinggalkan turut tidak bereaksi.


ESOKNYA, Danny melangkah daulat dan melawat budak perempuan itu lagi. Entah hantu apa yang merasuk tindakannya itu, dia benar-benar ingin tahu! Semasa melalui pekarangan klinik, ternampak kereta polis diparking di depan klinik.

“Polis… huh.”

Keberanian dipasung. Lambat-lambat, langkah dibina hingga ke wad yang memuatkan budak kecil yang masih tidak diketahui namanya semalam. Dua orang polis ada di situ. Buat apa di sini? Menyoal siasat budak kecik itu untuk cari maklumat kes jenayah yang berlaku dalam Melihah Hilir ini, kah?

“Kau datang lagi.”

Terkejut beruk dia, lalu menoleh. Doktor Rohaida ada di belakangnya, lepak berdiri sambil menyeluk tangan ke dalam poket kot putihnya. Stetoskop turut tergantung di leher dan bersambung ke poket dada kot itu.

“Polis buat apa kat sini?”

“Aku panggil. Nak dorang ambik tindakan kat budak homeless tu.”

Danny mencerun. Mahu saja doktor ini dimarahi kerana membahayakan kedudukannya sebagai samseng yang berkait secara terus dengan budak itu, tapi memikirkan tugas doktor sememangnya kena berbuat baik pada masyarakat… Rohaida dimaafkan.

“Tu. Lelaki tu maksud saya.”

Danny menoleh kembali. Menyirap darah ke kepala bila kedua-dua anggota polis itu sedang memandang dirinya. Kantoi? Dah kantoikah? Budak kecik itu dah kantoikan akukah?!

Jeritan di dalam hati tersekat di dada bila kedua-dua polis itu berpaling. Eh? Danny kehairanan. Insan-insan di dalam wad itu terus berbual sesama sendiri, tidak pedulikan dirinya. Apa ke…? Kesalahan jenayahnya dah dimaafkan sebab selamatkan budak kecik dari mati…??

Bila masuk bab mengarut, akal memang boleh tahan kreatif.

Tidak lama kemudian, polis-polis itu melangkah keluar dari wad. Danny dipandang dan diberi senyum, dan mereka mendapatkan doktor Rohaida.

Its okay. Budak tu cakap dia dah jumpa keluarganya, cuma dia pengsan di tepi jalan sebab tak cukup makan bila lari dari rumah.”

“Ooh… gitu. Maaf susahkan.”

Salah seorang polis itu menoleh pada Danny, lalu bahu si lelaki ditepuk. “Jaga adik awak dengan baik.”

“Eh? Ah… em.” Kelu.

Dan mereka pergi. Doktor Rohaida mengucap syukur sambil mengusap dada, manakala Danny masih mematung dengan mata bulat sebulat telur mata kerbau. Terlalu keliru dengan apa yang dah jadi. Lalu, wad dimasuki.

“Budak kecik. Kau cakap apa kat polis tadi?” Tanpa salam, dia terus menerjah dengan soalan. Asyikin terkebil seketika.

“Aku cakap banyak benda.”

Danny sedikit kalut. Timbul sedikit sakit hati bila budak kecil ini loyar buruk. “Apa dia yang kau cakap sampai polis tengok aku siap bagi senyum kat aku??” soalnya lagi, dengan nada tergesa-gesa kini.

Mamat ni kenape… “Aku cakap kau abang aku,” balasnya mudah.

“Haa??” Doktor Rohaida terkejut beruk di belakang.

Danny mendiam membatu seribu bahasa. Tergamam dan sedang mencerna maklumat. Setiap urat otot di tubuh mengeras buat berapa saat. Akal berkira-kira, dan pandangan matanya tidak sekali pun dilarikan dari budak perempuan kurus kering yang duduk bersandar di katil itu. Idea menjengah. Spontan tangan ditepuk. Kuat sekali hingga mengejutkan kedua-dua hawa berlainan usia.

“Cadangan diterima!” Danny tersengih lebar. Telunjuk ditujukan tepat ke arah gadis kecil itu. “Mulai hari ini, kau adik aku.”

Asyikin ternganga rendah. “Aku tipu polis tu je la. Aku taknak dia bawak aku ke balai dan terus soal aku sebab apa aku merayau-rayau selama ni, aku cakap la aku dah jumpa abang aku. Apa masalah kau ni?”

Danny tersenyum. “Aku takda masalah. Aku gembira adik aku dah pulang rumah.”

Rahang jatuh lagi, gagal ditutup kali ini.

Doktor Rohaida yang memerhati di belakang mendekati Danny. Rias comel yang nampak ceria di muka lelaki itu menarik kerut mukanya. “Kau nak buat apa ni Danny? Pun bukannya budak tu betul-betul adik kau.”

She is. Lepas ni. Aku akan jaga dia sampai dia jumpa lelaki yang betul-betul sesuai dengan dia dan boleh jaga dia dan berkahwin dengan dia. Okay?” Bahu kecil itu ditepuk sekali. “Kau jangan risau. Aku akan jadi abang yang penyayang. The best of the best!”

Asyikin kelam. Persetujuannya tidak pun dipinta, ni tiba-tiba nak melangkah daulat mengambil anak orang nak dijadikan adik angkat?

Doktor Rohaida memberi muka jelik. “Kalau kau lupa latar belakang kau, aku boleh tolong ingatkan. Kau samseng. Manusia tak guna. Rumah kau bina sendiri dari papan kayu yang kau jumpa kat junkyard. Kau ahli kumpulan bawah tanah Xian. Duit untuk kau makan minum ialah duit haram! Setiap minggu ada je pesakit yang datang mintak dirawat lepas dibelasah kau. Kau ugut nak buat parut kekal kat anak aku kalau aku lapor kat polis pasal kau! Kau manusia yang tak sepatutnya terfikir nak jadi insan penyayang kat budak yang kau tak tau pun latar belakang dia. Heck, kau even belum tau nama dia!!” Berderet disebut sekali nafas. "HUUUUUHH..." Deras sekali dia menyedut udara kembali.

Danny masih dengan senyum comel. “Aku tak perlu tahu nama dia.” Datar selamba.

“Hu?”

“Aku boleh buat sendiri.” Kepala dipalingkan pada budak perempuan itu kembali.

“Kau tak payah nak mengada. Nama aku Asyikin.” Si budak bersuara.

Danny mengangguk faham. “Aku rasa nama Aqi sounds cute, kan? Pendek. Simple. Senang aku nak address. What do you think?” Diabaikan sepenuhnya maklumat yang baru diterima dari bakal adiknya. Doktor Rohaida dikerling, namun doktor itu hanya memberi facepalm dan gelengan kepala sebagai balasan.

Asyikin turut menggelengkan kepala. “Kau jangan mengarut la. Aku tak pernah perlukan abang.”

Danny tersengih. “Heck yeah, you need me, lil’ sister.” Angguk. “Kalau kau perlukan sebab dan alasan duduk dengan aku… aku memang dah lama nakkan adik untuk dijaga.”

Muka jelik diberi. “Kau ni pelik, kau tau tak? Kenapa pulak tiba-tiba aku nak jadi adik engkau?”

“Sebab kau masih perlukan jagaan orang dewasa, budak kecil.” Dahi Aqi dijentik. “Aku pulak nakkan family lama dah.” Asyikin pasang suka sengal. Danny tertawa dibuatnya. “Kau taknak ke? Aku handsome kut.”

Handsome yang kerja belasah orang separuh mati buat apa! Kalau nakkan family, carik la bini sorang! Dah, kau blah!! Mengarut!!” Sekuat hati kata-kata itu dijeritkan, sekaligus memberi senak pada perut dan denyutan pada kesan lukanya. 

Danny tersenyum tenang, menoleh pada doktor Rohaida. Wanita bertudung itu mengangkat kedua belah tangan ke udara tanda enggan peduli. Lalu dengan selamba dia melangkah keluar macam takda apa pernah berlaku.

Previous: (2)
Next: (4)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.