Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Lapan Belas – Pemenangnya adalah...

Hanna mengangkat tangan kirinya separas telinga. Memberi isyarat kepada Nazrey. Meminta tempoh untuk berehat. Tubuhnya ketika itu menggeletar kuat. Cuba menahan rasa sakit. Dengan sebelah tangannya masih di udara, Hanna berusaha untuk kembali berdiri. Berdiri bagi membuktikan dirinya ketika itu masih belum mengalah. Masih belum mengalah dalam pertempuran petang itu.

Empat pusingan masih berbaki. Kalah menang hanya akan terjawab setelah salah seorang daripada mereka mendahului tiga pusingan. Tewas di pusingan pertama masih belum membuktikan apa-apa. Hanna masih punya banyak peluang. Peluang yang tidak harus dia sia-siakan.

Hanna sudah kembali berdiri. Dia masih setia memberi isyarat tangan kepada Nazrey. Masih menanti respons remaja lelaki yang sedang berdiri berpeluk tubuh itu. Sebaik sahaja Nazrey mengangguk kecil, Hanna pantas mengukir senyum lega. Serentak, pintu kaca di belakangnya segera dibuka dari luar. Eric dan Laila terus meluru mendapatkan dirinya.

“Awak okey?” Eric bersuara bimbang. Wajahnya jelas menunjukkan kekhuatiran. Pandangan matanya terus terarah tepat ke wajah Hanna. Wajah rakannya itu berkerut seribu. Sah, gadis itu sedang menahan sakit!

“Saya okey. Saya hanya nak berehat sebentar,” Hanna bersuara lemah. Dia membina langkah menuju ke arah bangku panjang yang disusun berderet hingga ke dinding hujung sana. Tiba sahaja di bangku yang paling hampir, Hanna pantas melabuhkan punggungnya.

“Betulkah awak okey, ni? Saya nampak bagaimana awak kena serang tadi. Saya yakin, pasti dada dan perut awak luka teruk sekarang ni!” Rizqy bersuara pantas. Jelas, dia juga sedang risau dengan keadaan Hanna Afza.

Mendengar kata-kata Rizqy itu, Hanna pantas menggeleng. Cuba menyembunyikan hal sebenar. Ya, memang kata-kata Rizqy itu ada benarnya. Dada dan perut Hanna memanglah terasa begitu perit. Lebih perit dari apa yang pernah dia alami sebelum ini. Namun, ketika ini rasa sakit itu sudah mula menghilang. Rasa pedih itu sudah mula menjauh pergi.

Seperti sebelumnya, kecederaan Hanna sedang membaik dengan sendiri. Membaik secara semula jadi. Membaik dengan izin Allah. Membaik dengan bantuan sel naga yang telah wujud dalam dirinya sejak sekian lama.

Ya, sel naga itu. Kelebihan dan keistimewaan yang telah Tuhan kurniakan kepada dirinya sejak Hanna masih bayi. Keistimewaan itu telah banyak membantu menyembuhkan luka-lukanya. Luka melecur, luka terjatuh basikal, luka terhiris pisau, semuanya pulih dalam masa yang singkat.

Hanna masih ingat, ketika usianya lima tahun. Ketika itu, dirinya sedang seronok meraikan keberhasilan menunggang basikal milik Adam Nicholas yang sungguh tidak padan dengan saiz badannya yang kemetot ketika itu. Dia begitu seronok. Begitu seronok sehingga langsung dia tidak menyedari bencana yang bakal melanda. Hanna masih ingat bagaimana lima minit kemudian dia mula menangis teresak-esak. Menangis menahan sakit. Lutut kirinya rabak tergores tanah laman yang keras. Dahinya pula sudah lencun dibasahi darah merah.

Kepalanya ketika itu luka teruk. Luka yang memungkinkan dirinya menerima beberapa jahitan oleh ahli perubatan. Namun, hal itu tidak berlaku kepadanya. Luka di kepalanya itu bercantum sendiri. Bercantum kembali dalam tempoh masa kurang daripada 10 minit. Ketika itu, Honda Civic milik ACP Tevard sudah separuh jalan menuju ke rumah sakit.

Hanna masih ingat bagaimana ACP Tevard terus tersenyum lega melihat hal itu. Hanna masih ingat bagaimana Mama Alia terus mendakap tubuh kecilnya. Memeluknya dengan penuh kasih dan sayang. Hanna masih ingat betapa peliknya pandangan yang ditujukan Adam Nicholas kepadanya ketika itu. Ya, sudah tentu abangnya itu layak merenungnya sedemikian rupa. Hal itu amat ganjil. Amat pelik. Amat mustahil untuk diterima akal.

Namun, semua itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Hanna tahu, hanya Dia Maha Memberi Kesembuhan.

“Hanna, awak masih mahu teruskan pertempuran inikah?” giliran Laila menyoal. Mencari kepastian. Tangannya sedang menggenggam erat tangan kanan Hanna. Entah sejak bila dia berbuat demikian, Hanna sendiri tidak perasan. Pasti ketika dia sedang bermenung panjang sebentar tadi.

Hanna tidak membalas pertanyaan Laila dengan kata-kata. Ketika itu, dia pantas berdiri dan meregangkan sendi-sendinya. Memberi isyarat bahawa dia sudah bersedia untuk memulakan pusingan yang kedua.

Dengan langkah yang diiringi zikir tanpa henti, Hanna pantas mendapatkan Nazrey yang masih setia menantinya dengan wajah malas.


Hanna tewas sekali lagi di pusingan kedua. Namun, kali ini dia berjaya mendapatkan tiga mata. Sekurang-kurangnya hal itu lebih baik berbanding situasi yang dihadapinya semasa pusingan pertama tadi. Untuk pusingan ketiga ini, Hanna berjanji untuk mendahului remaja lelaki lawannya itu.

Hanna kembali ke posisi mulanya. Kali ini dia sudah dapat memikirkan percaturan selayaknya bagi menumpaskan Amar Nazrey. Kali ini dia tidak boleh tewas. Tewas kali ini bermaksud gagal. Gagal dalam pertempuran petang itu. Kegagalan yang bakal membawa rasa dukacita kepada rakan-rakannya yang seramai tiga orang itu. Rakan-rakan yang sedang menyorak namanya di sebalik dinding kaca.

Hanna berpaling ke kanan. Rizqy, Faris dan Laila serta Eric sedang memandangnya dengan senyuman terukir di bibir. Senyuman yang ternyata berhasil membangkitkan semangat Hanna Afza. Kali ini dia tidak akan mempersia-siakan sokongan rakan-rakannya itu. Kali ini dia akan berusaha sehabis baik. Kali ini dia akan berjaya dengan izin Allah.

Pusingan ketiga dimulakan segera. Hanna pantas memberi tunduk hormat sebelum membina perisai api. Kali ini perisainya lebih kukuh. Lebih seimbang. Kali ini Hanna sudah bersedia. Dia sudah tahu apa yang harus dilakukan olehnya.

Serangan Rantai Api Berganda yang sering Nazrey guna bagi memusnahkan pertahanan terbaiknya itu ada kelemahannya. Serangan itu, sungguhpun memakan banyak tenaga namun masih belum cukup kuat. Serangan itu perlu dilakukan berkali-kali sebelum berhasil meretakkan perisai api milik Hanna itu. Berkali-kali bagi memusnahkan gerakan mempertahankan diri itu.

Serangan itu juga memberi kesan kepada fizikal Nazrey. Hanna yakin, otot lengan serta leher remaja lelaki itu sering berasa kurang selesa setiap kali serangan itu digunakan. Hal itu dapat Hanna kenal pasti pada pusingan sebelumnya. Ketika itu, Hanna dapat lihat Nazrey kerap kali menggerakkan bahagian bahu dan lehernya. Remaja lelaki itu pasti sahaja sedang berusaha menghilangkan rasa sengal yang dialaminya. Ya, pasti sahaja begitu.

Kali ini, Hanna tidak akan membenarkan perisainya dimusnahkan sebegitu mudah. Dia sudah bersedia. Setiap kali Nazrey menyerang perisainya itu dengan rantai apinya, Hanna akan kembali meneguhkan pertahanannya itu. Ya, sedaya mungkin, dia akan melakukan hal itu. Dia tidak akan membenarkan perisai apinya dimusnahkan sebegitu mudah.

“Elemen Api : Peluru Api Jejari!” Hanna menggumam pantas sebaik sahaja peluang terbuka di hadapan mata. Serentak, sepuluh jarinya dinaikkan ke udara. Sepuluh biji bebola api dengan saiz sebesar bola pingpong muncul pada jari-jari tangannya yang comel itu.

Tanpa berlengah, Hanna pantas melepaskan kesemua bebola api kecil itu ke arah bahagian paha dan betis remaja lelaki yang sedang cuba meregangkan sendi-sendi bahagian atas tubuhnya. Amar Nazrey yang baru perasan dengan serangan mengejut Hanna itu pantas mengelak. Tubuhnya digolekkan ke kiri.

“Elemen Api : Naga Penelan Bara!” Amar Nazrey bersuara keras. Dia pantas membuka telapak tangannya. Cuba menyambut peluru-peluru api yang sedang terbang laju ke arahnya. Enam daripadanya berjaya disambut. Satu tersasar jauh. Menerpa laju ke arah dinding batu di belakangnya. Baki yang tiga lagi pula menyasar ke pinggang kirinya. Sejurus, rasa pedih mula dirasa.

Tidak guna betul gadis di hadapannya itu. Apa dia ingat dia hebat sangatkah melakukan serangan tanpa suara. Gadis itu harus diberi pengajaran. Amar Nazrey tanpa berlengah segera kembali berdiri. Jari tangannya disusun rapat bagi membina satu kombinasi tangan. Membentuk terowong angin. Sejurus, dengan jari dirapat ke bibir, Amar Nazrey melaung kuat.

“Elemen Api : Hembusan Naga Berapi!” Amar Nazrey menarik nafas dalam. Amat dalam sebelum kembali menghela nafasnya keluar. Menghela sekali satu serangan api berbentuk kepala naga yang terus menerpa ke arah Hanna Afza.

Hanna terpelanting ke belakang. Serangan yang baru dilakukan Nazrey itu kena tepat pada bahagian atas badannya. Kemeja-T biru muda yang tersarung di tubuh Hanna habis hancur ditelan api merah menyala. Hanna pantas membuang sisa baju lengan panjang itu ke tepi. Membiarkan hanya baju kalis api tersarung di bahagian atas badannya.

“Elemen Api : Hembusan Naga Berapi!” sekali lagi Amar Nazrey melaungkan teknik yang sama. Kali ini dia mahu menyasarkan bahagian bawah tubuh Hanna Afza. Gadis itu memang tidak boleh diberi ihsan.

Namun, serangan kali kedua itu dengan mudah ditangkis oleh Hanna. Dia pantas membina formasi. Sekali lagi, dengan memanfaatkan kebolehan menggunakan teknik Gerakan Hati Naga Api, Hanna Afza segera memanipulasi pergerakan serangan api yang sedang menuju ke arahnya itu. Sepantas kilat, serangan itu dilencongkan kembali ke arah Amar Nazrey di hadapannya.

Nazrey terpelanting ke dinding keras di belakangnya. Badannya ketika itu mula berasa sakit yang tidak menentu. Sakit yang pertama kali menerpa dirinya. Sakit yang selama ini dia anggap sebagai satu kelemahan. Sebagai satu sifat yang tidak patut dimiliki orang hebat sepertinya.

“Tak guna!” Nazrey menderam marah. Dengan api merah mula membalut lengan sasanya, dia datang menerpa ke arah Hanna Afza. Namun, kali ini Hanna sudah bersedia. Bersedia menerima serangan tanpa amaran oleh lawan di hadapannya itu.

Hanna tanpa berlengah pantas mengangkat tangannya tinggi ke udara. Dengan menyasarkan bahagian atas tubuh Nazrey, Hanna mendesis perlahan, “Elemen Api : Pusaran Api Berganda!”

Dua serangan api pantas keluar dari telapak tangan Hanna. Api merah itu pantas berpusar ke udara, bergesel dan membesar antara satu sama lain sebelum menerpa ke arah Amar Nazrey yang sedang membuka langkah mendapatkan Hanna. Serangan mengena!

Kedua-dua belah lengan Amar Nazrey yang sedang disaluti api merah pantas terimpak dek serangan mengejut itu. Tubuh remaja lelaki itu berputar setempat sebelum dia jatuh menyembah lantai. Amar Nazrey sudah tewas di pusingan ini. Hanna sudah berjaya


Pusingan keempat tamat setelah hanpir tujuh minit pertembungan sengit berlangsung. Kali ini Hanna menang dengan mata lima berbalas tiga. Ternyata usahanya berlatih sepanjang minggu kini membuahkan hasil. Amar Nazrey yang dikatakan begitu hebat itu kini sedang berhempas pulas. Berhempas pulas bagi menjuarai pertempuran petang itu.

“Aku tak akan biarkan engkau menang sebegitu mudah!” Amar Nazrey melaung marah. Dadanya ketika itu kencang berombak turun-naik. Remaja lelaki itu sedang dikuasai nafsu marah. Hanna tersenyum mendengar kata-kata yang baru dituturkan oleh remaja lelaki itu. Dia juga tidak akan membiarkan dirinya tewas dengan mudah, Encik Nazrey.

“Pusingan akhir, mula!” Sebaik sahaja suara Akmal Faris kedengaran mengumumkan hal itu, satu serangan mengejut pantas Amar Nazrey lakukan.

“Elemen Api : Bebola Api Berganda! Tahap Dua!” Amar Nazrey melaung kuat. Dia menghayunkan tangannya yang sudah dihuni dua biji bebola api gergasi ke arah Hanna Afza yang masih dalam posisi memberikan tunduk hormat. Serangan itu mengena. Kedua-dua belah lengan Hanna pantas disambar api merah. Api yang pantas merebak ke bahagian dagunya.

Foul! Kau serang bahagian kepala! Tolak satu mata!” Faris bersuara. Memintas pertembungan dari dinding luar. Dia pantas mengacu-acukan penumbuknya ke arah Amar Nazrey yang sedang merenung ke arahnya dengan pandangan jengkel. Aksinya itu pantas ditiru Eric dan Rizqy yang sedang mengapit dirinya.

“Aku serang bahu dia! Bukan kepala!” Amar Nazrey mempertahankan tindakannya. Tanpa disangka-sangka, Hanna Afza mengangguk pantas. Menyetujui kata-kata lawannya itu. Ya, memang serangan itu ditujukan ke arah bahunya. Namun, tanpa dijangka, api merah itu pantas merebak hingga menyentuh dagunya.

“Baik, tak foul! Tapi, aku bagi kau amaran Nazrey,” Faris pantas memberikan amaran sebelum kembali mematikan sambungan ke alat pembesar suara.

Pertempuran kembali bersambung. Kali ini, giliran Hanna untuk menyerang. Dia pantas menadah tapak tangannya separas dada. Sejurus, dua biji bebola api pantas muncul. Terapung di udara. Hanna tanpa berlengah, pantas mengawal pergerakan bebola api itu dengan menggunakan fikiran dan gerakan hatinya.

Kedua-dua bebola api itu pantas melayang ke udara. Terbang meliar ke sana ke mari. Menghentam dinding dan cermin kaca di sekeliling ruangan tempur itu sebelum salah satu daripadanya meluru mendapatkan Amar Nazrey.

“Elemen Api : Perisai Api!” Nazrey bersuara. Serentak, satu perisai merah mula melindungi bahagian hadapan tubuhnya. Bebola api saiz sederhana itu pantas berdentam dengan perisai api tersebut sebelum menghilang di udara.

Namun, malang itu tidak berbau. Sebiji lagi bebola api yang tadinya masih leka berlaga-laga dengan dinding di bahagian atas ruang latihan tempur itu pantas menyerang bahagian belakang tubuhnya. Nazrey, buat kedua kalinya pada petang itu, pantas jatuh tersungkur menyembah bumi.

Hanna menanti sehingga remaja lelaki itu kembali berdiri dalam posisi asalnya sebelum kembali menghidupkan dua biji bebola api di telapak tangannya. Kali ini Amar Nazrey juga sudah sedia menyambut helah Hanna Afza itu. Berani sungguh gadis itu mempermainkan dirinya. Berani sungguh!

“Elemen Api : Perisai Api Sempurna!” Amar Nazrey bersuara tegas. Serentak, satu dinding api pantas mengelilingi tubuhnya. Membiarkan hanya bahagian di atas kepalanya terdedah. Bahagian yang tidak mungkin akan diserang oleh Hanna Afza. Bahagian yang telah dikecualikan oleh gadis itu sendiri satu minggu sebelumnya.

Nazrey mengukir senyum sinis. Buat lagi syarat bukan-bukan. Sekarang, lihatlah! Siapa yang susah selain engkau sendiri, Hanna Afza.

Hanna pantas menolak bebola apinya ke hadapan. Menyerang perisai api yang sedang membaluti tubuh remaja lelaki di hadapnnya itu. Berkali-kali dia melakukan hal yang sama, namun perisai itu tetap sahaja utuh berdiri. Remaja lelaki itu memang bijak. Dia telah menganalisa corak pertempuran Hanna dan kini sedang menggunakan ia untuk kepentingan sendiri. Memang dasar panjang akal.

Hanna tidak boleh membuang masa. Tidak boleh membuang tenaga. Serangannya itu tidak akan berkesan selagi Nazrey masih terlindung di sebalik perisai merah itu. Dia harus memikirkan sesuatu. Memikirkan akal yang baru. Sedetik, Hanna pantas mengukir senyum kecil. Senyuman yang mula menimbulkan rasa kurang senang terhadap Amar Nazrey.

Remaja lelaki itu dengan pantas segera memperkuatkan perisai apinya. Perisainya itu kini mula menjulang hingga dua meter tingginya. Lingkungannya juga semakin luas. Sah, Amar Nazrey sedang dihujani rasa gentar. Gentar menghadapi Hanna Afza.

Hanna cuma tersenyum makin lebar melihat akan tindakan Nazrey itu. Tiada guna remaja lelaki itu berbuat begitu. Hal itu justeru hanya akan memberi untung kepada diri Hanna. Memberi untung dengan bantuan gerakan yang baru dikuasai oleh dirinya tiga hari yang lalu.

“Elemen Api : Naga Pemakan Bara!” Hanna bersuara selamba sebelum mula menarik nafas sedalam mungkin. Menarik segala objek yang berbara di hadapannya. Segala-galanya; termasuk perisai api merah milik Amar Nazrey. Tanpa berlengah, sebaik sahaja perisai itu mula menipis senipis helaian kain, Hanna pantas menghembuskan kembali api merah yang sudah berkumpul di dalam mulutnya.

“Elemen Api : Naga Bara!” Satu serangan berbentuk naga yang lengkap dari kepala hingga ke hujung ekornya, pantas menerpa ke arah Amar Nazrey.

“Elemen Api : Naga Api Ganda Tiga!” Hanna bersuara lagi. Serentak, naga api yang sedang meluncur laju di udara pantas berpecah tiga. Menyerang Amar Nazrey dari kiri, kanan dan hadapan tubuhnya. Remaja lelaki itu pantas terduduk. Wajahnya pantas berubah pucat.

Gadis itu. Gadis yang bernama Hanna Afza itu benar-benar sedang mencabarnya. Sedang menyimbah minyak ke atas api yang sedang marak. Gadis itu memang tidak dapat dimaafkan. Tidak boleh dibiarkan lagi. Gadis itu sedang mendahului pusingan itu. Mendahului dengan dua mata di hadapan. Jika gadis itu berjaya memperoleh satu lagi mata, dirinya akan tewas. Amar Nazrey yang hebat akan tewas.

Dia tidak boleh membenarkan hal itu berlaku. Amar Nazrey orang yang hebat. Orang yang tidak pernah tewas. Dia tidak akan membiarkan gadis itu merosakkan reputasinya. Merosakkan rekod peribadinya. Dia tidak akan membiarkan hal itu terjadi.

Tanpa membuang masa, Amar Nazrey bingkas bangun sebelum melakukan serangan mengejut ke arah Hanna. Serangan tanpa suara. Serangan yang terhasil berdasarkan emosi marahnya yang semakin marak menyala. Serangan berupa tiga biji bebola api sebesar manusia dewasa itu mula meluncur laju di udara. Menerpa ke arah Hanna yang segera membina perisai pertahanan yang baru.

Bebola api yang pertama pantas meluncur tepat ke arah perisai yang belum sempurna itu. Menghancurkan perisai merah itu dalam masa sekelip mata. Sejurus, bebola api yang sebiji lagi pantas menyambar dada Hanna. Disusuli sebiji lagi yang pantas menerkam lengan Hanna yang dijadikan perisai bagi mempertahankan wajahnya. Hanna dipaksa menginjak beberapa langkah ke belakang. Tubuhnya terhentak kecil ke dinding kaca di belakangnya.

“Ambil kau!” Nazrey bersuara puas sebelum ketawa megah. Ketawa bangga. Ketawa dengan keberhasilannya mengikat mata perlawanan.

Hanna kembali berdiri. Dia membersihkan kesan debu pada baju kalis api miliknya sebelum mengambil posisi. Kali ini dia harus lebih fokus. Dia tidak boleh terleka. Dia tidak boleh membiarkan Nazrey memungut mata seterusnya. Dia tidak boleh membiarkan hal itu berlaku. Dia sudah bersusah-payah mara sejauh itu. Mana mungkin dia akan membenarkan dirinya ditewaskan oleh remaja lelaki berego tinggi itu.

Wajah Amar Nazrey direnungnya tajam. Remaja lelaki itu sudah tersenyum girang. Tersenyum seolah-olah sedang meraikan kemenangan yang masih belum pasti dimiliki. Hanna Afza membalas senyuman itu sebelum air mukanya kembali berubah serius. Sah, dia tidak akan bermain-main kali ini. Ini adalah mata terakhir. Mata penentuan. Siapa yang terkena serangan terlebih dahulu, dirinya akan tewas. Dan, Hanna tidak sudi menjadi orang yang tewas itu. Dia tidak mahu.

Nazrey sudah terhenjut-henjut di sudut sebelah sana dengan penumbuk berapi sedang menyala hebat di kedua-dua belah tangannya. Hanna cuma diam memerhati. Dia tidak mahu termakan dengan umpan Nazrey yang masih setia mengacumnya untuk melakukan serangan terlebih dahulu. Dia mahu kekal dengan strategi asalnya. Bertahan kemudian balas. Strategi yang telah dirangkanya semenjak pusingan ketiga lagi.

Melihat akan Hanna yang langsung tidak memberi sebarang respons, Nazrey pantas berteriak kuat. Mahu menggertak Hanna kononnya. Namun, gadis remaja di hadapannya itu langsung tidak terkesan. Sedikit pun dia tidak berganjak. Sedikit pun dia tidak mencorakkan apa-apa reaksi pada wajah putih kuningnya itu.

Nazrey berdengus kecil. Baik, jika itu yang dia mahu, Amar Nazrey akan lakukan. Dia akan melancarkan serangan terlebih dahulu. Serangan yang bakal mengakhiri pertempuran petang itu. Pertempuran yang dia yakin sekali bakal dimenangi oleh dirinya – Amar Nazrey.

“Ambil ni!” Amar Nazrey bersuara. Dua biji penumbuk berapinya dilepaskan ke arah Hanna. Ke arah gadis remaja yang dengan tenang pantas mengubah posisi tubuhnya.

Hanna melonjak ke udara. Dengan mempraktikkan kemahiran lentur badan miliknya, dia melengkungkan badannya ke belakang sebelum menendang penumbuk api itu kembali ke pelancarnya. Kembali ke arah Amar Nazrey yang sedang berdiri teguh di posisinya.

Amar Nazrey pantas menepis serangan itu. Sudah dia agak hal itu yang bakal berlaku. Dia kembali melancarkan serangan yang baru. Kali ini dia membesarkan saiz penumbuk berapinya. Membesarkan saiznya sekali ganda dari yang tadi. Serangan itu, pantas dihalakan ke arah Hanna Afza.

Hanna tanpa berlengah segera melibas serangan itu ke lantai. Sejurus, dia pantas memusingkan tubuhnya di udara sebelum bersuara perlahan, “Elemen Api : Putaran Api!”

Serentak, bagai taufan yang kencang membawa api yang sedang marak, Hanna berputar pantas menerpa Amar Nazrey di hujung sebelah sana. Serangan itu bakal mengena. Serangan yang tidak mungkin dapat dielak kecuali dengan izin-Nya. Ya, serangan itu semakin lama semakin membesar lingkungan jangkauannya. Semakin membesar hingga habis separuh ruang latihan tempur itu dibanjiri api merah.

Sejurus, sebaik sahaja Hanna dapat mengepung Nazrey ke hujung sudut kanan ruang latihan itu, dia dengan pantas segera menghilangkan putaran api gergasi tadi. Meninggalkan hanya hujung kakinya masih kekal disaluti api merah. Dengan laungan takbir bergema dalam hatinya, serangan itu pantas ditujukan ke arah bahu kiri Nazrey.

Serangan yang cukup lembut. Cukup lembut hingga tubuh Nazrey sedikit pun tidak terinjak dari posisi asalnya. Hanya bahunya sahaja terjungkit sedikit. Kepedihan yang baru dirasainya membuatkan dirinya memberi respons sedemikian rupa. Serangan tadi mengena. Serangan yang cukup ringan. Serangan yang telah mengakhiri pertempuran petang itu.

Serangan yang menjadi penentu kemenangan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.