Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Empat Belas – Naga dan Mimpi Buruk

Hanna segera terjaga dari tidur. Dia bingkas duduk. Lidahnya pantas melafazkan ta’awwuz dan beristighfar berkali-kali. Hampir 20 kali dia melafazkan kalimah-kalimah itu, memohon perlindungan dan keampunan daripada Allah. Nafasnya yang tadinya kencang turun naik, akhirnya berjaya dikawal dengan sempurna dua minit kemudian.

Hanna tanpa berlengah segera berpaling ke kiri. Dia melakukan aksi ludah tiga kali. Hal yang sering dilakukannya setiap kali dia diserang mimpi buruk. Setelah itu, tanpa berlengah dia pantas menadah tangan, mengucapkan doa, “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan Syaitan serta jahatnya mimpi.”

Wajahnya Hanna raup lama-lama. Lama sungguh. Entah kenapa hatinya begitu terkesan dengan mimpi yang baru dialaminya sebentar tadi. Mimpi yang membangkitkan kembali memori silam Hanna. Kenangan Hanna dengan ayah. Kenangan perbualan terakhir antara mereka dua beranak. Kenangan yang berakhir dengan satu pesanan yang masih kekal tersemat di hati Hanna sehingga hari ini – jaga diri.

Hanna masih ingat dengan pesanan itu. Hanna masih menjaga pesanan itu. Hanna akan sentiasa menjaganya. Itu pesanan terakhir ayah kandungnya.


Lewat malam itu, Hanna tidak dapat melelapkan matanya kembali setelah tidurnya diganggu dek mimpi buruk. Jam baru menunjukkan pukul 4 pagi. Memang sesuai benar waktunya jika dia bangkit mengerjakan tahajjud pada waktu sebegitu. Tanpa berlengah, dia bingkas bangkit dari katil menuju ke bilik mandi.

Selesai Solat Tahajjud, Solat Witir pula Hanna kerjakan sebagai penutup amalannya hari itu. Mungkin mimpi buruk tadi Allah datangkan untuk beri Hanna peluang mengerjakan amalan sunat. Itulah apa yang Hanna fikirkan. Dia duduk lama di atas sejadah merah yang menjadi alas sembahyangnya. Memikirkan mimpinya sekali lagi.

Haiwan bertubuh panjang yang menyerang Hanna dalam mimpinya tadi, haiwan yang cukup Hanna kenali. Haiwan mitos masyarakat Asia Timur – seekor naga bertubuh panjang. Cuma...

Naga malam itu bukan naga yang biasa. Naga yang selalu menyapa Hanna dalam mimpinya. Naga kali ini adalah naga yang berbeza. Naga kali ini bukan berwarna merah seperti selalu. Naga kali ini bukanlah Akaryu-sama yang selalu menjaga dirinya. Naga kali ini berwarna sungguh indah. Sungguh cantik. Tetapi, kenapa naga itu cuba menerkamnya, cuba mencelakakannya? Hanna termenung sendiri mencari jawapan.

“Naga itu jin ya, ayah?” Hanna masih ingat lagi ketika soalan itu Hanna ajukan kepada ayahnya. Ketika itu usianya baru lima tahun. Itulah kali pertama dia berbual dengan ayah melalui telefon. Itulah kali pertama dia mendengar suara ayah setelah sekian lama.

Soalan Hanna itu tidak segera dijawab oleh ayah. Lama juga ayah diam ketika itu. Mungkin buntu mencari jawapan. Setelah seketika menunggu, barulah ayah bersuara balas, “Naga itu juga makhluk Allah. Ya, memanglah keluarga besar kita di Lembah Pelangi menganggapnya sebagai pelindung yang menjaga tanah kita, tapi...”

“Sebagai orang Islam, ayah percaya, Allah kurniakan kelebihan untuk kaum kita berkomunikasi dengan tujuh naga itu adalah untuk menguji kepercayaan kita. Untuk kita buktikan, bahawa kaum manusia merupakan makhluk yang terbaik,” ayah menyambung hujahnya yang sempat berhenti. Berhenti bagi memberi ruang untuk ayah berfikir lebih mendalam. Berhenti bagi memberi peluang ayah membina kata yang lebih mudah.

“Ingat Hanna, kita yang kuasai naga dengan izin Allah. Jangan sampai naga yang kuasai kita.”

Tanpa sedar Hanna mengangguk laju. Pesanan pertama ayah itu akan kekal tersemat di hatinya yang kental itu. Biarpun sudah hampir sebelas tahun berlalu, pesanan itu akan Hanna pegang. Ya, dia tidak akan pernah membiarkan sang naga menguasai dirinya. Diri yang merupakan seorang manusia – Khalifah di bumi Allah.


Tiba di sekolah pagi itu, wajah Hanna terus mencuri perhatian Eric dan Rizqy. Wajahnya kelihatan pucat sekali. Amat pucat sehingga Eric terlopong seketika melihat rupanya. Kulit Hanna yang cantik bertona putih kuning kini berubah warna menjadi putih pucat. Matanya sembab dan bibir merah jambunya kelihatan kering.

Entah apa punca wajahnya berubah mendadak begitu pagi itu, Hanna juga tidak pasti. Tapi fizikalnya terasa sihat sahaja. Fikirannya juga segar dan dirinya begitu bersemangat untuk memulakan hari. Mungkin kerana dia kurang tidur malam tadi, atau... mungkin kerana mimpi buruknya? Ah, tidak mengapalah! Hanna malas mahu berteka-teki.

Biarlah, mungkin ada hikmah wajahnya berona pucat pagi itu. Yalah, Eric dan Rizqy serta rakan-rakannya yang lain kerap bertanya tentang khabarnya pagi itu. Barulah Hanna tahu betapa khuatirnya mereka semua tentang kesihatan Hanna. Barulah Hanna tahu betapa mereka mengambil berat akan diri Hanna.

“Hanna, awak betul-betul okeykah?” Eric Iskandar yang baru mengambil tempat duduk bersebelahan Rizqy di kafeteria sekolah menyoal. Sungguhpun soalan yang sama telah dia ajukan awal pagi tadi, dia masih saja mahu bertanya lagi. Dia benar-benar bimbang melihat wajah Hanna pagi itu.

“Ya, Hanna! Awak tak cukup rehatkah?” Rizqy menduga. Dia juga khuatir dengan rupa Hanna pagi itu. Khuatir jika dialah yang menjadi penyebabnya. Mungkin cadangan untuk Hanna merebut jawatan sebagai ketua kumpulan Dragon Warrior Junior yang telah membebankan kesihatan rakannya itu. Cadangan yang telah diutarakan oleh dirinya!

“Awak jangan terlampau memaksa. Jika awak tidak lalu, awak berehat saja. Saya, Faris dan Lail langsung tak kisah jika awak tak teruskan pertempuran ini. Kami tak kisah awak menang atau kalah tapi, kami semua pasti akan kisah jika awak sakit dan terbeban begini,” Rizqy mula menzahirkan nada kerisauan.

Sudahlah dia memang cukup merasa bersalah apabila mencadangkan nama Hanna tanpa persetujuan rakannya itu. Cukuplah dia merasa bersalah kerana gagal mempertahankan janjinya dahulu. Kini, melihat wajah Hanna yang sepucat itu, beban rasa bersalahnya semakin bertambah. Berat sungguh rasanya untuk Rizqy memikul perasaan kesal sebesar itu. Berat!

“Hanna...”

“Saya tak apa-apa. Saya okey, awak berdua jangan risau, ya?” belum sempat Rizqy menyudahkan kata-katanya, Hanna pantas mencelah. Dia sengaja menangguhkan suapan nasi goreng cinanya bagi memintas kata-kata rakannya itu. Dia tidak mahu dua orang rakannya terus menduga pelbagai macam.

“Saya cuma bermimpi buruk,” Hanna berterus terang. Ya, dia yakin itulah punca wajahnya menjadi sepucat itu. Dia masih terkejut. Masih terkesan dengan mimpi malam tadi. Sudah itu, tidurnya pula tidak berjaya disambung setelah terjaga akibat mimpi tersebut. Manalah wajahnya tidak berubah pucat.

“Mimpi buruk sampai jadi pucat begini?” Eric menyoal. Cuba menduga logik alasan yang diberikan Hanna. Baginya, wajah rakannya itu tidak mungkin akan berubah sepucat itu hanya kerana mimpi buruk. Mustahil! Wajah rakannya itu pucat bagai orang sedang sakit kuat. Pucat sekali.

“Mimpi yang buruk sekali Eric, mimpi yang sangat buruk,” Hanna bersuara balas. Nada suaranya cukup serius. Sah, Hanna tidak main-main dengan kata-katanya ketika itu. Alasan yang diberikannya itu adalah hal yang benar. Hal yang serius. Hal yang tidak boleh dibawa main.

“Awak mimpi apa?” Rizqy menyoal ingin tahu. Eric yang duduk di sebelahnya turut mengangguk. Dirinya itu juga mahu tahu jawapan bagi hal yang sama.

Kali ini Hanna tidak segera menjawab. Dia diam agak lama. Berfikir-fikir sama ada mahu terus bercerita atau sebaliknya. Akhirnya dia memutuskan untuk terus bercerita. Namun, tidaklah keseluruhan mimpinya. Dia hanya bercerita bahagian yang penting sahaja. Bahagian di hujung mimpinya malam tadi.

“Awak mimpi diserang naga?!” Rizqy bersuara agak kuat meminta kepastian. Mujur sahaja suasana riuh-rendah yang memang cukup sinonim dengan kafeteria kampus kementerian setiap kali tiba waktu rehat berjaya menenggelamkan soalannya itu. Jika tidak, pasti letih Hanna mahu memutar belit cerita jika ada yang mahu menumpang mendengar kisah mainan tidurnya itu.

“Bukankah itu petanda gangguan makhluk halus?” giliran Eric pula bertanya. Dia pernah mendengar hal itu dibicarakan Ustaz Muaz ketika mereka membincangkan tafsir Al-Quran di kelas hafazan beberapa tahun yang lalu.

“Tak perlu risau, Ustaz Zaman ada kata, jika kita berjaya tumpaskan binatang buas itu di dalam mimpi kita, maksudnya, dia tidak berhasil mengganggu kita,” Hanna bersuara balas.

“Maksudnya?” Rizqy dan Eric bersuara serentak. Mengajukan soalan yang sama kepada Hanna. Hanna yang sedang mengunyah nasi goreng cinanya cuma membalas dengan anggukan ringkas. Dia tidak boleh segera menjawab secara lisan dalam keadaan mulutnya penuh sebegitu.

“Ya, saya berjaya tumpaskan naga itu. Saya berhasil kuasai dia,” jawab Hanna selamba. Ya, memang itulah yang berlaku sebenarnya. Setelah puas dia bergelut, dia akhirnya berjaya mencapai kemenangan. Naga itu sudah tumbang. Naga itu sudah dapat dikuasai olehnya.


Ternyata mimpi buruk yang dialaminya memberi kesan yang agak panjang. Wajah Hanna yang pucat itu kekal hampir tiga hari lamanya. Wajahnya itu memanglah saling tak ubah macam orang sakit. Macam wajah mama ketika di saat-saat terakhir hidupnya. Pucat sekali.

Hari Khamis, malam Jumaat – ketika Hanna sedang tekun menghabiskan juadah makan malamnya hari itu, Datuk Tevard bertanyakan hal yang sama kepada Hanna. Mendengar nada suaranya sahaja, Hanna dapat tangkap yang papanya itu benar-benar risau akan kesihatan dirinya.

Ya, memang benar papanya itu sedang risau. Kali terakhir dia melihat wajah Hanna sebegitu pucat adalah dua belas tahun yang lalu. Ketika itu usia Hanna belum lagi lima tahun. Ketika itu puterinya itu diserang demam panas. Dia masih ingat, suhu badan Hanna ketika itu tidak menentu. Kadang-kadang, suhu badan anak kecilnya itu boleh mencapai sehingga 43 darjah selsius. Mujur sahaja anak susuannya itu tidak diserang sawan tarik. Jika tidak, tak tahulah apa yang harus ACP Tevard lakukan.

Ketika itu jugalah keistimewaan yang Hanna miliki mula terlihat. Badan Hanna ketika itu cukup panas bagai sedang dibakar dengan api namun, anak kecilnya itu langsung tidak merengek. Hanna ketika itu masih boleh ketawa. Masih boleh berlari ke sana ke mari dengan gembira. Orang lain risau dan bimbang akan dirinya; tetapi dia pula, masih boleh berseronok dan ketawa gembira.

Datuk Tevard masih ingat. Malam sebelum Hanna mula diserang demam panas itu, Hanna bermimpi buruk. Puterinya itu, seawal jam empat pagi telah datang mengetuk pintu bilik tidur dia dan isteri. Hanna ketika itu sedang menangis. Mulutnya tidak henti-henti menceritakan mimpi buruknya. Itulah pertama kali dia melihat diri Hanna menangis sedemikian rupa. Menangis ketakutan. Menangis meminta perlindungan.

Malam-malam seterusnya, Hanna masih bermimpi ganjil. Anak kecilnya itu masih saja akan melaung dan menjerit di dalam mimpinya. Namun laungan itu bukanlah laungan orang yang sedang takut. Bukan juga laungan seseorang yang dalam kesusahan mahupun jeritan yang menunjukkan kesakitan. Laungan itu laungan gembira. Laungan yang kadang-kadang disusuli ketawa kecil. Hanna seakan-akan sedang bermain. Sedang berseronok di dalam mimpinya.

Apabila ACP Tevard tanyakan kepada Hanna apa yang puterinya itu mimpikan, Hanna akan mula bercerita panjang. Cerita tentang teman yang sering berkunjung di dalam mimpinya. Teman yang ternyata menjadi punca perubahan mendadak terhadap suhu badan Hanna sejak dua minggu sebelumnya. Teman yang hadirnya bukan sekadar melawat mimpinya. Teman itu teman yang istimewa. Teman yang berupa seekor naga!

Datuk Tevard berpaling ke arah Hanna yang sedang membilas pinggan makannya di sinki dapur. Entah bila anaknya itu menyudahkan makan malamnya, dia sendiri tidak sedar. Ah, itu tidak penting! Yang penting baginya ketika itu hanyalah satu. Mencari tahu mengapa wajah anaknya itu boleh sepucat itu. Apa mungkin ia disebabkan hal itu lagi?

“Dia akan alaminya sekali lagi, Harris. Dan, ketika itu, barulah dia benar-benar bersedia,” kata-kata Fuji Yuta 12 tahun yang lalu kembali terngiang-ngiang di telinga Datuk Tevard. Kata-kata berbentuk peringatan. Kata-kata yang masih kekal dalam memori Datuk Tevard.

“Papa?” Hanna yang sudah selesai membersihkan pinggan makannya bersuara hairan. Hairan dengan sikap papanya pada malam itu. Sudah hampir 15 minit papanya duduk termenung begitu. Sisa nasi yang terlekat di hujung jari papanya itu juga sudah mula mengeras.

“Ya?” Datuk Tevard pantas keluar dari menungan panjangnya. Dia kembali berpaling ke arah Hanna. Wajah anak gadisnya itu direnung lama. Wajah itu sudah kurang pucatnya berbanding dua hari yang lalu. Dia tersenyum lega. Senyuman yang semakin menambahkan rasa hairan kepada diri Hanna.

“Papa okey atau tak?” Hanna menyoal. Dia mahukan kepastian.

“Papa okey, kamu jangan risau,” Datuk Tevard membalas. Dia pantas bangkit dengan pinggan makan ditatang di tangan. “Dan, Hanna...”

“Ya?” Hanna yang sudah membuka langkah bagi meninggalkan ruang makan kembali berhenti.

“Ingat, kita kuasai naga, jangan biar naga kuasai diri kita,” Datuk Tevard menitip pesan sebelum melangkah ke dapur. Hanna diam seketika. Cuba mengerti apa yang mahu disampaikan oleh papanya itu. Setelah otaknya dapat menangkap maksud pesanan papanya itu, Hanna pantas mengangguk kecil.

Hanna tahu itu. Pasti papa sudah dapat meneka apa punca wajah Hanna menjadi pucat sebegitu. Bagaimana papa tahu, Hanna tidak pasti. Yang penting adalah pesanan papanya. Pesanan serupa yang pernah ayah titipkan kepadanya bertahun yang lalu. Pesanan yang akan Hanna jaga hingga hujung nyawa.

Datuk Tevard tersenyum kecil melihat wajah penuh azam milik Hanna Afza. Wajah itu memanglah saling tak tumpah seperti Ain Safwah, adik seibunya. Wajah yang memiliki rona warna mata yang cukup menarik. Rona mata yang Hanna warisi daripada ayah kandungnya. Rona mata kebanggan puak api Fuji. Rona mata merah tua.

“Yuta, Hanna kini sudah sedia, kau tahu?” Datuk Tevard bersuara separa berbisik. Tanpa sedar senyuman tawar terukir pada wajahnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.