Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Prolog : 17 Tahun Yang Lalu

Malam itu rembulan mengambang terang. Bunyi sang pungguk yang sedang bertenggek di dahan paling tinggi sayup-sayup kedengaran. Lelaki yang sedang bersandar pada batang pokok itu merenung ke atas. Memang cantik sungguh bulan pada malam itu. Jika bukan kerana dia sedang bertugas, dan jika bukan kerana ada hal yang merunsingkan sedang berlaku ketika itu, pasti saja malam itu ialah malam yang indah dan menarik.

“Tuan,” satu suara halus menegur lelaki itu. Dia menoleh. Seorang pemuda berpakaian preman menghulurkan satu cawan polisterina berisi kopi hitam pekat. Dia menyambut huluran itu.

“Terima kasih, Sarjan,” ucap lelaki itu perlahan. Dia mula meneguk air kopinya hingga habis.

“Tuan tak perlulah berkawal seperti ini. Dah lebih 24 jam tuan memerhati bangunan ni tanpa rehat. Biarlah saya dan rakan-rakan yang lain gantikan posisi tuan. Kami tahu, tuan pasti letih,” ujar anggota polis berpangkat sarjan itu.

“Tidak mengapa sarjan, saya sudah biasa. Saya pernah tidak tidur selama tiga hari berturut-turut sebelum ni, kamu tahulah, kes tawanan 100 tebusan dahulu.”

“Yang tuan jadi hero itu? Saya memang selalu dengar,” sarjan itu menyampuk. Dia tersengih sendiri. Lelaki di hadapannya itu memang bukan calang-calang pegawai polis. Lelaki itu telah selesaikan pelbagai kes yang rumit. Kes berprofil tinggi yang memerlukan tahap kesabaran yang cukup tinggi. Dia memang tabik betul dengan lelaki itu. ASP Tevard memang hebat!

ASP Tevard menjungkitkan sebelah keningnya. Hairan sungguh dia melihat gelagat anak buahnya itu. “Kenapa kamu senyum-senyum begitu, sarjan?” soalnya dalam nada serius. Dia sedaya upaya cuba menyembunyikan rasa ingin ketawanya. “Ada kesan kopi comotkan muka sayakah?” dia menambah satu lagi soalan sambil berpura-pura mengelap bibirnya. Dia yakin tiada kesan kopi yang tertinggal di situ. Dia memang selalu menjilat sekeliling bibirnya; baik selepas makan mahupun minum. Itu sudah jadi tabiatnya sejak dia kecil.

“Tak ada apa-apa, tuan!” Sarjan itu berdiri tegak dan mula membuat mimik muka serius. Hati ASP Tevard dicuit lagi, dia sudah tidak dapat menahan rasa lucunya. Lekas-lekas dia berpura-pura batuk bagi menyelindungi ketawa kecilnya.

“Sudahlah, sarjan. Saya nak ke bilik air sebentar. Tolong gantikan posisi saya di sini, terus perhatikan sasaran!” ASP Tevard memberi arahan. Dia kemudiannya membuka langkah menuju ke tandas awam di hujung taman rekreasi bersebelahan pangsapuri mewah yang sedang diawasinya itu.

ASP Tevard mencuci mukanya. Dia mahu dirinya berasa lebih segar. Dia merenung sekilas ke arah jam yang terkancing kemas di tangan kirinya. Pukul 2.30 pagi. Sudah hampir 30 jam dia berkawal di kawasan kediaman mewah itu. Sudah 30 jam juga dia tidak berjumpa dengan isteri dan anaknya. Pasti Adam sudah mula merindui papanya ini.

ASP Tevard menarik nafas dalam-dalam. Dia mula berdoa, berharap agar pasukannya dapat menyelesaikan kemelut merepek yang sudah melanda Asia Timur sejak seminggu yang lalu. Dia langsung tidak dapat berfikir dengan jelas tujuan kumpulan misteri yang sedang diburunya itu menculik bayi-bayi yang baru berusia 2 tahun, malah ada yang lebih muda lagi. Ada apa yang istimewa pada anak sekecil itu. Mereka masih tidak tahu apa-apa.

Mahu kata yang mereka hendak minta wang tebusan, bukan. Tiada langsung panggilan atau permintaan yang menyusahkan dari para penculik itu. Mereka cuma mengambil bayi-bayi itu tanpa pengetahuan penjaganya dan memulangkan bayi-bayi itu semula dalam keadaan selamat pada keesokkan harinya. Tiada apa yang dilakukan pada bayi-bayi itu. Tiada apa kecuali satu parut kecil yang ditinggalkan pada beberapa orang bayi.

Kesemua bayi yang telah dipulangkan pasti dibawa menjalani pemeriksaan. Tiada keganjilan yang dapat ditemukan oleh pasukan perubatan. Tiada siapa yang dapat menjawab apa yang menyebabkan parut itu terhasil. Semua orang menjadi buntu.

Para ibu dan bapa mula menggugurkan dakwaan mereka. Bagi mereka, jika bayi mereka telah dipulangkan dengan selamat, ia sudah dikira sebagai satu rahmat yang besar. Mereka tidak mahu mempermanjangkan cerita. Biarlah hal itu selesai begitu sahaja. Mereka tidak mahu pihak polis terlibat lagi. Tidak mahu memperburukkan keadaan yang sudah kembali membaik.

ASP Tevard mengeluh. Dia begitu berharap agar hal itu dapat dihentikan oleh pasukannya. Pasukan yang ditubuhkan khas bagi melumpuhkan sindiket gila itu. Pasukan yang diketuai olehnya. Dia tidak mahu ada bayi dari negara lain pula yang menjadi mangsa. Biarlah 17 orang bayi yang dilaporkan hilang di Malaysia malam semalam menjadi mangsa terakhir sindiket itu.

“Tuan!” satu suara kedengaran cemas memanggilnya. Pintu masuk ke tandas awam itu dirempuh kuat. Dada pegawai polis muda itu berombak laju. Nafasnya tercungap-cungap. Nampak sangat dia telah berlari sepantas mungkin bagi mendapatkan Tevard di tandas awam itu. Pasti ada sesuatu hal yang telah berlaku. Pasti ia berkaitan dengan sindiket itu.

ASP Tevard berjalan laju mendapatkan pegawai bawahannya itu. Dia mahu tahu apa yang telah berlaku. Namun, belum sempat pegawai itu memulakan bicara, dirinya tiba-tiba menjadi kaku, sebelum mula rebah tidak sedarkan diri. Pantas ASP Tevard bergerak bagi menyambut anak buahnya itu. Dia dapat melihat satu kelibat berpakaian serba hitam sedang berdiri lima kaki dari pintu masuk tandas awam itu. Seketika, dia juga rebah tidak sedarkan diri.


“Sudahlah, Harris. Tiada siapa yang harus dipersalahkan,” ASP Jamil yang kelihatan kemas dalam seragam biru tuanya bersuara. Dia menarik kerusi di hadapan meja kayu itu sebelum duduk dengan sopan. Bahu lelaki dewasa yang sedang membelakanginya itu ditepuk dua kali.

ASP Tevard menoleh. Matanya bengkak, sah sudah dua hari lelaki itu tidak tidur selepas tersedar di hospital. ASP Jamil menggeleng. Rakannya itu memang hantu kerja. Langsung tidak peduli walau badannya tidak direhatkan berhari-hari. “Sudahlah...”

“Ya, ya. Kau cakap benda yang sama sejak petang tadi, Mil. Aku cuma fikir, apa yang menyebabkan kami semua tak sedarkan diri,” balas ASP Tevard. Dia mendengus geram sebelum berpaling menghadap rakan sejawatnya itu.

Jamil tersengih. “Bukankah kau setuju dengan pendapat aku yang kauorang semua dah dipukau, nak fikir apa lagi?” dia menyoal seraya membetulkan duduknya. Kakinya disilangkan dan tangannya memeluk erat tubuh kurusnya.

“Pukau ni Ris, bukan mudah dilawan. Bukan mudah ditentang. Malah nak lihat pun susah. Pukau ni kerja jin yang bersekongkol dengan manusia durjana. Senjata halimunan. Bukan semua orang dapat mengelak pukau. Malah aku rasa tak ada satu pun orang biasa macam kita ni dapat elak pukau tu, kecuali dengan kehendak-Nya, kau tahukan? Kau lihat sajalah buktinya, habis satu pasukan kau tidak sedarkan diri malam itu,” ASP Jamil menambah. Dia kelihatan serius mengutarakan pandangannya. Kadang-kadang dia terangguk-angguk malahan ada ketika dia memejamkan matanya. Ada gaya penceramah pula Jamil ni, getus hati ASP Tevard.

“Aku tahu itu, aku tahu. Aku cuma rasa ada sesuatu yang ganjil. Aku tak rasa itu pukau. Aku rasa macam, macam ada satu renjatan elektrik melalui tubuh aku waktu tu. Macam kena stun-gun, kau tahulah...”

“Ah, sudah! Stun-gun pula katanya,” ASP Jamil mencelah. Dia berdiri. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. “Doktor dah periksa kau Ris. Kan? Mana ada kesan renjatan... atau apa-apalah pada tubuh kau, itu memang pukau,” ASP Jamil masih kekal dengan teori penggunaan pukaunya. Dia berjalan menuju ke pintu kayu di hujung ruangan kerja itu sambil kepalanya digeleng-gelengkan.

Tombol pintu itu dicapai dan dipulas. Pintu itu dibuka seinci sebelum ASP Jamil kembali berpaling ke belakang. “Kau jangan fikir sangat hal tu, Ris. Baik kau balik, jumpa anak, isteri kau kat rumah tu. Aku yakin, mereka pasti rindu dekat kau.”

Sejurus melihat ASP Tevad mengangguk, ASP Jamil mengangkat tangan kirinya sebelum berlalu keluar dari ruang kerja peribadi itu. ASP Tevard menarik nafas panjang. Dia bangkit dari duduk dan menggeliat. Benar, Adam dan isterinya pasti ternanti-nanti kepulangan dirinya. Sudah lima hari dia bertugas di luar. Sudah lima hari juga dia tidak pulang ke rumah.

Dia harus pulang. Ya, dia harus pulang sekarang!


Hujan lebat mencurah membasahi bumi malam itu. ASP Tevard berlari mendapatkan keretanya yang telah diparkirkan di kawasan terbuka sejak lima hari lalu. Dia menekan punat kunci automatik dan segera menyusup masuk ke dalam kereta Honda Civic keluaran tahun 1991 itu.

Tuala bersih yang memang sentiasa disediakan dalam papan pemuka kereta itu dicapai. Wajahnya yang sudah lencun dibasahi hujan dikeringkan segera. Dia menarik zip jaket kerjanya ke bawah. Jaket itu ditanggalkan dan diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang hadapan. Dia menggeliat beberapa kali dan berbisik membaca doa menaiki kenderaan sebelum memulakan perjalanan untuk pulang ke rumah.

Keretanya ASP Tevard pandu dengan berhati-hati. 10 minit dia menyusuri jalan raya yang licin itu sebelum isyarat membelok ke kanan diberikan. Dia membelok melintasi gerbang masuk ke kawasan perumahan moden itu. Hujan beransur reda tatkala kereta yang dipandunya itu memberi isyarat masuk ke kiri, ke lorong keempat taman perumahan itu. Lorong di mana, rumah tempat dia sekeluarga berlindung dan berteduh tersergam megah di hujungnya. Rumah yang baru didiaminya tidak sampai tiga bulan yang lalu.

ASP Tevard mengurangkan kelajuan pengelap cermin keretanya, matanya kini menangkap sesuatu. Sesuatu yang ganjil. Dia menarik brek tangan ketika kereta itu melintasi rumah Puan Loi, jiran sebelah rumahnya. Dia berpaling, meregangkan tangannya bagi membolehkan dia mencapai payung di lantai bahagian penumpang belakang. Pintu kereta itu dibuka, ada sesuatu yang harus dipastikan. Sesuatu di hadapan pintu pagar kediamannya.

ASP Tevard mengembangkan payung di tangannya. Kaki kanannya diturunkan ke jalan tar yang dibasahi air hujan. Kedengaran bunyi berlecak-lecuk air dipijak. Dia berjalan menghampiri pintu pagar rumahnya. Ada sesuatu sedang berada di situ. Sesuatu yang memancarkan nyalaan api merah.

Lama bakul rotan yang dialas dengan lapik khas itu ASP Tevard renung. Seorang bayi sedang menangis dengan badannya diselaputi api merah. Api yang bertujuan untuk melindungi. Ya, bayi itu sedang dilindungi oleh api tersebut. Perlahan-lahan ASP Tevard menghulurkan tangannya bagi mengalihkan bayi itu.

Telapak tangannya mula terasa panas dan pedih. Namun, sebaik sahaja dia menyentuh kulit bayi itu, kesakitan itu mula menghilang. Perlahan-lahan, dia mengangkat bayi itu dari bakul tersebut. Sekeping sampul surat kulit tergeletak jatuh ke lantai bersimen yang basah. ASP Tevard membongkok lagi. Sampul itu dikutipnya.

Dia mengendong bayi itu dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi memegang payung. Sampul kulit tadi pula dikepitnya di celah lengan. Langkahnya pantas dibuka menuju ke dalam kereta. Suis pintu pagar automatik rumahnya ditekan. Setelah pintu pagar terbuka, dengan sebelah tangan sedang memeluk erat seorang bayi, dia memandu masuk ke kawasan garaj rumahnya dengan berhati-hati.

Lama ASP Tevard merenung dan meneliti dokumen-dokumen yang tadinya disusun kemas dalam sampul kulit. Bayi perempuan yang masih dipeluk rapat ke tubuhnya kini sudah lena dibuai mimpi. Wajah bayi perempuan itu direnung lama-lama. Tanpa sedar, air matanya mula jatuh membasahi pipi.

Lao gong,” satu suara memecahkan kesunyian malam itu. Memecahkan kesedihan yang sedang melanda ASP Tevard. Dia berpaling ke cermin tingkap yang sejak dari tadi diketuk dari luar. Isterinya sedang merenung ke arahnya dengan wajah risau. Enjin kereta dimatikan. ASP Tevard menarik punat kunci dan mengesat air matanya sebelum menolak perlahan pintu kereta dari dalam. Wajah sayunya diperlihatkan kepada isterinya.

“Kenapa ni, lao gong?” lembut sahaja suara isterinya menyoal. “Anak siapa ni? Ada orang tinggal depan rumah kita ke, lao gong?” bayi perempuan yang kini mula merengek itu diteliti wajahnya. Bayi itu comel dan cantik.

“Ain,” gumam ASP Tevard. Pertuturannya lemah dan tidak jelas. Dia masih diulit kesayuan. Namun, tanpa perlu diulang sebut, isterinya dapat menangkap kata-katanya itu.

“Kenapa dengan Ain? Ini dia punya baby ke? Kenapa dia bagi pada kita?” bertalu-talu isterinya itu membina soalan. ASP Tevard mengalihkan pandangannya pada dokumen-dokumen yang kini berserakan di tempat duduk penumpang bahagian hadapan. Dia menarik nafas dalam.

Dengan nada berat hati, ASP Tevard bersuara, “Ain dah tak ada, Li. Dia dah mati dua hari lepas.” Dia cuba menahan tangis, namun tidak berhasil. Air matanya kembali bercucuran di pipi. Kali ini lebih deras.

“Apa jadi sama Ain? Yuta?”

“Yuta tak apa-apa, tapi dia minta kita jaga anak dia ni. Dia ada urusan di kampung. Ain... memang ajalnya sudah tiba,” tutur ASP Tevard diselangi esakan kecil. Memang dia jarang menangis. Memang. Namun, berita pemergian Ain Safwah, adik seibunya, berjaya meruntunkan jiwa lelakinya. Adiknya itu mati mempertahankan keluarga. Mempertahankan bayi yang kini sedang berada dalam kendongan ASP Tevard. Bayi yang bernama Hanna Afza.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.