Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Sembilan – Markas Mewah

Sudah dua hari berlalu semenjak peristiwa di Diamond Park tempoh hari. Sudah dua hari juga rangkaian berita, baik media cetak waima media eletronik telah membuat pelbagai spekulasi tentang kejadian ‘gempa bumi’ kecil yang telah merosakkan sebahagian daripada taman rekreasi itu. Mujur sahaja Datuk Tevard ada kerja luar, jika tidak, pasti sudah dua hari juga Hanna terpaksa menjalani soal siasat oleh Datuk Tevard.

Berita tentang kemusnahan bahagian tenggara taman rekreasi itu telah menjadi topik bualan penduduk sekitar. Warga Akademi Pendidikan Utara juga tidak terkecuali. Peristiwa di Diamond Park telah menjadi berita hangat yang heboh diperkatakan. Baik di kalangan pelajar mahupun guru, masing-masing sibuk berbincang tentang kejadian luar biasa itu.

Hanna dapat rasakan bahawa hanya dirinya sahajalah yang tidak bising-bising membincangkan berita tersebut di sekolah persendirian itu. Eric masih ditahan di hospital. Mujurlah kewujudan sel naga di dalam badannya membantu mempercepatkan proses penyembuhan kulitnya yang melecur.

Hanna perasan ada seorang lagi individu yang tidak membawa gosip tentang kejadian di Diamond Park itu. Namun, rasa sakit hatinya menyebabkan dirinya tekad mahu menjauhkan diri daripada individu tersebut.

“Hai, Hanna,” Rizqy menyapa. Dia mengukir senyum.

Hanna diam. Sapaan Rizqy tidak dibalas. Dia masih marah dengan remaja lelaki itu. Otaknya masih gigih memainkan semula kejadian dua hari lepas. Hanna masih belum mampu memaafkan Rizqy. Baginya, Rizqy telah merosakkan tali persahabatan mereka. Baginya, Rizqy jugalah yang telah mengakibatkan Eric cedera.

Hanna bangun dari duduk. Sandwic sardin yang menjadi menu sarapan paginya hari itu segera dihabiskan. Segala buku rujukan yang berselerak di atas meja pantas Hanna sumbat ke dalam beg galasnya. Dia sudah mula jelik melihat wajah Rizqy. Hanna lekas-lekas bangun. Dia mahu segera beredar dari situ.

“Hanna! Saya minta maaf!” Rizqy separa menjerit, namun Hanna tetap meneruskan langkahnya. Rakannya itu masih terus memulaukannya.


Tamat sahaja sesi persekolahan hari itu, Hanna tidak terus pulang ke rumah. Dia mahu singgah sebentar di hospital. Dia sudah berjanji dengan Eric. Tiba sahaja di hospital, Hanna terus mendaki tangga menuju ke tingkat tiga. Dia tidak mahu membuang masa menunggu lif.

“Eric, assalamualaikum!” Hanna memberi salam sambil tangannya pantas menolak daun pintu. Dia mengukir senyum namun, senyumannya kali ini tidak bertahan terlalu lama.

“Apa yang awak buat di sini?” Hanna menyoal geram. Telunjuknya terus menuding ke arah Rizqy yang sedang duduk di sisi katil Eric. Ternyata kehadiran Rizqylah yang telah memudarkan senyuman manisnya.

“Saya...” Rizqy teragak-agak untuk menjawab. Dia berpaling ke arah Eric.

“Rizq datang melawat saya,” Eric memintas kata-kata Rizqy.

Apa?!” Hanna bersuara terkejut.

“Rizq datang melawat saya. Awak tak dengar, ke?” Eric bersuara lagi. Nada suaranya bersahaja. Sengaja dia berbuat demikian. Dia mahu Hanna tahu bahawa dia sudah memaafkan Rizqy.

“Dia siap bawa coklat lagi,” Eric menunjuk ke arah satu bar coklat di atas meja katil. “Awak bawa apa pula untuk saya?”

“Kenapa awak benarkan dia masuk?” Hanna menyoal. Nada suaranya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. Dia menjeling Rizqy tajam-tajam. Memberi isyarat agar Rizqy segera meninggalkan bilik rawatan itu. Rizqy bangun. Dia tidak mahu kehadirannya di situ mencetuskan perbalahan antara Hanna dan Eric.

“Saya... balik dulu,” Rizqy meminta diri. Namun, belum sempat langkahnya dibuka, tangannya telahpun berada dalam cengkaman Eric.

“Awak tak perlu nak tergesa-gesa begini,” Eric bersuara. Cengkamannya dilonggarkan.

“Eric!” Hanna menderam marah. Jelingan yang dari tadi terfokus kepada Rizqy seorang kini turut ditujukan kepada Eric.

“Hanna, tak baik awak buat begitu. Rizq kawan kita,” ujar Eric lembut. Dia mengukir senyum tipis. Cuba meredakan rasa marah Hanna. Sungguh pun Rizqy adalah saingan cintanya, namun sebagai sahabat, Eric rasa dia bertanggungjawab memelihara hubungan Hanna dan Rizqy.

“Itu dulu!” Hanna bersuara tegas.

“Hanna, sekali kita membuat kawan, selama-lamanya kita akan berkawan,” Eric membalas sebelum menyatakan pendirian dirinya, “Rizqy masih kawan saya. Dia akan jadi kawan saya selama-lamanya.”

“Apa yang awak cuba katakan? Sebab dialah, awak berada di sini!” Nada suara Hanna semakin tinggi. Dia terus menyalahkan Rizqy.

“Itu takdir saya, saya terima dengan ikhlas. Awak jangan lupa, jika bukan kerana Rizq, mungkin awak juga akan tercedera akibat serangan Nazrey tempoh hari,” Eric mengingatkan Hanna. “Awak mesti ingat, Hanna,” Eric menambah.

Hanna diam. Dia tidak boleh menafikan hal itu. Dia tidak boleh menafikan perkara yang benar. Tiba-tiba, rasa kesal menyelubungi hati kecilnya. Kenapalah dia tidak boleh berfikiran lebih positif? Kenapa dia tidak seperti Eric? Kenapa dia mesti bertindak hanya berlandaskan gerakan hati? Kenapa dia harus mementingkan rasa dendam dan amarah? Kenepa dia tidak mahu segera memberi maaf kepada Rizqy? Soalan-soalan itu lekas-lekas menghujani fikiran Hanna.

Hanna berpaling ke arah Rizqy. Riak wajahnya kini kembali tenang. Anak matanya sudah berhenti menjeling Rizqy. Dia tertunduk. Kesal dengan sikapnya. Kesal dengan tingkahnya selama dua hari ini. Kesal terhadap layanan kasar yang telah dia lakukan terhadap Rizqy.

“Saya minta maaf,” Hanna bersuara perlahan. Rizqy tersentak. Dia memberanikan dirinya merenung tepat ke arah Hanna. Hatinya lega melihat wajah Hanna tidak lagi menampilkan emosi marah.

“Saya yang sepatutnya minta maaf daripada awak dan Eric,” Rizqy menggumam. “Memang patut awak berdua marah kepada saya. Sayalah yang beritahu Nazrey tentang kebolehan awak berdua. Saya juga yang beritahu dia tentang rancangan kita untuk beriadah pagi itu. Saya yang salah, saya minta maaf,” Rizqy menambah. Air matanya berderai jatuh, membasahi pipinya. Kemacoannya hilang terus dari wajahnya.

“Saya maafkan awak,” Hanna membalas.

“Kawan?” Hanna menyoal.

“Kawan!” Eric melaung dengan kuat. Rizqy hanya membalas dengan senyuman sambil tangannya tekun mengeringkan pipinya.


“Awak masih tak boleh pakai kasutkah?” Hanna menyoal. Dia merenung kaki Eric yang tersarung sandal berjenama. Eric tidak menjawab. Dia cuma tersenyum, seolah-olah bangga kerana dapat bergaya dengan sandal berjenama di sekolah.

“Awak rasa?” Eric menyoal kembali. Dia mengangkat-angkat keningnya Mencabar Hanna untuk menjawab soalannya sendiri.

“Bukankah waktu awak balik dari hospital semalam, awak dah boleh pakai kasut?” Eric berpaling ke arah Rizqy. Telunjuk kirinya diletakkan ke bibir, memberi arahan agar Rizqy senyap. Setelah itu, dia berpaling semula ke arah Hanna. Dia tersengih sendiri. Hatinya benar-benar berharap agar Hanna tidak mendengar apa yang dibicarakan Rizqy.

“Awak tipu, ya?” Hanna bersuara. Dia menggoyang-goyangkan telunjuknya di hadapan mata Eric. “Tapi... seronok juga ya, dapat pakai sandal ke sekolah?” Hanna menambah. Dia mula terbayangkan kakinya tersarung sandal kegemarannya sambil memakai seragam sekolah.

Sengih Eric makin memanjang. Dia sendiri memang tidak begitu faham dengan perangai Hanna, tetapi hatinya lega kerana ‘kebohongannya’ kali ini dapat dirahsiakan.

“Oh, ya! Apa yang awak mahu beritahu kami tadi Rizq?” Eric menyoal. Dia cuba menukar topik perbualan. Harapannya agar tiada lagi yang akan mengungkit pasal kakinya. Dan ternyata, soalan Eric itu berjaya mengalih tumpuan Hanna.

Hanna turut sama menyoal, “betul tu, Rizq. Apa yang beria-ia awak nak bincangkan dengan kami tadi?”

“Er...” Rizqy serba-salah. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, memerhati kalau-kalau ada yang cuba pasang telinga.

“Saya nak bercakap tentang Dragon Warrior Junior,” Rizqy memulakan bicara. Hanna dan Eric saling berpandangan. Walaupun berasa kurang senang, namun mereka masih mahu mendengar apa yang Rizqy mahu sampaikan.


Aktiviti kokurikulum mingguan akan bermula sebentar lagi. Selesai melaksanakan Solat Zohor di masjid Akademi Utara, Hanna, Eric dan Rizqy terus menuju ke kafetaria. Mereka mahu mengisi perut yang kosong.

“Rizq cuma tunggu persetujuan daripada awak. Tak ambil masa lebih lima minit pun,” Eric bersuara. Dia terus mengikut langkah Hanna ke kaunter pesanan.

“Senang saja awak bercakap!” Hanna membidas. Dia mengisi piring kosongnya dengan sebungkus nasi goreng serta sekeping telur goreng mata kerbau. “Neslo ais satu, Mak Su!”

“Siap!” Mak Cik Suria, pemegang tender kafeteria kampus kementerian menyahut. Dia segera ke belakang untuk menyiapkan pesanan Hanna. Hanna bergerak ke meja yang paling hampir dengan kaunter pesanan. Dia membuka bungkusan nasi gorengnya lalu mencapai sepasang sudu dan garpu. Selesai doa dibaca, Hanna segera menyuapkan nasi goreng ke mulutnya.

Eric dan Rizqy turut memilih juadah yang sama. Mereka mengambil tempat duduk bertentangan dengan Hanna. Hanna terus memulakan makan siangnya tanpa mempedulikan kedua-dua orang rakannya itu.

“Hanna...” Eric memanggil nama Hanna. Lembut sahaja suaranya. Wajah Hanna direnung lama-lama namun, rakan perempuannya itu terus bertindak tidak menghiraukannya. Eric mengeluh.

“Awak hanya perlu pilih, sama ada awak setuju atau tidak. Tak susah pun!” Eric bertegas. Dia terus merenung Hanna. Bungkusan nasi gorengnya belum terusik.

“Eric, setiap perkara yang kita mahu lakukan, harus difikir baik, buruknya. Untung, ruginya. Kita tak boleh senang-senang buat keputusan dengan hanya berkata iya atau tidak,” Hanna membalas. Dia menjelaskan prinsip yang dipegangnya kepada Eric. Suapan nasi goreng ke mulutnya terhenti. Wajah Eric dan Rizqy direnung, meminta agar kedua-dua rakannya itu mengerti.

“Sejak bila awak rajin berfikir, ni?” Eric bertanya. Dia hairan dengan perubahan sikap Hanna. Adakah rakannya ini sudah semakin matang?

“Sejak bila pula awak malas berfikir?” Hanna membalas soalan Eric dengan soalan. Dia mula menyambung sesi makan siangnya. Eric terdiam. Memang benar kata Hanna, kebelakangan ini, Hanna lebih banyak berfikir berbanding dirinya. Personaliti dirinya seakan-akan telah berpindah kepada Hanna, dan personaliti Hanna pula telah beralih kepadanya. Oh, tidak!

Walaupun demikian, Eric tidak mahu berputus asa. Dia betul-betul mahu Hanna memberikan kata putus dengan segera. Dia cuba berhujah, “tapi, Hanna...”

“Tiada tapi-tapi, Eric... tiada tapi-tapi,” belum habis Eric bersuara, Hanna telah memintas. Sambil mengunyah suapan terakhir nasi gorengnya, dia menambah, “saya masih perlukan masa untuk berfikir!”

Eric dan Rizqy saling berbalas pandang. Kali ini, mereka sudah tidak tahu bagaimana mahu memujuk Hanna. Mereka mengerti, Hanna sedang bertegas dengan kata-katanya. Mereka mengalah. Biarlah masa sahaja yang menentukan keputusan yang bakal dipilih Hanna.

Hanna mengerling wajah kecewa Eric dan Rizqy. Gelas yang berisi Neslo Ais diletakkan kembali ke atas meja. Hanna menghela nafas pendek. Dia tidak mahu kedua-dua orang rakannya itu terus memasamkan muka. Dia harus mengambil tindakan. Dia harus bersuara.

“Mungkin... jika saya ikut awak ke perjumpaan Dragon Warrior petang besok, saya akan mendapat jawapannya. Siapa tahu, mungkin?” Hanna berkata selamba. Dia lekas-lekas menghirup Neslo Aisnya hingga licin. Sambil-sambil itu, wajah Eric dan Rizqy dikerlingnya sekali lagi. Senyuman kini sedang menghiasi wajah dua orang remaja itu.


“I-CoST de Prima, betullah ni!” Hanna bersuara yakin. Dia masih jelas mengingati alamat yang diberikan Rizqy semalam. Eric dan Hanna hanya berdiri di luar kawasan kediaman mewah itu. Untuk masuk ke dalam, mereka memerlukan pas khas. Mereka harus menunggu Rizqy tiba sebelum dapat meninjau ke dalam bangunan apartment gergasi itu.

Hanna merenung lama papan tanda besar yang tersergam indah bersebelahan pintu masuk ke kawasan apartmen setinggi 27 tingkat itu. Plak huruf yang dilekat padanya berwarna kuning keemasan. Memang benar-benar melambangkan kemewahan. Lokasi bangunan itu juga cukup strategik. Pemandangan seluruh bandar hijau itu pasti dapat diamati jika mereka berada di tingkat paling atas bangunan tersebut.

Sambil menanti Rizqy tiba, Hanna dan Eric berjalan-jalan meninjau kawasan sekitar apartmen serba luas itu. Di halaman berumput di bahagian hadapan, sebuah papan tanda arah yang cukup besar telah dipacak berhampiran laluan pejalan kaki. Banyak betul kemudahan yang dapat dinikmati oleh penghuni apartmen mewah itu. Gimnasium ada, Kolam renang mewah ada, Spa dan Sauna ada, restoran dan kedai serbaneka juga ada! Pendek kata, macam-macam ada! Wah, macam iklan Astro pula.

Hanna mengusap-usap dagu. Dia mula membayangkan bagaimana agaknya susun atur bilik apartmen penduduk di situ. Pasti saja lebih mewah dari apa yang dapat dilihatnya. Yalah, sudah tinggal di rumah mahal, takkanlah mahu guna barang biasa-biasa saja. Pasti markas kumpulan Dragon Warrior Junior itu juga mewah kelengkapannya.

“Maaf lambat!” Rizqy menyapa Hanna dan Eric. Dia memberhentikan motosikalnya betul-betul di sebelah motosikal Eric. Hanna tersengih. Fikirannya yang sudah menerawang jauh mula kembali ke dunia realiti.

“Tak mengapa, kami juga baru sampai dari sekolah,” ujar Hanna lembut. Dia melemparkan senyuman kepada Rizqy. Senyuman yang menyebabkan Eric mula melakukan reaksi kurang senang.

Rizqy mengangguk. Dia menyeluk poket seluar denimnya. Sekeping kad berwarna biru laut ditarik keluar lalu diimbas ke sebuah mesin pengimbas bersebelahan gerbang utama. Pintu kaca lut sinar itu pantas terdorong ke tepi. Memberi ruang untuk tiga sahabat itu melangkah masuk. Langkah pantas mereka buka menuju ke lif.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, ketiga-tiga mereka segera merebut masuk. Tidak sabar-sabar sungguh. Macamlah ada orang lain yang turut sama sedang menanti giliran menggunakan lif peribadi itu. Rizqy menekan punat yang tertera angka 27. Mereka akan ke tingkat yang paling atas. Lif yang dinaiki mereka itu dialas dengan permaidani lembut. Sangat luas dan selesa. Dindingnya dibina daripada aloi kukuh yang disalut dengan cat emas berkilat

“Kita dah sampai,” Rizqy bersuara. Mereka bertiga melangkah keluar. Setiap langkah Rizqy dituruti Hanna dan Eric. Tingkat paling atas itu cuma ada empat buah bilik apartment jenis penthouse. Hanna yakin, keluasan sebuah bilik itu lebih kurang sama dengan keluasan rumah lamanya. Mereka berhenti di hadapan pintu yang paling hujung.

2702, angka itu tertera di dinding bersebelahan pintu gelongsor lutsinar. Di sebaliknya, sebuah pintu kayu berukir sedang tertutup kemas. Rizqy pantas melalukan kad biru lautnya ke mesin pengimbas yang berada di bawah plat nombor bilik itu. Pintu kaca yang terkunci rapat tadi pantas menggelongsor ke kanan. Memberi laluan untuk tiga sahabat itu melangkah masuk.

“Assalamualaikum!” Rizqy memberi salam. Dia menolak daun pintu kayu yang tidak berkunci itu dengan sopan.

“Waalaikumussalam,” seorang gadis yang ayu bertudung merah jambu menjawab salam yang diberi. Hanna kenal dengan gadis itu. Dialah gadis yang bersama dengan Nazrey tempoh hari. Gadis itu membuka mangga pintu jeriji. Dia menolak pintu itu ke kanan, memberi laluan untuk tetamunya masuk.

Hanna dan Eric menyusul langkah Rizqy masuk ke kediaman itu. Kediaman yang telah menjadi ibu pejabat kumpulan Dragon Warrior Junior selama ini. Tepat seperti sangkaan Hanna sebelumnya, kediaman serba luas itu terhias mewah tetapi ringkas.

“Masuk, masuk! Buat macam rumah sendiri!” Satu suara lagi muncul. Seorang remaja lelaki yang berbaju melayu dan berkain pelikat menjenguk dari bilik yang paling hadapan. Di belakangnya berdiri seorang gadis yang cantik mengenakan telekung putih.

“Hanna, Eric, selamat datang ke markas kami!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.