Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Tiga – Keistimewaan yang Harus Dirahsiakan

Kitab kecil berwarna hijau itu kembali ditutup lalu dirapatkan ke wajah. Kitab itu Hanna kucup lembut sebelum kembali diselitkan ke saku blazer sekolahnya. Wajah Datuk Tevard yang sedang mencucur air ke pusara Puan Alia Lee direnung lama. Hanna yakin, di sebalik wajah tegas milik papanya itu, ada rasa rindu yang menebal kepada arwah mama. Hanna yakin.

Kelopak-kelopak mawar ditabur ke atas makam yang sudah basah dek siraman air mawar. Tikar yang tadinya menjadi alas duduk tiga beranak itu kembali digulung. Hanna merenung sayu ke arah makam mamanya itu. Dia kembali tunduk seraya berbisik perlahan, “Selamat hari jadi, mama.”


Malam itu Hanna turun lewat untuk makan malam. Entah bila dia terlena, dia sendiri tidak ingat. Yang pasti, apabila dia tersedar, jam sudah menunjukkan pukul 8.50 malam. Buku nota tatabahasa miliknya sudah renyuk sedikit akibat dihempap wajahnya dalam tempoh agak lama. Mujur saja tiada air liur basi yang mengalir keluar. Jika tidak, pasti lebih haru!

“Assalamualaikum.”

Hanna menoleh ke belakang. Datuk Tevard yang baru keluar dari ruang kerjanya sedang tersenyum. Hanna turut mengukir senyuman malas. Dia kembali menumpukan mata sepetnya ke arah televisyen berskrin besar di hadapannya.

“Dah makan?”

Hanna mengangguk malas. Dia baru selesai makan 10 minit yang lalu. Perutnya yang kecil itu sudah penuh diisi masakan barat yang sungguh enak - air tangan Adam Nicholas. Abangnya itu memang pakar masakan barat.

“Boleh papa duduk?”

Hanna tidak segera menjawab. Dengan sebelah keningnya diangkat, dia berpaling merenung wajah Datuk Tevard. Wah, terlebih bersopan-santun pula papanya malam itu! Hairan sungguh Hanna dibuatnya. Mahu duduk di ruang tamu rumah sendiri pun perlu minta izinkah? Kena sampuk apa.

“Kenapa kamu tengok papa begitu?” Datuk Tevard menyoal. Pandangan yang ditujukan Hanna ke arah wajahnya dianggap pelik. Dia meraba-raba wajahnya. Ada sesuatu yang melekat di wajah british miliknya kah?

Hanna tidak menjawab. Dia cepat-cepat menoleh ke hadapan semula. Lebih bagus dia buat begitu. Tak mungkinlah dia hendak memberitahu Datuk Tevard apa yang baru terlintas di fikirannya. Boleh-boleh sahaja papanya yang bersemangat waja itu ambil hati dengan kata-katanya. Kalau tidak merajuk pasti rasa marah yang akan muncul. Bagaimana kalau dia didenda dilarang keluar rumah selama seminggu. Atau lebih teruk lagi, sebulan?

Bagus juga. Bolehlah dia duduk berehat di rumah. Tidak perlu ke sekolah. Tiada kerja sekolah. Dunia sehari-hari yang menggembirakan. Fikiran Hanna mula menerawang jauh. Dia tersenyum-senyum sendiri memikirkan hal itu bagaikan ianya akan menjadi nyata.

“Boleh ke tak papa duduk ni?” sekali lagi soalan yang serupa Tevard tanya. Kali ini nada suaranya lebih keras. Hanna mengangguk. Angan-angan merepeknya pantas terhenti. Perlahan-lahan, Tevard mengambil tempat di atas sofa empuk bersebelahan Hanna. Dia menghela nafas. Letih sungguh dia menunggu Hanna memberi respons.

“Papa dengar, ada orang tu dapat keputusan periksa pagi tadi,” dengan cermat, Datuk Tevard mula memancing cerita. Wajah Hanna yang cukup serius itu ditenung lama. Hampir lima belas saat dia menunggu, namun anaknya itu masih saja tidak memberi sebarang balasan. Sah, anaknya itu langsung tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi!

“Hanna,” Tevard menguatkan nada suaranya. Sambil itu, dia berdeham dua kali. Hanna pantas berpaling. Dahinya berkerut. Berfikir. Sakit tekak pulakah papanya ini? “Kamu dengar tak apa yang papa cakap tadi?” papanya itu menyoal pula. Elok pula Hanna dengar suaranya. Baguslah. Stok ubat sakit tekak rumah ini yang Hanna habiskan minggu lalu masih belum diisi semula. Nanti tidak fasal-fasal dia harus keluar mencari ubat pula pada malam itu.

“Hanna!” Sekali lagi nama Hanna diseru. Hanna tersentak. Berdesing telinganya dek suara lantang papanya itu. Datuk Tevard mengeluh. Apalah yang sedang bermain di fikiran anaknya itu. Tidak habis-habis berangan. Semakin besar semakin menjadi. Ingatkan makin hilang, rupanya makin kronik. Tevard menggelengkan kepalanya lagi.

“Kenapa?” Hanna menggosok-gosok cuping telinganya. Cuba menghilangkan rasa kurang senang yang sedang dialaminya. Wajah papanya itu direnung tepat.

“Kamu dapat keputusan periksa hari ni, bukan?” Hanna mengangguk. Oh, ya! Baru dia teringat kembali dengan slip keputusan yang diterimanya tadi pagi. Bagaimanalah dia boleh lupa untuk tunjukkan keputusan ujiannya yang cemerlang itu kepada papanya awal-awal lagi.

“Boleh papa lihat?” Sekali lagi Hanna mengangguk. Dia segera bangkit dan berjalan laju mendaki tangga menuju ke bilik tidurnya. Segera beg sekolahnya dipunggah. Slip keputusan yang diselitkan di dalam buku nota sejarah segera diambil dan diratakan. Dengan berlari anak, dia kembali turun ke ruang tamu keluarga. Slip keputusan ujian penilaian di tangan kanannya segera diserahkan kepada Datuk Tevard untuk diteliti.

Datuk Tevard mengangguk pantas. Dia menjeling wajah bangga Hanna beberapa kali. Slip itu diletak elok ke atas meja kopi di hadapannya lalu ditindih dengan majalah lama. Pen fountain yang sentiasa dibawanya ke mana-mana, segera Datuk Tevard capai. Tandatangan berbunga-bunga miliknya pantas diturunkan pada slip keputusan tersebut.

“Nombor satu siapa?” Datuk Tevard menyoal. Slip keputusan yang telah kembali dilipat dua diserahkan kembali kepada Hanna. Hanna melipatkan slip keputusan itu sekali lagi sebelum diselitkan ke dalam saku pajama merah menyalanya. Setelah itu barulah soalan Datuk Tevard dijawab. Mendengar nama Eric Iskandar disebut, papanya itu pantas mengangguk. Wajah jambu milik remaja lelaki yang merupakan rakan baik puterinya itu terbayang di fikiran Datuk Tevard. Anak muda itu memang budak pintar.

Hanna naik semula ke biliknya tatkala jam datuk di ruang tamu keluarga itu berbunyi 11 kali. Dia mencium tangan Datuk Tevard dan meminta izin sebelum malas-malas mendaki tangga di hujung ruang tamu itu. Pintu biliknya dikuak sedikit. Suis lampu dan pendingin hawa kembali dinyalakan. Langkahnya dibuka menuju ke meja belajar di hujung ruang serba luas itu.

Timbunan buku kerja serta kertas tugasan yang diterimanya di sekolah tadi pagi diperhatinya lama-lama. Ambil kau, Hanna! Lain kali buatlah lambat-lambat lagi. Sekarang, pukul berapa kau nak tidur, hah? Bisikan-bisikan jahat mula menghantui fikiran remajanya.

Dia menggeleng-geleng. Segera Hanna membaca ta’awwuz sebelum melabuhkan punggungnya ke kerusi meja belajar. Pantas segala tugasan yang bertimbun di atas meja belajarnya diasingkan. Dia mahu siapkan kerja yang perlu dihantar pada esok pagi terlebih dahulu.

“Yang lain tu, buat petang besok sajalah...”


Hanna bangun lewat keesokkan paginya. Selesai Solat Subuh sendirian dan bersiap, dia segera berlari turun menuju ke ruang makan. Tiada bau masakan yang harum pagi itu. Mungkinkah papanya juga bangun lewat hari itu?

Hanna meletakkan beg sekolahnya ke bangku meja makan sebelum membuka langkah menuju ke dapur. Datuk Tevard yang lengkap dengan apron tersarung di badan sedang membilas pinggan-mangkuk yang sudah selesai dicuci dengan sabun. Tiada kelibat Adam Nicholas di situ. Pasti abangnya itu telah pulang ke kuaters petugas hospital.

Hanna terus berjalan melintasi Datuk Tevard. Periuk besi yang tertenggek di atas dapur gas dijenguknya. Tudung periuk itu diangkat sedikit. Empat biji telur yang sedang terendam dalam air tergolek di dasar periuk besi itu. Hanna mengerutkan dahinya. Dia berpaling ke belakang.

Dengan nada tidak puas hati dia menyoal, “Papa buat telur rebus ke...”

“Telur separuh masak,” pantas saja Datuk Tevard memintas kata-katanya. Hanna mendengus geram. Dia kembali menutup periuk besi itu.

“Kenapa papa buat telur separuh masak? Hanna tak sukalah!” Hanna meluahkan rasa tidak puas hatinya. Dia mula menarik muka. Wajah manisnya mula berubah muram.

“Bukan papa yang buat,” Datuk Tevard bersuara. Dia mengeringkan tangannya menggunakan kain bersih sebelum mengangkat periuk besi itu ke sinki. Telur-telur yang terendam di dalamnya pantas dituskan sebelum diletak elok ke dalam mangkuk bersih.

“Adam yang rebus sebelum dia balik ke kuarters tadi,” Datuk Tevard menambah. Dia berpaling ke arah Hanna yang sedang memeluk erat tubuhnya. Nak proteslah tu!

Hanna menderam. Menahan rasa geram dan tidak puas hatinya. Dia berpaling ke peti sejuk beku dan mula menyelongkar isi di dalamnya. Datuk Tevard menggeleng melihat gelagat puterinya itu. Dia menyusun elok teko berisi koko panas berserta dua biji cawan ke dalam dulang. Mangkuk berisi telur serta dua biji mangkuk kecil yang disusun bertingkat telah diletakkan terlebih dahulu bersama garpu dan sudu. Bekas garam dan lada turut ditempatkan bersama sebelum dulang empat segi tepat itu dibawa ke ruang makan.

Hanna membongkok lebih rendah bagi memungkinkan dia menjumpai sesuatu yang dapat mengisi perutnya di pagi hari itu. Dia tersenyum sendiri apabila berjaya menemui bungkusan daging oblong di rak yang paling bawah. Pandai betul papanya itu sembunyikan makanan kesukaan Hanna di situ. Dia menarik keluar daging oblong itu. Semangkuk kecil air tapis disediakan di tepi sinki sebelum dia merendam bungkusan daging beku tadi ke dalamnya. Setelah itu dia bergegas bagi menyediakan roti ban serta salad pula. Keju keping dan mentega turut dikeluarkan dari peti sejuk. Sebiji telur ayam turut dicapai dari rak telur.

Dia mula memanaskan gril dan kuali leper. Daging oblong yang masih belum sempurna dinyahbeku dikeluarkan sekeping lalu mula diletak lembut ke atas gril yang telah disapu mentega. Setelah itu dia memotong elok roti ban. Mentega kuning cair disapu ala kadar sebelum roti itu turut digril sama. Dia mengerling ke arah jam di dinding dapur. 6.40 pagi. Dia harus segera jika tidak mahu lewat sampai ke sekolah pagi itu.

Sepantas mungkin, telur ayam yang telah dicuci bersih segera dipecahkan ke mangkuk putih. Hanna mencubit sedikit garam serta sedikit serbuk lada. Pantas kedua-dua bahan perasa itu ditambahkan ke dalam mangkuk berisi telurnya. Tangannya pantas memukul telur itu hingga gebu sebelum menuangkannya ke dalam kuali.

Hanna bertindak lebih pantas. Dia memanfaatkan kebolehan dwicekatan miliknya. Tangan kirinya segera membalikkan roti ban manakala tangan kanannya menghancurkan telur yang sudah mula menguning. Dia menjungkitkan sedikit daging oblong di atas gril di bahagian kirinya. Daging itu masih belum masak dengan sempurna di bahagian bawah. Bahagian atas langsunglah!

Hanna menjengukkan kepalanya ke gerbang dapur. Kelibat Datuk Tevard langsung tidak kelihatan. Pasti papanya itu sedang khusyuk melayan telur separuh masaknya sambil membaca akhbar pagi. Dia tersengih. Setelah mengangkat ban yang sudah siap digril ke dalam piring makan, setelah telur dadar hancurnya sempurna dimasak, dia pantas menghalakan telapak tangan kanannya ke atas kepingan daging oblong yang masih belum diterbalikkan. Api merah mula menyala keluar dari tangan kanannya. Membakar bahagian atas kepingan daging tersebut.

“Hanna!” Satu suara menjerkah memanggil namanya. Tubuh Hanna terjuit sedikit. Terkejut betul dia dibuatnya. Dia berpaling. Datuk Tevard, dengan mangkuk kotor di tangan kanan sedang mencekak pinggang dengan tangan yang satu lagi. Wajah Hanna direnung garang bagai hendak ditelan hidup-hidup.

“Hanna, berapa kali papa perlu cakap?! Jangan...” ayat yang ditutur Datuk Tevard tidak dihabiskan. Wajahnya berubah panik. Segera lelaki itu berpatah balik ke ruang makan sebelum muncul kembali dengan satu balang merah. Laju dia berjalan menghampiri Hanna.

Sejurus, hidung Hanna segera menangkap bau yang tidak menyenangkan. Dia berpaling semula ke arah dapur gas yang sempat dibelakanginya sekejap. Mulutnya terlopong seketika melihat kertas tisu dapur sudah tenggelam dalam nyalaan api merah. Dia berpaling semula ke arah papanya. Datuk Tevard sudah menanggalkan pin keselamatan pada alat pemadam api yang berada dalam gendongannya itu.

Sebentar! Jika benda itu disembur ke dapur gas itu, habislah penat lelahnya menyiapkan sarapan paginya itu. Lekas-lekas Hanna bergerak ke hadapan. Dengan menggunakan tangan kanannya, dia menolak tubuh Datuk Tevard agak keras. Memaksa papanya itu bergerak beberapa langkah ke belakang.

“Biar Hanna buat,” Hanna berpaling semula ke arah tisu dapur yang sudah rentung itu. Api merah itu kini mula merebak ke kawasan sekitarnya. Hanna pantas melalukan tangannya ke arah nyalaan api merah itu. Bagai telah ditelan, api merah itu perlahan-lahan mulai padam. Hanna melalukan tangannya ke seluruh sisa bara kecil yang masih tertinggal. Bara-bara merah itu juga mula menghilang dari pandangan.

Datuk Tevard menghela nafas lega. Dia menyeka peluh dingin yang mengalir keluar di dahinya. Hanna turut melakukan hal yang sama. Dia bersandar pada kabinet dapur betul-betul bersebelahan dapur gas. Dia mengerling sedikit ke arah gril yang masih menyala api di bawahnya. Hanna kembali tercium bau hangit. Dia segera berpaling. Daging oblongnya sudah rentung di bahagian bawah!


Hanna tiba di sekolah ketika loceng pertama sudah berbunyi tiga minit sebelumnya. Dia pantas menanggalkan jaket penunggang motosikalnya sebelum berlari mendapatkan Eric di gerbang masuk ke Kampus Aliran Kementerian. Nasib baik loceng kedua belum berbunyi. Jika tidak, pasti namanya sudah dicatat oleh rakan setugasnya kerana datang lewat. Habis rekod bersihnya sebagai pelajar yang selalu datang awal tercalar nanti.

“Apasal lambat?” Eric menyoal tatkala loceng kedua mula berbunyi nyaring. Hanna tidak segera membalas. Dia sedang berusaha menghabiskan sarapan paginya sebelum sesi nyanyian Lagu Kebangsaan dimulakan. Dengan mulutnya masih penuh dengan makanan, dia segera berlalu ke longkang saliran air. Tangan kanannya pantas dicucur dengan air mineral. Segala sisa makanan yang terlekat di situ segera dihapuskan.

Setelah itu barulah dia kembali mendapatkan Eric. Habis segala yang berlaku tadi pagi Hanna ceritakan kepada Eric. Rakannya itu cuma tersengih tanpa suara memandangkan muzik latar lagu Negaraku sudah mula berkumandang di ruang udara kampus aliran kementerian.

“Apahal lah awak guna benda tu? Nasib baik tak terbakar dapur rumah awak,” Eric bersuara separuh berbisik. Dia tidak mahu ada rakan-rakannya yang lain mencuri dengar pula perbualan sulit itu. Hal itu mesti dirahsiakan. Jika ada orang luar yang tahu dan mengambil manfaat terhadap kebolehan mereka itu, pasti keadaan akan bertambah sulit. Kata-kata peringatan Datuk Tevard empat tahun lalu kembali terngiang-ngiang di telinganya.

“Saya tak sengaja, okey. Saya nak cepat tadi. Lagipun, siapa suruh papa jerkah saya macam tu. Salah dia samalah,” Hanna mula mencari alasan bagi mengurangkan beban rasa bersalah yang sedang dirasainya. Ya, memang, jika papanya itu tidak gatal mulut menjerkah namanya, pasti dia tidak akan terkejut. Pasti tangan berbaranya itu tidak bergerak membakar tisu dapur itu. Pasti kebakaran kecil itu tidak akan berlaku.

Eric mengangguk setuju. Dia berpaling merenung wajah Hanna. “Apa-apa pun, kita mesti ingat dengan janji yang kita buat empat tahun lalu,” Eric mengingatkan Hanna. Hanna terdiam. Dia mengerling ke arah Eric sebelum mendongak merenung langit. Dia mengangguk kecil.

“Saya ingat. Walau apa pun yang terjadi saya akan menjaganya sebaik mungkin” Hanna bersuara perlahan. Dia merenung ke wajah Eric yang sedang tersenyum kecil. Rakannya itu turut berkongsi keistimewaan yang sama dengan dirinya. Keistimewaan sebagai seorang pengguna elemen api. Keistimewaan yang pasti akan dianggap suatu keganjilan oleh orang asing. Keistimewaan yang mungkin akan dimanfaatkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Keistimewaan yang harus dirahsiakan!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.