Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Lapan – Pembelot

“Maaf, nak apa ya?” Hanna menyoal sopan. Remaja lelaki itu tidak menjawab. Dia hanya mengukir senyum sinis.

“Nama aku Nazrey. Aku sama macam kauorang berdua. Pengguna elemen naga,” Nazrey memperkenalkan dirinya. Nada suaranya sungguh angkuh. Hanna dan Eric agak terkejut mendengar pengakuan Nazrey itu. Kedua-duanya saling berpandangan, namun mimik muka mereka masih berjaya dikawal.

“Jadi, awak nak apa?” Hanna menyoal soalan yang sama buat kali kedua.

“Aku rasa kauorang berdua pernah dengar tentang Dragon Warrior bukan? Pahlawan Naga, Lembah Naga... dan macam-macam lagi. Rasanya, tak perlu aku sebutkan semua. Kauorang dah tahu,” Nazrey menyambung bicaranya. Dia langsung tidak mempedulikan pertanyaan Hanna.

“Kauorang juga pasti dah tahu apa yang menyebabkan kauorang berdua miliki keistimewaan untuk menggunakan elemen naga ini, bukan?” Hanna dan Eric mengangguk perlahan. Bersetuju dengan setiap patah kata yang disuarakan oleh remaja lelaki itu.

“Pasti kauorang dah tahu tentang kajian ‘haram’ yang dijalankan ke atas kauorang berdua dan juga ke atas kami.”

“Kami?” Hanna bersuara setelah agak lama terdiam.

“Ya, kami,” Nazrey mengiakan. Tiba-tiba dia menepuk dahinya. “Oh, maaf! Aku lupa kenalkan,” Nasrey menyambung. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Tangan kanannya yang sejak dari awal tadi berada di dalam poket seluar denimnya dibuka menghala ke arah pancuran air Diamond Park.

Sepasang remaja, lelaki dan perempuan sedang duduk di bibir kolam pancuran air yang menjadi simbol tarikan ke Diamond Park itu. Kedua-dua mereka mengangkat tangan. Memberi salam perkenalan kepada Hanna dan Eric.

“Yang lelaki tu, Akmal. Yang sebelah tu, Hazwani. Kauorang boleh panggil dia Wani. Ada seorang lagi, tapi nampaknya dia tiada di sini. Man nama dia,” ujar Nazrey. Wajah remaja lelaki itu Hanna renung tajam. Dia mula berasa curiga dengan motif remaja lelaki itu mahu berjumpa dengannya.

“Kami ahli kumpulan Dragon Warrior Junior. Aku ketuanya. Pagi ini, aku datang jumpa kauorang berdua sebab aku nak ajak kauorang sertai aku dan kawan-kawan aku,” akhirnya Nazrey menyatakan tujuan utamanya. Hanna dan Eric diam. Kedua-dua mereka tidak tahu apa yang harus dibalas. Terlampau banyak sangat kejutan yang mereka terima pagi itu.

Tiba-tiba fikiran Hanna teringat sesuatu. Dia berpaling semula ke arah Nazrey. “Jadi, kauoranglah yang telah mengganggu tugas pihak keselamatan? Kumpulan remaja yang menggunakan keistimewaan mengawal elemen naga di tempat umum?”

“Ya, baguslah kalau kau dah tahu. Cuma, kami tidak mengganggu, kami cuma mahu membantu. Pihak keselamatan yang dah tersalah tafsir tentang kami,” terang Nazrey.

“Salah tafsir? Mencederakan penjenayah, malah kadang-kadang mereka yang tidak bersalah turut terluka. Itukah yang dinamakan membantu? Tahu tak, apa yang kauorang buat ni sememangnya salah? Kauorang tak ada hak untuk cederakan orang awam sebegitu rupa!” Hanna bersuara tegas membantah idealisme Nazrey.

“Keistimewaan ini harus dijaga sedaya boleh! Bukannya digunakan untuk bermegah-megah dan menayang kekuatan! Kalau saya memiliki keistimewaan untuk menarik balik segala kelebihan yang ada pada kauorang semua, nescaya saya akan melakukannya!” Nada suara Hanna semakin tinggi. Marah sungguh dia dengan Nazrey dan kumpulannya. Eric cuma menganggukkan kepalanya bagi menyokong hujah panjang lebar Hanna.

Nazrey diam agak lama. Dia agak bersetuju dengan apa yang disuarakan Hanna sebentar tadi. Namun demikian, egonya yang begitu tinggi menyebabkan dia tidak mahu mengalah. Dia yakin dengan prinsip yang diperjuangkan olehnya. Prinsip yang diperjuangkan kumpulan Dragon Warrior Juniornya.

“Kau nak cakap apa, cakaplah. Aku tahu apa yang aku buat. Aku juga tahu yang mana satu betul dan yang mana satu salah. Aku akan teguh dengan prinsip aku. Dua tahun aku memimpin Dragon Warrior Junior, tiada seorang pun ahli kumpulan aku yang membantah apa yang aku cadangkan. Dan... kalau kauorang berdua nak masuk kumpulan ini, kauorang berdua juga perlu bersetuju dengan apa yang aku katakan,” Nazrey bersuara panjang lebar mempertahankan prinsipnya.

“Tapi, sebelum itu, aku nak cabar kauorang berdua beradu. Sekarang ni pun bagus juga. Tak ramai orang. Maklumlah, ada pesta di tengah bandar.”

“Nak beradu bagaimana?” giliran Eric menyoal.

“Begini,” Nazrey bersuara. Dia membuka kedua-dua belah telapak tangannya. Dua biji bebola api merah muncul di atas telapak tangannya.

“Kami tak ada masa nak beradu dengan kauorang semua. Kami juga tak akan sertai kumpulan mengarut kauorang ni! Tolong jangan ganggu kami!” Hanna terus tegas dalam pendiriannya. Dia membuka langkah ke arah paip air minuman. Kepalanya langsung tidak ditoleh kembali ke belakang.

Nazrey tersenyum sendiri. Dia menggenggam telapak tangannya. Sekelip mata bebola api merah itu hilang dari pandangan mata kasar. Dia berjalan selamba ke arah pancuran air di tengah taman. Mendapatkan Akmal dan Hazwani.

“Bagaimana?” Akmal menyoal. Nazrey menggelengkan kepalanya. Bibirnya dijuihkan sedikit ke hadapan.

“Habis tu, kita nak biarkan sahaja mereka?” Giliran Hazwani menyoal.

Nazrey memaling ke arah Hazwani. “Ada aku kata aku nak biarkan sahaja? Tak ada bukan?”

“Tak. Jadi, apa yang kau nak lakukan?” Hazwani menyoal lagi.

Nazrey senyum. “Ini yang aku nak buat.” Nazrey menghalakan tangannya ke hadapan. Betul-betul terarah kepada Hanna yang sedang membilas tuala muka merah jambunya.

“Bang!” Nazrey melaung sambil mengacukan jari telunjuknya ke arah Hanna. Seakan sepucuk pistol yang baru ditekan picunya, peluru berbentuk bebola api kecil terbang meliar ke arah Hanna.

Akmal dan Hazwani tergamam seketika. Eric di seberang sana, yang sememangnya masih tidak letih memerhatikan gelagat tiga remaja itu turut terkejut dengan tindakan yang diambil oleh Nazrey.

“Hanna! Jaga-jaga!” Eric menjerit.

Hanna lekas-lekas berpaling ke belakang. Dia membuka telapak tangannya seakan-akan mahu menyambut ‘peluru’ merah itu. Sebaik sahaja telapak tangannya kembali tertutup, peluru merah itu hilang di udara. Hilang dari pandangan mata Hanna dan mereka yang berada di situ.

“Oh, Naga Penelan Bara! Hebat!” Nazrey bersuara girang. Dia gembira. Umpannya hampir mengena.

“Bagaimana dengan yang ini?” Nazrey mengubah arah telapak tangannya ke arah Eric. Dengan sedikit tujahan ke hadapan, satu bebola api sebesar bola tenis meluncur keluar dari tangan kanannya menuju ke arah Eric.

Eric cuba untuk mengelak. Namun, kecederaan yang dialaminya membataskan pergerakannya. Dia tersungkur ke tanah sebaik sahaja bebola api itu terkena pada pinggang kirinya. Eric mengaduh sakit. Api merah masih menyala pada baju T-nya. Lekas-lekas dia, dalam keadaan menahan pedih, menanggalkan baju T itu. Sekelip mata baju T itu terbakar seluruhnya.

Hanna berlari ke arah Eric. Dia melihat sebelah kiri badan kurus kering milik Eric. Kesan lecur jelas kelihatan dari paras pinggang ke bahagian tengah dada. Sepatah kata pun tidak keluar dari mulut Eric melainkan getaran yang terhasil oleh bibirnya yang sedang menahan rasa sakit.

Hanna berdiri. Dia berpaling ke arah Nazrey yang masih kekal dengan wajah selambanya. Dia meniup tapak tangannya seakan-akan sedang memadamkan sebatang mancis yang sedang menyala. ‘Tak berperikemanusiaan langsung!’ Itulah yang terlintas dalam fikiran Hanna ketika itu.

“Apa yang awak nak, hah?” Hanna menyoal marah. Air mukanya yang sentiasa tenang berubah mendadak. Dua belah alis matanya merapat, seakan bercantum. Matanya dikecilkan. Hanna betul-betul sedang marah.

“Macam yang aku cakap tadi, aku hanya nak beradu dengan kauorang. Nampaknya, budak lelaki itu terlampau lemah berbanding dengan kau yang hampir setaraf dengan aku,” Nazrey membalas selamba. Tiada sedikit pun rasa kesal, waima sebesar zarah muncul dalam dirinya ketika itu. Egonya terus utuh menguasai diri remajanya.

“Lemah?! Setaraf?!” Hanna bersuara marah. Dia berpaling ke arah Eric yang masih mengerang di atas tanah.

“Awak nak sangat cabar saya, ya?” Hanna bersuara lagi. Dia mula membentuk posisi tangan. Tangan kirinya diaju ke hadapan, kemas menggenggam penumbuk. Jari telunjuk dan jari hantu tangan kanannya mula memainkan peranan. Satu pancaran kilat berwarna kuning keemasan mengalir keluar dari celah dua jarinya yang terkapit rapat itu.

“Elemen Kilat Naga Kuning? Dia pengguna elemen berganda!” Akmal bersuara kagum.

“Apa kau nak buat Naz? Kau tak pernah bertempur dengan pengguna elemen kilat sebelum ini,” Hazwani bersuara bimbang.

“Huh! Macamlah ada yang boleh kalahkan elemen api aku!” Nazrey mencemuh. “Ini Nazreylah!” Dia melaung. Langkah angkuh dibuka. Dia begitu yakin dengan kehebatan dirinya.

Hanna yang berada di seberang laluan joging berturap itu sudahpun membentuk busur panah yang berwarna kuning keemasan. Sekali-sekala pancaran kecil cahaya kilat terhasil dari busur itu. Hanna memetik jarinya. Satu anak panah runcing yang dibaluti api merah muncul sebaik sahaja dia berbuat begitu.

“Elemen Berganda! Panahan Kilat Berapi!” Hanna berdesis perlahan tetapi tegas. Anak panah merah itu dilepaskan. Busur panah yang terhasil daripada kilat kuning bertukar rupa; mengiringi pergerakan panah merah berapi itu. Bebola api dikelilingi pancaran kilat itu membesar. Semakin lama semakin besar.

Satu pancaran cahaya merah-kuning kini sedang meluncur laju ke arah Nazrey yang kelihatannya masih tenang berdiri dalam posisi asalnya. Dia tersenyum. Dia membuka kedua-dua belah tapak tangannya. Sebiji bebola api merah yang sangat besar muncul.

Dengan senyuman masih kekal di wajahnya, Nazrey menghayun bebola api itu ke hadapan penuh yakin. Bebola api itu terlepas dari tangannya seperti sebiji bola boling yang sedang mensasarkan pin-pin boling di hadapannya atau lebih tepat lagi, mensasarkan Hanna.

Kedua-duanya; anak panah berapi yang diselubungi pancaran kilat keemasan dan bebola api merah sebesar sebiji bola boling sedang meluncur laju mendapatkan sasaran masing-masing. Hanna dan Nazrey juga masing-masing sudah bersedia untuk menyambut apa jua situasi yang akan berlaku. Nazrey masih kekal dengan senyuman manakala Hanna pula tetap dengan wajah seriusnya.

“Elemen Tanah: Perisai Bumi!” Satu suara kedengaran memecahkan suasana cemas yang berlaku di tengah-tengah taman rekreasi itu. Tiba-tiba, tanah di sekitar kawasan itu bergegar agak kuat seakan-akan satu bencana gempa bumi sedang berlaku. Hanna mencari-cari punca suara itu. Dia yakin gempa bumi kecil yang sedang terjadi itu adalah angkara si empunya suara terbabit. Anak matanya kini menangkap sesuatu tetapi bukan kelibat si empunya suara.

Plat-plat tanah di laluan berturap bata merah itu kini sedang bergerak ke atas seakan membentuk sebuah dinding tanah. Apa yang Hanna dapat lihat seterusnya hanyalah cahaya merah keemasan anak panahnya yang telah berlanggar dengan dinding tanah itu.

BOOM!!! Satu bunyi letupan yang agak kuat menyusul seketika kemudian.

“Siapa?!” Suara jeritan Nazrey menamatkan turutan bunyi suara terbatuk-batuk akibat menelan asap yang banyak. “Siapa?!” Nazrey menjerit sekali lagi. Pandangannya masih dikaburkan oleh asap hitam yang agak tebal.

“Akmal! Hilangkan asap ni cepat!” Nazrey mengarah. Tubuh kecil Akmal didorong ke hadapan. Akmal mengangguk. Dia menarik nafas dalam. Kebolehannya dalam mengawal elemen angin memberikannya kelebihan untuk menapis udara. Dia mula membentuk formasi tangan.

“Elemen Angin: Kipas Udara,” Akmal berbisik perlahan. Dia mengayunkan tangannya ke arah kanan tubuhnya sebelum melakukan satu pusingan kemas. Asap hitam tebal mengikut arah gerakan tangannya sebelum mulai menghilang. Nazrey menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari seseorang.

“Razman!” Dia bersuara geram sambil berjalan laju bagi mendapatkan bayang-bayang seorang remaja lelaki yang masih dikelilingi asap hitam.

“Kenapa kau buat begitu?!” Nazrey menyoal. Kedua-dua belah tangannya menggenggam kemas kolar kemeja-t yang dipakai Razman. Tubuh Razman yang lebih besar daripadanya itu terangkat sedikit dibuatnya. Razman lekas-lekas menepis tangan Nazrey.

“Kerana kau dah melanggar janji!” Razman bersuara.

“Janji hanya mainan kata-kata!” Nazrey bersuara tegas.

“Janji bukan mainan!” Razman bersuara lagi. Dia membuka langkah mendapatkan Hanna dan Eric. Nazrey menghela nafas kuat. Dia membetulkan topi yang sudah senget di atas kepalanya.

“Dasar lembut hati!” sengaja Nazrey bersuara keras.

“Akmal! Wani! Jom balik!” Akmal dan Hazwani tidak menunggu lama. Mereka segera membuka langkah mengekori Nazrey yang sudah jauh di hadapan. Sesekali mereka menoleh ke belakang, ke arah Razman yang sedang melintasi laluan berturap yang telah rosak. Dinding tanah yang besar itu kini mula menghilang.

Asap hitam kini telah hilang sepenuhnya. Hanna kini dapat lihat wajah si pembelot. Razman. Sungguhpun wajah remaja lelaki itu kini dihiasi oleh tompokan debu-debu hitam, namun Hanna masih dapat mengenali wajah itu. Wajah seseorang yang telah mengkhianati persahabatan mereka. Wajah Rizqy Razman, si pembelot.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.