Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Sepuluh – Perjumpaan Penuh Kejutan

Hanna memerhati ke sekeliling markas, atau lebih tepat lagi, kediaman mewah itu. Sungguhpun hal itu sudah terjangka, dia tetap saja terpegun. Kagum. Ruang apartment itu sangat luas dan selesa. Lantainya diperbuat daripada kayu yang telh dikilat cantik. Dindingnya pula tampil gah dengan susunan batu sungai pelbagai saiz dan rupa. Sekali lihat, markas itu memang memiliki gaya kediaman inggeris kontemporari.

“Ini markas Dragon Warrior Junior?” Hanna menyoal. Rasa kagum dan terkejut bercampur dalam hatinya ketika itu. Tidak pernah dia menyangka, sebuah kumpulan remaja dapat memiliki sebuah apartment mewah sebagai markas kumpulan. Rizqy hanya membalas dengan anggukan. Dia mencapai alat kawalan jauh televisyen lalu duduk di sofa bertentangan dengan televisyen skrin 52 inci berdefinisi tinggi. Eric pula mengambil tempat duduk di sebelah Rizqy. Hanna masih kekal berdiri. Dia masih mahu meninjau ke sekeliling ruang apartment mewah itu.

Ruang tamu itu terpisah kepada dua bahagian yang saling berhubung ke balkoni mewah. Satu bahagian untuk bersantai dan satu bahagian lagi, Hanna yakin merupakan ruang bagi ahli kumpulan Dragon Warrior junior untuk menjalankan rutin perjumpaan mingguan.

Sebuah meja jepun terletak di tengah-tengah ruang itu. Beberapa buah kusyen yang dijadikan alas duduk mengelilingi meja empat segi sama itu. Sebuah papan tulis tergantung di dinding. Di sebelahnya tergantung kemas plak kayu yang tertera carta organisasi kumpulan remaja itu. Plak-plak nama yang terlekat di muka plak kayu empat segi tepat itu pula diperbuat daripada kepingan besi yang disadur emas. Dan di bahagian paling atas dinding ruang tamu kedua itu, tergantung plak kayu dengan nama kumpulan ‘Dragon Warrior Junior’ terukir di atasnya.

“Silakan duduk,” lembut sahaja suara gadis betudung merah jambu itu, mempersilakan Hanna duduk. Setelah itu, dia meminta diri untuk ke dapur.

“Duduklah, kami nak solat Asar dahulu. Kalau nak join, jomlah. Solat berjemaah banyak pahalanya,” giliran remaja lelaki yang berkain pelikat pula bersuara. Dia meminta izin untuk masuk ke bilik. Gadis yang bertelekung tadi telah masuk ke bilik itu terlebih dahulu.

Hanna mengerling ke arah Eric. Mereka berdua telah berjemaah terlebih dahulu di masjid akademi sebelum bertolak ke apartmen itu sebelumnya.

“Eh, Lail!” Rizqy bersuara sebaik sahaja kelibat gadis bertudung merah jambu tadi kembali muncul dari ruang dapur. “Biar saya tolong.” Dia bangun menawarkan bantuan. Dulang berisi beberapa potong kek keju Rizqy tatang ke ruang tamu. Laila menuruti langkahnya. Berhati-hati dia membawa dulang berisi jag air dan gelas kaca. Dulang plastik itu diletakkan ke atas meja kopi.

“Silakan,” Laila bersuara. Dia menghidangkan potongan kek keju serta jus buah-buahan kepada Hanna dan Eric.

“Terima kasih,” ujar Hanna. Dia mencapai gelas jus buah-buahannya.

“Jadi... nama awak, Lail?” Eric bertanya. Gelas yang telah luak separuh kembali diletakkan ke dalam dulang. “Bukan Wani ke?”

“Nama saya Laila Hazwani,” Laila membalas.

“Oh, nama saya Eric Iskandar. Panggil aje Eric. Yang tu, Hanna. Hanna Afza,” Eric memperkenalkan dirinya dan Hanna.

“Saya pula Faris, Akmal Faris. Ini kakak saya, Kak Husna,” ujar Faris yang baru keluar daripada ruang solat. Dia membetulkan kedudukan kaca matanya. Kak Husna di belakangnya melemparkan senyuman manis kepada Hanna dan Eric.

“Kalau awak nak tahu, penthouse ni, Farislah yang punya. Yang depan sana tu, Kak Husna punya,” laju sahaja Rizqy yang mulutnya masih penuh dengan kek buah bersuara. Faris yang baru hendak melabuhkan punggung di sebelahnya pantas menekup mulut kecil Rizqy.

“Isy, kau ni! Jagalah sikit reputasi aku,” Faris bersuara separuh berbisik. Dia menyentel telapak tangannya yang sudah tercemar dengan serdak kek buah pada helaian napkin kertas. Serentak, adegan siku-menyiku mula berlanjutan.

Penthouse ni... awak punya?” Hanna bersuara takjub. Sengaja dia menekankan perkataan awak dalam soalannya. Dia benar-benar ingin tahu tentang kebenarannya. Wah, jika benar apa yang baru diperkatakan Rizqy sebentar tadi, pasti remaja lelaki di hadapannya itu anak bukan calang-calang orang.

Faris yang baru puas menyiku rusuk kiri Rizqy berulang kali sekadar mengangguk kecil. Rizqy pula mengukir sengihan nakal. Kak Husna yang masih kekal berdiri cuma menggeleng kecil. Tidak kuasa dia mahu melayan kerenah rakan-rakan adik lelakinya itu.

“Kalau awak nak tahu, ayah dia pemilik Golden Iflah Properties, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan bandar hijau ni,” Hazwani yang masih berdiri bersuara perlahan. Berbisik tepat ke telinga Hanna. Hanna mengangguk. Patutlah, anak tauke tanah rupanya Akmal Faris ini.

“Saya ingat ini rumah Nazrey tadi. Oh, ya! Dia tiada hari ini ke?” Entah kenapa, soalan Eric itu berjaya menarik perhatian kesemua mereka yang berada di apartment itu.

“Dia ada latihan kawad di sekolah,” Rizqy membalas.

“Lebih bagus dia tak ada hari ini! Dia tu tak habis-habis nak arah kita itu ini!” Faris menambah. Nada suaranya seakan merungut. Keras sekali. Laila dan Rizqy hanya mengangguk setuju.

“Kenapa dengan kamu semua, ni? Walau apa pun, Nazrey tetap ketua kamu. Tak baik ingkari ketua,” Kak Husna mencelah, memberi nasihat.

“Tapi, Naz buat kami macam orang suruhannya!” Faris membidas. Dia bersuara marah.

“Dia langsung tak mahu dengar pandangan kami,” Laila menambah.

“Kata-kata dia saja yang betul,” Rizqy turut menyokong.

Hanna dan Eric hanya terkebil-kebil mendengar luahan rasa tidak puas hati tiga orang remaja itu. Kak Husna juga nampaknya sudah mengalah. Dia terus meminta diri menuju ke biliknya. Wah, wah! Perjumpaan pertama yang menarik bagi kedua-dua orang rakan baik itu. Banyak betul hal yang tidak disangka dapat dikutip mereka petang itu.

“Kalau awak semua tak suka dengan cara kepimpinan Nazrey, kenapa lantik dia jadi ketua?” soal Hanna.

“Kami tak lantik dia!” ujar Rizqy.

“Dia yang lantik diri dia sendiri,” Faris menambah.

“Lagipun, dia terlalu kuat. Kami tak dapat menentangnya,” ujar Laila pula. Semakin keliru Hanna dan Eric mendengar kata-kata tiga orang sahabat itu. Masing-masing mula mengerutkan dahi.

“Jadi... kenapa awak semua sertai kumpulan ini pada mulanya?” giliran Eric menyoal.

“Kerana... awak tahu, sebelum kami kenal Nazrey, kami takut untuk tonjolkan keistimewaan yang kami miliki. Kami anggap diri kami ni pelik. Kami bukan manusia biasa. Kami sering bertanya, merintih dalam diam, kenapa kami diberikan kelebihan yang ganjil sebegini?” Hanna dan Eric diam mendengar luahan rasa Rizqy. Mereka berdua juga pernah mengalami situasi yang sama.

“Kami dapat rasa pandangan mata yang ganjil daripada mereka yang tahu tentang kami. Macamlah kami ni makhluk asing! Hanya keluarga terdekat sahaja yang dapat terima kami seadanya.”

“Apabila kami bertemu Nazrey, dia cadangkan penubuhan kumpulan ini. Waktu itu, kami betul-betul gembira. Kami tak pernah sangka, kelebihan yang selama ini kami rasakan ganjil dan pelik dapat digunakan untuk membantu orang lain. Idea Nazrey waktu itu, benar-benar menarik minat kami. Tanpa berfikir panjang, kami tubuhkan Dragon Warrior Junior,” Rizqy menyempurnakan ceritanya.

“Bagaimana kauorang boleh kenal Nazrey?” Eric menyoal lagi. Dia mahukan cerita yang lebih lengkap. Rizqy, Laila dan Faris saling berpandangan. Suasana di ruang tamu itu menjadi sunyi agak lama. Masing-masing sibuk berfikir, mencari jawapan.

“Sebenarnya, kami tak tahu,” Rizqy membuka mulut.

“Tak tahu?” Hanna bersuara hairan. Tidak mungkin mereka tidak tahu bagaimana mereka mengenali ketua mereka itu.

“Apa yang saya ingat, dia datang secara tiba-tiba. Lepas tu tawarkan saya untuk masuk kumpulan ni,” ujar Rizqy.

“Saya juga begitu,” Laila bersetuju.

“Saya diterima masuk lepas melalui cabaran yang sama seperti yang dilakukannya kepada awak berdua tempoh hari,” Faris membalas jujur.

“Saya juga harus mencabarnya terlebih dahulu,” Rizqy menyokong kata-kata Faris.

“Saya juga...” Laila turut menyokong.

“Dia juga pernah mencabar tidak kurang daripada 5 orang remaja yang telah menjadi mangsa eksperimen 17 tahun lepas,” Rizqy menambah.

“Betul! Sepertinya, dia ada data tentang eksperimen itu!” Faris membuat kesimpulan. Nada suaranya berbunyi sangat yakin.

“Memang betul kata kau tu!” satu suara yang cukup digeruni mencelah di tengah-tengah perbincangan petang itu. Nazrey melangkah garang menuju ke arah sekumpulan lima orang remaja di hadapannya. Pandangan matanya tajam, jelas menunjukkan rasa marahnya yang sudah tidak boleh dikawal lagi.

“Apa yang kauorang buat ni, hah?!” Nazrey melaung marah. Dia melemparkan beg sekolahnya ke tengah-tengah kumpulan remaja itu. Dadanya turun naik dengan laju. Nafasnya gagal dikawal dengan baik.

Faris, Rizqy dan Laila saling menunjukkan pandangan takut. Eric turut menyembunyikan wajahnya di sebalik dulang plastik. Hanya Hanna yang terus kekal merenung tepat ke arah remaja lelaki yang sedang melepaskan baran itu.

Wap-wap nipis mula keluar dari badan Nazrey. Dia seolah-olah mahu berevolusi menjadi The Incredible Hulk. Apa yang berbeza hanyalah warna kulitnya yang bertukar ke warna kemerah-merahan berbanding warna hijau yang cukup popular dengan karakter komik fiksyen itu.

“Menjalankan perbincangan... tanpa aku?! Itu... satu... kesalahan!” ujar Nazrey geram. Bibirnya terketar-ketar menahan marah. Dia menujah tangan kanannya ke hadapan. Satu pancaran api merah keluar dari tapak tangannya. Namun, belum sempat pancaran api merah itu kena pada sasaran, Hanna lebih lekas menangkisnya.

“Beginikah cara awak melayan rakan-rakan awak?” Hanna bertanya. Dia berdiri. Pandangan yang ditujukannya kepada Nazrey ketika itu jelas menunjukkan rasa meluatnya terhadap remaja lelaki terbabit.

“Mereka seperti tiada nilai langsung di mata awak!” Hanna menambah.

“Apa kau cakap?” Nazrey menyoal balas. Nada suaranya semakin tinggi.

“Rakan merupakan tempat bergantung, tempat kasih dan sayang ditanam! Bukannya tempat untuk kita lepaskan amarah!” Hanna bertegas. Alis matanya kemas tersusun. Pandangannya kepada Nazrey semakin tajam.

“Tambahan pula, awak!” Telunjuk kiri Hanna dinaikkan, menuding tepat ke arah Nazrey, “sebagai seorang ketua, awak patut lindungi anak buah awak! Bukan mencelakai mereka!”

Nazrey terkedu sebentar. Harga dirinya yang dirasakan begitu tinggi, yang telah menjadi kebanggaan dirinya yang paling besar, dirasakan sedang jatuh mendadak – dari puncak gunung yang paling tinggi terus jatuh ke dasar lautan yang paling dalam. Sungguh berani Hanna memperlakukan dirinya sedemikian rupa!

“Kau tak ada hak nak cakap tentang diri aku!” Nazrey memaki. Egonya memang sungguh tinggi. Dia tidak mahu mengalah. “Kau bukan sesiapa dalam kumpulan ini! Kau hanya orang asing!” Nazrey bersuara marah.

Kak Husna yang dari tadi duduk diam di dalam ruang solat juga sudah mula menjenguk keluar. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali sebelum kembali masuk semula ke dalam. Dirinya juga tidak sanggup untuk berhadapan dengan sifat panas baran Nazrey itu.

“Dia bukan orang asing!” Rizqy memberanikan diri mencelah. Dia sudah tidak sanggup mendengar tengkingan Nazrey yang tidak bertempat itu.

“Huh?” Nazrey sedikit terkejut. Sebelum ini, dia tidak pernah diperlakukan sedemikian rupa. Ini adalah kali pertama. Ahli-ahli kumpulannya itu selama ini langsung tidak berani bersuara apabila berhadapan dengan dirinya. Tapi, hari ini... mereka sudah pandai melawan dirinya!

“Apa kau kata?” Nazrey menyoal marah. Jelingan tajam yang sejak tadi difokuskan ke arah Hanna seorang, kini segera beralih ke arah Rizqy.

“Ya, aku kata, dia bukan orang asing. Dia bakal menjadi ketua baru Dragon Warrior Junior!” ujar Rizqy. Nada suaranya sungguh tegas dan penuh dengan keyakinan. Nazrey sedikit ternganga mendengar kata-kata Rizqy itu. Mana mungkin jawatan yang sedang dipegangnya itu dapat dirampas oleh seorang gadis! Wajah serius Nazrey mula bertukar. Senyuman sinis muncul dengan tiba-tiba di wajah sombongnya itu. Senyuman menjengkelkan yang disusuli oleh ketawa yang menyakitkan hati.

“Kau nak bergurau dengan aku ke?” Nazrey menyoal sambil dirinya terus berusaha menahan rasa geli yang tiba-tiba muncul dalam dirinya. Rizqy diam. Tidak dia sangka, kata-katanya sebentar tadi itu langsung tidak Nazrey ambil serius.

Rizqy berpaling ke arah Hanna yang juga sedang ternganga. Mungkin Hanna juga terkejut dengan kata-katanya sebentar tadi. Dia berpaling pula ke arah Laila dan Faris, meminta sokongan. Ternyata usahanya itu tidak sia-sia. Laila dan Faris segera berdiri.

“Kami tidak main-main!” Faris bersuara tegas. “Hanna jauh lebih hebat daripada kau, Nazrey!” dia menambah.

“Kalau bukan sebab tembok tanah Man hari itu, sudah tentu kau akan cedera teruk!” ujar Laila pula.

“Lagipun, kau juga yang telah tetapkan peraturan itu...” kata-kata Faris terhenti sedetik sebelum ketiga-tiga mereka bersuara serentak.

“Siapa paling kuat dialah yang jadi raja!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.