Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Tujuh Belas – Tewas?!

Hanna rasa bagai mahu kekal melopong begitu apabila melihat ruang latihan tempur di hadapannya. Ruangan itu serba lengkap. Serba luas. Dibahagikan kepada lima bahagian yang berbeza yang dipisahkan oleh cermin tebal yang menjulang tinggi hingga ke siling. 10 meter ke atas. Setiap satu bahagian khusus untuk setiap elemen. Hanna yakin, setiap satu ruangan itu lebih sekali ganda luasnya berbanding ruangan khas di gimnasium peribadi di rumahnya.

Sejurus kereta yang dipandu Rizqy meluncur masuk ke perkarangan Golden Iflah Properties, mata Hanna sudah dapat menangkap susuk tubuh Nazrey yang sedang duduk berpeluk tubuh di atas pelana motosikalnya. Zip jaket penunggang ditubuhnya sudah diturunkan separuh. Wajahnya pula berkerut menahan terik mentari petang dengan anak matanya terus mengekor arah pergerakan Honda Jazz hitam metalik yang sedang berputar-putar mencari kawasan yang sedikit redup.

Di belakang Nazrey, Faris dan Laila sedang berbual rancak. Kedua-duanya langsung tidak sedar dengan kehadiran Hanna bersama Rizqy dan Eric. Biarpun, ketiga-tiga orang remaja itu sudah turun dari kereta model baru itu, Faris dan Laila masih saja kekal berbual. Seorang pun tidak pergi menyapa tiga sekawan itu. Hanya ketika Rizqy menekan punat bagi mengunci kereta milik abangnya itu, barulah kehadiran mereka bertiga disedari. Pantas kedua-dua orang remaja sama tinggi itu berlari anak mendapatkan Hanna dan yang lain.

Nazrey pula masih kekal di posisinya. Sekadar mencebik bibir. Menyampah barangkali melihat wajah Hanna, pencabarnya pada petang itu. Menyampah dan meluat. Gadis yang baru dikenali itu mudah sahaja mendapat perhatian oleh ahli-ahli kumpulan Dragon Warrior Junior. Mudah sahaja diterima oleh anak-anak buahnya yang tiga orang itu. Nazrey mendesis geram.

“Cukup-cukuplah berborak!” Nazrey yang baru melompat turun dari motosikalnya pantas mencelah perbualan mesra yang sedang berlaku di kawasan parkir terbuka itu. Dia sudah malas menunggu. Membuang masa. Tujuan dia ke situ bukan untuk berbual. Bertemu mesra. Dia ke situ untuk bertarung. Menentang gadis yang berani sungguh mencabar dirinya.

“Kalau nak bersembang, bukan di sini! Jangan membazir masa aku!” Nazrey menambah. Nada suaranya ditinggikan sedikit. Cuba menyedarkan lima orang remaja yang baru mula berborak di hadapannya.

Mendengar kata-kata Nazrey itu, Faris pantas memberi isyarat tangan. Meminta rakan-rakannya yang seramai lima orang itu mengekori langkahnya. Langkah mereka dibuka menuju ke arah halaman belakang bangunan pejabat berdinding kaca itu. Menuju ke sebuah gudang kecil di hujung bangunan kafeteria. Gudang yang cukup usang. Gudang yang cukup uzur dan daif. Gudang yang kelihatannya bakal runtuh tidak kira masa.

Faris menyeluk kocek belakang seluar denimnya. Sepasang anak kunci dikeluarkan. Pantas salah satu daripadanya ditusuk ke lubang kunci pada mangga besi yang mengikat kemas pintu masuk ke gudang lama itu. Kuncinya padan. Mangga itu dibuka lalu disangkut ke tepi. Kunci selak yang kelihatannya sudah berkarat turut ditolak ke tepi. Setelah itu, dengan lafaz basmallah, Faris menolak lembut pintu yang catnya sudah terkopak di sini-sana itu.

Hanna cuma mampu tersenyum kecil melihat bahagian dalam bangunan usang itu. Ruangan itu cukup kemas dan bersih. Berbeza sungguh dengan rupa luarannya. Lantainya dilengkapi batu marmar dan dindingnya pula dipasang jubing hingga ke siling. Kedua-duanya dikilat cantik. Bersih dari sebarang kotoran waima sebutir debu halus. Bahagian dalam gudang itu juga dilengkapi pendingin hawa. Sekeping potret gergasi lukisan minyak logo Dragon Warrior Junior terlekat pada dinding bertentangan pintu masuk.

“Ke belakang sikit,” Faris memberi arahan. Arahan yang pantas dipatuhi oleh lima orang remaja yang sedang berdiri berhimpit di belakangnya. Kelima-limanya pantas mengundur ke belakang. Mengundur keluar dari gudang kecil itu. Membiarkan hanya Faris seorang kekal di dalamnya.

Faris berdiri betul-betul di tengah ruangan kecil itu. Dia menarik nafas dalam sebelum berbisik perlahan, “Elemen angin : Bebola Taufan!” Sedetik, satu bebola angin sebesar bola sepak muncul di telapak tangan Akmal Faris. Pantas serangan elemen Naga Angin itu ditujukan ke arah potret yang telah dibingkai cantik itu.

Sedetik, kedengaran bunyi pelbagai jenis takal mula berfungsi. Hanna dapat lihat satu cahaya berwarna ungu mengimbas bingkai kaca itu sebelum bingkai itu mula membahagi dua. Satu bahagian mula bergerak naik hingga mencecah siling dan satu lagi bergerak ke paras lantai. Sejurus, lukisan di bahagian dalamnya mula bergulung. Memperlihatkan sebuah gelongsor udara yang menjurus turun ke bawah.

Faris menolak cermin kaca di hadapannya ke dalam. Tindakannya cukup selamba. Bagai menolak sebuah pintu biasa sahaja lagaknya. Sedetik, terowong rahsia yang tadinya gelap gelita mula diterangi cahaya lampu yang siap terbina di dalam dinding yang dilapisi kaca tebal itu.

“Silakan,” Faris bersuara sebelum melompat turun ke dalam terowong berpusar itu. Nada suaranya ceria. Seceria wajahnya ketika sedang menggelongsor turun di dalam gelongsor lut sinar itu.

Tanpa berlengah, Nazrey turut melompat masuk ke dalam gelongsor setinggi 10 meter itu. Tidak seperti Faris, remaja lelaki itu masih sahaja kekal dalam wajah seriusnya sehingga kakinya mencecah lantai ruangan bawah tanah. Laila, Rizqy dan Eric Iskandar turun selepasnya. Hanna memilih untuk mejadi orang yang terakhir menuruni gelongsor udara itu.

Sebaik sahaja buntut Hanna mencecah lapik getah yang menjadi alas di hujung gelongsor itu, dia pantas berdiri membetulkan bajunya yang sudah terkelepek di sana sini. Ketika itulah. Ketika itulah matanya berjaya menangkap pemandangan ruang latihan tempur yang serba lengkap itu.

Setiap ruang dipisahkan dengan sebuah dinding lutsinar setebal 15 inci setiap satu. Cukup tebal bagi menahan impak pelbagai teknik yang dihasilkan oleh pengguna elemen naga. Entah berapa ringgit Tan Sri Fauzi habiskan bagi mengubah suai ruangan bawah tanah itu demi Faris dan rakan-rakannya, Hanna tidak tahu. Kebarangkalian untuk nilainya mencecah jutaan ringgit amatlah pasti. Hanna yakin sekali.

Ruangan pertama merupakan ruang latihan bagi pengguna elemen api. Dinding bahagian hadapannya saling tak ubah seperti dinding di ruangan gimnasium khas milik Hanna. Kecuali dengan tambahan beberapa lubang kecil pelbagai saiz di merata tempat. Lantainya pula dilengkapi kolam air yang berwap di sini sana. Hanna pasti, berdasarkan pemerhatiannya terhadap sifat air di dalam kolam itu yang sedang menggelegak, suhunya mencecah 100 darjah selsius.

Ruang latihan bagi pengguna elemen tanah dilengkapi kolam lumpur di sudut belakang sebelah kiri selain beberapa set tanah-tanih pelbagai jenis di bahagian hadapan. Daripada sehalus-halus pasir sungai sehingga ke set batu-batan gunung bersaiz sebesar lelaki dewasa. Lantainya diperbuat daripada tanah keras, sama seperti dindingnya yang turut dilubangkan di bahagian hadapan.

Ruang latihan bagi pengguna elemen air yang berada jauh di hujung sana pula berlantaikan kolam ais dengan beberapa lubang yang mengandungi pelbagai jenis cecair berbeza suhu dan keadaan. Ada yang separa membeku, ada juga yang begitu cair dan dingin. Di sekeliling ruangan itu dihiasi tumbuhan air yang Hanna yakin turut memberi fungsi bagi ruang latihan serba biru itu.

Ruang latihan elemen kilat yang berada di tengah-tengah menggabungkan ciri-ciri yang ada pada ruangan pengguna elemen tanah dan elemen air. Dua elemen yang saling berkait dengan pengguna elemen kilat. Elemen air yang menyuntik kuasa serta elemen tanah yang meneutralkan serangan bagi seorang pemilik sel naga kilat.

Ruangan berwarna ungu yang paling hujung sudah tentu merupakan ruang latihan bagi pengguna elemen angin. Lantainya berlubang jejaring yang dialirkan angin buatan berbeza kelajuan serta tekanannya. Dindingnya pula diperbuat daripada titanium. Ya, mungkin sahaja Faris bercita-cita mahu menguasai gerakan pengguna elemen naga angin taraf tinggi – Gergaji Angin yang dikatakan mampu membelah bukit.

Ketika itu, tiada apa yang mampu disuarakan Hanna kecuali tasbih memuji Tuhan. Kemewahan hidup yang dimiliki Akmal Faris telah dia kongsikan bersama-sama rakan-rakan yang turut miliki kebolehan dan keistimewaan serupa. Kebolehan yang pernah dianggap suatu keganjilan. Keistimewaan yang pernah dipersoalkan kewujudannya. Kebolehan dan keistimewaan pemilik sel naga.

“Hanna, awak mahu bertempur dengan baju itukah?” Rizqy menyoal seraya memuncungkan bibirnya ke arah Hanna. Atau lebih tepat lagi ke arah pakaian berjenama yang sedang tersarung di badan Hanna. Rakannya itu sudah hampir lima minit tidak berganjak dari posisinya. Merenung ruang latihan tempur di hadapannya.

Hanna pantas menggeleng. Dia berpaling ke arah Rizqy yang masih setia merenung tepat ke arahnya. Ternyata, sapaan rakannya itu berjaya membawa keluar Hanna daripada dunianya yang tersendiri. Hanna berpaling merenung ke arah Nazrey di hujung sebelah sana. Remaja lelaki itu senang-senang sahaja menanggalkan kemeja di tubuhnya di hadapan dua orang gadis. Mujur sahaja masih ada singlet hitam yang tertinggal pada tubuh berotot kental miliknya itu. Tidak padan dengan kecil, badan mahu berotot besar.

Hanna tidak berlengah. Nazrey sudah menolak pintu kaca menuju ke ruangan latihan tempur yang tertera logo pengguna elemen api. Dia pantas mendapatkan pakaian ganti yang berada di dalam beg galasnya, sebelum bergerak laju menuju ke bilik persalinan. Pakaian yang sedang dipakainya itu harus diganti. Dia tidak mahu kemeja kesayangannya itu terbakar sia-sia akibat pertempuran pada petang itu.


“Bismillah,” Hanna bersuara sebelum menolak pintu kaca yang cukup berat itu. Pintu yang menghubungkan koridor sempit dengan sebuah ruangan latihan tempur yang cukup luas. Lebih luas daripada ruangan khas di gimnasium rumahnya. Nazrey sudah lama menantinya di situ. Remaja lelaki itu sedang sibuk memanaskan badannya.

Hanna memberi salam sebelum menutup rapat pintu kaca di belakangnya. Dia memerhati ke sekeliling ruangan latihan bagi pengguna elemen api itu. Ruangan itu sedikit berbeza daripada tadi. Lantainya kini seratus peratus diperbuat daripada tanah keras. Kolam pancutan air panas yang seharusnya berada di kedudukan Nazrey berdiri sudah menghilang dari pandangan. Entah ke mana perginya, Hanna tidak pasti. Mungkin ditutupi lantai batu itu. Mungkin.

Hanna segera memanaskan badannya seringkas mungkin. Dia tidak mahu membuang lebih banyak masa. Usai menarik nafas dalam buat kali yang keempat, Hanna segera mengambil posisi mula yang sesuai. Dia berdiri tegak bertentangan Nazrey yang sedang berdiri berpeluk tubuh. Remaja lelaki itu sedang merenungnya dengan pandangan malas. Pandangan yang cuba meremehkan kebolehan Hanna.

“Hanna Afza, pemilik sel naga merah, pengguna elemen api, puak Fuji,” Hanna bersuara memperkenalkan dirinya. Melaksanakan peraturan pertama yang harus dipatuhi setiap kali pertempuran antara pengguna sel naga berlangsung. Hal itu ada tertulis pada skrol kulit sepanjang dua meter yang ditinggalkan bersamanya ketika dia masih bayi. Dia harus menghormati peraturan itu. Peraturan yang telah ditetapkan oleh nenek-moyangnya.

Nazrey tidak segera membalas. Kata-kata perkenalan Hanna sebentar tadi berjaya mengganggu tumpuannya petang itu. Apa maksud gadis itu menamakan Puak Fuji sebagai keturunannya? Setahu dia, tiada seorang pun daripada bayi yang menjadi mangsa eksperimen 17 tahun yang lalu itu tahu tentang asal-usul keturunan mereka.

Mereka semua memiliki pertalian darah yang jauh dengan para Pahlawan Naga yang berada di Negara Matahari Terbit sana itu. Kata orang, bau-bau bacang. Mereka bukan saudara dekat. Jadi, apa motif gadis itu menamakan puak Fuji yang merupakan penjaga kepada Naga Merah sebagai puaknya. Adakah hanya kerana dia merupakan pengguna elemen api?

Ah, mana boleh! Bukan hanya ahli puak Fuji sahaja yang memiliki kebolehan itu. Masih ada beberapa puak lain yang turut berkongsi keistimewaan yang sama. Hasil perkahwinan dengan jejaka-jejaka daripada puak berbeza telah memungkinkan hal itu berlaku. Nazrey tahu tentang hal itu. Skrol naga yang ditinggalkan bersamanya adalah bukti tentang hal itu.

Kecualilah, jika gadis di hadapannya itu menamakan puak Nakata sebagai puak keturunannya. Puak Nakata, puak penjaga naga kilat. Puak yang cukup menjaga nama baik mereka. Puak yang cukup menjaga salasilah keturunan mereka. Puak yang cukup terkenal dengan hanya mengizinkan wanita dari puak mereka berkahwin hanya dengan lelaki yang membawa nama keluarga yang sama. Nama keluarga Nakata.

“Naz, kau tunggu apa lagi?” suara Akmal Faris bergema melalui alat pembesar suara di siling ruang tempur itu. Remaja lelaki itu sedang bersuara menggunakan mikrofon tanpa wayar dari ruangan santai di sebelah. Pemuka jam tangannya turut diketuk berkali-kali. Memberi ingatan bahawa masa tak akan berhenti menanti Nazrey menyudahkan angannya.

Nazrey pantas tersedar. Menungan panjangnya segera mati di situ. Pandangannya kini kembali fokus ke arah gadis remaja di hadapannya. Hanna Afza masih sahaja dalam posisi tunduk hormatnya. Entah berapa lama telah dia biarkan Hanna berkeadaan begitu, Nazrey tidak pasti. Yang pasti, dia tidak boleh berlengah lagi. Pertempuran petang itu harus dimulakan segera.

“Amar Nazrey, pemilik sel Naga Merah, pengguna elemen api!” Nazrey bersuara seraya memberikan tunduk hormat dengan pantas. Setelah itu, dia pantas mendapatkan posisi serangan yang sesuai. Kedua-dua belah tangannya menggenggam penumbuk kemas. Kedua-duanya diangkat separas dada. Dia cuba mencari peluang bagi memulakan serangan.

Hanna Afza juga sudah bersedia dalam posisinya. Dia merendahkan tubuhnya. Kedua-dua belah tangannya turut diangkat separas dada. Jari tangannya dibuka lapan. Membiarkan hanya dua jari ibu kekal terlipat di dalam.

Kedua-dua remaja itu, Hanna dan Nazrey kini saling bertentang pandangan. Saling membaca gerakan yang cuba dibuat lawan masing-masing. Siapa yang bakal menyerang. Siapa yang bakal bertahan. Siapa yang bakal memulakan pertempuran pada petang itu. Kedua-duanya masih tekun menilai gerakan masing-masing.

“Elemen api : Penumbuk Berapi!” Nazrey bersuara pantas. Sepantas tangannya dibaluti api merah. Sepantas tangannya menghalakan serangan jarak jauh kepada Hanna. Satu penumbuk berapi melayang laju di udara. Pantas menyasar perut Hanna yang tidak dilindungi.

Kena! Hanna Afza terpelanting ke belakang. Tubuhnya melanggar pintu kaca di belakangnya. Kemeja-T biru mudanya juga sudah berbara di bahagian perut. Hanna pantas melalukan tangannya pada bara merah tersebut. Bara yang tertinggal mula menghilang pantas. Dia kembali berdiri.

Wajah Amar Nazrey yang sedang tersenyum megah direnung sekilas. Hanna membalas senyuman itu sebelum kembali ke posisi asalnya. Remaja lelaki lawannya itu memang bukan calang-calang orang. Kelajuannya cukup pantas. Kelajuan yang memberi kelebihan buat diri lawannya itu.

“Elemen Api : Penumbuk Api!” Sekali lagi Nazrey melakukan gerakan yang sama. Dia menghayunkan penumbuknya dengan lebih pantas. Namun, kali ini, gadis pencabarnya itu lebih pantas bertindak.

Hanna Afza, tanpa bersuara telah membina sebuah perisai api yang cukup besar. Cukup besar untuk melindungi bahagian atas dadanya hingga ke bawah perut. Serangan Nazrey gagal mengena. Mata masih kekal satu-kosong. Nazrey mendahului.

Kali ini senyuman di wajah Nazrey terukir makin lebar. Ternyata remaja lelaki itu gembira melihat akan kehebatan Hanna melakukan gerakan tanpa suara. Ini barulah pertempuran. Pencabarnya hari itu pasti cukup hebat sehingga berupaya melakukan gerakan tanpa bersuara walau sepatah. Gerakan yang dirinya sendiri masih gagal untuk kuasai.

Namun, hatinya ketika itu sedikit pun tidak berasa gentar. Hanna Afza memanglah lawan yang hebat. Namun, tidaklah sehebat dirinya. Nazrey pantas merendahkan tubuhnya. Tangannya didepakan separuh. Masih menggenggam penumbuk.

“Elemen Api : Rantai Api Berganda!” Sejurus Nazrey selesai bersuara, sepasang api merah keluar melalui celahan penumbuknya. Panjang bagai cemeti yang digunakan bagi melatih haiwan di sarkas.

Nazrey tanpa berlengah, pantas menghayunkan rantai berapi itu ke udara. Tanpa belas, dia menghayunkan api yang membentuk cemeti panjang itu ke arah perisai Hanna. Berkali-kali dia melakukan hal itu. Berkali-kali sehingga perisai itu meretak. Sehingga perisai itu pecah. Sehingga rantai api itu mencecah ke dada bidang Hanna.

“Argh!” Hanna menjerit. Mengaduh sakit. Dia terduduk. Pantas tangan kirinya mendakap dada. Dadanya itu cukup pedih. Bagai baru dihiris oleh pisau. Sungguhpun, sut kalis apinya siap dilengkapi pad lembut setebal setengah inci, namun keperitannya masih saja dirasai. Serangan tadi itu memang tidak dia jangka.

Memang langsung Hanna tidak pernah menduga remaja lelaki itu bakal menyerangnya sedemikian rupa. Hanna kini mengerti. Mengerti bahawa remaja lelaki itu tidak bermain-main. Dia serius. Dia serius mahu menewaskan Hanna pada hari itu.

“Hanna, awak okey?” Rizqy yang telah merebut mikrofon tanpa wayar daripada Faris menyoal. Hanna berpaling ke luar. Dia menaikkan ibu jari tangan kanannya. Memberi isyarat bahawa dirinya tidak apa-apa.

Ya, memanglah rasa pedih yang dialaminya masih tersisa kuat. Namun, Hanna dapat merasakan bahawa kulitnya sedang sembuh dengan sendiri. Sembuh dengan kehadiran sel naga dalam tubuhnya. Sembuh dengan izin Allah. Tidak mahu membuang masa, Hanna kembali berdiri.

Hanna tidak boleh berlengah. Nazrey sedang mendahului perlawanan dengan tiga mata di hadapan. Dia harus mengejar. Dia tidak boleh tewas semudah itu. Dia tidak boleh mengecewakan rakan-rakannya. Dia tidak boleh menyerah kalah kepada remaja lelaki itu. Dia sudah berjanji. Dia akan berusaha sehabis baik. Dia tidak akan sesekali berputus asa.

Hanna kembali ke posisi asalnya. Namun, belum sempat dia melakukan apa-apa gerakan, sepasang penumbuk berapi pantas menghentam tubuhnya. Untuk kedua kalinya pada petang itu, tubuh Hanna terhentak kuat ke pintu kaca di belakangnya.

Hanna mengangkat wajahnya. Merenung tepat ke arah Amar Nazrey yang sedang meniup kedua-dua belah penumbuknya. Remaja lelaki itu sedang tersenyum puas hati. Dia sudah berjaya. Dia sudah menerajui pusingan pertama.

Hanna Afza sudah tewas baginya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.