Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Dua – Hanna dan Eric

Para pelajar 5 Tahfiz Sains yang seramai 20 orang itu mula saling mengerling satu sama lain. Masing-masing ingin tahu gerangan siapa yang berjaya memperoleh keputusan semua A dalam ujian penilaian yang lepas. Ada dua orang pelajar yang berjaya memperoleh 11 A. Itulah apa yang guru kelas mereka baru khabarkan.

Puan Salmiah yang tadinya tekun menyusun slip-slip keputusan peperiksaan pelajar kelasnya itu bangun dari duduk. Satu demi satu nama pelajar dipanggil ke hadapan kelas. Slip-slip keputusan yang berlipat dua mula bertukar tangan. Beberapa orang pelajar pulang ke meja mereka dengan wajah kecewa. Pasti bukan mereka yang memperoleh keputusan yang cemerlang itu.

Hanna dan Eric masih kekal di tempat masing-masing. 15 orang pelajar sudah dipanggil namanya. Hanya nama Eric, Hanna dan tiga orang rakan sekelas mereka yang lain saja belum diseru ke hadapan. Kedua-dua rakan baik itu saling berbalas pandangan. Eric sudah mengukir senyum gembira. Hanna yakin, salah seorang pelajar yang dapat semua A itu tidak lain tidak bukan ialah Eric, pelajar paling pintar di kelas aliran agama itu.

“Eric Iskandar.”

Pantas Eric bangkit. Pantas juga dia berjalan mendapatkan slip keputusan miliknya. Lipatan slip itu dibuka. Senyuman lebar mula terukir di wajah kacukannya. Betul, bukan! Eric dapat semua A!

“Fuji Hanna Afza,” kini tiba giliran nama Hanna diseru. Bingkas Hanna berdiri dan berjalan laju menghampiri guru berbadan langsing itu. “Tahniah,” Puan Salmiah menepuk bahu Hanna sebaik sahaja slip keputusan berlipat dua itu bertukar tangan. Hanna mengangkat keningnya tanda tidak mengerti.

“Bukalah,” arah Puan Salmiah. Lekas-lekas Hanna membuka lipatan slip keputusannya. Satu demi satu gred mata pelajaran yang tercetak pada kertas putih itu diteliti. Hanna menekup mulutnya. Semua A! Dialah seorang lagi pelajar itu! Dialah yang berjaya mendapat semua A dalam ujian penilaian yang lalu selain Eric. Biarpun kebanyakkan gred yang tercetak di situ adalah gred A-, namun dirinya sudah begitu gembira. Kata-kata pujian kepada Ilahi dituturnya pantas.

“Hebatlah, Hanna!” Eric berpaling ke belakang. Wajah Hanna yang masih kelihatan teruja direnung sekilas. Dengan cermat, dia menarik slip keputusan milik rakan baiknya itu. “Petang ni bolehlah awak belanja saya makan,” Eric mula mengusik. Dia mula membandingkan keputusan ujian penilaian miliknya dengan keputusan ujian Hanna.

“Eh, awak yang dapat nombor satu, saya pula yang kena belanja makan? Banyak cantik,” Hanna membalas pantas. Ewah, Eric! Mahu ambil kesempatan masa fikiran saya tengah melayang ke tempat lainkah?

“Lagi satu, petang ni saya tak free,” ujar Hanna lagi. Dia segera mencapai slip keputusan ujiannya dari tangan Eric. Matanya mula memberi isyarat menyuruh Eric kembali berpaling ke hadapan. Puan Salmiah sudah pun memulakan sesi pengajaran dan pembelajarannya pagi itu. Memang naya jika guru sejarah mereka itu nampak mereka berdua sedang berbual di bahagian belakang kelas.

“Kenapa pula? Hari ni latihan akhir sebelum Cikgu Rashdan buat pemilihan,” Eric bersuara separuh berbisik. Hanna tidak segera membalas. Dia dapat lihat wajah Syukri yang sedang memberi jelingan amaran kepada Eric. Menyuruh rakan baik Hanna itu agar diam.

“Hari ni hari jadi mama,” Hanna membalas. Sambil itu tangannya pantas menyalin segala nota yang sedang diberikan Puan Salmiah mengenai Pembinaan Negara dan Bangsa. Eric yang pada mulanya tercongak-congak berfikir segera mengangguk. Dia tahu akan rutin tahunan keluarga Datuk Tevard itu.

Loceng berbunyi menandakan sesi pengajaran dan pembelajaran pertama di kampus aliran kementerian, Akademi Pendidikan I-CoST Utara telah berakhir. Para pelajar tingkatan 5 Tahfiz Sains pantas berdiri. Laungan ucapan terima kasih bergema di seluruh kelas kecil itu. Puan Salmiah mengangguk sebelum berjalan lenggang keluar dari kelas yang dihuni 20 orang pelajar itu.


“Perhatian, waktu PJ hari ni Cikgu Razali suruh kita kumpul di gimnasium kampus antarabangsa! Jangan sesat turun ke padang pula!” Sufyan, ketua kelas paling gila kuasa, menyampaikan pesanan. Beberapa orang pelajar mula mengeluh. Hanna dan Eric turut tidak terkecuali. Masing-masing mula dihujani perasaan malas untuk mendaki sejumlah 100 anak tangga yang menjadi penghubung antara kampus kementerian dengan kampus antarabangsa. Namun, oleh sebab masing-masing begitu kenal dengan sifat menyinga Cikgu Razali, 20 orang pelajar dalam kelas itu akur dengan arahan tersebut.

Para pelajar 5 Tahfiz Sains berbaris di luar kelas. Setelah segala macam suis peralatan eletrik dipastikan mati, setelah pintu masuk ke kelas kecil itu dikunci rapi, dua barisan pelajar bergerak turun ke surau pelajar di aras dua. Kini tiba waktu untuk pelajar aliran agama melaksanakan Solat Dhuha berjemaah.

Usai Solat Sunat Dhuha yang diimamkan oleh Ustaz Zaman itu, para pelajar 5 Tahfiz Sains segera berlari turun ke ruang loker pelajar di aras bumi. Setelah pakaian sukan masing-masing diambil, para pelajar tingkatan lima itu segera menuju ke deretan anak tangga di barat daya akademi pendidikan serba luas itu. Pelajar-pelajar perempuan yang uzur syarie serta beberapa orang pelajar lelaki – yang pastinya telah mengenakan pakaian sukan di dalam seragam sekolah mereka – telah lama menghilang dari pandangan. Beberapa orang pelajar mula berlari-lari anak dan yang bakinya berjalan laju. Masing-masing tidak mahu didenda kerana lewat hadir ke kelas cikgu paling garang di sekolah persendirian itu.


“Kamu berdua lagi,” garang sahaja Cikgu Razali bersuara. Dia menyilangkan tangan sebaik sahaja Hanna dan Eric melintasi gerbang selatan Kampus Antarabangsa. Sah, sekali lagi, untuk kelas Pendidikan Jasmani kendalian cikgu berbadan tegap itu, mereka telah menjadi pelajar yang terakhir tiba.

Hanna dan Eric saling berbalas pandang. Kali ini mereka benar-benar rasa bersalah. Tidak seperti lima kejadian sebelum ini. Kejadian kali ini adalah tidak disengajakan. Entah apa yang menyebabkan mereka berdua begitu rajin pada hari itu tidak tahulah. Habis segala sejadah yang ditinggalkan tanpa berlipat di surau tadi disusun elok-elok ke dalam kabinet besi. Wah, mahu bodek Ustaz Zamankah? Mentang-mentanglah baru dapat keputusan 100 markah dalam Pendidikan Al-Quran dan As-Sunah.

“Hari ni saya nak tambah hukuman. Tiap-tiap minggu denda lari keliling padang 10 pusingan pun masih tak serik-serik,” Cikgu Razali bersuara garang seperti selalu. Namun kali ini, ada senyuman sinis mengiringi kata-katanya. Hanna dan Eric saling berpandangan.

“Cikgu nak tambah berapa pusingan?” Hanna menyoal. “Lima? Sepuluh?” Hanna menyambung lagi pertanyaannya. Kali ini dia memberi dua pilihan jawapan. Dia memang langsung tidak kisah didenda berlari keliling padang bola sepak British di Kampus Kementerian sebelum ini. Jika dibandingkan dengan padang mini bola sepak Amerika Kampus Antarabangsa yang kecil itu, pasti saja Hanna lebih tidak kisah. Itulah masanya untuk dia membina stamina.

Cikgu Razali tidak segera membalas. Sengihannya makin melebar. Menakutkan sungguh! Dia berpaling ke arah padang umum di kaki anak tangga yang baru selesai didaki Hanna dan Eric. Padang itu hampir sama luas dengan padang bola sepak milik Kampus Kementerian. Matanya mula memberi isyarat. Segera Hanna dan Eric berpaling untuk melihat apa yang cuba ditunjukkan oleh guru disiplin tersebut.

Pak Amat Tukang Kebun sedang menyapu daun-daun kering serta rumput hijau yang baru dipotong mesin. Hanna dan Eric berpandangan kembali. Mereka dapat mengagak apakah denda yang bakal diterima oleh mereka berdua.

“Saya nak awak penuhkan beg ni dengan kemuncup. Selagi tak penuh jangan masuk kelas saya.”


“Ini satu penderaan! Mana ada kemuncup yang boleh kita cabut lagi! Saya tak suka bila jadi begini!” Eric mengomel sendirian. Memang benar kata Eric. Masakan mereka harus mencari kemuncup di padang yang baru sahaja dimesin rumputnya. Mana mungkin! Sebatang pun mustahil untuk ditemui.

“Mana ada kemuncup lagi! Rumput pun sudah nipis!” Eric merungut lagi.

“Adalah.”

“Mana? Awak jumpa kat mana? Pak Amat lupa mesin ke?” Eric menyoal laju. Kepalanya pantas menoleh ke kiri dan ke kanan. Tapi dia masih belum nampak apa yang dikatakan Hanna. Tiada apa yang kelihatan dapat menarik perhatiannya di padang hijau itu kecuali timbunan daun-daun kering dan rumput-rumput yang baru selesai disapu Pak Amat Tukang Kebun.

Tiba-tiba senyuman mula menguntum di wajah Eric. Pandangan matanya beralih sekejap kepada Hanna sebelum kembali merenung timbunan rumput hijau kekuningan yang bercampur dengan warna coklat tua daun kering.

“Awak fikir apa yang saya fikirkan?”

“Mestilah! Saya fikir dahulu daripada awak, okey,” Hanna membalas.

Kedua-dua sahabat itu mula berjalan laju ke arah hujung padang. Semakin lama semakin laju langkah yang dibuka. Seperti sedang berlumba pula. Mujurlah Pak Amat sempat mengelak. Jika tidak, pasti satu kemalangan yang tidak diingini akan berlaku.

Hanna dan Eric macam orang sedang kebulur nampak nasi. Longgokan rumput yang sudah disapu dan terlonggok cantik di tepi padang diselerakkan kembali. Masing-masing mula mencekuh tangan ke dalam timbunan rumput tersebut. Mencari-cari benda yang diingini. Pak Amat Tukang Kebun hanya mampu ternganga melihatkan hasil titik peluhnya membersihkan padang rumput yang luas itu semenjak awal pagi tadi diperlakukan begitu.

Kemuncup yang sudah dimesin masih tetap juga kemuncup. Cikgu Razali tidak memberi permintaan yang spesifik. Jadi, tidak salah rasanya jika Hanna dan Eric mengutip kemuncup yang sudah dimesin.

“Selesai pun,” ujar Hanna. Dia melihat beg plastik kuning di tangan kirinya yang sudah penuh dengan kemuncup. Hanna menyimpul beg plastik itu sebelum disumbat ke dalam poket sisi seluar sukannya. Eric juga sudah selesai memenuhkan beg plastiknya. Mereka berdua tersenyum girang.

Pak Amat Tukang Kebun sudah terlopong dibuat oleh mereka berdua. Penyapu cakar serta pengaut terlepas daripada pegangannya. Hanna dan Eric menoleh. Mereka tersengih.

“Biar kami sapukan balik.” Eric segera mengambil penyapu cakar dan mula menyapu daun-daun kering serta rumput basah yang sudah berserakan angkara mereka tadi. Hanna juga turut membantu memasukkan rumput-rumput yang sudah disapu ke dalam beg guni menggunakan pengaut plastik. Siapa buat sepah, orang itulah yang kena kemaskan balik. Pesan Datuk Tevard terngiang-ngiang di telinga Hanna.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.