Home Cerpen Keluarga Infaq Terakhir
Infaq Terakhir
Izz Farihin
10/8/2013 07:56:26
1,542
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

1 Syawal. Hari ini, genap sudah 15 tahun kau pergi tinggalkan kami. Meninggalkan papa, meninggalkan mama, meninggalkan umi dan walidmu, meninggalkan Embah Asmah yang sentiasa peduli dengan nasibmu serta meninggalkan aku – Afkar Rusydi, saudara kembarmu yang langsung tidak pernah menghargai kehadiran engkau selama hayatmu.

Afiqah, masihkah kau ingat saat itu? Saat kau pergi dengan senyuman menghiasi bibirmu. Ya, senyuman itu, masih jelas terukir di wajahmu yang sedang menanggung derita. Sedikitpun tidak, senyummu yang manis itu memudar, menghilang dari rautmu.

Afiqah, kau ingat lagi tak hari itu? Hari ketika kau datang menjengukku yang manja dan langsung tidak kisah dengan kehadiranmu? Hari ketika kau mengatakan hal itu? Hal yang akhirnya menjadi nyata. Hal yang tidak pernah aku sangka.

Aku masih ingat Afiqah. Aku tidak akan lupa. Tidak akan aku lupakan hari itu sampai hujung nyawaku.

                                                              **********

Soreh itu, langit di luar membiru cantik. Mentari tidaklah menyinga memancarkan bahangnya. Hujan juga tidak turun menimpa bumi seperti hari-hari sebelumnya. Petang itu, memanglah cukup baik untuk menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan – bersiar-siar dan bermain.

Namun, Petang yang indah sebegitu, tidak membawa sebarang erti buat diri remaja lelaki itu. Ah, dengan keadaan dirinya yang berselirat dengan pelbagai wayar dan tiub perubatan sebegini, tidak mungkinlah dia dapat bergerak bebas – menyertai kumpulan remaja seusianya yang mungkin kini sedang sibuk bersiap untuk turun ke padang bola!

Remaja lelaki itu merenung ke arah tubuhnya. Tubuh yang dihiasi parut-parut panjang di bahagian dada. Dia mengeluh kasar. Seraya, jiwa mudanya lekas dihasut, cuba menduga ujian yang diberikan Tuhan. Sampai bila dia harus berkeadaan begini? Sampai bila? Sampai dia matikah? Bila dia harus mati? Kenapa tidak dia mati-mati? Kenapa begitu liat nyawaku ini, Ya Allah? Mengapa? Kenapa?

Wajahnya yang masih belum menampakkan tanda-tanda kematangan, lekas diraup kasar. Jiwanya benar-benar berjaya digoda sang laknatullah kala itu. Hatinya begitu remuk menagih kebebasan hidup. Fikirannya bercelaru, cuba mencari jalan keluar.

Sedikitpun tidak dia mengingati pesan guru agamanya – Tuhan tidak akan membebani hamba-hambaNya dengan sesuatu ujian, melainkan ujian itu mampu ditanggung oleh hambaNya itu. Tuhan sudah berjanji. Dan, Tuhan tidak akan pernah memungkiri janjinya.

“Assalamualaikum,” satu laungan salam, mengusik dirinya. Remaja lelaki itu berpaling ke arah pintu kamar rawatannya yang sudah terbuka separuh. Seorang gadis manis, seusia dengannya, sedang menjengukkan wajahnya di celahan ruangan yang terbuka itu. Gadis itu, kini sudah mempamerkan senyuman sejurus wajah Afkar Rusydi berada dalam pandangannya.

“Aku ingat kau tidur tadi,” Afiqah bersuara laju. Dia lekas melangkah masuk sebelum kembali menutup rapat pintu kayu kosong itu. “Ketuk banyak kali, taklah juga orang tu menyahut. Hai, buat merah tangan aku aje,” tambah gadis yang begitu banyak bicara itu. Dia pantas menarik kerusi plastik di hujung bilik rawatan peribadi itu sebelum menyeretnya rapat ke sisi katil, tempat adik lelakinya itu sedang berehat.

Afkar tidak segera membalas. Wajah tulus Afiqah yang sentiasa dihiasi senyuman itu ditatapnya lama. Dia merenung wajah kakaknya itu dengan rasa bercampur baur – rasa curiga, cemburu dan tidak puas hati sudah mula bergaul. Mengapa engkau masih boleh tersenyum gembira tatkala diriku ini sedang derita? Apa kau tidak punya perasaan Afiqah?

“Apahal ni? Senyap aje, selalu dah bising-bising tanya kenapa aku yang datanglah, kenapa aku ni free sangat nak melawat kaulah, kenapa bukan papa dan mamalah...” Afiqah berleter panjang, mengajuk lagak adiknya itu setiap kali dia datang menjenguk. Afiqah lantas melabuhkan punggungnya, menghadap wajah Afkar. Kedua-dua beradik itu kini bertembung pandangan.

“Kau sakit ke, Afkar? Tapi, aku tak rasa apa-apa pun,” Afiqah menyoal curiga. Dia memegang bahagian dadanya. Ya, dia tidak merasakan perasaan yang ganjil ketika itu. Perasaan yang sering datang ketika adiknya itu mengadu sakit.

“Kenapalah kau yang sihat, Iqa? Kenapa tak aku aje yang jadi kau? Kenapa, Iqa? Kenapa Tuhan jadikan aku sakit macam ni? Aku nak hidup macam budak-budak lain. Aku tak nak keluar masuk tempat ni! Aku tak suka!

Aku mahu jadi kau! Kenapa Tuhan tak adil? Kenapa dia biarkan kau dan yang lain sihat, dan aku pula sakit begini? Kenapa, Iqa? Apa salah aku?” Afkar lekas meluahkan segala hal yang mengganggu fikirannya. Entah syaitan mana yang sedang menari-nari gembira, melihat hasutannya sudah membuahkan hasil ketika itu. Mempersoalkan takdir Tuhan? Siapa yang ajar kau berbuat begitu, Afkar?

“Kenapa dengan kau ni, Afkar? Cakap macam orang tak ada pegangan. Sakit kau ni ujian. Tuhan nak menguji kau. Tuhan buat begini sebab dia tahu yang sakit ini yang terbaik untuk kau,” nasihat Afiqah dengan nada lemah lembutnya bak seorang ibu. Dia merenung tepat ke dalam mata Afkar. Cuba mencuit hati adiknya itu, agar dapat lari dari gelora yang mengacau jiwa.

“Terbaik untuk aku? Terbaik untuk aku, kau cakap? Apa yang baiknya? Dah bertahun aku sakit macam ni! Tak juga sembuh-sembuh! Tak pula aku mati! Ni seksaan, bukan ujian dah!” Afkar bersuara tidak puas hati. Wajahnya sudah memerah. Entah marah, entah apa.

Afiqah terus beristighfar panjang. Ya Allah, kenapalah dengan adiknya soreh itu. Tiada angin, tiada hujan, ribut taufan pula melanda, menonggang-langgangkan fikiran dan jiwanya.

“Afkar, Tuhan bagi kau sakit, sebab Dia tahu, kau lebih perlukan papa dan mama berbanding aku. Tuhan bagi kau sakit, sebab Dia tahu, kau lebih perlukan rehat berbanding aku. Tuhan bagi kau sakit, sebab Dia mahu kifarahkan dosa-dosa kau, mahu beri kau pahala.

Tuhan masih belum beri kau kesembuhan, sebab Dia lebih tahu masa yang terbaik untuk kau sembuh dan mula berkawan. Tuhan belum beri kau kesembuhan, sebab Dia lebih tahu tentang sikap manja kau ini, yang sering mahukan perhatian. Tuhan belum beri kau kesembuhan, sebab Dia tahu, kau masih perlukan sokongan orang-orang di sekeliling kau.

Kenapa Tuhan tidak ambil nyawa kau? Sebab Dia tahu, bila masanya yang terbaik untuk kau pergi tinggalkan dunia. Tuhan masih belum mahu ambil nyawa kau, kerana mahu beri kau peluang mengumpul pahala. Tuhan masih belum mahu ambil nyawa kau, kerana Dia tahu, ramai yang akan bersedih mengenangkan kau. Tuhan masih belum ambil nyawa kau, kerana Dia mahu kau belajar mensyukuri nikmatnya.

Sakit kau ini ujian, Afkar. Tak semua orang merasa. Sakit kau ini nikmat bagi orang yang sabar. Sakit kau ini, jika kau reda, jadilah ia penghapus dosa. Sakit kau ini, jika kau sabar dengannya, dapatlah kau bergunung pahala. Itu janji Allah, kau tak boleh mempersoalkan bentuk nikmat yang kau terima.

Nikmat hidup aku, dalam bentuk kesihatan. Nikmat hidup kau, dalam bentuk sakit begini. Kau sakit, mama dan papa sentiasa ada dengan kau. Sepanjang masa. Aku yang sihat, hendak jumpa mereka sekali sehari pun cukup payah.

Bersyukurlah dengan nikmat sakit ini. Sebab Tuhan tahu, hanya dengan sakit kau inilah, kau akan lebih dekat dengan Dia. Tuhan itu mahu kau lebih rapat denganNya. Dia mahu kau sentiasa mengingatiNya. Sebab itu dia kasi kau sakit sebegini. Bersyukurlah, Afkar. Bersyukurlah,” panjang lebar Afiqah memberi nasihat. Renungan sayunya terus menikam tepat ke mata Afkar, memberi kesan ke jiwa lelaki adiknya itu.

“Jangan merungut, Dia tidak suka,” tambah Afiqah lagi. Kali ini, dia sudah mula menggosok-gosok belakang Afkar. Perasaan adiknya itu cuba ditenangkan sehabis baik.

“Afkar, kalau akulah yang pergi dulu sebelum kau, agak-agak nanti, kau sunyi tak?” soal Afiqah tiba-tiba. Wajah adiknya itu direnung dengan matanya yang bundar berkilat.

Afkar tidak tunggu lama sebelum menggeleng ringkas. Dia mengangkat bahu seraya bersuara pendek, “entah. Tak berapa kot.”

Afiqah tersenyum pudar mendengar jawapan adiknya itu. Sudah dia agak, itulah jawapan yang bakal diberikan Afkar. Dia tidak kisah, apatah lagi ambil hati dengan jawapan yang menjurus ke arah negatif sebegitu. Dia faham, bagi Afkar, yang utama dalam hidupnya adalah papa dan mama. Afiqah, kakanya ini, hanyalah insan biasa yang kadang-kadang menyibuk dan gemar berleter kepadanya.

“Bagi akulah, kalau kau tiada nanti, pasti aku sunyi gila. Bukan aku aje; papa, mama, ahli keluarga kita, semua akan sunyi kalau kau tiada. Jadi Afkar, kalau kau minta Tuhan ambil nyawa kau, hal itu tidak adil untuk aku. Tidak adil untuk papa dan mama. Kami semua sayang kau. Kami semua masih tak boleh hendak lepaskan kau pergi. Kami semua akan rindukan kau kalau kau dah tiada. Kami semua akan rasa sunyi, rasa lain macam kalau Tuhan ambil nyawa kau sebegitu awal.

Tapi, kalau aku yang pergi dulu, lainlah...” Nada suara Afiqah mula berubah mendatar. Dia kini sudah mengalihkan perhatiannya ke arah jendela kaca. Merenung jauh ke luar tingkap tembus pandang itu.

Suasana sunyi mula menyelubungi kamar rawatan intensif itu. Bagai ada malaikat lalu, seorang pun tidak antara dua beradik itu, bersuara memecah kebuntuan. Melihat akan wajah Afiqah yang berubah sayu begitu mendadak, jiwa Afkar yang keras bak batu, lekas tersentuh. Dia dapat merasakan, ada sesuatu yang cuba disampaikan kakak kembarnya itu.

“Afkar, kalau aku pergi dulu dari kau, jantung ni aku reserved untuk kau, ya!” Afiqah tiba-tiba bersuara penuh semangat. Dadanya sebelah kiri ditampar agak kuat. Wajah Afkar kembali direnungnya dengan senyuman yang lebih luas menghiasi raut rupanya.

Namun, usul yang tidak berasas itu tidak disambut Afkar dengan riak yang serupa. Wajahnya mula berubah hairan. Jiwanya mula berasa tidak senang. Sungguhpun dia tidak tahu apa hal yang mengganggu jiwanya itu, tapi dia pasti, hal itu ada kaitan dengan Afiqah. Ada kaitan dengan saudara kembarnya itu.

“Iqa, kau sakit ke?” giliran Afkar menyoal. Dia lekas membelek-belek wajah Afiqah. Tiada keganjilan terhadap rupa paras saudarnya itu. Yakah? Apa kau perasan jika ada perubahan sekalipun, Afkar? Bukankah selama ini kau langsung tidak pernah mempedulikan kakakmu itu?

“Kenapa kau tanya aku begitu?” Afiqah meyoal balas. Sengaja dia mahu adiknya itu berteka-teki.

“Kenapa kau cakap benda yang pelik macam tadi? Nak reserved jantung kau untuk aku? Kau tahu tak, kau kena mati dulu kalau kau nak bagi jantung kau tu kat aku?” Afkar membangkitkan persoalan dalam nada penuh kegusaran.

“Afkar, macam aku kata, ajal maut itu rahsia Allah. Aku cakap, kalau aku pergi dulu, jantung aku ini, milik kau. Kalau tidak, tidaklah. Kenapa kau tiba-tiba soal aku macam tu? Kau risau kat aku, ek? Sayang juga kau dekat aku, ya?” Afiqah mula mengusik. Namun, Afkar yang begitu tinggi egonya itu, lekas-lekas menafi.

Afiqah hanya tersenyum kecil. “Tak nak mengaku sayang akulah tu,” usiknya lagi.

Loceng panjang menandakan waktu rehat sudah tamat berbunyi nyaring. Namun, gadis bertudung labuh dan berseragam merah muda itu masih termenung di kaki tangga batu menuju ke padang. Sedikit pun tidak dia berganjak daripada situ. Tubuhnya ketika itu, kaku bak batu. Bagai disumpah Sang Kelembai sahaja rupanya.

Ustazah Hanim yang dari tadi memerhatikan gelagat anak muridnya itu, tersenyum kecil. Hai, budak ini, jika ditangkap Ustaz Borhan, tidak fasal-fasal pula dia disoal bukan-bukan. Yalah, pengawas sekolah mana boleh tunjuk contoh tidak menepati masa sebegitu.

Ustazah Hanim melangkah perlahan-lahan menuruni tangga batu yang menghubungkan dataran sekolah dengan padang berumput hijau. Setelah 47 anak tangga dilangkahnya, dia kini sudah berdiri selang satu anak tangga daripada pelajar perempuan yang sejak dari awal waktu rehat tadi, sudah berjaya mencuri perhatiannya.

Yalah, sejak lebih 20 minit yang lalu, gadis remaja itu langsung tidak berganjak dari situ. Entah sudah makan, entah tidak. Puasa sunat Khamis, barangkali.

“Rusyda,” nama gadis bertubuh kurus tinggi itu dipanggil lembut. Gadis itu lekas berpaling. Wajah Ustazah Hanim direnung dengan rupa terpinga-pinga. Eh, apa pula guru agamanya lakukan di kaki tangga batu ini.

“Awak tak naik kelaskah? Waktu rehat sudah habis ni,” Ustazah Hanim bersuara lagi. Kali ini dia turut menyuakan pemuka jam tangan yang terkancing di pergelangan kirinya untuk diamati pelajarnya itu.

Afiqah, menyedari bahawa dirinya benar-benar sudah melewati waktu rehat, lekas berdiri. Deras kakinya menapak naik, mendaki tangga batu yang memiliki sejumlah 50 anak tangga itu. Ruang legar kafeteria yang sudah kosong direnungnya lama. Ya Allah, mengapalah dia boleh termenung sampai sebegitu sekali.

“Awak okey ke, ni? Awak menungkan apa, sampai loceng dah berbunyi pun awak masih tak sedar. Kalau Ustaz Borhan nampak...” Ustazah Hanim yang baru menjejakkan kaki ke permukaan berumput di bahagian belakang kafeteria terbuka itu, lekas menepuk bahu Afiqah.

“Eh, janganlah ustazah! Syyh...” Afiqah merapatkan telunjuknya ke bibir. Dia memerhati sekeliling. Mujur, ketua badan disiplin sekolah itu tiada di situ. Jika tidak, memang panaslah telinganya mendengar leteran ustaz muda itu.

Ustazah Hanim tersenyum nipis melihat akan gelagat Afiqah itu. Tahu pun dia takut dengan Ustaz Borhan yang berjambang nipis itu.

“Sudah, awak pergi masuk kelas. Kawan-kawan awak yang lain, semua dah naik,” arah Ustazah Hanim. Afiqah mengangguk ringkas sebelum dia membuka langkah menuju ke blok akademik.

Tidak jauh dia berjalan, kedengaran ustazah bertubuh kecil itu melaung namanya sekali lagi. Afiqah berpaling. “Petang ini, jangan lupa turun latihan!”

“Insya-Allah!”

Risau sungguh Ustazah Hanim dibuat dek Rusyda Afiqah petang itu. Masuk kali ini, sudah tiga kali pelajarnya itu rebah tidak sedarkan diri ketika latihan bola jaring dijalankan. Itu yang berlaku di hadapan matanya, yang berlaku di belakang pengetahuannya, entah berapa kali sudah hal yang sama menimpa pelajarnya itu.

Sudah itu, kali ini, lama pula pelajarnya itu pengsan dan tidak berhasil dikejutkan. Puas guru-guru yang merangkap jurulatih pasukan sekolah merenjis air dan menampar lembut pipinya, masih saja pelajar itu tidak mahu mencelikkan matanya. Hampir 10 minit, barulah jemarinya memberi reaksi, disusuli kerutan di dahinya yang semakin lama semakin bertambah.

“Rusyda, baguslah kamu dah sedar.” Ustazah Hanim bersuara lega. Dia lekas bertindak menyokong tubuh gadis itu daripada belakang ketika Afiqah bangkit tergesa-gesa untuk kembali duduk.

Afiqah tidak lekas membalas. Dia meraba-raba wajahnya, seolah-olah mencari sesuatu. Setelah pasti apa yang dicarinya tiada di situ, barulah dia mempamerkan senyuman nipis. Wajah Ustazah Hanim, Cikgu Intan dan Teacher Zuriani direnungnya lemah. Pandangannya masih belum jelas, masih berpinar-pinar.

“Saya pitam lagi, ya?” Afiqah menyoal dengan nada tidak bermaya. Dia masih saja tersenyum.

“Pitam? Kamu pengsan tadi. Sudah lapan minit lebih. Ustazah sudah mahu naik, minta tolong guru lelaki untuk bawakan kamu ke hospital tadi. Ustazah nak papah kamu, taklah ustazah mampu. Nasib baik kamu sedar.” Mendengar cerita Ustazah Hanim itu, Afiqah tergamam seketika. Benar kata ustazahnya itu. Nasib baik dia lekas tersedar. Jika tidak...

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengatur segala hal. Masih saja Engkau lindungi rahsiaku ini, Afiqah mendesis perlahan.

“Afiqah, kamu mahu ke hospital tak? Risau ustazah, dah tiga kali kamu pitam waktu latihan. Kamu sakit ke? Hah?” usul Ustazah Hanim itu diiringi anggukan setuju oleh dua orang lagi guru yang lain. Beria-ia sungguh guru-guru merangkap jurulatih pasukan yang diketuainya itu mengkhuatiri keadaannya.

Afiqah hanya membalas dengan gelengan ringkas – hal yang membuatkan Ustazah Hanim mula membuat muka. Ya Allah, budak ini! Sudah berkali-kali pengsan, masih saja degil begini. Bagaimana jika kamu sakit? Bagaimana jika ada apa-apa yang terjadi kepada kamu? Apa yang ustazah nak jawab kepada orang tua kamu?

“Ustazah jangan risau. Saya migrain aje. Saya ada ubat, ada dalam loker bilik. Nanti, balik dari latihan, saya makan. Jangan risaulah ya, ustazah? Cikgu? Teacher?” ujar Afiqah, cuba memadamkan kegusaran di hati guru-guru yang banyak membantunya selama dia bersekolah di sekolah agama itu.

“Betul ni?”

“Ya,” Afiqah membalas laju. Dia tersenyum lebih luas, memperlihatkan barisan gigi putihnya. Semoga, dengan senyumannya itu, rasa tidak enak yang hadir dalam diri insan-insan di sekelilingnya, dapat dihapuskan.

Dengan izin-Mu, Ya Allah.

Huda terpinga-pinga apabila abangnya turun dengan kotak-kotak yang kelihatannya penuh berisi sesuatu. Dia berlari mendapatkan kereta Perodua Myvi milik abangnya sebelum membukakan pintu bahagian penumpang belakang. Sesudah kotak-kotak yang berat itu diletak elok ke atas tempat duduk penumpang belakang, abangnya itu kembali masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat itu.

“Huda, marilah tolong abang!” abang sulungnya itu mengajak. Huda hanya mengekor setelah pintu Myvi putih itu ditutup kemas. Dia mengikut langkah abangnya itu mendaki tangga kayu menuju ke bilik tidur yang paling hujung di aras satu. Bilik itu milik rakan baiknya – Rusyda Afiqah.

“Mak ai, Iqa! Kau nak pindah rumah ke, hah? Kemas barang sampai berkotak-kotak macam ni,” Huda bersuara lantang. Dia berjalan laju mendapatkan Afiqah yang sedang duduk bersimpuh, memunggah almari pakaian yang memuatkan baju kanak-kanak perempuan yang masih cantik dan selesa dipakai. Nyaris abangnya terjatuh disenggul adik perempuannya yang kasar dan terburu-buru itu.

“Tak adalah. Aku nak bagi barang-barang lama aku ni ke rumah anak yatim tempat Abang Hadi mengajar. Aku dah tak guna pun benda-benda ni. Jadi, daripada membazir, baik aku infaqkan kepada adik-adik comel tu. Dapatlah jugak mereka guna, kan?” Afiqah menyoal sambil tersenyum puas. Dia sudah mula mengasingkan pakaian-pakaian zaman kanak-kanaknya itu ke dalam kotak-kotak kecil mengikut saiz. Embah Asmah yang tadinya turut serta memunggah isi almari lama itu, sudah bangkit bagi mendapatkan kotak-kotak kosong dari bilik stor di sebelah.

“Eh, kau tak sayang ke? Ini baju kenangan kau. Tak akanlah nak bagi dekat orang macam itu aje. Semua ini baju ada brand kot,” Huda meneliti satu demi satu label pakaian yang masih tercetak elok di bahagian kolar gaun-gaun comel yang berserakan di atas lantai.

“Huda sayang, baju-baju ni, aku dah tak muat pun. Jadi, macam yang aku cakap tadi, daripada membazir, baik aku bagi pada anak-anak yatim. Baju-baju ni semua elok lagi. Cantik lagi. Daripada aku biarkan mereput dalam almari ni, baik aku beri saja kepada mereka yang lebih memerlukan,” terang Afiqah. Dia mencuit pipi rakan sekelasnya itu sebelum kembali menyambung kerjanya.

“Kau ni, memang suka memberi, kan? Minggu lepas, kau wakafkan 20 buah Al-Quran dekat surau sekolah. Minggu sebelumnya pun, kau dah bagi berhelai-helai telekung kau yang masih cantik tu dekat masjid depan ni. Pemurah sangatlah kau ni,” Huda mengusik. Dia memang kagum dengan Afiqah. Sungguhpun kemewahan mengulit hidupnya, namun rakannya itu langsung tidak lokek bersedekah.

“Bukankah Nabi S.A.W. pernah bersabda? Akan terputuslah amalan anak adam setelah mereka meninggal dunia, melainkan tiga perkara. Yakni; doa anak-anak soleh, ilmu yang bermanfaat serta sedekah jariah.

Jadi, aku harap, dengan sumbangan aku yang sedikit ini, aku mampu jadikan ini sebagai pengiring aku ke dunia yang seterusnya,” ujar Afiqah, panjang seperti selalu. Dia sudah selesai memuatkan sekotak penuh pakaian sebelum dia bangkit bagi mendapatkan pita perekat. Kotak kadbod itu ditutup sebelum dilekat kemas bahagian atasnya.

“Nah! Tolong labelkan, ya?” Kotak yang sudah selesai dilekat itu, ditolak ke arah Huda yang sedang terkedip-kedip matanya.

“Dan, Abang Hadi! Buku di rak paling atas tu, jangan usik ya? Itu buku cerita yang Afkar suka,” pesan Afiqah sebelum dia kembali ralit dengan kerjanya. Abang Hadi hanya mengangguk. Tangannya lekas dialihkan daripada rak yang dimaksudkan, menyasarkan buku-buku di rak yang kedua pula.

Afiqah hanya diam membisu ketika Puan Ameera berleter panjang kepadanya pada malam itu. Afkar yang pada mulanya hanya duduk bersahaja di dalam biliknya, kini sudah keluar menjengukkan muka di koridor aras satu. Apalah lagi yang tidak kena dengan kakaknya itu sehingga mama harus mengomel dengan nada sebingit itu.

“Siapa yang bagi kebenaran?” Puan Ameerah menyoal geram. Dia sudah bercekak pinggang merenung Afiqah yang dari tadi menunduk merenung lantai.

“Cakaplah! Tahu tak, baju-baju tu mahal. Mama dan papa beli, bukan nak suruh Iqa bagi dekat orang lain yang kita sendiri tak kenal asal-usulnya. Entah anak terbuang manalah yang dapat baju Iqa tu, isy!” Puan Ameera merungut marah. Pandangannya kini dialihkan pula kepada Embah Asmah yang dari tadi membatu, berdiri di gerbang tanpa pintu yang menjadi pemisah ruang tamu dengan ruang makan.

“Bibik pun satu! Kenapalah ikut saja cakap si Iqa ni? Lain kali, hal macam ni, pastikan tanya saya dahulu!” Puan Ameera bersuara lantang. Dia sudah mula menuding ke sana sini sambil mulutnya tidak henti-henti melampiaskan rasa tidak puas hati.

Sehingga Dr. Rashdan tiba di rumah itu setengah jam kemudian, Puan Ameera masih saja berleter dan mengomel dengan nada suaranya yang tinggi dan kasar itu.

“Apahal ni? Dari luar dah dengar suara awak tu,” Dr. Rashdan bertanya lembut. Dia menutup rapat pintu kayu yang baru dilintasinya sebelum menanggalkan sepatu kulit hitam berkilatnya. Kasut kerjanya itu diletak ke atas para besi sebelum dia mendaki dua anak tangga marmar yang membawanya ke arah ruang tamu, tempat kekecohan yang didominasi sebelah pihak sedang berlangsung.

“Ini! Iqa ni, pandai-pandai aje dia dermakan semua baju dengan toys dia waktu kecil dulu dekat anak-anak yatim mana entah. Hai, geram betul saya!” Puan Ameera mengadu bak anak kecil. Dia berjalan laju mendapatkan Dr. Rashdan. Lengan suaminya ditarik sedaya mungkin bagi mengikut langkahnya.

“Apalah awak ni. Fasal hal itu aje, awak dah bising-bising macam ni?” Dr. Rashdan menyoal malas. Dia mengambil tempat duduk di atas sofa tunggal, betul-betul bertentangan Afiqah yang masih menunduk merenung jemari kakinya.

“Saya yang izinkan dia dermakan barang-barang lama dia tu. Apa salahnya? Daripada tidak berguna, lagi baguslah jika ada orang yang pakai. Taklah membazir,” ujar Dr. Rashdan. Dia menghela nafas panjang sebelum mengarahkan Afiqah naik ke biliknya. Wajah terpinga-pinga Puan Ameera direnungnya sekilas sebelum dia memberi isyarat, meminta isteri kesayangannya itu duduk dan bertenang.

“Kenapa awak buat macam tu? Balik-balik saja, terus marah Iqa. Tanyalah dulu elok-elok. Ini tak, terus saja serang dia macam tu. Kasihanlah dia,” Dr. Rashdan bersuara dengan nada tenangnya yang biasa. Dia melonggarkan tali lehernya dan menanggalkan kancing kemejanya yang paling atas.

“Manalah saya tahu. Awak pun sama, kenapa bagi muka sangat dekat Iqa tu? Nanti dia besar kepala, kita juga yang susah,” Puan Ameera bersuara tidak puas hati. Nafasnya dihembus kasar.

“Bagi muka?” Dr. Rashdan berdengus sinis. “Saya rasa, baik awak, mahupun saya, tak pernah pun kita bagi muka dekat Iqa tu. Buat tak peduli lagi, adalah. Kadang-kadang, saya kasihan betul bila fikir apa yang kita dah buat dekat dia.

Kita layan dia, macam dia tu anak tiri. Buat tak nampak aje, terutama sekali bila masa Afkar masuk wad. Lagilah kita jarang balik jenguk dia. Awak tak kasihan, ke?” Dr. Rashdan menimbulkan persoalan. Dia berulang kali mengeluh. Menghela nafas kesal.

Puan Ameera juga sudah tertunduk dibuatnya.

Afiqahdan Afkar, kelahiran mereka berdua sememangnya cukup dinanti-nantikan oleh Dr. Rashdan serta Puan Ameera. Yalah, lebih sepuluh tahun mereka hanya hidup berdua sebagai sepasang suami isteri, barulah mereka dikurniakan berita gembira tersebut. Bahagianya mereka ketika itu, hanya Tuhan sahajalah yang tahu.

Baru tujuh bulan usia saudara kembar berdua itu di dalam rahim ibu mereka, kedua-duanya sudah tidak sabar mahu keluar. Rusyda Afiqah yang berkulit putih cerah macam Dr. Rashdan serta bermata bundar dan berbulu mata lentik, saling tak tumpah seperti mata Puan Ameera, keluar dahulu.

Bayi perempuan itu didakap dan dicium berkali-kali sebelum diiqamahkan di luar dewan bersalin. Ya, ketika itu, Afiqah benar-benar disayangi dan bertahkta sebagai puteri di hati Dr. Rashdan. Sayangnya dia terhadap anak sulungnya itu, langsung tidak mampu untuk diperjelaskan. Sayangnya terlampau, sehingga tiada siapa akan pernah menjangka, bahawa nasib anak kecil itu akan berubah 180 darjah tidak lama kemudian.

45 minit baru Afiqah keluar ke dunia baru, dirinya bagai terus dilupakan. Hadirnya Afkar Rusydi, pasangan kembarnya yang dilahirkan dengan komplikasi masalah jantung dan pernafasan, ternyata berjaya merampas perhatian serta kasih sayang Dr. Rashdan dan Puan Ameera terhadap Afiqah. Entah kenapa, disebabkan perbezaan tahap kesihatan, dua beradik kembar itu dilayan dengan cara yang berbeza.

Hari-hari Afkar Rusydi memanglah cukup menyeksakan. Badannya sudah disambung ke pelbagai jenis peralatan rumah sakit sejak usianya masih bayi. Keluar masuk hospital dan bilik bedah merupakan sesuatu yang sudah lali dengan diri budak lelaki itu. Setiap kali tubuhnya didorong keluar dari ruangan pembedahan, pasti akan ada saja parut baru yang menghiasi dadanya.

Namun, siapalah yang akan mengerti perasaan Afiqah yang hidupnya, sejak usianya baru dua hari, sudah diserahkan kepada pengasuh untuk dijaga dan dibesarkan. Afiqah memanglah cukup beruntung kerana mendapat Embah Asmah sebagai pengasuhnya. Wanita separuh abad yang didatangkan dari Indonesia itu, memanglah sangat-sangat menyayangi dan simpati dengan nasib Afiqah.

Yalah, anak kecil itu, mahu bertemu dengan ibu bapa kandungnya, sukar benar. Bangun sahaja dari tidur, pasangan doktor dan peguam cara itu pasti sudah berangkat ke tempat kerja tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal dan mengucup pipi gadis kecil mereka itu. Pulang sahaja dari kerja, jika tidak menjenguk Afkar di hospital, pasti mereka akan terus masuk ke bilik tidur anak lelaki mereka itu untuk menemani Afkar sepanjang malam.

Sampailah ke pagi, hal yang sama akan berulang dan berulang. Ya, itulah yang terjadi sejak Afiqah dan Afkar masih bayi. Sehingga kedua-duanya sudah menginjak ke alam persekolahan, Afiqah dan Afkar terus dilayan bagai dua insan yang berbeza kedudukan.

Kadang-kadang, pernah juga Embah Asmah terfikir; adakah pasangan suami isteri itu sudah lupa dengan kehadiran seorang lagi anak dalam keluarga kecil itu. Apakah hanya Afkar yang merupakan anak mereka? Apakah Afiqah ini tiada erti bagi hidup mereka?

Dahulu, jika Afiqah demam panas dan jatuh sakit, hanya Embah Asmah sajalah yang akan mengendong dan memimpin anak kecil itu ke klinik berhampiran. Sedikit pun tidak Dr. Rashdan dan Puan Ameera datang menjenguk Afiqah yang begitu panas badannya di bilik tidur anak gadis mereka itu. Cuma kadangkala, khabar Afiqah akan dirisik melalui Embah Asmah. Itupun, sudah tentulah ketika puteri kecil keluarga itu sudah lena dibuai mimpi.

Embah Asmah masih ingat, bagaimana dirinya akan dipeluk erat oleh Afiqah ketika anak kecil itu tidak sihat badan. Ya Allah, bertahanlah anak kecil itu melepaskan rindu terhadap ibu dan ayahnya dengan mendakap tubuh Embah Asmah sepanjang malam. Yah, sehingga ada kalanya, akan ada cecair jernih yang mengalir membasahi pipi wanita dari Sumatera Barat itu.

Mendengar rengekan Afiqah dalam tidur, yang terus memanggil papa dan mamanya, benar-benar membuatkan hati Embah Asmah menjadi sayu. Lantas, setiap kali hal itu berlaku, rambut Afiqah akan dibelai lembut dan dahi anak kecil itu akan dikucup lama. Itulah satu-satunya cara bagi dirinya menghilangkan rasa rindu Afiqah yang teramat terhadap kedua-dua orang tua yang jarang-jarang datang menjenguknya.

Kini, setelah lebih 10 tahun berlalu, Afiqah sepertinya sudah lali dengan sikap papa dan mamanya itu. Afiqah juga sudah mengerti mengenai rasa sakit yang Afkar lalui. Manakan tidak, setiap kali adik kembarnya itu diserang penyakitnya, pasti dada Afiqah juga akan terasa sakit. Entah kenapa, Afiqah juga tidak pasti.

Afiqah kini sudah cukup matang dan dewasa untuk mengerti betapa adik lelakinya itu lebih memerlukan papa dan mama berbanding dirinya yang sihat wal afiat ini. Ya, sekurang-kurangnya, itulah apa yang papa dan mama fikirkan.

Hari sudah lewat petang ketika tiga buah kenderaan sedan meluncur laju melepasi pagar sekolah agama bantuan kerajaan itu. Sebuah kenderaan pelbagai guna yang menjadi pelengkap rombongan wakil pasukan bola jaring sekolah kecil itu, tiba selang seminit selepas itu.

Kenderaan itulah yang paling meriah. Suara sorakan dan perbualan yang begitu ceria memenuhi segenap ruangan Proton Exora yang dipandu Ustazah Hanim itu. Kenderaan yang membawa seisi pasukan bola jaring bawah 15 tahun itu, berhenti betul-betul di hadapan bangunan surau sekolah.

“Sudah. Jangan terlebih seronok, nanti Allah tarik balik nikmat ini, bagaimana?” Ustazah Hanim menduga. Anak-anak buahnya yang tadinya masih berborak rancak, mula diam membisu.

“Ai! Baru tegur sedikit, terus hilang semangat?” kali ini, Ustazah Hanim bersuara mengusik pula. Kunci pintu kenderaan pelbagai guna itu dibuka. Dia merenung ke arah enam orang pelajar yang sudah kembali tersengih di bahagian tempat duduk belakang.

“Baiklah, sekarang ini, semua turun dan bergerak ke surau. Semua ada bawa baju ganti, kan? Tukar baju dan siap untuk solat asar. Waktu Asar tinggal satu jam saja lagi ni. Jangan berlengah. Nanti terlepas waktu, sia-sia saja kemenangan kita pada hari ini,” Ustazah Hanim membina arahan. Biarpun nada bicaranya cukup lembut, namun pelajar-pelajarnya itu langsung tidak membantah. Kesemuanya lekas turun dan berjalan laju menuju ke blok batu di hadapan mereka.

Kini, tinggallah Ustazah Hanim di dalam keretanya itu bersama dengan seorang lagi pelajar yang sepertinya begitu lena diulik mimpi. Rusyda Afiqah yang sudah terlelap sejak setengah jam yang lalu, ditepuk lembut bahunya.

“Rusyda, bangun. Kita dah sampai ni.” Ustazah Hanim mengejutkan Afiqah dengan cermat. Bahu Afiqah diurut-urutnya lembut. Gadis itu tadi, belum sampai sepuluh minit duduk di dalam kereta, sudah terlena. Letih benar nampaknya ketua pasukan yang banyak memainkan peranan dalam memastikan jaring pasukan sekolahnya itu tidak dibolosi pihak lawan.

Hampir seminit dia menepuk dan mengurut-urut bahu Afiqah, Ustazah Hanim mula naik bimbang. Hai, susah pula budak ini hendak dikejutnya petang itu. Lekas, tangannya merayap naik ke wajah Afiqah. Pipi Afiqah disentuhnya, panas.

“Rusyda, kamu demam ke?” Ustazah Hanim menyoal gusar. Dengan berhati-hati, dia mengalihkan wajah Afiqah yang dari tadi terlentok rapat ke bahu kirinya. Sejurus matanya dapat menangkap wajah yang asalnya putih mulus itu, Ustazah Hanim lekas mengucap panjang. Wajah itu, kini dihiasi kesan darah merah yang mula mengering di bahagian bawahnya.

“Ya Allah! Rusyda, kamu dengar saya tak?” Ustazah Hanim mula menampar pipi Afiqah. Semakin lama, semakin kuat. Hingga merah pipi pelajarnya itu dibuat dek tangannya, barulah dia berhenti.

Sah, Afiqah pengsan lagi!

Ustazah Hanim lekas menarik tas tangannya. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Nombor suaminya didail lekas.

“Abang, apa saya nak buat ni?” Ustazah Hanim menyoal terburu-buru setelah dia selesai menceritakan segala hal yang berlaku ketika itu kepada Dr. Firdaus, suaminya.

“Awak bawa dia ke sini terus. Biar doktor periksa. Mungkin sebab panas aje tu.”

Mungkin. Ya, kemungkinan tidaklah logik berdiri sendiri. Satu kemungkinan tentunya akan disusuli beberapa kemungkinan lain. Kemungkinan yang terbahagi kepada hal positif dan negatif. Kemungkinan yang meningkatkan rasa gusar dan ingin tahu.

“Mungkin, saya cakap. Saya tak boleh bagitahu awak. Melanggar polisi hospital kalau saya buat macam tu. Sekarang ini, awak cubalah call lagi ibu bapa dia. Tak akanlah sibuk sangat, sampai anak sendiri call tidak berjawab.” Satu suara yang tidak dikenali kedengaran sayup-sayup.

“Saya dah call lebih sepuluh kali. Memang tak ada yang berjawab. Abang cubalah call. Mana tahu, rezeki abang. Panggilan tu berjawab pula,” kali ini, suara Ustazah Hanim pula ditangkap telinganya. Kedua-dua suara tadi seolah-olah sedang berbalas cakap. Siapakah yang seorang lagi? Siapa?

Rusyda Afiqah membuka matanya perlahan-lahan. Pandangannya berpusing. Dia tidak sanggup terus melihat, matanya kembali dipejam rapat. Namun, respons fizikalnya yang berlaku tidak sampai dua detik itu, dapat ditangkap dek lelaki itu. Lelaki berkumis nipis dan berjanggut sedikit lebat.

“Rusyda, kalau kamu dengar saya, tolong beri respons.” Afiqah terus diam membatu. Dia memang mahu mencelikkan matanya, namun kepalanya benar-benar pening dan berat untuk melakukan hal seringkas itu. Serentak, rasa mual mula naik ke tekaknya.

Spontan, tangannya lekas dinaikkan ke wajah. Dia berusaha untuk duduk dengan keadaan matanya masih berdegil untuk celik merenung dunia. Ustazah Hanim yang panik dengan tindakan Afiqah itu, lekas-lekas membantu. Tubuh gadis itu digosok lembut di bahagian belakang.

“Afiqah, jangan terburu-buru. Relaks dan baring semula,” lelaki itu memberi arahan. Dia melaraskan kedudukan katil rawatan itu, supaya menepati ciri-ciri keselesaan Afiqah.

“Saya kat mana ni? Kat hospital, ya?” Afiqah menyoal curiga. Dia kini sudah berupaya untuk mencelikkan matanya. Sungguhpun tidak segalak selalu, namun wajah tampan lelaki awal 40-an yang berkot makmal itu sudah dapat dirakam dalam fikirannya.

“Ya, kamu kat hospital. Ustazah panik betul lihat kamu pengsan dan hidung kamu berdarah tadi. Itu yang ustazah bawa kamu ke sini. Ini suami saya, Dr. Firdaus. Dia pakar neurologi dekat sini,” Ustazah Hanim menjawab pertanyaan Afiqah dengan nada lemah lembutnya. Namun, suaranya yang bergetar dan terburu-buru, jelas menunjukkan betapa hatinya masih bimbang dengan keadaan pelajarnya itu.

Afiqah tersenyum kecil. Pakar neurologi? Elok sangatlah itu.

“Doktor dah tahulah?” Afiqah menyoal sinis.

“Pihak hospital perlu lakukan beberapa pemeriksaan untuk...”

“Tak perlulah. Saya dah letih buat semua tu dulu. Doktor boleh dapatkan kesemuanya dari Dr. Rajendran; Pantai Hospital.” Afiqah lekas memotong. Yah, memang dia malas untuk menjalani pemeriksaan-pemeriksaan yang panjang dan membosankan itu. Cukuplah dia menghabiskan wang simpanan yang ditabung papa dan mamanya serta waktu lebih setahun yang lalu untuk melalui hal yang sama, kali ini dia sudah tidak sanggup lagi.

“Saya sudah dapatkan semua itu. Tapi, rekod perubatan awak tidak dikemas kini semenjak 8 bulan yang lalu. Saya mahu rekod yang up-to-date. Itu sebabnya, saya mahu awak jalani pemeriksaan di sini,” Dr. Firdaus kekal dengan usulnya. Dia merenung tepat ke dalam mata Afiqah, cuba mencuri kepercayaan daripada gadis remaja itu.

Afiqah tersenyum nipis. Pemeriksaan lagi? Dari mana dia mahu mendapatkan biaya bagi menjalani pemeriksaan khusus di hospital swasta yang mewah sebegitu? Dia bukannya berduit. Ibu bapanya yang berduit, dan tidak mungkinlah dia mahu membongkarkan hal yang menjadi rahsia dirinya ini kepada kedua-dua orang tuanya itu, semata-mata untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Dia tidaklah terdesak hingga ke tahap itu. Dia tahu apa harapan yang dia ada. Dia sudah faham erti putus asa yang beberapa bulan yang lalu, telah berjaya mematahkan semangatnya. Dia tidak mahu diberi harapan palsu dan seterusnya, terpaksa melalui fasa yang menyakitkan hati itu untuk sekali lagi. Cukuplah sekali dahulu, dia tidak mahu hal yang sama berulang kembali.

“Kalau fasal kos, awak tak perlu risau. Saya boleh tolong. Saya berkhidmat di sini, bukan semata-mata kerana harta dunia. Saya kejar harta akhirat juga. Jika saya sia-siakan peluang untuk membantu awak kali ini, saya sudah sia-siakan peluang untuk saya tambah saham akhirat saya. Saya tak mahu jadi orang yang rugi, Afiqah.”

“Beri saya peluang untuk bantu awak. Tolong,” bagai merayu, Dr. Firdaus bersuara penuh harapan.

Ustazah Hanim yang pada mulanya dibiarkan terpinga-pinga mendengar isi perbualan tanpa hujung dan pangkal itu, kini sudah mula mengerti. Hatinya lekas menjadi sayu. Matanya juga sudah berkaca. Jika bukan kerana senyuman Afiqah yang tidak pernah surut itu memaksa hatinya untuk menjadi tegar dan tabah, pasti sahaja dia sudah menangisi nasib pelajarnya itu.

Afiqah hanya tersenyum ketika Dr. Firdaus memberitahu mengenai perkembangan tahap kesihatannya. Perkembangan yang semakin menjauh dari penamat yang positif. Namun begitu, Afiqah terus tersengih. Dia tahu, dan dia sudah bersedia dengan segala pengkhabaran.

Parents awak kerja apa? Sibuk betul nampaknya, dah berjam-jam kami hubungi, masih juga tak dapat.” Dr. Firdaus menyoal ingin tahu. Waktu bertugasnya sudah tamat selayaknya ketika itu. Tetapi, disebabkan Ustazah Hanim berdegil mahu menemankan Afiqah, dia juga ikut serta dalam bilik rawatan itu.

“Ayah saya cardiologist dekat IJN, Dr. Rashdan. Ibu saya peguam cara, dia ada firma sendiri. Tapi rasanya, mereka dah balik rumah waktu macam ni. Mungkin diaorang teman Afkar di bilik. Selalunya, kalau diaorang teman Afkar, diaorang matikan fon.”

Mendengar nama Dr. Rashdan disebut, Dr. Firdaus mengangguk lembut. Macamlah tidak dia kenal dengan pakar jantung yang merupakan rakan sekelasnya semasa mereka bergelar pelajar perubatan di Liverpool dahulu. Kecil sungguh dunia ini. Pusing saja sedikit, sudah ketemu lagi.

“Doktor percaya dengan aturan Tuhan?” melihat akan anggukan yang diberikan doktor berambut hitam berkilat itu, Afiqah lekas menyambung kata-katanya, “Tuhan aturkan papa dan mama saya untuk sibuk sepanjang hari ini, sebab Dia tahu, jika sakit saya ini terus menjadi rahsia, ia adalah yang terbaik buat kami sekeluarga. Dia tahu, jika sakit saya ini sampai ke pengetahuan papa dan mama, mereka akan mula risaukan saya.

Dia tidak mahu papa dan mama jadi lebih bimbang. Cukuplah dengan apa yang telah mereka rasa dengan keadaan Afkar sekarang, Tuhan tidak mahu menguji perasaan mereka terlebih-lebih. Tuhan itu Maha Tahu, paras seseorang hamba itu mampu menanggung ujian. Dia sudah berjanji.

Mungkin, dengan cara begini, dia lindungi perasaan mereka. Lindungi perasaan Afkar. Saya tak tahulah bagaimana reaksi Afkar apabila dirinya terpaksa menjadi korban pembahagian perhatian papa dan mama andai orang tua kami tahu mengenai sakit saya ini. Adik saya tu manja. Walau sedetik papa dan mama tidak mempedulikannya, dia pasti akan merajuk.

Tuhan tak mahu adik saya bertingkah begitu, jadi Dia lindungi rahsia saya. Bijak bukan aturan Tuhan? Saya juga lebih senang jika sakit saya ini dirahsiakan. Saya tahu, saya masih belum cukup umur untuk diikat dengan polisi kerahsiaan antara doktor dengan pesakit, tapi, Tuhan sudah mempermudahkan segala-galanya.

Beruntung betul saya.” Afiqah tersenyum lagi. Kali ini senyumnya cukup tulus. Cukup menyejukkan hati.

Dr. Firdaus dan Ustazah Hanim sudah saling berpandangan dibuat dek Afiqah. Ya Allah, betapa tabahnya hati anak ini.

Ketika Afiqah sedang menyarungkan kemeja sukannya yang sudah dibasuh bersih itulah, Ustazah Hanim mengemukakan usul tersebut. Sudah dua hari ustazah yang tua dua puluh dua tahun daripadanya itu memikirkan hal itu sedalam-dalamnya, sudah dua hari juga Ustazah Hanim membawa hal itu ke perhatian Dr. Firdaus, suaminya; hari ini, barulah dia yakin untuk mengucapkannya.

“Kalau ustazah ajak awak tinggal dengan ustazah, awak mahu?” usul Ustazah Hanim yang pada mulanya dipandang sebagai gurauan penyedap hati, diamati lama. Afiqah mengangkat wajahnya, membiarkan matanya dan mata Ustazah Hanim bertembung.

“Ustazah tak mahu awak sendirian dengan keadaan awak macam ni. Ustazah nak jaga awak. Ustazah nak selalu ada dengan awak. Ustazah tak ada anak, tapi ustazah sentiasa anggap awak dan kawan-kawan sekolah awak sebagai anak-anak ustazah.

Jadi, ibu manalah yang sanggup membiarkan anaknya sakit sendiri? Umi tak sanggup,” tanpa mendapat persetujuan Afiqah, Ustazah Hanim terus membahasakan dirinya sebagai umi. Dia tersenyum kelat merenung wajah Afiqah. Renungan yang jelas, penuh dengan harapan.

Afiqah diam agak lama. Dia mendongak, cuba memikirkan logik kemungkinan untuk dia menerima usul itu. Ya Allah, memang dia begitu rindukan kasih sayang mama. Mungkinkah ini cara Engkau membiarkan aku merasai kasih seorang ibu? Mungkinkah, Ya Allah?

“Terima kasih, umi.”

Besok hari pertama Ramadhan, dan malam itu, Afiqah dan Ustazah Hanim berjalan kaki menuju ke surau taman perumahan mereka bagi mengerjakan solat tarawikh. Masuk hari itu, sudah lebih sebulan Afiqah menjadi sebahagian keluarga Dr. Firdaus dan Ustazah Hanim.

Acap kali, ketika cuti hujung minggu, Afiqah akan bermalam di rumah teres dua tingkat itu. Malahan, ada kalanya, ketika malam persekolahan juga, dia akan menumpang tidur di rumah keluarga angkatnya itu. Terutama sekali ketika Afkar terpaksa ditahan di rumah sakit.

Afiqah kini sudah tidak duduk di asrama sekolahnya. Dia kini berulang alik setiap hari ke sekolah. Keadaan kesihatannya yang jelas kelihatan semakin merudum, tidak memungkinkan hal itu. Dia kini lebih mudah pitam dan rebah tidak sedarkan diri. Lebih lemah berbanding sebelumnya.

“Afiqah naik bilik dulu, ya? Assalamualaikum, walid, umi.” Afiqah bersuara meminta izin. Seraya, tubuh Ustazah Hanim didakapnya dan dicium pipinya.

“Hati-hati ya, sayang. Selamat malam,” Ustazah Hanim membisik lembut. Dia menggosok lembut kepala Afiqah sebelum membiarkan Afiqah meleraikan dakapannya.

“Selamat malam juga, umi.”

Ustazah Hanim terus memerhati langkah Afiqah sehingga kelibat gadis remaja itu menghilang dari pdandangannya. Setelah itu, barulah dia kembali menumpukan perhatiannya ke layar kaca, menonton rancangan kegemarannya. Namun, baru beberapa minit berselang.

Ttukk, dduk, dduk! Suara benda jatuh disusuli suara orang mengerang kedengaran. Ustazah Hanim lekas bangun. Dia kenal benar dengan suara itu. Itu suara Afiqah. Dr. Firdaus juga turut serta memberika reaksi yang serupa. Kedua-duanya lekas bergerak meninggalkan ruang tamu, menuju ke arah tangga – di mana punca suara itu datang.

“Afiqah! Kenapa boleh jatuh ni, sayang?” Ustazah hanim menyoal khuatir. Dia memeriksa keadaan Afiqah yang seperti biasa, hanya membalas dengan senyuman. Ya Allah budak ini, sudah berdesis menahan sakit, masih saja boleh buat wajah sebegitu.

“Salah langkah tadi, umi. Sikit aje ni, janganlah umi risau.”

“Afiqah...” anaknya itu, tidak habis-habis dengan alasannya yang biasa. Alasan yang kadang-kadang langsung tidak logik untuk diterima fikiran Ustazah Hanim. Apa yang sikitnya jika kakinya sudah membengkak dan memerah begitu.

“Betul, sikit aje. Kan, walid? Terseliuh aje, kan?” Afiqah menyoal, meminta sokongan Dr. Firdaus yang sedang berdiri di belakang Ustazah Hanim. Gelagat dua beranak itu diperhatikan Dr. Firdaus dengan senyap, ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya ketika itu.

“Ya,” balas Dr. Firdaus. Dia turut ikut menunduk bagi memeriksa keadaan kaki Afiqah. Kaki gadis berhati waja itu dingin semacam, tidak memanas biarpun darah mula mengumpul di bahagian dalamnya.

“Tolong ambilkan ais dan tuala bersih, Hanim.” Arahan mudah Dr. Firdaus itu lekas dituruti. Ustazah Hanim berjalan laju menuruni tangga, menuju ke arah dapur.

“Kenapa tak bagitahu saya?” Dr. Firdaus menyoal kesal. Dia sudah membahasakan dirinya saya sekali lagi, menukar peranan daripada seorang bapa kepada seorang doktor. Afiqah tersentak seketika sebelum kembali menyambung senyumnya. Dia faham apa yang dimaksudkan Dr. Firdaus dengan soalan sebegitu.

“Sejak bila penglihatan kamu terganggu? Kalau kamu tak mahu beritahu saya sebagai seorang doktor, beritahulah walid sebab walid ini ayah kamu,” ujar Dr. Firdaus separuh berbisik. Dia tidak mahu perbualannya dengan Afiqah didengari isterinya. Nanti, bertambah dukacita pula hati permaisuri kesayangan hatinya itu.

“Tak mengapa, walid. Tak penting pun. Afiqah masih boleh nampak, biarpun kabur dan kelabu begini. Afiqah tak mahu risaukan umi dan walid, jadi biarlah Afiqah berahsia,” ujar Afiqah lembut. Dia tersengih sambil merenung ke arah wajah Dr. Firdaus yang hanya kelihatan bayangnya sahaja.

“Kamu...”

“Semua yang jadi ada sebabnya. Mungkin Tuhan tarik penglihatan saya, sebab Dia mahu pelihara mata saya. Dia tak mahu Iqa nampak benda yang mungkar lebih banyak. Dia tak mahu, jika mata Iqa ini masih dapat melihat, Iqa mengumpul dosa di hujung usia.

Tuhan tarik penglihatan Iqa, sebab Dia tahu, Iqa dah puas melihat dunia. Dia mahu mata Iqa berehat. Dia tak mahu Iqa leka dan lalai dengan pemandangan dunia. Biarlah mata hati Iqa pula bekerja, membayangkan nikmat di hari sana,” Afiqah kembali membangkitkan hujah-hujahnya yang benar-benar memberi kesan di hati Dr. Firdaus. Jika anaknya itu masih dapat melihat dengan jelas, pasti dia akan perasan dengan keadaan mata lelaki itu yang sudah mula berkaca.

Di belakang lelaki itu, Ustazah Hanim sudah mula menangis tanpa suara.

Dr. Firdaus berjabat tangan dengan Imam Ilmi. Petang itu, surau taman perumahan tempat keluarga Dr. Firdaus menetap, menerima sejumlah 10 buah set Al-Quran dan terjemahannya. Semua sumbangan itu, dibawa sendiri oleh Dr. Firdaus. Ustazah Hanim dan Afiqah turut ikut sama membantu.

“Terima kasihlah, doktor. Murah betul rezeki doktor, berkongsi dengan jemaah surau kita ni,” Imam Ilmi bersuara girang. Seronok dia melihat, ada warga taman perumahan itu berbakti sebegitu.

“Tak ada apa-apalah, imam. Ini hajat anak saya. Dia yang mahu sumbangkan lima buah set terjemahn itu, saya dan Hanim menambah sedikit seorang, biar lengkap sepuluh buah semuanya.

Lagi satu, karpet surau ini, petang besok, Aman Karpet tu datang ukur. Dua, tiga hari lagi siaplah dipasangnya. Apa-apa hal, kalau ada masalah, tak cukup jumlah bayaran ataupun ada cela di mana-mana, bagitahu saya. Nanti saya sendiri jumpa dia balik,” pesan Dr. Firdaus. Dia merenung ke arah karpet biru muda yang menjadi alas sujud kariah surau sederhana luas itu. Karpet itu sudah pudar warnanya, memang elok jika diganti.

“Alhamdulillah, merasalah anak muda kita solat eid beralaskan karpet baru tahun ini. Bertuah doktor dapat anak yang rajin bersedekah begitu. Minggu lepas, digantinya kipas usang di bahagian jemaah wanita, minggu ini dia menyumbang begini pula. Sejuk hati orang tuanya.

Insya-Allah, kalau ada rezeki, dapatlah nanti anak sendiri. Saya akan terus doakan, moga anak-anak doktor nanti menjadi anak yang berbakti untuk agama, sama macam kakaknya itu.” Imam Ilmi bersuara. Dia merenung wajah Afiqah yang sudah semakin memucat itu. Namun, manis senyumnya berjaya mengaburi pandangan imam muda itu berkenaan sakit yang ditanggung gadis itu.

Petang itu, ketika Afiqah baru selesai mendengar alunan bacaan Al-Quran dari pemain MP3nya, dia terdengar perbualan antara umi dan walidnya. Perbualan yang berkisarkan tentang dirinya. Hatinya entah kenapa tersentuh tiba-tiba.

“Awak tak perasan ke? Kaki dia, tangan dia, semua dah sejuk. Macam ais. Dia dah tak lama, Hanim. Saya tak nak dia pergi sebelum ibu dan ayahnya dapat tahu. Saya kena cari mereka. Sekurang-kurangnya, biarlah mereka menemani dia, sebentar sahaja,” ujar Dr. Firdaus. Dia sudah mula meraup wajahnya. Fikirannya ketika itu benar-benar buntu.

Memang dia ingin memberitahu perihal keadaan Afiqah kepada ibu bapa kandung anak angkatnya itu, tetapi usahanya bagai dihalang terus. Benarkah ini aturan Tuhan untuk gadis yang pemurah sungguh hatinya itu? Aturan yang bagaimana ini? Aturan yang kelihatannya langsung tidak adil buat anak semuda itu.

“Awak nak cari mereka di mana?” Ustazah Hanim menyoal. Dia juga sudah terfikirkan hal yang sama, namun hatinya sedaya upaya cuba menafikan kemungkinan itu. Dia tidak sanggup kehilangan Afiqah. Gadis itu lain daripada yang lain. Gadis itu istimewa.

Senyumnya yang tidak pernah surut itu sahaja, sudah cukup menunjukkan betapa hebatnya gadis yang dijaganya itu. Sakit, sedih, semuanya diselindungi dengan senyuman yang ikhlas terhasil dari hati. Sedikit pun tidak terlihat kepalsuan pada garis bibirnya itu.

“Saya nak cari Rashdan di IJN. Mahu cari Ameera, taklah saya tahu firmanya ada di mana. Afiqah bukannya mahu memberitahu. Tak habis-habis dengan rahsia dan prinsipnya yang tidak bertempat itu,” Dr. Firdaus mengemukakan rencananya. Ustazah Hanim hanya mengangguk. Mungkin sudah tiba masanya papa dan mama Afiqah tahu berkenaan keadaan penyakit anaknya itu.

Mungkin... ya, kita – manusia, mencipta kemungkinan, pengakhirannya, Tuhan yang tentukan.

Sudah seminggu Dr. Firdaus berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN). Ketika waktu makan tengah hari dan sejurus tamat waktunya bertugas, dia akan bergegas ke sana. Tidak cukup dengan itu, asal dirinya punya waktu senggang, nombor telefon bimbit Dr. Rashdan pasti akan dihubunginya; berkali-kali tanpa henti.

Namun, takdir Tuhan itu memang cukup misteri. Setiap kali Dr. Firdaus tiba di IJN, pasti ada saja hal yang menghalang dirinya daripada bertemu Dr. Rashdan. Ada pembedahan kecemasanlah, ada seminarlah, ada kuliahlah, ada lawatan kerja luarlah, sudah pulanglah; macam-macam! Hingga jururawat-jururawat di institut perubatan kerajaan itu sudah dapat camlah muka Dr. Firdaus yang acap kali pulang dengan wajah hampa itu.

Apabila ditelefon pula, talian sering sahaja sibuk ataupun sedang dimatikan. Ya Allah, apa bentuk takdir yang Kau cuba berikan ini?

“Tolonglah. Saya nak jumpa dia sekejap sahaja,” Dr. Firdaus merayu.

“Tapi, Dr. Rashdan baru saja masuk OR. Ada emergency case.”

“Ya Allah!” Dr. Firdaus meraup wajahnya. Dia sudah tiga kali mendengar alasan yang sama. Sibuk betul Rashdan minggu itu, bagai tiada doktor lain yang bertugas di institut itu. Ada sahaja kes-kes kecemasan yang perlu diuruskannya.

“Boleh tak tolong sampaikan pesanan saya?” Dr. Firdaus bersuara mengalah. Cukuplah, dia sudah tidak larat lagi berkejar ke sana-sini setiap hari bagi memungkinkan dia bertemu dengan rakan lamanya itu.

“Katakan, Dr. Firdaus dari Prince Court mahu bertemu dengan dia. Urgent. Ini nombor saya, tolong sampaikan,” Dr. Firdaus bersuara pantas apabila jururawat berbangsa cina itu mengangguk setuju. Lantas, sekeping kertas dicarik daripada buku notanya sebelum dia mencatit pantas nombor telefon bimbitnya.

“Tolong.”

Hari ini, 29 Ramadhan. Entah besok, entah lusa, umat Islam akan menyambut lebaran. Tatkala kebanyakan orang sedang berpesta gembira, Ustazah Hanim dan Dr. Firdaus sudah dihurung rasa dukacita.

Afiqah yang begitu kuat selama ini, sedang berbaring lemah dan asyik mengaduh sakit. Hendak duduk saja, dia sudah begitu tidak bermaya. Namun, sehingga hari itu, puasanya masih lengkap sebulan. Seharipun tidak dia menjadikan sakitnya sebagai alasan untuk dia melarikan diri dari rukun Islam ketiga itu.

“Walid minta maaf. Walid masih belum dapat berjumpa papa kamu. Tolonglah Afiqah, bagitahu kami, ke mana orang tua kamu selalu pergi. Bila walid dan umi ke rumah kamu, mereka tiada. Pembantu rumah kamu pun dah balik ke rumah keluarganya di Sumatera. Kalau kamu tak bagitahu, bagaimana kami mahu bantu?” Dr. Firdaus kini sudah bergetar suaranya. Dia geram dengan sikap Afiqah yang terus berdegil begitu. Namun, tidaklah pula sampai hatinya untuk dia meninggikan suara, memaksa gadis itu untuk memberitahu.

“Afkar sakit. Mereka kat hospitallah tu,” Afiqah bersuara lembut. Dia mengusap dadanya yang sejak beberapa hari yang lalu, sering sahaja berasa tidak enak.

“Afiqah, kamu langsung tak ingin ke, papa dan mama kamu ada di samping kamu saat-saat macam ni? Mereka itu berat sebelah namanya, tidak habis-habis dengan adik kamu. Kamu ini anak mereka juga, tidak adil mereka buat begitu.”

“Kalau saya curi perhatian mereka saat-saat macam ni, lagilah tidak adil,” kata-kata Ustazah Hanim sebentar tadi lekas dibidas. Afiqah mengangkat wajahnya, cuba mencari di mana kedudukan uminya itu. Setelah bertemu, barulah dia menyambung katanya.

“Afkar pun tengah sakit. Kalau papa dan mama tahu, saya pun sakit, pasti mereka terpaksa bahagikan tumpuan mereka antara saya dan Afkar. Ini tidak adil untuk Afkar. Saya di sini sudah ada walid dan umi. Sudah ada orang tua yang sayangkan saya. Biarlah Afkar juga merasa hal yang sama.

Adilkah saya jika saya merebut perhatian dua orang ibu dan dua orang ayah ketika adik saya itu hanya terus berharapkan kasih daripada dua orang insan yang sama. Biarlah papa dan mama dengan Afkar. Nanti, jika ada rezeki, dapatlah saya jumpa mereka. Aidilfitri ini, saya baliklah ke rumah. Waktu itu, mereka tahulah. Walid dan umi tidak perlu susah-susah,” Afiqah menitip pesan sebelum kembali memejamkan matanya. Dia benar-benar letih. Benar-benar lemah.

Lewat petang itu, Ustazah Hanim mereneh bubur nasi untuk Afiqah sebagai menu berbuka. Merenung ke arah hidangan cair itu, hati Ustazah Hanim terusik. Ini sajalah yang dapat disediakannya untuk Afiqah sempena hari ulang tahun kelahiran gadis itu yang jatuh pada hari tersebut.

Hendak dijamukan hidangan yang lebih enak, dia tahu, Afiqah tidak akan mampu menerimanya. Sedangkan bubur yang dijamahnya begitu sedikit itu sahaja sering dimuntahkan kembali, inikan pula jika hendak dijamu dengan makanan-makanan yang terkenal, sukar untuk dihadam.

Baru sahaja Ustazah Hanim menudung periuk kecil di atas dapur itu, telefon bimbit Dr. Rashdan yang ditinggalkan di atas meja makan di dapur rumah teres itu berbunyi nyaring. Ustazah Hanim lekas mencapai dan mengamati pemuka telefon bimbit itu. Nama pemanggil yang terpapar di skrin kaca itu direnung lama. Diakah?

“Assalamualaikum,” Ustazah Hanim mendahulukan salam.

“Waalaikumsalam. Eh, ini nombor Firdaus, kan? Kenapa...”

“Ya, ini nombor Firdaus. Saya isteri dia, dia ada dalam bilik air sekarang,” belum selesai pemanggil itu bertanya, Ustazah Hanim sudah pun memberikan jawapan.

“Oh, Hanimlah ni! Um, nanti Fir dah keluar, suruh dia call saya balik. Entah kenapa, seminggu ni dia asyik cari saya saja. Urgent katanya, itu yang saya call dia petang ni,” gema suara pemanggil itu jelas kedengaran.

“Siapa?” Dr. Firdaus yang baru selesai mandi, melangkah keluar dari bilik air tetamu di aras bumi. Dia memang lebih gemar mandi di situ. Bilik air tetamu itu lebih besar dan selesa.

“Dan,” Ustazah Hanim membalas. “Kejap, ya doktor. Abang Fir dah keluar,” beritahu Ustazah Hanim sebelum telefon bmbit itu disuakan ke arah suaminya. Dr. Firdaus menyambut cermat. Dia mengelap wajahnya seboleh mungkin sebelum telefon pintarnya itu ditekap ke telinga kanannya.

“Assalamualaikum, Rashdan!”

Tidak sampai dua minit berbual, panggilan telefon itu dimatikan. Dr. Firdaus sudah mengukir senyuman lega. Akhirnya, dapat juga dia memainkan peranannya sebagai seorang doktor merangkap sahabat kepada ayah pesakitnya.

“Apa dia cakap?” Ustazah Hanim menyoal penuh curiga. Ai, pendek betul isi perbualan telefon antara suaminya dengan pakar jantung itu. Sudah itu, tiada sedikit pun hal Afiqah yang diungkit naik. Tersalah Rashdankah dia?

“Dia ajak saya keluar iftar. Nampaknya, awak kena berbuka seoranglah hari ini,” ujar Dr. Firdaus. Dia mencuit manja hidung Ustazah Hanim.

“Berbuka seorang apa pula? Saya berbuka dengan Afiqahlah malam ni, macam tak biasa pula,” Ustazah Hanim membalas.

“Baguslah kalau macam tu. Saya nak bersiap ni, dia ajak saya jumpa di tengah bandar. Kalau lewat, takut jalan jem pula nanti. Awak tolong tengok-tengokkan Afiqah tu,” pesan Dr. Firdaus. Hatinya ketika itu, tiba-tiba dihuni rasa tidak senang. Entah kenapa, setiap kali nama Afiqah disebut, perasaan yang serupa mula datang bertamu.

Ustazah Hanim hanya mengangguk sebelum kembali ke dapur bagi melengkapkan juadah berbuka puasanya dengan Afiqah maghrib nanti.

“Ada apa kau cari aku sepanjang minggu ni? Eh, aku dah lama tak dengar cerita kau! Kau jadikan ambil neuro dulu?” Dr. Rashdan memulakan perbualan. Dia sudah selesai menjamah hidangan berbukanya.

“Jadi, alhmadulillah. Aku neurologist sekarang ni. Tapi, bukan hal aku yang mahu aku bicarakan. Ini hal yang lebih penting. Ini ada kaitan dengan anak kau, Rusyda Afiqah.”

“Iqa?”

“Ya, dia tinggal dengan aku sekarang. Kau tahukan?” Dr. Firdaus meminta kepastian. Sebentar, tahukah rakannya itu tentang hal tersebut?

“Lah!” Dr. Rashdan bersuara kuat. Dia menepuk meja makan di hadapannya. “Kau ke walid Firdaus yang dia bagitahu aku tu? Eh, kecil betul dunia ni, kan? Ustazah Hanim yang dia sering ceritakan pada aku itu, Hanim kaulah ya? Ya Allah, tak sangka betul!”

“Dan,” nama panggilan Dr. Rashdan diseru. “Dunia ni memang kecil. Kita aje yang tak sedar. Tapi, kecil-kecil dunia ini, punyalah payah aku nak jumpa kau. Memang betul kata Afiqah, takdir Tuhan, tiada siapa yang tahu aturannya.”

“Dan,” Dr. Firdaus memanggil lagi nama itu. Dia sudah berkali-kali menyeka peluh dingin di dahinya. Walaupun sudah selalu dia melakukan hal yang sama – memaklumkan situasi pesakitnya kepada ahli keluarga mereka, namun kali ini, hatinya cukup berat untuk melaksanakan perkara itu.

“Dan, Afiqah sakit.” Akhirnya, dia berterus terang. Dr. Firdaus mengangkat wajahnya, cuba mengamati gerak mata Dr. Rashdan yang sudah terpinga-pinga dibuatnya.

“Sakit? Sakit apa pula ni?”

“Afiqah ada ketumbuhan otak, sudah tahap akhir. Aku minta maaf, aku tak dapat buat apa-apa. Tumornya sudah merebak hingga ke saraf utama. Kau tahu bukan, berapa banyak kes yang berjaya melibatkan kawasan itu? Tak sampai dua peratus, Dan. Itu pun, kebanyakan yang selamat, koma dan hilang upaya fizikal.” Dr. Firdaus menjelaskan situasi. Cuba memberi penerangan. Berusaha menghapuskan kebuntuan.

“Apa kau cakap ni?”

“Aku cakap fasal Afiqah, anak kau. Dia tengah tenat, Dan. Walaupun dia terus sahaja tersenyum, tapi aku tahu dia sakit. Sekarang ini, dia sudah mula belajar mengaduh sakit. Pasti dia sakit sangat, dah tak mampu nak melawan rasa itu. Aku rasa, dia dah tak lama, Dan. Kaki dia dah sejuk. Tangan dia pun sama. Tolonglah... kau dan Ameera, datanglah jenguk dia. Kasihan dia,” Dr. Firdaus membuka cerita. Dia menarik tangan Dr. Rashdan. Menggenggam kemas tangan rakannya itu. Mengharapkan pengertian.

Namun, Dr. Rashdan masih berdegil untuk percaya. Tangannya direntap kasar.

“Apa ni? Kau ajak aku jumpa hari ni, sebab nak aku percaya kata-kata mengarut kau ini. Aku lihat Iqa sihat-sihat aje. Kenapa pula tiba-tiba dia boleh sakit? Ada tumor? Tahap akhir? Apa semua ni?

Kalau betul pun, aku berhak tahu! Kau tak boleh rahsiakan hal ini! Iqa masih belum cukup umur untuk terikat dengan polisi kerahsiaan rumah sakit! Kau dah melampau tahu tak , Fir! Dah melampau!” Dr. Rashdan menjerkah kasar. Jika tidak dikenang yang mereka sedang berada di tempat awam, sudah lama dia melayangkan tangannya ke arah wajah awet muda Dr. Firdaus.

“Kau yang nafikan hak itu, Dan. Aku dah hubungi kau. Aku datang cari kau; dekat rumah, dekat IJN! Tapi kau tak ada, kau tak nak jawab panggilan. Tak habis-habis dengan sibuk kau. Iqa dah lebih setahun menderita kau tahu? Dia dah bertahan lebih sepuluh bulan dari tarikh jangkaan hayatnya.

Kau tahu tak macam mana dia buat? Kau pernah dengar, bukan? Usia seseorang itu akan tamat seperti apa yang telah tercatat, tidak akan dipanjangkan dan tidak pula dipendekkan. Kecuali bagi mereka yang bersilaturrahim, itu janji Tuhan. Dan itulah, apa yang anak kau lakukan!

Dia berusaha agar usianya panjang, agar kau dan mama dia dapat terus bersama dengan dia. Agar kauorang boleh gembira sebagai satu keluarga. Agar kauorang tak rasa janggal macam yang kau tengah rasa sekarang ini.

Kau orang sibuk sangat fasal Afkar. Kauorang dah lupa ke, Kau orang ada seorang lagi anak? Anak kau yang ini, yang ada kat rumah aku tu, sekarang lebih teruk sakitnya daripada Afkar Rusydi. Tapi kauorang tak tahu.

Kenapa? Sebab kauorang tak pernah kisah dengan dia. Kauorang anggap dia sihat, dan tak perlukan perhatian kauorang! Maaflah kalau aku kasar dengan kau malam ni. tapi aku betul-betul tak faham, kenapa kauorang buat begitu pada anak kauorang sendiri?

Apa maksud kauorang, membezakan taraf dua orang saudara kembar, hanya kerana faktor kesihatan? Sekarang Afiqah juga sakit, jadi, pilihlah apa yang kauorang nak buat. Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku dah tak sampai hati tengok dia. Lihat dia saja, aku dah rasa nak menangis.

Aku tak pernah rasa ada anak, Dan. Bila Afiqah tinggal dengan kami, barulah aku tahu bagaimana perasaan seorang ayah. Walaupun dia cuma pinjaman sementara, tapi aku dah cukup gembira. Kalau Afiqah itu anak aku, Dan...” Dr. Firdaus berdiri. Dia merenung lama ke wajah Dr. Rashdan sebelum menarik nafas dalam dan menyambung kata-katanya, “...aku tak akan sia-siakan dia.”

“Fikirlah elok-elok, Dan. Besok dah hari raya,” Dr. Firdaus bersuara lagi. Nada suaranya sudah kembali rendah. Dia berpaling ke arah layar lebar yang baru selesai menayangkan pengumuman hari raya daripada penyimpan mohor besar raja-raja. Setelah itu, dia kembali menoleh merenung wajah Dr. Rashdan yang sedang disembunyikan di sebalik tangannya yang sedang meraup muka.

“Afiqah kata, dia nak pulang ke rumah kauorang besok. Nak beraya bersama barangkali. Tak mengapalah, besok pagi, lepas solat eid, aku hantar dia balik. Takpun, kalau kau sendiri nak ambil dia malam ini, ambillah. Hari ini hari lahir dia kan, Dan? Aku dan Hanim tak kisah. Asalkan hajat Afiqah itu dapat tertunai.

Assalamualaikum, aku balik dulu,” ujar Dr. Firdaus. Dia mencapai gugusan kunci kereta dan kunci rumah serta telefon pintarnya sebelum berlalu pergi mendapatkan Toyota Viosnya di hujung deretan rumah kedai tiga tingkat itu.

Namun, tidak lama dia melangkah, dia kembali berpatah balik.

“Dan, ikut aku! Afiqah masuk hospital!” Dr. Firdaus bersuara. Dia cuba menarik tangan Dr. Rashdan, namun lelaki itu sudah berjaya dicuri perhatiannya dek mesej pesanan ringkas yang baru diterimanya.

“Afkar... jantung dia berhenti,” Dr. Rashdan bersuara buntu.

“Macam mana keadaan Afiqah?”

“Entahlah, abang. Sejak tadi, doktor tak keluar-keluar dari bilik dia. Saya risau sangat ni. Mana Rashdan? Abang dah bagitahu dia?”

“Dah, tapi Afkar juga ada masalah. Jantung dia berhenti sebentar tadi. Saya ada dekat IJN sekarang ni, dia nak jenguk Afkar kejap. Lepas ni, kami terus ke hospital. Apa-apa hal, tolong inform saya. Saya rasa tak sedap hati sangat sekarang ni,” Dr. Firdaus mengingatkan. Dia memberi salam sebelum panggilan itu dimatikan.

Seminit kemudian, kelibat orang yang dinanti kembali kelihatan. Dr. Rashdan sedang berlari laju mendapatkan kereta yang sedang dihuni Dr. Firdaus.

“Bagaimana Afkar?”

“Dia dah stabil. Ameera dalam perjalanan ke sini.”

“Kau dah bagitahu dia?” Dr. Firdaus menyoal. Namun, melihat akan gelengan ringkas yang diberikan Dr. Rashdan, dia segera mengerti.

“Aku tak nak dia shock. Biarlah, balik nanti, aku bagitahulah dia. Lagipun, seseorang kena ada dengan Afkar. Jantung aku berdebar-debar, tak tahu kenapa. Aku risau ada apa-apa yang buruk berlaku pada Afkar.”

Afkar? Kau langsung tak khuatirkan Afiqahkah, Dan? Hati aku ini juga tidak senang. Kau pastikah jantung kau berdebar begitu kerana anak kesayangan kau itu? Kau pastikah, Dan?

“Umi,” Afiqah bersuara lemah.

“Sakit umi,” Afiqah bersuara lagi. Bibirnya yang sudah mengering dan merekah, bergetar ketika kata-katanya itu keluar melintasi bibirnya itu.

“Umi tahu,” Ustazah Hanim bersuara memujuk. Dia tidak tahu bagaimana rasa sakitnya Afiqah ketika itu, tapi dia tahu, sakaratul maut memang menyakitkan.

“Umi, kalau Afiqah dah tak ada nanti, bagi ini pada Afkar ya?” Afiqah memegang kotak kadbod yang sudah dihias cantik. Kotak yang tidak mahu dilepaskannya sejak dari rumah tadi. Entah apa isinya, Ustazah Hanim juga tidak tahu.

“Umi janji sama Iqa, ya?” Afiqah bersuara lagi. Menagih kata janji. Tubuhnya sudah mula ikut menggeletar. Rasa yang semacam mula menghuninya.

“Umi?”

“Umi janji, sayang.” Ustazah Hanim lekas-lekas mengangguk setuju. Dia membelai kepala Afiqah semakin laju.. Langsung tidak dia kisah dengan darah merah yang tidak henti-henti mengalir keluar dari hidung Afiqah. Malah, dia sendiri akan mencucinya dengan tisu muka yang sudah dibasahkan. Tubuh Afiqah pula sudah didakap serapat mungkin

Dia tahu, tindakannya itu tidak mampu untuk menghangatkan semula tubuh anaknya yang dingin bak patung ais itu. Tapi, dia tidak sanggup untuk membiarkan Afiqah menanggung kedinginan dan rasa sakit itu sendiri. Biarlah Afiqah pergi dalam dakapannya.

“Ikut umi ya, sayang?” Ustazah Hanim mengajak. Dia melafazkan kalimah syahadah dengan perlahan-lahan. Memastikan Afiqah terus mengikut gerak mulutnya. Berkali-kali dia melakukan hal yang sama, sehingga bibir Afiqah sudah tidak mampu bergerak.

“La ilaha illaAllah,” Ustazah Hanim berbisik lembut. Dia sudah tidak mampu bertahan lagi, air matanya sudah mengalir jatuh. Afiqah mengikut perlahan. Memanglah kalimah syahadah itu indah. Sungguhpun bibir gadis itu sudah membeku kaku, namun lidahnya masih mampu melafaz dengan sempurna.

Ketika itulah, ketika Afiqah sedang cuba menyelesaikan ucapan syahadahnya, Dr. Firdaus muncul bersama Dr. Rashdan di muka pintu.

Sedetik, mata Afiqah lekas terpejam rapat. Nafasnya berdehit agak kuat sebelum dirinya menjadi kaku sepenuhnya. Bibirnya yang tadinya membeku, bagai menjadi lembut semula. Wajahnya ketika itu, kembali dihiasi senyuman nipis.

Senyuman yang manis dilihat.

Pagi 1 Syawal. Suasana sayu berjaya menindas keceriaan aidilfitri di banglo dua tingkat milik keluarga pakar kardiologi itu. Jasad gadis remaja yang tiba di kediaman itu lima jam yang lalu, sedang diuruskan bagi memungkinkan urusan pengkebumian berjalan dengan lancar.

Pagi itu, sungguhpun hanya jasad tanpa rohnya yang hadir di situ, hajat Afiqah untuk pulang ke rumah di pagi hari raya, tertunai jua. Memanglah seperti apa yang selalu diperkatakan oleh gadis yang petah bercakap itu, aturan Tuhan, tiada siapa yang tahu.

Puan Ameera yang baru tiba bersama Dr. Rashdan dari IJN, terpinga-pinga dibuat dek kunjungan jiran tetangga serta kariah masjid berhampiran yang sudah memenuhi bahagian halaman rumahnya. Air matanya yang selama ini disangka telah membeku, akhirnya pagi itu tumpah jua apabila melihat rupa pemilik tubuh yang sudah kaku dan keras, yang sedang dikafankan oleh Ustazah Hanim serta beberapa orang kariah wanita.

Dia yang sudah teresak-esak menangis dalam dakapan Dr. Rashdan, lekas ditenangkan. Patutlah suaminya itu bertegas memintanya pulang ke rumah dan meninggalkan Afkar yang baru selesai pembedahan seorang diri di hospital; rupanya, ada hal yang tidak diketahuinya telah menimpa anaknya yang seorang lagi.

Satu-satunya puteri keluarga itu, kini sudah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Puteri yang cerdik dan pintar. Puteri yang sentiasa tersenyum dan tegar hatinya. Puteri yang selama ini jarang sekali dihiraukannya.

“Kenapa awak tak bagitahu saya?” Puan Ameera menyoal. Dia menampar-nampar bahu Dr. Rashdan sepuas hatinya.

“Saya juga baru tahu,” Dr. Rashdan bersuara perlahan. Dia berpaling ke arah jasad Afiqah yang sedang dialihkan ke ruang yang lebih luas bagi memungkinkan jasad itu disembahyangkan oleh jumlah jemaah yang entah kenapa begitu ramai pagi itu.

“Habis, jantung yang Afkar dapat tu...?” Puan Ameera turut merenung ke arah yang sama sebelum dia kembali berpaling ke wajah suaminya yang sayu sungguh pagi itu. Dr. Rashdan hanya mengangguk, mengiyakan persoalan yang bermain di benak Puan Ameera.

“Infaq terakhir dia,” Dr. Rashdan menambah.

Malam tadi, ketika Dr. Rashdan sudah melurut tubuhnya mencecah lantai; ketika lututnya sudah lemah dan tidak dapat menanggung lagi beban bahagian atas badannya, Ustazah Hanim datang menghulurkan kotak yang tadinya dipeluk kemas Afiqah kepadanya. Hadiah untuk Afkar, tulisan tangan yang bulat dan menyendeng ke kanan itu dibacanya separa berbisik.

“Dia minta doktor tanda tangan borang kebenaran ini.”

Kertas dengan tulisan tangan berupa sepucuk warkah berisi amanah yang turut dilampirkan bersama borang rasmi rumah sakit yang cukup dikenalinya itu, diamati lama isi kandungannya. ‘As I promise, my heart is now yours, Afkar. The last gift from me.Infaq terakhir aku. Happy birthday, my brother.’ Penghujung warkah itu dilafaznya dengan nada tenggelam timbul.

Selamat hari jadi untuk kamu juga Afiqah. Dengan tangan yang bergetar, terkesan dek rasa bercampur baur yang sedang dialaminya, Dr. Rashdan menurunkan tanda tangannya pada borang pemindahan organ itu.

                                                              **********

“Ayah, jom balik.” Anak kecil yang comel bertudung itu menarik tangan ayahnya. Lelaki dewasa itu mengangguk laju. Dia lekas menghabiskan baki air mawar dalam jar kaca itu sebelum bangkit dan mengendong anak gadisnya itu di bahu.

“Sayang, ucap salam pada mak long.”

“Assalamualaikum, mak long. Iqa dengan ayah balik dulu, ya? Nanti Iqa ajak ayah datang lagi,” manja sungguh suara Afiqah Solehah. Tangannya dilambai lembut ke arah kuburan yang dipayungi rimbunan pohon yang menghijau cantik daunnya. Mulutnya yang merah, kekal tersenyum. Memanglah serupa macam kau, Iqa.

Iqa, kalau bukan kerana engkau, entah masihkah ada peluang untuk aku berdiri di sini. Entah dapat atau tidak peluang untuk aku bergelar ayah sekarang ini. Terima kasih untuk jantung kau. Terima kasih. Aku akan menjaga pemberian kau ini sehabis baik. Agar suatu hari nanti, ketika giliran aku pula pergi meninggalkan dunia ini, jantung ini dapat terus berbakti.

Moga dengan itu, amalmu ini akan kekal berlanjutan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.