Home Novel Cinta Tunangan Mr. Popular
Tunangan Mr. Popular
Izz Farihin
14/7/2013 08:09:19
5,055
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Tatkala hari mula bangkit menyebarkan hangat pagi, Cik Husna yang manja, masih dalam kepompong selimut tebalnya. Nabila, yang beberapa jam yang lalu masih berkongsi katil dengannya, sudah bangkit dan beralih tempat ke atas sofa penjuru. Heh, tidak tahan dia menjadi mangsa rakannya yang begitu lasak dalam tidur itu!

Suasana terus sunyi untuk 10 minit yang selanjutnya; sehinggalah satu bunyi yang menyakitkan telinga, mula berteriak memecah kesepian.

“Grrr...” Husna sudah menderam marah. Hampir satu minit bunyi yang tidak diundang itu membingitkan telinganya, siapalah yang tidak panas hati.

Husna lekas duduk. Telefon bimbit Nabila yang sudah berhenti bergetar dan memainkan muzik rock zaman bila entah sebentar tadi, lekas diambil dan dibelek lama. Ceit, bunyi jam loceng pun kena letak lagu macam itukah?

Matanya digesel lembut. Waktu pada pemuka telefon pintar itu Husna renung lama; 6.02 pagi. Awalnya! Dia kemudian mengangkat kembali wajahnya. Dengan pandangan orang baru bangun tidur, wajah Nabila yang begitu polos dengan mata terpejam; masih diulik kayangan malam, ditenungnya lama. Isy, apa tujuan kau kunci jam seawal ini Bil, kalau kau sendiri masih enak berdengkur di hujung sana?

Husna menguap sekali. Kemudian, sekali lagi dan dua kali lagi. Mengantuk sangatlah kononnya itu. Dengan perasaan malas masih menguasai dirinya, dia bangkit menghampiri Nabila yang berjarak kira-kira tiga puluh kaki daripadanya. Selimutnya yang hangat dan menyamankan turut diseret bersama. Tidak sanggup dia berpisah dengan komforternya itu ketika sang pendingin hawa masih tekun menyebarkan kedinginan yang bagai menanti untuk menusuk terus ke dalam tubuhnya.

“Bil, bangunlah.” Panggil Husna. Hujung rambut Nabila yang pendek kini menjadi permainan jari-jemarinya yang runcing. Jika babak ini dihayati dalam suasana dingin seram, memanglah hal ini saling tak ubah seperti babak hantu jembalang yang sedang bermain dengan rambut mangsanya – entah tuan puteri malang negeri manalah.

“Nabila Izzati Ahmad Husni,” Husna memanggil lagi. Kali ini, nama rakan sekolahnya itu diseru lengkap; sekali dengan nama bapanya. Jari-jari Husna yang tidak tahu duduk diam itu, kini sudah merayap ke pipi Nabila. Pipi tak berapa nak tembam milik rakannya itu diusap lembut sebelum ibu jari dan telunjuk kirinya itu mula memainkan peranan sebenar – mencubit pipi Nabila yang tidak berdosa.

“Aw! Sakitlah, Hus! Lepaslah!” Nabila yang terus bulat matanya itu, lantas menampar-nampar belakang telapak tangan Husna; merayu agar pipinya dibebaskan dari seksaan cubitan ketam yang menyakitkan itu. Husna hanya tersengih sebelum sebelah lagi pipi Nabila turut dicubit sama.

“Sakit, ek? Kau tu... kunci jam dengan lagu rock apa entah, lepas tu, tinggalkan phone kau tu dekat dengan telinga aku...” Husna bersuara meleret sementara tangannya turut berusaha melebarkan pipi Nabila. Dia melemparkan sengihan yang jelas dicontohi dari lagak Encik Joker dalam filem Batman – senyum yang lebar namun penuh muslihat, sebelum menyudahkan luahan rasa tidak puas hatinya, “...kau ingat aku tak sakit hati, ke?”

Setelah puas hatinya menyeksa rakan baiknya sendiri, barulah tangannya, Husna angkat tinggi separas kepala; gaya orang meyerah diri. Namun, helaan nafasnya yang agak kuat itu, jelas menunjukkan betapa hatinya sedang mengejek pipi Nabila yang mula membengkak.

“Apahal kau kunci jam awal sangat? Meeting pukul sembilan kot,” soal Husna. Wajahnya sudah kembali dihambat rasa mengantuk. Buktinya, sudah berkali-kali dia menguap sehingga matanya yang cantik dihiasi bulu mata yang lentik semula jadi itu sudah berair dan memerah.

Nabila tidak segera menjawab. Dia hanya mendengus kasar sebelum membaling bantal yang menjadi alas kepalanya sebentar tadi ke arah Husna. Husna hanya membalas dengan tawa gediknya, hampeh betul!

“Subuhlah!” Nabila membalas. Tuala mandinya dicapai sebelum dia masuk ke bilik air.

Husna yang tadinya seronok mengetawakan rakan baiknya itu, terus diam.


Salam diberi tanda solatnya yang didirikan menghampiri penghujung waktu itu, sudah selesai ditunaikan. Yang kanan mendahului yang kiri. Sejurus itu, wajahnya disapu cermat sambil mulutnya mula mengalunkan zikir; wirid yang menjadi pengisi antara solatnya serta doa yang bakal dilafaznya sebentar nanti.

Ketika duduk bersimpuh menyudahkan wirid ringkasnya itulah, matanya dapat menangkap gelagat rakan baiknya yang bagai disumpah sang kelembai; kaku membatu menopang dagu dengan wajah yang kosong tanpa emosi. Husna, Husna; apalah yang kau menungkan itu?

“Bil,” seru Husna perlahan. Dia lekas bangkit dan berjalan lemah, sebelum mengambil tempat bersebelahan Nabila yang baru selesai berdoa. Husna duduk bersimpuh sebelum tubuhnya disendengkan ke bahu Nabila yang jauh lebih kecil daripada dirinya.

“Apahal kau ni? Main lentok-lentok pulak, sakitlah,” Nabila bersuara geram. Hendak menolak tubuh Husna yang beratnya lebih 15 kilo daripadanya, memang tidaklah dia mampu. Hendak tidak hendak, selagi rakannya itu masih mahu berpelakuan manja tidak bertempat begitu, terpaksalah dirinya merelakan sahaja.

“Bil, kalau aku baru nak mula solat sekarang ni, tak apa ke?”

Soalan Husna yang tidak terjangka itu, pantas membuatkan Nabila ternganga kecil. Yalah, lima tahun dia berkenalan dengan Husna, tidak pernah rakannya itu mengajaknya berbicara mengenai topik itu. Wajah Husna dikerlingnya berkali-kali. Hendak menoleh, lehernya pula payah untuk berbuat begitu dengan keadaan sebelah badannya terbeban dek Husna yang sepertinya telah menganggap Nabila sebagai kusyen rehat yang empuk.

“Hus, tak ada istilah lewat untuk memulakan sesuatu. Selagi ajal kita belum sampai, selagi itu, kita masih punya masa. Baguslah kalau kau ada rasa nak mula solat. Sebab, solat ni, penghubung kita dengan Allah.

Nanti, kalau kau ditakdirkan duduk jauh dari family; dapat tawaran belajar kat oversea ke... time tu, waktu tak ada orang yang boleh teman dan tengok-tengokkan kau, hanya Allah sajalah yang akan jaga kau.

Tapi, kalau kau tak jaga hubungan kau dengan Dia, macam mana Dia nak jaga kau. Betul, tak?” Nabila mula bersuara; memberi pandangan. Husna yang mendengar hanya mengangguk setuju. Entah dia mengerti ayat skema milik rakan baiknya itu, entah tidak.

“Ha, apa lagi? Bangkitlah, ambil wudhuk. Subuh ada lagi ni,” Nabila mula menukar nada. Entah bagaimana, tiba-tiba dia mendapat kekuatan untuk menolak tubuh Husna agar kembali tegak duduknya. Setelah itu, dia lekas berdiri dan menarik tangan kanan Husna agar ikut sama berdiri.

Husna yang pada mulanya terkebil-kebil dengan aksi mendadak Nabila itu, hanya menurut kata. Segera dia berdiri dan membuka langkah menuju ke bilik mandi peribadinya.

“Bil, aku tak retilah.” Husna bersuara manja. Dia tersengih sehingga gigi putih bersinarnya yang belum digosok lagi pagi itu jelas terpampang.

“Tak apa!” Nabila bersuara tegas. Dia tidak mahu alasan tidak tahu itu menjadi pematah semangat rakannya itu. Telekung putihnya cepat-cepat ditanggal dan disangkut ala kadar ke sofa kayu.

“Hal tu, aku boleh tunjukkan,” Nabila memintas Husna. Dia yang sudah masuk ke dalam bilik mandi, lekas memulas kepala paip sinki bilik mandi yang kelihatan agak mewah dengan kelengkapan yang pelbagai. Sejurus, tubuh Husna segera didorong menghampiri basin muka itu.

“Ha, cuci muka kau dulu.” Kata-kata Nabila yang berunsur arahan itu dibalas Husna dengan wajah termanggu-manggu bak orang bingung.

“Eh, cepatlah!” Nabila mengarah lagi.

“Ke, kau nak tunggu Iman yang tolong tunjukkan? Boleh aje, meh aku call dia. Mesti dia happy dengar kau rajin bangun Subuh hari ni,” Nabila menambah, kali ini nadanya jelas cenderung kepada bentuk usikan.

Husna yang mendengar gurauan sinis Nabila itu, lekas-lekas memberi respons dengan jemari-jemarinya yang kalian ketahui, cukup menyeksakan itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.