Home Novel Cinta Tunangan Mr. Popular
Tunangan Mr. Popular
Izz Farihin
14/7/2013 08:09:19
5,060
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog
Prolog I : Aris

Wajahnya, tidak perlu disapu bedak, sudah sedia kala putih. Bibirnya merah jambu, kecil dan comel. Matanya sedikit bundar, dengan bebola hazel menghiasi dalamannya. Rambutnya yang perang, sentiasa dipastikan kemas, tersisir rapi ke belakang. Yah, Aris ketika itu, memanglah budak lelaki yang menjadi sebutan rakan-rakan sedarjah kami.

Aris dan aku kenal sejak kami masih bergelar anak hingusan. Kami membesar bersama, bermain bersama dan kadang-kadang, tidur juga bersama. Yah, itu cerita waktu aku kecil. Waktu aku belum lagi bersekolah tadika. Sekarang ini, kami sudah berhenti buat semua itu. Jangan fikir yang bukan-bukan pula.

Ayah aku dan ayah Aris berkawan baik. Ibu kami juga berkawan rapat. Mereka tinggal berjiran sejak aku dan Aris masih lagi belum wujud di dunia ini. Kalau ikut kata Abang Hufaz, sudah dua kali kedua-dua buah keluarga ini berpindah rumah. Dan, setiap kali berpindah, pasti kedua-duanya akan bertemu kembali sebagai tetangga.

Aris, sejak dari kecil, memang petah bercakap. Tapi, dalam bahasa melayulah. Jika disuruh speaking inggeris, pasti budak kacukan itu akan diam seribu bahasa. Yah, anak wanita inggeris ini tidak reti bertutur dalam bahasa bondanya itu! Kelakar habis bila hal itu aku kenangkan kembali. Yalah, harap muka saja mat salleh, tapi sebaris ayat inggeris pun tidak mampu dia tuturkan dengan betul.

Gayanya? Ah, tidak perlu dicarilah kekurangannya! Pasti kalian tidak akan menemuinya. Penampilan harian anak lelaki itu memang sentiasa dijaga. Sejak dari kecil, pakaiannya bakal dipastikan kemas dan rapi. Paling kurang, dia pasti akan menggayakan kemeja-T berkolar beserta dengan jeans pendek paras lutut. Alahai, kacak sungguh dia ketika itu. Ditambah lagi sewaktu kaca mata hitam yang besar gila lensanya itu digayakannya bersama; ah, memang aku akan segera akui bahawa dialah budak lelaki paling kacak yang pernah aku kenal!

Aris, yang rupanya diwarisi 100 peratus daripada Puan Natalie, ibunya, adalah budak lelaki yang paling setia yang pernah aku kenal. Ya, setianya cukup gah. Cukup agung. Setianya hanya pada aku, Diba yang sering sahaja jatuh sakit.

Yah, aku masih ingat bagaimana Aris yang bertubuh kecil itu sanggup mengendongku di belakangnya; mendaki tangga berpilin rumahku agar aku dapat baring, berehat di kamar tidurku. Aku juga masih ingat ketika bubur ayam yang direnehnya dengan bantuan Nek Mah disuap dengan lembut ke mulutku. Aku masih ingat bagaimana dia akan membersihkan segala kesan comot dan kotoran yang melekat di wajah dan pakaianku.

Aris yang aku kenal itu, memanglah cukup sabar. Kerenahku dilayannya sepenuh hati. Sedikit pun tidak dia merungut. Sedikit pun tidak dia mengalah dan membiarkan aku sendiri. Bersamanya, aku sentiasa rasa dihargai dan disayangi.

Yah, sebab itulah, apabila papa dan Acik Raz, ayah Aris mahu menjodohkan kami dan mengikat kami dengan tali pertunangan, aku lekas-lekas bersetuju. Sungguhpun ketika itu, aku dan Aris masih lagi anak kecil, masih lagi berkain dan berseluar biru tua ke sekolah.

Ah, polos sungguh aku ketika itu!


Prolog II : Diba

Diba, kau gadis pertama yang berjaya membuatkan hatiku ini berdebar kencang. Kau gadis pertama yang menyatakan rasa sayang kepada diriku; meluahkan rasa cinta terhadapku yang langsung tidak pandai menghargai.

Diba, rambutmu yang panjang itu, aku benar-benar rindu untuk membelainya lagi. Pipimu yang merah dan lesung pipimu yang manis menghiasi wajahmu, ah! Semua itu membuatkan aku benar-benar rindu untuk bersamamu kembali.

Diba, jujur, aku benar-benar menyesal dengan perlakuanku yang tidak bertanggungjawab. Aku betul-betul menyesal kerana telah menduakan kau yang begitu setia menjaga hubungan kita. Aku sungguh-sungguh menyesal kerana pergi meninggalkan kau tanpa sebarang khabar untuk bertahun lamanya.

Diba, ketahuilah yang engkaulah satu-satunya gadis yang terus setia bertakhta di lubuk hatiku ini. Biarpun aku sudah bertemu dan berkenalan dengan ramai gadis yang perwatakan dan sikapnya jauh lebih lembut dan matang berbanding dengan kau yang sungguh kasar dan manja. Namun, ketahuilah Diba, kau masih saja terus utuh di hatiku.

Diba, aku akui, aku sudah mempersia-siakan hidupmu. Aku masih ingat ketika ayah memberitahuku mengenai dirimu yang sentiasa bertanyakan keadaanku kepada ayah tanpa jemu saban hari. Namun, penantianmu yang begitu setia itu, aku langsung tidak ambil peduli.

Hidupku ketika itu cukup bebas; cukup tidak terkawal. Aku berkawan dan membiarkan diriku dikelilingi gadis yang langsung tidak aku kenal asal-usulnya. Aku benar-benar bodoh kerana membiarkan diriku terus hanyut dalam dunia yang melalaikan itu.

Ya, kerana duniaku yang cukup bebas itulah, aku bertindak menjauhkan diri daripadamu. Pada fikiranku ketika itu, kehadiranmu, hanya bakal menjadi pengekang hidupku. Tapi, aku salah Diba. Aku sepatutnya sedar. Sedar bahawa dirimu adalah satu-satunya yang aku perlukan bagi mengisi ruang hidupku yang sentiasa kosong. Hanya dirimu, Diba.

Diba, andai kita ditakdirkan untuk bersatu kembali, aku janji yang aku akan menjagamu sepenuh jiwa dan ragaku. Ya, Diba; Aris janji!

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.