Home Novel Cinta Tunangan Mr. Popular
Tunangan Mr. Popular
Izz Farihin
14/7/2013 08:09:19
5,062
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur itu memanglah agak memenatkan. Iman yang bersendirian memandu tanpa henti sejak tiga jam yang lalu sudah berkali-kali menguap menahan kantuk. Najmi dan Nabila, dua orang rakannya itu sudah lama lena dibuai mimpi. Kini, yang masih kekal berjaga, hanyalah dia serta seorang lagi rakannya.

Gadis ayu berambut panjang dibiar lepas itu dari tadi tekun menghabiskan bacaan novel cinta yang baru dibelinya sewaktu berhenti di hentian rehat dan rawat sebelumnya. Namun, sekali-sekala, Iman dapat juga menangkap jelingan nakalnya yang dipantulkan oleh cermin pandang belakang Perodua Kelisa yang sedang dipandunya itu. Ah, renungan itu! Memanglah berjaya mengusik jiwa lelakinya.

Husna yang putih kuning kulitnya, dengan wajah yang bersih tanpa sedikitpun cela itu, akan lekas memalingkan wajahnya; berpura-pura menjadikan cermin tingkap kereta yang sedang bergerak pada kelajuan 80 kilometer sejam itu sebagai cermin muka setiap kali matanya dan mata Iman bertembung. Rambutnya yang ikal mayang, yang telah jatuh menyentuh pipinya, bakal ditolak lembut kembali ke belakang.

“Awak dah putuskan nak ambil apa nanti?” soal Iman tiba-tiba. Dia mengerling ke arah Husna yang terus meletakkan penanda ke atas muka surat novel yang sedang dibacanya. Nampaknya, gadis itu juga sudah bosan membaca sendirian dalam suasana begitu.

“Entah,” Husna membalas laju sambil mencebikkan bibirnya ke depan. “Awak?” kini, soalan itu dipulangkan semula kepada tuan badan yang bertanya. Iman hanya tersenyum kecil. Wah, pandai! Mahu saya yang jawab dahulu, ya? Tidak mengapa, Iman akan jawab soalan awak itu.

“Saya nak jadi doktor. Jadi, target saya, saya nak ambil asasi perubatan ataupun sains hayat. Tak pun ambil matrik,” dengan penuh semangat, Iman memberi jawapan. Dia mendongak sedikit dan merenung siling kereta yang hampir mencecah kepalanya itu. Wah, bersungguh-sungguh betul remaja lelaki itu.

“Oh. Bolehlah saya panggil awak Dr. Iman nanti. Ha, lepas tu, ambil kardiotoraks. Mana tahu, awak boleh jadi doktor saya nanti. Kan?”

“Amiin. Tapi...” Iman berhenti seketika. Dia berpaling ke kiri, seakan-akan mahu menoleh merenung Husna. “Saya tak mahu tengok awak sakit lagi. Saya tak sanggup,” Iman bersuara mendatar sebelum kembali berpaling merenung jalan.

Suasana selepas itu sunyi agak lama. Husna sedikit pun tidak bersuara. Dia cuma menunduk merenung pahanya yang menjadi alas kepala Nabila sejak dua jam yang lalu. Iman juga tidak berani bersuara lebih lanjut. Bimbang barangkali, jika kata-katanya tadi telah mengguris hati gadis yang menjadi pujaan hatinya itu.

“Saya minta maaf.” Serentak, kedua-dua remaja itu bersuara. Masing-masing terkelu seketika sebelum mula berfikir mengenai kesalahan yang telah dilakukan pasangan berbual masing-masing sehingga kata maaf perlu dilontar keluar.

“Saya minta maaf sebab ungkit pasal sakit saya. Betul kata awak, saya tak patut cakap macam tu. Nampak macam saya doakan penyakit saya tu datang balik pula,” Husna bersuara perlahan. Dia sudah mengangkat wajahnya kembali. Senyuman nipis juga sudah kembali menghiasi wajah putih gebunya.

“Saya pun minta maaf sebab cuba nafikan kenyataan tu. Saya faham, awak sakit. Jadi, saya janji...” Iman kini mengangkat tangan kanannya separas dahi. Bagai orang sedang berikrar, dia menyempurnakan janjinya, “saya akan jadi doktor peribadi awak suatu hari nanti. Iman Harith berjanji.”


Diba sudah menangis teresak-esak tatkala langit mula diselubungi awan hitam. Lututnya yang sudah robek akibat terseret tanah keras sudah mula menakung darah. Basikal roda tiganya pula sudah terbaring dua meter di hadapannya, dengan tayar sebelah kirinya sudah tertanggal; entah sudah tergolek ke mana.

Aris yang tadinya sudah jauh meninggalkan Diba kembali berpatah balik. Sampai saja ke simpang jalan yang berselekoh agak tajam itu, basikalnya pantas dibuang ke tepi. Diba kesayangannya harus diutamakan ketika itu.

“Diba okey?” Aris menyoal lembut. Cecair jernih yang sudah membasahi pipi gadis comel itu dikesat dengan belakang telapak tangannya.

“Janganlah nangis. Kalau sakit, bagitau Aris. Biar Aris tolong,” Aris masih kekal dalam nada memujuk. Tidak padan dengan usianya yang baru empat tahun, Aris ketika itu sudah berlagak bagai putera idaman yang hadir bagi menghilangkan duka di hati tuan puteri.

“Kaki Diba darah,” Diba bersuara dalam nada tenggelam timbul. Esakan kecilnya masih boleh didengar, namun tidaklah sekuat tadi.

Mendengar hal yang keluar dari mulut Diba itu, Aris lekas-lekas memeriksa kaki kecil rakan perempuannya yang muda enam bulan daripadanya itu. Sah, lutut kanan rakannya itu sudah luka dan berdarah.

Lekas, sapu tangannya dikeluarkan dari kocek kiri seluar pendeknya. Sapu tangan itu Aris tekap dengan lembut ke lutut Diba. Sambil itu, dia menghembus perlahan-lahan ke kawasan luka itu.

Diba yang tadinya menangis teresak-esak, mula senyap. Wajah Aris direnung lama. Aris sayang Diba, ek?

“Diba boleh jalan tak?”

Diba menggeleng.

“Kalau macam tu, meh Aris dukung.” Tubuhnya yang kecil, pantas direndahkan. Budak lelaki bertubuh kurus itu segera menyuakan belakangnya bagi menampung Diba, gadis yang sangat disayanginya.

“Tak apa ke?” Diba menyoal, ingin mencari kepastian. Yalah, mampukah Aris mengendong dirinya yang hampir sama besar dengan budak lelaki berwajah inggeris itu.

“Tak apa. Cepatlah naik.” Mendengar jawapan Aris, Diba segera memeluk tubuh Aris dari belakang. Tangannya diletakkan di atas bahu Aris sebelum disilang kemas ke dada budak lelaki yang begitu prihatin itu.

Setelah pasti yang Diba sudah stabil di belakang badannya, Aris pantas menampung paha Diba sebelum bangkit; berdiri dengan sempurna. Langkahnya dibuka dengan penuh hati-hati, menghala ke sebuah pondok menunggu bas. Diba didudukkan dengan perlahan-lahan ke atas bangku kayu.

“Diba tunggu sini, ek? Aris nak call ayah,” ujar Aris. Dia pantas menyeluk kocek belakangnya, beberapa keping syiling 10 sen dikeluarkan dan dikira dengan cermat. Sungguhpun usianya masih muda, kira-kira berkaitan wang, tidak menjadi masalah buat budak lelaki itu.

“Tapi...” Diba bersuara takut-takut. Bibirnya sudah kembali melengkung ke bawah. Dengan matanya yang sudah kembali digenangi air mata, Diba pantas bersuara separuh berbisik, “...nanti papa marah Aris lagi. Diba tak nak Aris kena marah.” Lengan Aris dipaut kemas.

“Tak apa. Aris tak kisah,” Aris bersuara penuh yakin.

“Ya ke?”

“Yalah. Inikan Aris. Aris tak kisah punya. Aris kan dah janji nak jaga Diba. Kalau Uncle nak marah Aris lama-lama pun tak apa, asal bukan Diba yang kena marah,” Aris menambah. Dia kini mula mengukir senyum yang jelas memperlihatkan barisan gigi susunya yang teratur cantik.

“Betul?”

“Ya, Aris janji!” tutur Aris bersungguh-sungguh dengan tangannya diangkat separas dahi. Melihat akan hal itu, barulah tangan kiri Aris, Diba lepaskan.


“Husna!” jerkahan yang menyakitkan telinga itu benar-benar membuatkan Husna terkejut. Matanya yang pejam pantas terbuka luas. Terbeliak. Menyeramkan sahaja untuk dilihat.

“Weh, usahlah sampai terjegil macam tu. Macam pontianak aje aku tengok,” Nabila yang sedang menyisir rambutnya yang pendek separas bahu segera berpaling menghadap cermin. Mulutnya yang sengaja digerak-gerakkan bagai sedang mengomel sesuatu tanpa suara, jelas kelihatan; dipantulkan dek cermin kaca yang dilekat kemas di dinding kamar tidur itu. Ceh, nampak sangat kau mengutuk aku Bil!

“Kau tu yang main jerkah-jerkah. Geraklah elok-elok.” Husna menggesel-gesel matanya sebelum menggeliat dengan gaya yang sungguh tidak sopan. Dia kemudiannya bangkit bagi meregangkan bahagian pinggangnya yang sudah mula terasa sengal.

Itulah, orang duduk belajar dekat meja belajar. Kau pula, boleh pula tidur dengan lenanya. Siap mimpi lagi. Eh, apa yang kau mimpi tadi ek Husna?

“Kau tu pun sama aje. Tadi gerak aku dalam kereta, main cubit-cubit pulak. Ada lebam pulak tu sampai sekarang. Tengok ni.” Nabila mula mempamerkan kesan biru yang diterimanya dari manusia bertangan ketam merangkap rakan baiknya itu tadi petang. Husna hanya tersengih. Kalau ketawa, nanti ada pula yang makan hati. Naya saja.

“Eh!” Nabila, tanpa sebarang amaran, segera menerpa ke arah Husna yang baru melabuhkan buntut ke katil empuknya. Geram dengan tindakan rakannya itu, satu cubitan halus segera hinggap ke pipi Nabila.

“Cubit lagi!” tangan putih gebu Husna ditampar keras. Bagai tiada kerja sahaja tangan rakannya itu. Geram sedikit, pasti akan ada sahaja yang menjadi sasaran cubitan ketamnya yang terkenal cukup pedih dan menyeksakan itu. Isy, sakit tahu!

“Kau tu yang melampau! Agak-agaklah, kalau nak main terkam pun. Pinggang aku tergeliat nanti, siapa mau tanggung?” Tubuh Nabila segera ditolak ke tepi. Isy, harap saja badan kurus macam lidi. Tapi beratnya, tak tahulah nak kata.

“Eleh, tergeliat aje. Eh, kejap!” Nabila kembali bersuara dalam nada tinggi. Memang sakit telingalah melayan kerenah Nabila malam itu. “Kau mimpi apa tadi, ha? Aris, Aris.”

Mendengar nama Aris disebut, Husna pantas terdiam. Barulah dia teringat apa yang dia mimpikan baru sebentar tadi – mimpi Aris! Yah, sudah itu, boleh pula sampai mengigau sebut nama dia? Aduh, kantoilah macam ini!

“Oh, kau mimpi Harith ek? Wah, syoklah! Mimpi buah hati,” usik Nabila. Belakang tubuh Husna ditepuk kasar berulang kali. Isy, dia ini lupa atau buat-buat lupa! Jantung aku ini mana boleh lasak-lasak begitu. Kau, kalau papa aku tahu, naya kau.

“Tapikan...” Nabila mula membuat muka curiga. Matanya dikecilkan dan wajahnya semakin dirapatkan ke wajah Husna.

“Apahal kau panggil dia Aris pula ni? Bukan kau panggil dia Iman ke? Oh, dah ada nama timangan baru ek? Bila kauorang couple, hah? Chewah! Declarelah dekat semua orang. Biar satu dunia tahu,” Nabila memberi cadangan. Dia mengangguk berkali-kali dengan bersungguh-sungguh. Husna pula, sudah mula membuat muka menyampah.

Banyak cantik kau, Bil! Iman pun belum tahu yang aku suka dekat dia, inikan hendak suruh aku hebahkan pada semua orang. Mahu cari nahaskah, hah?

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.