Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Dua Belas – Syarat

Sudah dua hari berlalu semenjak Hanna menyatakan keputusannya kepada Rizqy. Hari ini, keputusan yang telah diambilnya itu akan dimaklumkan pula kepada Faris dan Laila. Nazrey juga.

Pagi itu, seawal jam 8.30 pagi, Hanna, Rizqy dan Eric telah berada dalam Perodua Kelisa milik Eric. Pagi itu mereka akan bergerak ke I-CoST Selatan yang terletak 90 kilometer daripada I-CoST Putra. Pagi itu mereka akan ke alma mater kebanggaan Faris dan Laila – SBPI Bandar Hijau I-CoST.

Tiba sahaja di sekolah berasrama penuh itu, mereka bertiga pantas menapak ke kafeteria. Hanna hanya duduk menongkat dagu memerhati Rizqy dan Eric yang sedang berselera menghabiskan juadah mihun goreng singapura di hadapannya. Hendak turut serta, perutnya sudah kenyang diisi tiga tangkup sandwic sardin setengah jam yang lalu. Akibatnya, dia melangut sendirian bagai orang bodoh sementara menanti Faris dan Laila tamat sesi kelas persediaan pagi Sabtu itu.

“Awak tak pernah cakap pun yang Faris dan Laila belajar di sini,” Hanna bersuara. Cuba memancing mod. Dia benar-benar sudah bosan menanti. Jika tahu begini, lebih baik mereka bertolak lewat sedikit. Tidak perlulah dia membazir masa menanti sebegini lama. Masa itu emas, jangan membazir!

“Awak tak tanya, saya tak cakaplah. Oh, ya! Apa kata, lepas ni, saya bawa awak pusing-pusing sekolah ni?” Rizqy mengutarakan cadangan yang ditujukan khas kepada Hanna. Dia mengangkat kedua-dua keningnya seolah-olah sedang menanti persetujuan rakannya itu.

Hanna tidak membalas. Dia cuma mengerling sekilas ke arah Eric. Memaksa Rizqy turut melakukan hal yang sama. Ternyata rakannya yang seorang lagi itu sedang mengecilkan matanya. Merenung tajam ke arah Rizqy. Renungan amaran.

“Hanna aje?” Eric menyoal geram. Dia pantas menyambung sarapan paginya tanpa menanti balasan Rizqy. Geram betul dia dengan Rizqy. Bukankah mereka sudah berjanji untuk bersaing secara adil? Mana boleh dia ajak Hanna jalan berdua meninggalkan Eric di kafeteria itu sendirian. Ini sudah tidak adil!

Sedar akan kesalahannya, Rizqy pantas bersuara. Dia mahu memperbetulkan kesalahfahaman daripada terus berlanjutan. “Awak juga Eric. Sementara tunggu kelas Faris dengan Lail tamat, kita pergilah ronda sekolah ni dulu. Setuju?”

Eric mengangguk ringkas. Hanna turut melakukan hal yang serupa.


Laju sahaja langkah Rizqy memimpin Hanna dan Eric meninjau ke seluruh isi sekolah berasrama penuh itu. Sepertinya Rizqy begitu cam dengan kedudukan setiap ruangan di sekolah itu. Hanna dan Eric kadangkala saling berbalas pandang. Kagum sungguh mereka dengan memori Rizqy yang berjaya menjelaskan kepada mereka fungsi setiap ruangan yang ditemukan. Malah, stor sukan serta setiap bilik perjumpaan kelab dan persatuan juga dia namakan dengan pantas. Macamlah ada papan tanda yang melekat pada pintu setiap ruangan itu.

Sudah itu, setiap kali mereka berselisih dengan guru-guru dan kakitangan sekolah yang sedang bertugas, Rizqy pasti tidak lupa untuk menegur dan memberi salam hormat. Sungguh rapat kelihatannya Rizqy dengan seluruh isi sekolah ini. Puas mengelilingi bangunan akademik, Rizqy membawa Hanna dan Eric menuju ke dewan besar di bahagian tengah sekolah serba luas itu. Di situ, kemusykilan Hanna dan Eric tentang sikap serba tahu Rizqy tentang SBPI Bandar Hijau I-CoST kini terjawab.

“Awak bekas pelajar sekolah ni?” Hanna menyoal. Dia memerhati betul-betul ke arah papan kenyataan yang menempatkan senarai nama pelajar cemerlang PMR dua tahun yang lalu. Tepat di bawah nama Laila, nama Rizqy tercetak di situ. Dan, yang paling mengejutkan Hanna, di bahagian atas senarai nama itu, nama Amar Nazrey turut tercetak sama.

Tidak pernah Hanna sangka yang keempat-empat ahli Dragon Warrior Junior itu berasal dari sekolah yang sama. Jadi, sejak bilakah kumpulan remaja itu dibentuk. Sudah lamakah? Dan, apa maksud Rizqy dia tidak kenal Nazrey sebelumnya? Mereka satu sekolah, bukan?

“Saya, Faris dan Lail sudah kenal sejak tingkatan satu lagi. Nazrey pula berada dalam kelas pertama. Dia tak banyak bersuara. Selalu asingkan diri dari semua orang. Dia sepertinya tidak ada kawan langsung di sini. Budak-budak sini kata dia psiko dan gelar dia budak misteri. Semasa kami di tingkatan tiga, barulah kami berkenalan,” Rizqy bercerita laju seolah-olah dia tahu sahaja soalan yang sedang bermain di fikiran Hanna.

Rizqy masih ingat kali pertama dia ditegur oleh Nazrey. Ketika itu, mereka berdua terpilih untuk mewakili SBPI Bandar Hijau I-CoST dalam Pertandingan Debat Bahasa Inggeris. Itulah kali pertama dia ditegur oleh Nazrey. Ketika itu jugalah idea tentang penubuhan Dragon Warrior Junior tercetus. Ketika itu jugalah dirinya pertama kali berasa begitu gembira dengan keistimewaan sel naga yang ada pada dirinya. Ketika itu jugalah dia tahu Nazrey bukanlah budak misteri yang biasa. Nazrey adalah naga yang misteri.

“Saya dan Naz keluar dari sini masa tingkatan empat. Saya dapat tawaran ke Alam Shah, dan Naz pula, katanya dia sudah bosan tinggal di asrama,” Rizqy menambah. Dia merenung tepat ke arah Hanna dan Eric. Suka benar dia dapat melihat reaksi sebegitu rupa pada wajah dua orang rakannya itu. Reaksi penuh tanda tanya.

Hanna masih tidak bersuara. Masih kekal mengunci mulutnya. Masih berfikir. Sambil itu, dia mengerling ke arah Eric. Rakannya itu wajahnya telah berubah menjadi masam mencuka.

‘Apa tujuan awak ajak Hanna lihat senarai nama ini? Mahu tunjuk lagakkah? Awak jangan tak tahu yang nama saya terpatri kemas di dinding Dewan Utama Akademi Utara sebagai Pelajar Terbaik PMR tahun itu, tahu? Nama awak setakat dicetak pada kertas dan dilekat di papan kenyataan saja. Jangan nak show-off sangatlah!’ Ternyata hati Eric sedang merungut tidak puas hati. Baginya, tindakan Rizqy ketika itu adalah bagi menunjuk-nunjuk di depan Hanna.

“Awak berempat satu sekolah? Jadi, sejak bila Dragon Warrior Junior ditubuhkan?” Hanna menyoal ingin tahu.

Namun, sebelum Rizqy sempat membalas, satu suara asing tiba-tiba mencelah. “Sejak kami di tingkatan tiga! Kenapa kau mahu tahu?!”

Hanna, Rizqy dan Eric pantas berpaling ke arah punca suara. Nazrey yang sedang membetulkan gaya rambutnya yang telah dirosakkan oleh pemakaian topi keledar, langsung tidak mempedulikan renungan ganjil itu. Dia cuma tersengih kecil setelah berpuas hati dengan gaya rambut pendeknya itu. Setelah itu, dengan lagak samseng, dia membuka langkah mendapatkan tiga sekawan yang sedang terpacak di bahagian luar dewan besar bekas sekolahnya itu.

“Ada lima minit lagi sebelum loceng tamat prep class berbunyi. So, apa kata aku belanja kauorang minum kat kantin? Jomlah, aku tengah ikhlas ni,” Nazrey mengajak. Dia pantas menolak tubuh Rizqy dan Eric ke hadapan. Menyuruh dua orang remaja lelaki itu mempercepatkan langkah menuju ke kafeteria sekolah. Hanna pula hanya menurut.


Benar kata Nazrey, lima minit kemudian, loceng panjang tanda waktu kelas persediaan pagi hari Sabtu telah tamat mula kedengaran di ruang udara sekolah berasrama itu. Namun, Hanna dan yang lain perlu menanti 10 minit lagi untuk memberi waktu bagi Faris dan Laila mengganti pakaian outing. Setelah itu, barulah enam orang remaja itu berkumpul bersama di kantin sekolah.

“Maaf, kauorang dah lama tunggu, ya?” Laila yang manis bertudung labuh merah jambu menyoal. Dia mengambil tempat duduk bersebelahan Hanna. Faris pula masih kekal berdiri. Masih membetulkan kemeja-T sekolah yang tersarung di badannya. Kaca matanya ditanggal lalu disimpan ke dalam bekas plastik sebelum diletakkan ke dalam zip beg galasnya.

“Tak adalah, tak lama pun. Sambil tunggu kauorang keluar, kitaorang pusing-pusing akademi ni dulu,” Nazrey yang sememangnya tidak ikut serta dengan aktiviti tawaf keliling sekolah itu tadi membalas sambil mengukir senyum sinis. Wah, wah! Pandai betul dia membalas bagi pihak orang lain. Terima kasih banyak-banyaklah, Encik Nazrey.

“Jadi, ke mana hala tuju kita hari ni?”

“Kita pergi Uncle Amer’s nak? Aku dah lama tak makan hidangan arab dia. Teringin pulak hari ni. Sambil makan tengah hari, kita boleh dengar keputusan Hanna,” Faris memberi cadangan. Dia menanti respons rakan-rakannya itu. Kelima-limanya pantas mengangguk.

Apa lagi, tanpa berlengah, enam orang remaja itu pantas menuju ke kenderaan masing-masing. Laila ikut serta dalam Perodua Kelisa yang kini dipandu oleh Rizqy. Duduk berdua dengan Hanna di bahagian penumpang belakang. Faris pula membonceng motosikal Nazrey. Mujur sahaja Eric ada menyimpan topi keledar tambahan di bahagian but Perodua Kelisanya. Bolehlah dia pinjamkan kepada Faris topi keledarnya itu.

Lima minit perjalanan dengan kereta, mereka tiba di sebuah restoran makanan arab – barat di bahagian tengah bandar selatan itu. Nazrey dan Faris sudah menanti mereka di kaki tangga yang mengarah terus ke restoran itu. Maklumlah, naik motosikal. Mudahlah menyelit sana-sini.

Sementara menunggu pesanan disiapkan, enam orang remaja itu pantas membangkitkan tujuan utama perjumpaan mereka pagi itu. Mendengar keputusan yang bakal dipilih oleh Hanna Afza. Masing-masing hanya bersuara selaras berbisik. Masing-masing tidak mahu perbualan sulit mereka lewat pagi itu dicuri dengar oleh sesiapa.

“Jadi, apa keputusan awak?” Faris memulakan pertanyaan. Dia merenung tepat ke arah wajah serius milik Hanna. Remaja perempuan itu tidak segera membalas. Dia sedang mengambil masa. Mengambil masa untuk meyakinkan hatinya.

“Cakap cepat, boleh tak?” giliran Nazrey pula bersuara. Sengaja dia menguatkan nada suaranya. Ah, apa dia peduli jika kata-katanya yang sebegitu rupa didengari pelanggan-pelanggan restoran yang lain.

“Saya putuskan... untuk terima cadangan Rizq. Saya akan mencabar awak, Amar Nazrey,” Hanna akhirnya menyatakan keputusannya. Keputusan yang berjaya merubah corak air muka lima orang rakan yang sedang mengelilingi meja bulat di hadapan mereka. Masing-masing dengan corak air muka yang berbeza.

Rizqy yang sudah tahu tentang hal itu cuma tersenyum lega. Eric pula melopong mulutnya tidak menyangka. Faris dan Laila pula saling berbalas pandang. Perasaan teruja dan tergamam silih bertukar. Nazrey yang duduk membongkok menongkat dagu pula hanya memberi jelingan kecil sebelum tersengih penuh makna. Ada hati budak perempuan di hadapannya ini hendak mencabar jawatannya.

“Saya terima cadangan itu dengan syarat,” Hanna menambah. Dia merenung satu-satu wajah lima orang remaja di hadapannya. Daripada wajah bersahaja Nazrey sehinggalah wajah tercengang-cengang Rizqy yang duduk di sebelahnya.

“Awak tak kata pun yang awak ada syarat,” Rizqy berbisik perlahan ke telinga Hanna. Hanna cuma tersenyum kecil. Ya, dia tidak pernah menyatakan bahawa dia bersetuju dengan bersyarat kepada Rizqy. Namun, itulah yang telah dia putuskan sebelumnya. Itulah yang dia mahu. Keputusan yang dibuatnya bukan keputusan mudah. Dia harus mempertimbangkan baik dan buruk. Dia harus memikirkan segala kemungkinan yang mungkin berlaku.

“Pertama, saya mahu cabaran itu nanti dijalankan di tempat tertutup. Kalau susah sangat nak cari, kita boleh guna ruangan gimnasium khas di rumah saya. Saya tak mahu ada orang luar tahu tentang hal ini. Tolong jaga keistimewaan kita. Jangan biar diri kita dipergunakan orang lain,” Hanna memaklumkan syarat pertama sekali dengan sebabnya.

“Kedua, kedua-dua pencabar hanya boleh gunakan elemen yang sama. Elemen Naga Merah, elemen api. Tiada serangan fizikal secara terus, dan saya semestinya tidak akan gunakan kelebihan elemen berganda. Kita akan berlawan sebagai pengguna elemen api yang sejati. Tidak boleh menipu,” giliran syarat kedua diberitahu. Hanna berhenti mengambil nafas. Sekali lagi, dia merenung satu-satu wajah lima orang remaja di hadapannya.

“Seterusnya, pertembungan ini akan dinilai melalui poin. Setiap serangan yang mengena akan diberi satu poin. Siapa yang peroleh lima poin terlebih dahulu akan menjuarai satu pusingan. Siapa yang menjuarai tiga daripada lima pusingan akan memperoleh kemenangan. Tiada serangan ke muka! Hanya paras dada ke bawah.”

“Keempat, ini jika saya berjaya, Dragon Warrior Junior harus ikut prinsip saya. Tiada siapa boleh lihat, dengar atau apa-apa sahajalah tentang keistimewaan kita. Kita menolong, tapi identiti kita harus dirahsiakan. Kebolehan kita juga harus dirahsiakan. Lagi, saya tak mahu ada antara kita yang mencederakan orang awam. Jika boleh, mencederakan pesalah juga kita harus elak. Kita hanya perlu tumpaskan langkah mereka, tidak perlu cederakan mereka.”

Kali ini syarat Hanna itu berjaya menerima respons daripada Nazrey. Remaja lelaki itu sedang ketawa kecil. Kelakar mungkin mendengar cadangan Hanna yang dianggapnya mengarut itu. ‘Kau ingat senangkah nak tumpaskan penjenayah? Tak nak cederakan penjenayah konon,’ hati Nazrey mengejek. Menyampah benar dia mendengar kata-kata Hanna. Kata-kata yang baginya hanyalah omong kosong.

“Rasanya, setiap dari kita miliki Skrol Lembah Pelangi bukan? Skrol yang menceritakan secara ringkas mengenai tujuh puak naga? Skrol yang memberitahu kita setiap kebolehan yang dimiliki setiap puak tersebut. Kalian ada seorang satu, bukan?” Hanna menduga sebelum kembali menyambung kata-katanya.

“Puak Fuji, elemen api naga merah, penglihatannya tajam mengatasi segala. Puak Ishida, elemen tanah naga jingga, sentuhannya menggegar dunia. Puak Nakata, elemen kilat naga kuning, lidahnya setajam menghunus senjata. Puak Mizunashi, elemen air naga biru, suara angin dapat ditangkap. Puak Kazehiko, elemen angin nada indigo, deria hidu kebolehan utama. Puak Morino, elemen hutan naga hijau, menguasai fikiran satu kelebihan. Yang akhir, Puak Murasaki, elemen haiwan naga ungu, pergerakan dimanipulasi keistimewaan kendiri,” satu demi satu nama puak serta kebolehan tujuh naga pelangi Hanna sebutkan.

Memanglah hal itu ada tercatat pada skrol kulit yang turut ditinggalkan bersama dengan kesemua bayi yang telah menjadi mangsa eksperimen 17 tahun yang lalu namun, lewat pagi itu, Hanna sengaja menyebut semua itu. Dia mahu memberi ingatan. Dia mahu rakan-rakannya itu tahu bahawa dia memiliki perancangan yang kukuh.

“Dengan kebolehan itu, kita akan kuasai musuh kita. Kita akan tumpaskan mereka tanpa perlu mencederakan mereka. Pengguna elemen naga tak akan pernah menyakiti orang lain, dan kita perlu buktikan hal itu!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.