Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Lima – Pahlawan Naga

Hanna membetulkan kaca matanya yang sedikit lari dari kedudukan asal. Setelah itu dia kembali memberi perhatian kepada Encik Sulaiman yang sedang berucap di atas pentas. Pengetua muda itu yang dari tadi asyik bercakap mengenai prestasi pelajar-pelajarnya sudah beberapa kali mengundang rasa mengantuk kepada Hanna. Bukan hanya dia seorang sahaja tetapi, hampir kesemua pelajar sudah mula menguap dan menggeliat tatkala jam baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Malahan, ada yang sudah terlelap di atas kerusi.

“Bilalah pengetua nak habis cakap, ni? Aku dah mengantuk dibuatnya,” seorang pelajar perempuan daripada kelas Sains Perakaunan yang duduk di hadapan Hanna bersuara perlahan.

“Duduk kat kelas lagi bagus!” sambung rakan di sebelahnya pula. Hanna tidak bersuara. Telinganya tidak lagi difokuskan kepada suara lantang Encik Sulaiman. Telinganya telah dialihkan ke tempat lain. Ke arah perbualan dua sahabat di hadapannya. Sekurang-kurangnya dia tidak akan berasa lebih mengantuk lagi.

Jikalau Eric boleh duduk di sebelahnya ketika itu, pasti Hanna juga akan mula berbual kosong. Hanna menoleh ke arah barisan pelajar lelaki di kanan dewan. Mencari-cari rakan baiknya itu. Setelah berjumpa, Hanna cuma mengukir senyum. Eric yang sentiasa fokus semasa guru berucap sedang menguap. Nampaknya Eric juga tidak dapat bertahan dengan ucapan Encik Sulaiman yang sudah berubah menjadi dodoian tidur kepada para pelajarnya.

“Itu sahaja yang ingin saya sampaikan hari ini. Sekian, Wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Akademi Utara di Puncak Kegemilangan,” Encik Sulaiman akhirnya menamatkan ucapan yang berdurasi selama 45 minit itu. Para pelajar menepuk tangan. Akhirnya penantian hampir sejam telah tamat. Mereka akhirnya bebas daripada dodoian tidur yang panjang berjela. Dodoian yang berpunca daripada ucapan yang diuar-uarkan pengerusi majlis yang kononnya hanyalah sepatah dua kata.

Kebanyakkan pelajar mula berdiri sebaik sahaja kelibat Encik Sulaiman menghilang daripada pandangan mata. Badan yang sudah lenguh bersandar diregangkan. Hanna juga turut berbuat demikian. Badannya dikilas ke kiri dan ke kanan.

“Baiklah! Perhatian!” Suara lantang yang muncul dari arah pembesar suara di sekeliling dewan itu mencuri tumpuan para pelajar yang sedang asyik meregangkan badan. Anak mata mereka cepat-cepat menoleh ke arah tuan empunya suara yang sedang berdiri gagah di atas pentas di hadapan dewan. Cikgu Razali sedang mencekak pinggang. Sebelah tangannya memegang rotan panjang yang memang cukup digeruni para pelajar kampus aliran kementerian.

Para pelajar yang sedang berdiri cepat-cepat duduk. Yang sedia kala duduk pula cepat-cepat membetulkan barisan kerusi yang sudah senget-benget. Yang sudah terlelap ketika Encik Sulaiman berucap tadi kembali terjaga dengan wajah terpinga-pinga. Yang baru kembali daripada alam mimpi, berusaha sedaya upaya membulatkan mata agar tidak kembali terlena.

“Baiklah! Sudah jam 9 pagi! Sesi P&P akan bermula sebentar lagi. Semua pelajar boleh kembali ke kelas, kecuali 5 Sains 3 dan 5 Tahfiz Sains! Bersihkan dewan sampai berkilat!”

Selesai sahaja Cikgu Razali memberi arahan, kedengaran beberapa suara kecil merungut malas. Namun tiada siapa yang berani bersuara membantah keputusan itu. Masing-masing akur dengan arahan guru disiplin itu. Para pelajar mula bangun. Masing-masing menolak kerusi ke dinding dewan. Meninggalkan tugas seterusnya kepada pelajar-pelajar yang telah diamanahkan.


Rizqy menarik-narik tali beg sekolahnya ke hadapan. Dia keliru. Tapi dia pasti dengan apa yang dikatakan pembantu pejabat itu tadi. Pelajar tingkatan lima ada di dewan. Ada taklimat. Tapi, apa yang dia lihat sekarang ini bukanlah taklimat atau perjumpaan ataupun yang bersekutu dengannya. Yang dia nampak hanyalah para pelajar yang sibuk menyusun kerusi berlapis-lapis. Pelajar-pelajar yang mengangkut kerusi ke belakang dewan. Para pelajar yang sedang menyapu sampah. Dan, beberapa orang pelajar perempuan yang sedang bersiap sedia dengan mop di tangan.

Rizqy menggaru-garu kepala. Benarkah apa yang disampaikan pembantu pejabat itu tadi? Atau memang dia tersilap dengar.

“Hei, pelajar lelaki yang di sana! Yang dengan beg itu!” Rizqy menoleh. Seorang lelaki awal 40-an sedang berdiri memandangnya. Dia dipanggilkah? Rizqy menuding wajahnya sendiri. Inginkan kepastian.

Lelaki itu mengangguk. Dia menggamit-gamit Rizqy. Rizqy menelan air liur melihat akan rotan panjang yang tergenggam kemas dalam tangan lelaki tersebut. Namun langkah tetap juga dibuka menghampiri lelaki itu.

“Apa yang kamu buat di sini? Datang lambat?” Cikgu Razali menyoal sebaik sahaja pelajar itu berdiri di hadapannya. Dia memerhati pakaian pelajar itu. Tiada lencana. Tiada tag nama. Tiada kad pelajar. Tiada lambang sekolah di kepala tali pinggang. Dan, tiada tali leher yang terikat kemas di lehernya.

“Pelajar baru?” Cikgu Razali menyoal lagi apabila soalannya yang pertama tidak dijawab. Rizqy mengangguk. Entah kenapa rasa gerun muncul di dalam dirinya yang gagah itu apabila berhadapan dengan guru lelaki ini.

“Masuk bila? Tingkatan berapa? Kelas apa?” Cikgu Razali menyoal tiga soalan sekaligus. Pakej jimat masa.

“Er, saya baru masuk pagi ni. Tingkatan lima, 5 Sains 3,” Rizqy membalas. Suaranya perlahan. Pandangannya hanya difokuskan ke tanah.

Cikgu Razali bermain dengan janggutnya seketika. Setelah itu dia berpaling ke dewan. “Aina, cari Arifin! Katakan, saya mahu jumpa.” Rizqy mula mengangkat muka. Dia lihat seorang pelajar perempuan bertocang sedang berjalan laju masuk ke dalam dewan. Mungkin dia adalah Aina. Getus hati Rizqy.

“Nama siapa? Dari mana?”

Rizqy kembali menoleh ke arah Cikgu Razali. Dia mengukir senyum tawar. Sedikit terkejut. “Nama saya Rizqy Razman bin Radzaly. Baru pindah dari Putrajaya,” Rizqy menjawab lembut.

“Radzaly?” Cikgu Razali tersenyum kecil. Menimbulkan rasa pelik kepada Rizqy.

“Nama saya pun Razali. Cikgu Razali,” Cikgu Razali memberitahu. Dia menunjukkan tag nama yang dipin di atas saku kemeja merunnya.

Seketika rasa gerun kepada guru bermisai dan berjanggut itu hilang sekelip mata. Rizqy membalas senyuman Cikgu Razali. Ternyata guru itu tidak segarang yang disangkanya. Rizqy mula senang untuk memulakan bicara dengan guru disiplin itu.

“Assalamualaikum. Cikgu panggil saya?” Seorang pelajar lelaki berkaca mata berbingkai penuh serta bersongkok hitam muncul dan menyapa mereka berdua. Bicara Rizqy dan Cikgu Razali terhenti. Kedua-dua mereka pantas menjawab salam. Rizqy lantas mengeja nama yang tertera pada tag nama pelajar itu. Arifin.

Cikgu Razali menoleh. Senyum manis di wajahnya kembali pudar. Namun Rizqy masih dapat merasakan senyuman itu yang kini tersorok di balik wajah tegasnya.

“Ya. Kamu tahu kelas kamu ada pelajar baru?” Cikgu Razali menyoal. Arifin menepuk dahi. Reaksinya jelas menunjukkan dia sudah terlupa akan hal itu.

“Ustaz Zaman dah beritahu saya dua hari sudah. Tapi, saya terlupa pula. Dia dah sampai ke?” Arifin menyoal. Dia mencari-cari. Dan cariannya itu terhenti sebaik sahaja matanya menangkap wajah Rizqy.

“Awak pelajar baru tu, kan? Nama saya Arifin.” Arifin menghulurkan tangannya. Rizqy menyambut.

“Rizqy,” ringkas Rizqy membalas.

“Rizqy, ini ketua kelas baru kamu. Dia akan bawa kamu ke kelas lepas ni. Tapi, sekarang ni, kamu kena bantu mereka kemas dewan ni dulu. Tiada pengecualian untuk pelajar baru,” Cikgu Razali bersuara. Rizqy mengangguk. Dia pantas mengikut langkah Arifin menuju ke dewan besar.


10.35 pagi. Loceng mula berbunyi nyaring. Waktu rehat pelajar menengah atas kampus kementerian sudah bermula. Waktu 30 minit yang digunakan untuk mengisi perut yang sudah mula menyanyi. Waktu yang digunakan untuk merehatkan fikiran yang telah penat diasak dengan pelbagai maklumat.

Hanna dan Eric melangkah ke luar kelas menuju ke tangga suram di hujung bangunan. Tangan kedua-duanya tidak duduk diam ketika menuruni tangga. Ada sahaja yang tidak kena dengan seragam pengawas mereka. Ada sahaja yang mahu dibetulkan. Ada sahaja yang hendak dikemaskan.

“Tumpang lalu,” Satu suara menegur dari arah belakang. Meminta diberikan laluan untuk turun. Hanna dan Eric menoleh. Pergerakan mereka terhenti. Kedua-duanya mempamerkan wajah terkejut. Namun reaksi itu tidak lama apabila digantikan dengan senyuman. Rizqy turut tersenyum. Buat pertama kali, mereka bertemu di sekolah swasta itu.

Mi goreng sudah licin satu pinggan. Milo ais pula hanya tinggal suku gelas. Rizqy menggosok-gosok perutnya yang sudah kenyang diasak makanan kafetaria sekolah baru. Jam di pergelangan tangan kirinya direnung. 10.50 pagi. 15 minit waktu rehat pelajar tingkatan lima sudah berlalu. Itu bermakna dia cuma ada baki 15 minit sahaja lagi untuk ke kedai buku sekolah yang tidak diketahui lokasinya.

Peringatan Cikgu Razali pagi tadi kembali berbisik di telinga Rizqy. Lencana, tanda nama, tali leher. Dia harus mendapatkan barang-barang itu sebelum besok. Rizqy menoleh ke arah Eric di sebelahnya yang masih gigih menghabiskan nasi tomato yang masih berbaki kira-kira dua suapan.

Hanna sudah menghilang selepas mendapatkan ban sardin serta air kotak buah, menjalankan tugasnya sebagai seorang pengawas sekolah. Mungkin dia boleh mengajak Eric menemaninya selepas Eric selesai menghabiskan makan paginya sebentar lagi, bisik hati kecil Rizqy.

“Rizqy!” Rizqy menoleh. Arifin sedang berdiri di belakangnya. Beg plastik lut cahaya berwarna merah yang terjinjing di tangan kanannya dihulurkan kepada Rizqy. Rizqy lekas-lekas menyambut. Eric juga turut tertarik dengan beg plastik itu. Dia cepat-cepat menyempurnakan suapan terakhir nasi tomatonya.

Ikatan ringkas beg plastik itu dileraikan. Rizqy menarik keluar barang-barang yang berada di dalamnya – Sehelai tali leher rasmi kampus kementerian, kepala tali pinggang sekolah, lencana serta tanda nama pin yang tercetak namanya. Rizqy tersenyum namun tidak lama. Dia menoleh semula ke arah Arifin yang masih setia berdiri di belakangnya.

Arifin menggeleng melihat akan pandangan balas Rizqy itu. Dia faham apa yang cuba Rizqy sampaikan dengan pandangan sebegitu. “Bukan aku yang beli. aku tolong beri saja,” jelas Arifin. Arifin menuding ke dinding lutsinar. Tudingan yang terus terarah ke tangga blok akademik. Eric dan Rizqy menoleh ke arah yang dituding Arifin. Kedua-dua mereka tersenyum.

Hanna turut mengukir senyuman balas sebelum berlalu pergi.


“Hanna! Kamu ada di bilikkah? Hanna!” suara lantang itu kedengaran lagi memanggil namanya. Nadanya semakin kuat, Jaraknya semakin dekat. Hanna pasti Datuk Tevard kini sudah berada di aras tiga. Satu aras dengannya. mungkin sebentar lagi akan tiba di biliknya.

Hanna mengeluh. Dia menoleh ke arah pintu biliknya. Kali ini dia tidak lagi dapat membiarkan sahaja panggilan papanya itu. Pen mata jarum di tangan kirinya dilepaskan. Hanna menutup buku kerja Biologinya. Semangatnya untuk meneruskan kerjanya mati di situ.

Pintu bilik Hanna diketuk dari luar. “Hanna, kamu di dalamkah? Papa nak masuk ni,” Datuk Tevard bersuara meminta keizinan.

“Masuklah, Hanna tak kunci pun pintu tu,” Hanna membalas. Selesai dia habis bersuara, kelihatan tombol pintu biliknya bergerak-gerak. Dipulas dari luar. Setelah terdengar bunyi ketik, pintu kayu yang berukir itu pantas ditolak ke dalam.

Datuk Tevard yang masih berseragam biru gelap sedang berdiri di hadapan biliknya. Dia melangkah masuk ke dalam bilik yang bertemakan dunia shonen manganime itu. Tema yang agak tidak bersesuaian dengan anak gadis yang bakal menginjak ke usia 17 tahun. Hanna bangun dari kerusinya. Dia melangkah ke arah katilnya lantas meloncat ke atas tilam berspring yang sungguh empuk. Dia menarik patung lembut Chibi Naruto yang dari tadi bersendirian di atas katil. Hanna memeluk patung comel itu erat-erat. Kalaulah patung itu bernyawa, sudah tentu ia akan dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas.

Hanna merenung ke arah papanya yang masih berdiri. “Duduklah.” Hanna menepuk-nepuk tilam empuk itu. Datuk Tevard duduk. Dia memandang wajah Hanna agak lama. Dia menarik nafas dalam sebelum menghelanya keluar.

“Kamu ada buat apa-apa yang papa larangkah?” akhirnya Datuk Tevard bersuara. Menamatkan suasana sunyi yang sempat menyelubungi bilik tidur tersebut. Menjawab persoalan yang bermain-main di fikiran Hanna.

Hanna pasti dia tidak melakukan apa-apa kesalahan sepanjang minggu itu. Dia cuma ke sekolah seperti selalu, menghadiri kelas-kelas tambahan SPM. Pergi ke kelas-kelas luar yang didaftarkan tanpa rela oleh papanya. Kelas piano, tekwando, karate, kelas ICT. Menghabiskan waktu malam dengan Play Station 3 dan XBOX 360. Jika dia keluar pun, hanyalah bersama-sama Eric. Itupun sekadar pergi makan dan cuci mata di pusat beli-belah i-CoST Tetra Mall.

Hanna menggeleng. Dia pasti dirinya tidak melakukan hal yang salah. Perkara yang melanggar peraturan papanya. “Kenapa?” Hanna menyoal ingin tahu. Wajah Tevard direnung tepat. Tevard menarik nafas dalam. Perasaannya ketika itu bercampur. Lega kerana Hanna tidak terlibat. Kecewa kerana jalan keluar masih gagal ditemui.

“Akhir-akhir ni ada satu kumpulan yang dianggotai remaja belasan tahun menganggu tugas-tugas pasukan keselamatan. Ahlinya masing-masing miliki abiliti untuk mengawal elemen tujuh naga. Syukurlah kamu tak terlibat sama,” Datuk Tevard bersuara perlahan. Poket sisi seluar uniform biru gelapnya diseluk. Sekeping kertas berlipat dikeluarkan daripada poket sisi tersebut. Kertas berlipat itu disuakan kepada Hanna.

“Mereka tinggalkan kertas dengan lambang yang sama di setiap lokasi kejadian.”

Hanna menyambut. Dia membuka lipatan kertas putih itu dengan berhati-hati. Satu salinan cetakan lukisan kasar terpapar di atas kertas putih itu. Hanna meneliti kertas itu agak lama. Setelah itu dia merenung ke arah papanya.

“Pahlawan Naga?” Hanna bersuara takjub.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.