Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Enam Belas – Hari Penentuan

Lewat malam itu, Hanna rebah tidak sedarkan diri. Entah berapa lama dia tertiarap di lantai batu ruangan gimnasium khas itu, dia tidak tahu. Apa yang dia tahu, Abang Nick yang telah datang memapahnya naik ke bilik tidurnya. Dalam keadaan separuh sedar itu, dia dapat menangkap suara Adam Nicholas. Sungguhpun Hanna tidak pasti apa yang sedang abangnya itu katakan, Hanna tahu yang abangnya itu sedang risau dengan keadaan dirinya.

Hanna hanya sedar ketika Adam Nicholas selesai memeriksa suhu badannya keesokan paginya. Ketika itu hari masih gelap. Mungkin masih awal. Hanna pantas berpaling ke meja katil. Tangannya pantas meraba dalam gelap. Mencapai jam loceng Naruto yang diletak menghadap ke pintu bilik air. Waktu pada pemuka jam itu dibaca pantas. Sepantas tindakan mengejut Hanna yang terus bangkit menuju ke bilik air sejurusnya. Dia masih belum mengerjakan Solat Isyak malam itu.

Usai memberi salam yang kedua, Hanna pantas menadah tangan. Lama dia duduk membaca doa. Doa yang lebih panjang daripada biasa. Doa yang kelihatannya dilafazkan dia dengan bersungguh-sungguh. Selesai berdoa. Sebaik sahaja tangannya menyentuh wajah kuning langsatnya, Azan Subuh mula kedengaran. Suara merdu muazzin tua mula memecahkan kesunyian pagi. Membangkitkan mereka yang sedang lena dibuai mimpi.

“Hanna,” suara Adam Nicholas kedengaran memanggil nama Hanna. Hanna berpaling ke belakang. Ke muka pintu biliknya yang memang dibiarkan terbuka separuh. Abangnya itu sudah berganti baju. Tubuhnya kini sedang tersarung sehelai jubah warna perang muda dengan padanan kopiah putih di kepala.

“Nak ikut abang dan papa solat di masjid?” Adam Nicholas menyoal lembut. Hanna tidak bertangguh menjawab pertanyaan itu. Dia pantas mengangguk dan bangkit dari duduknya. Sudah tentu dia tidak mahu ketinggalan mengerjakan solat berjemaah di masjid. Ganjaran pahala harus direbut sehabis baik. Jangan sesekali dia mempersia-siakan peluang itu.


Hanna yang sedang melipat kemas telekung putihnya di sudut belakang ruangan solat jemaah wanita dikejutkan dengan bunyi ketukan pada pintu gelongsor kaca di belakangnya. Dia tanpa berleka terus berpaling. Segera, senyuman tawar bercampur lega terukir di wajahnya. Adam Nicholas yang berjanggut sejemput sedang menggamit Hanna. Memanggil adiknya itu untuk bertemunya di koridor luar.

“Ada apa?” Hanna menyoal pantas sebaik sahaja langkahnya tiba betul-betul di belakang Adam Nicholas. Abangnya itu tidak segera menjawab. Pandangannya terus ditumpukan ke arah kawasan tempat letak kenderaan di hadapannya. Sinar Matahari pagi yang baru hendak naik sedang menerangi kawasan lapang itu.

“Adik buat apa semalam?” Adam Nicholas menyoal serius. Dia menoleh. Merenung wajah Hanna dengan pandangan lain macam. Pandangan serius berona risau. Hanna yang masih belum dapat menangkap topik perbualan yang sedang dimulakan abangnya itu cuma mengangkat sebelah keningnya. Dia tidak mengerti.

“Adik tahu tak yang suhu badan adik malam semalam lebih 50 darjah selsius? Kalau orang biasa, pasti sudah lama adik kena tahan di wad! Demam panas boleh efek otak, tahu? Abang tak mahu adik buat hal merepek macam tu lagi!” Adam Nicholas menambah. Kali ini nada suaranya lebih tinggi. Telunjuk kanannya juga sudah menuding pelipis kanannya. Jelas, abangnya itu tidak gemar dengan penyebab yang telah menaikkan suhu badan Hanna secara mendadak tadi malam.

Hanna terus diam. Dia sudah faham apa yang mahu dibicarakan Adam Nicholas pagi itu. Pasti abangnya itu sedang mengungkit peristiwa tadi malam. Peristiwa di mana Hanna rebah tidak sedarkan diri akibat teknik rahsia yang memakan dirinya sendiri.

Siapa sangka api merah yang pada mulanya membalut elok tubuh sasanya bakal membesar di luar kawalan. Siapa sangka yang api merah itu akan menyerang kembali pengaktifnya. Siapa sangka dan siapa mahu diri mereka rebah akibat kecuaian sendiri. Hanna tidak. Hal itu berlaku di luar jangkaan. Hal itu bukan disengajakan.

“Adik...” kali ini suara Adam Nicholas kembali lembut. Wajah Hanna di hadapannya direnung lama. Sungguh, semasa dia menemui Hanna terlantar tidar sedarkan diri malam semalam di ruangan gimnasium khas adiknya itu, fikiran Adam Nicholas mula jadi tidak keruan. Niat asalnya untuk memberi kejutan kepada adiknya itu dengan kepulangannya menjadi sebaliknya. Dirinya pula yang terkejut melihat keadaan Hanna ketika itu.

Kulit adiknya itu merah menyala. Tangan serta kakinya juga. Tubuh adiknya itu panas. Hangat pijau! Wap-wap panas tidak henti-henti keluar dari jasad yang sedang terkulai tidak sedarkan diri itu. Lantai batu serta dinding kalis api di sekeliling ruangan khas itu habis hitam berjelaga. Cermin kaca di sudut hadapan, di beberapa bahagian sudah mula melebur. Mencair pantas. Nafas adiknya ketika itu laju turun naik. Dadanya berombak kencang. Yang paling Adam tidak boleh tahan, bibir merah jambu Hanna itu masih saja boleh mengukir senyum puas. Bertuah punya budak!

Hampir satu jam Adam menanti wap-wap nipis di tubuh Hanna menghilang sepenuhnya. Dia tidak berani mengejutkan Hanna dalam keadaan itu. Keadaan yang dapat memudaratkan apa-apa sahaja yang menyentuhnya. Sedangkan lantai batu di bahagian bawah tubuh Hanna juga sudah berbara kecil, inikan pula kulit manusia biasa.

Setelah wap panas itu hilang sepenuhnya, barulah Adam Nicholas memberanikan diri mengejutkan Hanna. Itu pun, jari-jari tangannya habis melecur akibat menyentuh kulit bara adiknya itu. Ah, ketika itu hal lain tidak menjadi hal lagi! Biarlah dia sakit sedikit, dia tidak mahu melihat Hanna terlantar di lantai batu itu lebih lama. Dia tidak sanggup. Adiknya itu harus dibantu.

Segera, Adam Nicholas mencapai jaket sukan milik Hanna. Tubuh adiknya itu pantas disarungkan jaket berwarna putih itu sebelum dia bertindak memapah Hanna keluar. Hud kepala dinaikkan. Rambut serta telinga adiknya itu segera dilindungi. Aurat adiknya itu harus dijaga. Manalah tahu jika ada pengawal yang sedang meronda di halaman belakang. Tidak fasal-fasal sahaja aurat adiknya itu terdedah kepada orang luar.

Sebaik sahaja tubuh Hanna dibaringkan ke katil, Adam Nicholas pantas memainkan peranan. Kepala adiknya itu dituam dengan air bersih. Sekejap sahaja air dalam besen kecil itu berubah suhunya. Dari suhu badan, air jernih itu bertukar menjadi panas. Suhu tubuh adiknya ketika itu begitu tinggi. Ya, suhu badan adiknya itu mencecah 53 darjah selsius ketika kali pertama Adam melakukan pemeriksaan suhu. Itu pun setelah puas dia mengelap kepala serta tangan Hanna dengan air biasa hampir setengah jam lamanya.

Jika bukan kerana Datuk Tevard melarang dia membawa Hanna ke hospital sebelumnya, sudah tentu dia akan bergegas menghubungi pasukan paramedik. Sudah tentu Hanna akan ditahan di wad pada malam itu juga. Sudah tentu adiknya itu tidak akan berada di hadapannya ketika ini. Sudah tentu hal itu yang berlaku. Sudah tentu.

“Abang?”

Sapaan Hanna pantas mematikan lamunan Adam Nicholas. Matanya kembali tertumpu pada wajah Hanna. Adiknya itu pagi ini sudah kembali normal. Kulitnya sudah tidak lagi merah. Kulitnya sudah kembali ke warna asalnya. Suhu badannya juga sudah menurun ke 36 darjah selsius jam lima pagi tadi. Suhu yang normal. Suhu biasa. Adam tersenyum kecil. Adiknya itu memang lain daripada yang lain.


“Papa tak tanya apa-apa ke?” Hanna yang sedang mengacau milo panasnya menyoal. Dia merenung tepat ke arah Adam Nicholas yang sedang mengunyah roti canai telurnya. Adam Nicholas yang tidak mengerti dengan soalan adiknya itu pantas menjungkitkan bahu dan memberi isyarat kepala. Mulutnya sedang pantas menghabiskan kunyahan terakhir sarapannya pagi itu.

“Papa tak tanya abang kenapa Hanna boleh pengsan?” Hanna memperjelaskan soalannya. Dia mula menghirup milonya. Namun, tidak sampai seteguk, dia kembali meletakkan mug tembikar itu. Lidahnya tidak tahan. Minuman coklat itu masih panas.

Kali ini Adam Nicholas membalas soalan Hanna dengan gelengan pantas. “Abang rasa papa dah tahu,” Adam Nicholas bersuara separa berbisik. Dia merenung ke arah Datuk Tevard yang sedang seronok berbual dengan rakan kariahnya selang dua meja daripada mereka. Mendengar jawapan abangnya itu Hanna pantas membeliakkan matanya.

“Apa maksud abang, papa sudah tahu? Dia sudah tahu tentang pertembungan petang inikah?” Hanna menyoal desak. Sama seperti apa yang selalu Datuk Tevard lakukan terhadap mereka dua beradik jika ada hal yang menimbulkan kecurigaan papa mereka itu. Ketika itu hati Hanna mula diserang rasa tidak enak. Habislah, jika papa sudah tahu fasal hal itu. Naya sahaja dia dileteri dan dijatuhkan hukuman oleh papanya nanti.

Hanna menoleh ke arah Datuk Tevard. Papanya itu sedang mengetawakan entah hal apa. Ceria sungguh wajahnya. Hanna berharap sungguh-sungguh mod ceria papanya itu akan kekal selama-lamanya. Sekurang-kurangnya sehingga pertembungan nanti petang selesai. Janganlah rancangannya petang itu rosak pula disebabkan papanya itu.

“Itu abang tidak tahu, tapi semalam, papa ada kata sesuatu,” ujar Adam Nicholas.

“Papa kata apa?”

Soalan Hanna tidak pantas dibalas. Adam Nicholas mendongak, merenung siling medan selera Masjid I-CoST Perdana itu. Berfikir. Apa patut dia maklumkan kepada Hanna apa yang dibicarakan Datuk Tevard tadi malam. Bagaimana jika Hanna masih belum sedia. Lagi pula, hal itu masih belum dipastikan. Hal itu cuma agakan papa sahaja. Mana mungkin dia mahu bebankan Hanna dengan memberitahu adiknya itu fasal hal yang belum pasti lagi.

Lama Adam Nicholas berfikir. Sangat lama sehingga Hanna yang duduk bertentangan dengannya sudah mula menarik muka. Mencebik bibir. Merajuk kerana pertanyaannya tadi masih belum dijawab. Namun, sedetik kemudian Adam Nicholas kembali bersuara.

“Papa kata adik sudah dewasa. Dan, adik harus lebih besedia dengan tanggungjawab baru. Papa kata, adik memang harus berlatih lebih kuat. Berlatih lebih tekun bagi memantapkan segala keistimewaan yang ada pada diri adik,” Adam Nicholas melanjutkan ceritanya. Cerita yang telah dipotong begitu banyak. Cerita yang telah diringkaskan seringkas-ringkasnya.

Sekali lagi pada pagi itu, Hanna terkesan dengan jawapan yang diberikan oleh Adam Nicholas. Jika benar itulah apa yang diperkatakan Datuk Tevard, apa mungkin papanya itu sudah tahu dengan rancangannya. Rancangan yang bakal ditentukan oleh satu pertembungan nanti petang. Apa papanya memang sudah tahu dari awal. Tapi...

Kenapa papa tidak cakap apa-apa? Kenapa papa tidak pernah bertanya kepada Hanna akan hal itu? Mustahil papanya itu sudah tidak kisah dengan kumpulan remaja yang telah berjaya merunsingkan Ketua Polis Bandar Hijau I-CoST itu beberapa minggu yang lalu. Mustahil papanya itu dapat menerima kumpulan yang dianggap telah mengganggu tugas-tugas pasukannya semudah itu. Hanna cukup kenal dengan Datuk Tevard. Cukup kenal dengan prinsip papanya itu. Papanya itu bukan begitu. Hanna tahu itu.

Apa mungkin papanya itu maksudkan hal yang lain dengan berkata begitu? Apa mungkin? Tapi, hal apa? Hal apa yang dapat dikaitkan dengan keistimewaan elemen naganya? Hanna tidak tahu. Dia tidak pasti. Ah, sudahlah! Dia malas berfikir panjang.

Jika benar papanya itu tidak kisah Hanna menajamkan kemahiran elemen naganya, Hanna yakin papanya itu akan mengerti tindakannya bagi menyahut cadangan Rizqy. Hati Hanna juga akan berasa lebih lega. Hati Hanna tidak lagi akan merasa terseksa. Terbeban dek rasa bersalahnya kerana telah bertindak sebelah pihak membatalkan perjanjian empat tahun lalu. Kerana Hanna tahu pagi itu, papa telah merestui tindakannya bagi menguasai elemen naga.

Petang itu, Hanna akan membuktikan kemahirannya. Kemahiran sebagai seorang pemilik sel naga. Hanna akan buktikannya. Hanna janji!


Hanna menampar dahi apabila mendengar kata-kata Eric Iskandar lewat tengah hari itu. Dia sudah menghabiskan waktu paginya membersihkan ruangan gimnasium peribadinya agar kembali cantik berkilat. Bebas daripada jelaga dan debu. Dia sudah penat mempersiapkan kawasan khas itu agar sesuai menjadi tempat pertembungannya dengan Amar Nazrey nanti petang.

Tup-tup, ketika dia sedang makan tengah hari, Eric Iskandar menelefonnya dan memberitahu bahawa Faris telah mempersiapkan gelanggang pertembungan sendiri. Cis, tak boleh beritahu lebih awalkah?!

“Di mana?” Hanna yang sedang mencuci bersih piring makannya menyoal dengan nada separuh berbisik. Dia tidak mahu isi pebualannya didengari oleh Datuk Tevard yang masih tekun menghabiskan pusingan keduanya makan tengah hari itu.

“Di besmen bangunan utama Golden Iflah Properties. Lagi setengah jam saya dan Rizq datang ambil awak,” balas Eric. Dia juga turut terikut sama dengan tindakan Hanna. Bersuara separuh berbisik.

Hanna cuma membalas ringkas. Memberi kata setuju. Setelah itu dia pantas mematikan telefon bimbitnya sebelum naik ke bilik tidurnya. Dia harus mempersiapkan barang-barang yang perlu dibawa bersama.

Hanna pantas menuju ke almari. Pintu gelongsor kayu itu didorong ke kiri. Setelah itu dia pantas mencari pakaian yang mahu dipakainya petang itu. Setelah agak lama merenung ke arah berpuluh-puluh helai pakaian yang tergantung di palang besi di hadapannya, Hanna memutuskan untuk menyarungkan sehelai kemeja lengan panjang berserta jaket denim tanpa lengan yang dipadankan dengan slek hitam potongan lurus kegemarannya.

Sehelai baju-T lengan panjang yang Hanna beli semasa jualan gudang di I-CoST Arena tidak lama dahulu Hanna turut bawa keluar. Dia melipat kemeja-T warna biru muda itu bersama-sama dengan sehelai seluar trek sekolah yang sudah banyak kali dijahit dan ditampal sini-sana. Seluar trek itu sudah berkurun lama terperap dalam almarinya itu. Sesuai benar jika seluar itu disarungkan di bahagian atas sut kalis apinya semasa pertembungan nanti petang. Tidaklah Hanna akan menyesal sangat jika pakaiannya itu rosak disambar api.

Sebaik sahaja beg galasnya penuh disumbat pakaian ganti serta telekung putih, Hanna pantas menarik rapat zip begnya itu. Setelah itu, dengan topi besbol dikenakan terbalik di atas selendang bidang 60 miliknya, Hanna pantas berlari menuruni tangga menuju ke pintu utama. Kasut sukan yang ditempa khas untuknya pantas disarung ke kaki.

Dengan kaki kiri mendahului langkah keluar dari rumah, Hanna pantas berjalan melintasi pintu hadapan. Doa keluar rumah dituturnya laju. Hanna melakukan senaman ringkas sebelum berlari mendapatkan Eric dan Rizqy sedang menanti di halaman luar dengan sebuah Honda Jazz warna hitam metalik. Kenderaan yang akan membawanya menuju ke tempat pertembungan.

Perjalanan yang menentukan hala tuju Dragon Warrior Junior akan bermula!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.