Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Empat – Rakan Baru

Laju sahaja Hanna berjalan keluar dari gimnasium mini itu. Segera anak tangga didaki menuju ke biliknya. Langkahnya dibuka pantas ke bilik mandi. Setelah selesai membersihkan diri, tubuhnya cepat-cepat Hanna keringkan dengan tuala. Kemeja hitam serta seluar slek putih lekas disarungkan. Dia bingkas mencapai beg sandang yang tersangkut di kerusi meja belajar sebelum berlari keluar menuruni tangga ke aras bumi.

Hanna lekas membuka langkah menuju ke ruang makan. Cawan kopi yang disusun kemas di sudut kanan meja segera dicapai. Minuman koko panas yang kini telah beransur suam dituangkan ke dalam cawan tembikar itu. Dia menghabiskan seluruh isi cawan itu dengan sekali teguk sebelum berlari ke almari kasut bersebelahan pintu masuk utama. Kasut sukan berwarna hitam dengan calit merah yang terletak di rak paling atas segera dicapai lalu disarungkan ke kakinya.

Datuk Tevard yang sedang memeriksa jadual tugasnya pantas menghampiri Hanna. Kelakuan anak gadisnya itu pantas ditegur lembut, “Jangan kelam kabut. Macam pelesit saja papa tengok kamu. Eric tu takkan lari ke manalah.” Hanna berpaling. Dia tersenyum kecil. Tangan Datuk Tevard segera ditarik lalu dicium hormat.

“Eric takkan lari, tapi masa takkan pernah kembali!” Hanna bersuara lantang. Dia mengangkat sebelah tangannya separas telinga lalu mula melambai. Laju langkahnya dibuka melintasi pintu pagar kecil bersebelahan pondok pengawal. Eric sudah lama menunggunya dalam Perodua Kelisa di hadapan pagar utama banglo tiga tingkat tersebut.

“Lagi sekali saya minta maaf. Saya betul-betul tak perasan dah pukul 9.30. Rasa macam baru 20 minit saja. Rupa-rupanya dah lebih satu jam!” Hanna berceloteh panjang. Dia menoleh ke arah Eric di sebelahnya. Eric cuma mengangguk. Dia tidak mahu fokusnya pada jalan di hadapan terganggu. Tidak fasal-fasal nanti mereka berdua kemalangan pula. Kemalangan ngeri.

Dua orang remaja calon SPM cedera parah. Atau lebih teruk lagi, kemalangan maut? Apa yang akan terjadi jika hal itu berlaku. Habislah. Fikiran Eric mula membayangkan hal yang tidak diingini.

“Eric! Lori!” Eric tersentak. Dia mula menekan pedal brek. Kereta yang dipandunya itu mula bergerak perlahan.

“Mana lori?” Eric menyoal. Dia menoleh ke arah Hanna yang sedang menggeleng-gelengkan kepala. Hanna menekup mulut. Menahan tawa dari terburai keluar.

“Awak temberang, ya?” Eric bersuara lagi. Dia sedar yang dia sudah dikenakan lagi.

“Yalah! Mana ada lori. Saya tengok awak macam tengah mengelamun saja. Bagaimana jika kita accident?” Hanna menyoal. Eric berdengus. Dia mengunci mulut. Tidak menjawab walau sepatah pun. Hanna memang suka mencari alasan. Sepatah orang cakap, berpuluh-puluh patah perkataan akan dia balas. Lebih bagus jika fokus Eric dikembalikan semula ke arah jalan raya daripada berlawan cakap dengan Hanna.


“Sejak bila awak ada lesen kereta?”

Eric mengangkat muka. Dia berhenti menyumbat mulutnya itu dengan mi goreng. Penyepit kayu di tangannya diletakkan di dalam mangkuk. Eric cepat-cepat menelan mi yang masih belum sempurna dikunyah. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bercerita. Namun, ketidaksabarannya itu membawa padah. Eric terbatuk. Dia tersedak. Hanna segera menuang air suam ke dalam gelas kosong. Gelas itu cepat-cepat disuakan ke mulut Eric.

“Jangan gelojoh, boleh? Jadilah individu yang bertatasusila sikit,” Hanna mengomel. Dia menyuakan tisu muka kepada Eric. Eric mengelap mulutnya. Perkataan ‘ya’ muncul dua kali dari bibir merahnya.

“Jadi, bila awak dapat lesen? Atau awak memandu tanpa lesen? Oh, tidak! Habislah kalau papa tahu. Pasti teruk awak kena marah dengan dia!” Hanna membina pelbagai kemungkinan. Suara lantangnya mencuri tumpuan pengunjung-pengunjung lain yang berada di dalam restoran itu.

Eric cepat-cepat meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Membina arahan ringkas bagi menyuruh Hanna memperlahankan suaranya. “Kenapa perlu jerit-jerit?”

“Mana ada saya jerit. Itu memang nada suara saya yang normal. Dan sekarang kenapa kita perlu main bisik-bisik pula?” Hanna menyoal. Eric menampar dahi. Kenapalah dengan rakan baiknya hari ini. Asyik bertanya itu ini. Seolah-olah orang bisu yang baru dapat besuara.

“Awak cakap kuat sangat saya tidak ada lesen. Habis satu restoran pandang kita. Malulah saya. Saya bukannya begitu,” Eric bersuara perlahan. Dia membetulkan duduknya.

“Jadi, awak dah ada lesen? Bila dapat?” Hanna menyoal ingin tahu.

“Semalam,” Eric bersuara. Suaranya jelas memancarkan emosi gembira bercampur bangganya. Perasaan malu dan segan telah dilupakan. Dia tersengih bagai kerang busuk.

“Oh! Itu pasallah awak ponteng kelas tambahan semalam? Ambil lesen tak beritahu saya.” Eric tersengih makin lebar. Dia menampakkan barisan kemas gigi putih kapurnya.

“Saja nak bagi awak kejutan. Bagaimana? Baru sekali ujian saya sudah lulus. Hebat, bukan?” Eric menyoal. Hanna mencebik bibir. Rasa sesal kerana bertanya mula timbul dalam dirinya. Tidak pasal-pasal pula dia harus melayan lagak Eric.

“Eleh, kalau saya lahir dulu, pasti saya dapat lesen lebih cepat. Awak jangan nak show-off sangatlah. Baru bawa kereta Kelisa macam kura-kura sudah mahu tunjuk lagak,” Hanna membalas. Dia kembali menyambung makan yang tadinya tertangguh.

Eric masih terus tersenyum. Kereta Kelisa atau bawa macam kura-kura tidak menjadi hal pada dirinya. Yang penting dia sudah ada lesen. Dia sudah menjadi seorang pengguna jalan raya yang sah. Dia tidak kisah mengenai angka lahir. Memang sudah tertulis yang dia lebih tua daripada Hanna. Tiada apa yang perlu dipertikaikan lagi mengenai hal itu.

“Awak ingat tak fasal lori Jumaat lepas?” Eric menyoal tiba-tiba. Hanna tidak ambil peduli. Dia terus melayan char kuey teownya. Dia malas melayan Eric yang kini sudah terlupa akan mi gorengnya yang masih berbaki suku piring. Ada apa sangatlah cerita lori yang mahu dibawa Eric jika dibandingkan dengan char kuey teow kegemarannya.

“Lori tu angkut perabot ke rumah Pak Cik Anan. Awak ingat lagi, tak? Pak Cik Anan yang pindah ke Georgetown waktu kita di tingkatan tiga. Dia selalu beri kita buah tangan dari luar negara dulu,” Eric terus bercerita. Dia langsung tidak sedar bahawa Hanna langsung tidak mendengar apa yang diperkatakan olehnya. Hingga Eric habis cerita, Hanna masih lagi tidak memberikan tumpuan. Dia hanya dengar tidak dengar sahaja cerita Eric yang berjela-jela panjangnya itu.

“Mungkin dia akan ke sekolah yang sama dengan kita,” Eric bersuara girang sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta.

“Siapa?” Hanna menyoal. Dia terpinga-pinga.

“Budak lelaki itulah.”

“Budak lelaki yang mana pula?” Hanna menyoal lagi.

“Jiran baru saya. Yang baru pindah masuk semalam. Yang saya baru ceritakan. Yang datang dari Putrajaya. Awak tidak dengarkah?” giliran Eric pula menyoal. Hanna tercengang-cengang mendengar kata-kata Eric. Dia tidak faham apa yang sedang diperkatakan oleh rakannya itu. Bila pula Eric ada bercerita mengenai hal itu? Mungkinkah ketika Hanna sedang tekun memekakkan telinganya? Yang Hanna ingat hanyalah kisah itu bermula dengan lori. Yang selebihnya dia langsung tidak ingat.

Hanna memaksa fikirannya mengimbas memori dua hari sebelumnya. Mencari-cari lori yang dimaksudkan Eric. Ada dua buah lori yang melintas jalan utama bandar I-CoST dua hari lepas. Namun, hanya satu sahaja lori yang dilihatnya bersama Eric. Lori putih yang besar. Lori yang terpapar karikatur gergasi rumah dan perabot. Lori yang memang jarang masuk ke dalam kawasan bandar hijau mereka ini. Lori pindah rumah!

“Awak tak dengar apa yang saya ceritakan tadi, ya?” Eric menyoal geram. Wajah keanak-anakkannya mula cemberut. Penat-penat dia bercerita, mengeringkan air liur, rupa-rupanya Hanna langsung tidak memberikan tumpuan.

“Maaflah. Saya ingat awak nak cerita pasal apa tadi. Yalah, awakkan suka cerita hal yang...” ayat yang keluar dari mulut Hanna terhenti. Hanna mengetap-ngetap bibirnya. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu Eric. Eric berdengus kuat. Marah sungguh dia. Pintu keretanya juga ditutup kasar. Dia memulas kunci, menghidupkan enjin.

“Awak marah ke? Er, maaflah. Lain kali saya tak buat lagi,” Hanna bersuara teragak-agak. Dia merenung ke arah Eric yang masih kekal dengan muka masamnya. Rakannya itu berpaling sesaat ke arahnya. Memperlihatkan wajahnya yang semakin berkerut.


Perodua Kelisa itu pantas meluncur melepasi gerbang masuk ke rumah kediaman Eric. Lekas-lekas remaja lelaki itu mematikan enjin dan mencabut tali keledar. Dia melangkah turun daripada Perodua Kelisa berwarna kelabu itu. Pintu ditutup agak kuat. Hanna ikut turun mengejar Eric yang kini sedang menanggalkan sepatu.

“Eric, dah balik? Hanna pun ada?” Puan Elina menyoal. Dia menghulurkan tangannya kepada Hanna. Hanna menyambut huluran Puan Elina. Tangan lembut itu dicium tanda hormat. Eric hanya memerhati tanpa suara. Dia segera masuk ke dalam rumah. Puan Elina menoleh ke arah pintu. Kelibat Eric sudah tiada di situ. Pandangannya dialihkan pula ke arah Hanna yang turut memerhatikan arah yang sama.

“Kamu bergaduh, ya?” Puan Elina mengagak. Hanna mengangguk. Wajahnya mencorakkan reaksi tidak senang. Puan Elina mengukir senyum tawar. Jarang betul dia lihat Eric dan Hanna bermasam muka sesama sendiri.


Hanna terus merenung ke arah tangga. Dia langsung tidak menghiraukan gelas lutsinar berisi jus oren di hadapannya. Jam yang terkancing kemas di tangan kanannya asyik dikerling. Sudah 45 minit dia menunggu. Namun bayang Eric masih juga belum muncul.

“Kenapa awak masih kat sini?” Hanna menoleh semula ke arah tangga. Ke arah individu yang melantunkan ayat itu. Eric sudah berganti baju. Dia melangkah menuruni tangga.

“Kenapa tak tunggu di meja sahaja? Mama dah siapkan makan tengah hari, bukan?” Eric menyoal lagi. Dia menunjuk ke arah meja makan bersebelahan tangga. Hanna menoleh ke meja makan. Memang benar. Makanan sudah terhidang di atas meja. Siap ditudung bagi mengelakkan lalat penyebar penyakit. Tapi bukan itu yang dia mahu tahu. Hanna kembali menoleh ke arah Eric yang sudah pun memijak lantai ruang tamu itu.

“Awak dah tak marah ke?”

Eric mengangkat kening. “Bila saya marahkan awak? Tak ada faedah pun nak marah dengan awak. Nanti, awak juga yang menang.”

Giliran Hanna pula mengangkat sebelah kening dan mengerutkan dahi. “Habis, yang tadi tu...” Hanna teragak-agak. Dia menoleh ke arah pintu utama yang masih terbuka luas.

“Muka awak masam saja waktu tinggalkan saya dalam kereta. Bukan sebab awak marah, ke?” Hanna menyoal. Dia berpaling ke arah Eric. Rakannya itu sedang menahan tawa.

“Saya sakit perutlah. Mana boleh tahan-tahan lagi. Kenalah cepat cari tandas,” Eric memberi penjelasan sambil disulam ketawa yang semakin rancak. “Kalau tak cepat, awak tahu-tahu sajalah....”

Mulut Hanna sedikit ternganga. Sakit perut? Nampaknya dia sudah terkena dengan Eric kali ini. Mati-mati dirinya menyangka Eric sedang memarahinya. Rupa-rupanya...

“Sudahlah, mari kita makan. Lepas ini saya nak kenalkan awak dengan Rizq pula,” Eric mengajak. Rizq mana pula? Hanna menyoal dirinya. Mungkinkah jiran baru yang Eric katakan tadi. Hanna tidak mahu bertanya. Biarlah hal itu menjadi persoalan sementara. Sebentar lagi dia tahulah jawapannya. Dia tidak mahu menimbulkan rasa kecewa Eric sekali lagi akibat sikap ingin tahu dirinya.


Rambutnya kemas digayakan dengan stail pacak. Anak matanya sedikit keperangan dengan alis nipis yang cantik tersusun. Hidungnya mancung sesuai dengan wajah sedikit berseginya. Dia tersenyum memperlihatkan barisan gigi putih yang tersusun cantik serta dua lesung pipi yang manis. Sungguhpun hanya mengenakan kemeja-T bercorak abstrak yang ringkas serta berseluar jeans, remaja itu nampak begitu bergaya.

Tanpa disedari, Hanna mengukir senyum kagum. Rasanya, itulah lelaki paling kacak yang pernah dijumpanya setelah sekian lama bergelar remaja.

“Hanna, kenalkan. Ini Rizq, Rizqy Razman,” suara Eric memecahkan khayalan Hanna. Remaja itu menghulurkan tangannya sebagai tanda perkenalan. Namun Hanna tidak membalas. Dia ingat pesan Ustaz Malik mengenai batas sentuhan dengan mereka yang bukan mahram.

Rizqy mengangguk faham. Tangannya segera dijatuhkan. Menghormati pendirian Hanna. “Selamat berkenalan.”

“Selamat berkenalan,” Hanna membalas. Mukanya mula kemerah-merahan. Malu. Hanna menoleh ke arah Eric seketika. Tiada suara. Cuma senyuman panjang.

“Jadi, kita akan ke sekolah yang sama bukan?” Eric menyoal apabila melihat Hanna tidak bersuara. Rizqy mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Eric.

“Ya, sekolah paling hampir dengan I-CoST Putra cuma ada satu bukan?” Dan sekolah itu adalah alma mater kebanggaan Eric dan Hanna. Hanna dan Eric mengangguk setuju.

“Awak ambil aliran apa?” Rizqy tidak terus menjawab pertanyaan Hanna. Dia sedikit mendongak. Dagunya yang licin diusap-usap.

“Entahlah, mungkin aliran kementerian sebab saya berasal daripada sekolah kerajaan,” ujar Rizqy sambil terus mencongak-congak.

“Jika begitu, awak satu kampus dengan kami!” Hanna bersuara girang. Hatinya entah kenapa begitu gembira apabila mendengar jawapan Rizqy itu. Jika boleh, dia mahu sahaja melompat di hadapan Eric dan Rizqy ketika itu.

Rizqy tersenyum. Eric juga tersenyum. Nampaknya dia bukan sahaja mendapat jiran baharu. Malah, dia juga memperoleh rakan baru.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.