Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Tiga Belas – Pesanan, Kenangan dan Mimpi

Entah apa yang membuatkan Hanna berani bersuara sedemikian rupa tengah hari tadi, Hanna juga tidak tahu. Hanna dapat lihat wajah Nazrey mula berubah. Selepas Hanna memberi cadangan yang mendapat sokongan penuh oleh Rizqy dan yang lain, remaja lelaki itu terus senyap tidak bersuara. Malah, sehingga mereka kembali menghantar Faris dan Laila ke sekolah juga, dia masih kekal mengunci mulut.

“Aku nak balik. Petang ni aku ada latihan kawad. Kita jumpa Sabtu depan!” itulah satu-satunya hal yang dibicarakan Nazrey sebelum remaja lelaki itu memecut laju motosikalnya. Melintasi gerbang utama SBPI Bandar Hijau I-CoST.

Hanna hanya membalas kata-kata itu dengan anggukan kecil. Ya, Sabtu hadapan. Satu minggu lagi. Itulah harinya. Hari dia dan Nazrey akan saling mencabar. Hari yang akan menentukan hala tuju kumpulan yang dianggotai enam orang remaja itu. Hanna harus mempersiapkan diri. Luar dan dalam. Fizikal serta mentalnya juga harus disiagakan. Dia harus benar-benar bersedia bagi menghadapi hari itu.


Malam Selasa, ketika jam datuk di ruang tamu aras dua sudah berdeting sembilan kali, barulah Hanna membuka langkah mendaki tangga di aras bumi. Badannya hari itu mula terasa sengal-sengal. Sakit di sana dan di sini. Maklumlah, sudah tiga hari berturut-turut dia menghabiskan waktu petangnya di gimnasium rumahnya. Mempersiapkan diri untuk pertembungan Hari Sabtu.

Hari itu, pulang sahaja dari sekolah dan menukar pakaian, Hanna terus turun ke gimnasium. Sejak jam tiga petang, dia menghabiskan hampir empat jam waktu petangnya di situ. Malam, dia menyambung kembali latihannya. Mujur sahaja tadi dia tidak terlepas Solat Asar. Selepas ini dia akan membawa sekali kelengkapan solatnya ke dalam gimnasium. Dia perlu menjaga solat. Dengan itu, barulah dirinya dijaga Allah. Barulah dirinya boleh digelar mukmin berjaya.

Baru sahaja sebelah kakinya memijak lantai aras dua kediaman rasmi ketua polis Bandar Hijau I-CoST itu, Hanna sudah dapat menangkap bunyi suara pelakon Hollywood yang berpunca dari televisyen di ruang tamu. Ah, pasti Datuk Tevard sudah pulang ke rumah! Hanna memanjangkan lehernya. Menjenguk melalui celahan tirai manik yang menjadi pembahagi antara ruang solat dengan ruang tamu. Sah, Datuk Tevard sedang bersantai di sofa tunggal bertentangan televisyen.

“Hanna,” suara garau Datuk Tevard kedengaran memanggil namanya. Hanna berpaling. Sebelah kakinya yang baru menapak anak tangga pertama yang menghubungkan aras dua dengan koridor menuju ke bilik tidurnya kembali diturunkan ke lantai beralas permaidani. Datuk Tevard yang matanya masih kekal merenung skrin televisyen sedang menggamit Hanna. Meminta puterinya itu agar datang menghampirinya.

Hanna dengan berat hati, melangkah mendapatkan papanya itu. Dia berdiri tegak di belakang Datuk Tevard. Sekali lihat, seperti sedang berada dalam acara perbarisan rasmi pula gaya Hanna pada malam itu.

“Papa mahu apa?” Hanna menyoal malas. Namun nadanya masih kedengaran lembut. Dia tidak mahu membesarkan suara di hadapan papanya. Tidak manis.

“Duduklah dulu,” Datuk Tevard bersuara. Lembut tetapi tegas. Sah, papanya itu sedang memberi arahan. Telunjuk kanannya pantas menuding ke arah sofa penjuru di bahagian kanan ruang tamu sederhana luas itu.

Hanna tidak segera menurut. Dia kenal benar perangai Datuk Tevard, papanya itu. Jika disuruh Hanna duduk, pasti ada perbualan panjang yang akan menyusul selepas itu. Hanna merengus tanda tidak setuju. Badannya sudah melengas dibasahi peluh. Dia mahu segera membilas badannya. Sungguh tidak selesa rasanya dia mahu duduk berbual dalam keadaan begitu.

“Hanna naik mandi dulu, lepas solat baru Hanna turun, ek?” Hanna meminta kebenaran. Dia mengerling lama ke arah wajah Datuk Tevard. Menanti respons papanya itu. Seketika, papanya itu mengangguk dua kali.

Hanna apa lagi, pantas dia berlari mendaki tangga.

Selesai mengaminkan doa ringkas, Hanna pantas menanggalkan telekung dan kain sembahyangnya. Setelah pakaian solatnya itu disangkut ala kadar di ampai besi, Hanna pantas menapak turun menuju ke ruang tamu. Dia tidak mahu papanya itu menanti lebih lama. Nanti tidak fasal-fasal, hal lain pula yang berlaku.


“Sudah solat?” Datuk Tevard menyoal sebaik sahaja buntut Hanna mencecah kerusi. Hanna cuma membalas pertanyaan itu dengan anggukan laju.

“Papa mahu cakap apa?” giliran Hanna menyoal. Dia merenung tepat ke arah Datuk Tevard. Memang tidak selalu papanya itu memintanya duduk berbual bersama. Selalunya, apabila ada hal penting sahaja papanya itu akan melakukan hal itu.

“Papa nak cakap sesuatu...” Datuk Tevard menangguhkan katanya. Nada suaranya dibiarkan kedengaran seserius mungkin. Sengaja dia mahu berbuat begitu. Membiarkan puterinya itu ternanti-nanti. Namun, Hanna sudah tidak termakan dengan umpan itu. Umpan yang biasa. Umpan yang sudah jemu untuk dilayannya. Dia sudah dapat membaca.

“Papa mahu cakap apa?” Hanna menyoal lagi. Geram betul dia masanya dibazirkan Datuk tevard sebegitu rupa. Sudahlah kerja Matematik Tambahan serta nota Kimia masih belum disudahkannya, papanya itu mahu bermain-main pula dengannya.

“Papa bergurau saja, kamu marahkah?” Datuk Tevard ketawa kecil. Hal yang membuatkan wajah Hanna semakin merona merah. Geram!

“Papa!” Hanna merengus marah. Dia menyilangkan tangannya. Memeluk tubuh. Tubuh yang memang tak padan langsung dengan usia dan jantinanya. Tubuh yang sasa dan tegap dengan otot yang kental dan kuat.

“Janganlah marah. Okey, papa serius!” Datuk Tevard mengangkat tangan separas telinga. Kononnya untuk membuktikan betapa seriusnya dia. Namun, tidak sampai tiga saat, tawa kecilnya kembali terhambur keluar. Hanna mencebik bibir. Malas sungguh dia melayan perangai kebudak-budakan papanya itu. Pantas wajahnya dipalingkan ke arah televisyen.

“Papa nak beritahu kamu yang papa ada kerja luar lewat minggu hadapan. Lima hari di Bangkok. Kamu tak perlu risau, macam biasa Adam akan balik ke mari sepanjang papa di sana. Che’ Na pun dah setuju nak tinggal sini temankan kamu,” Datuk Tevard akhirnya memberitahu perihal yang sebenar. Dia mengerling ke arah Hanna. Sedetik, anak matanya dengan anak mata rona merah tua milik Hanna bertembung.

“Hanna bukan budak kecil!” Hanna bersuara. Dia bingkas berdiri. Jika hal itu yang mahu papanya itu perkatakan, lebih baik dia diberitahu sebelum dia naik mandi tadi. Tidak perlu dia duduk bertentang dengan papanya itu juga. Hal itu mudah dan ringkas.

Bagi Hanna yang usianya bakal menginjak 17 tahun lagi dua bulan, itu bukan hal yang perlu dikhuatirkan. Dia sudah cukup dewasa. Tidak perlu lagi Abang Nick dan Che’ Na temankan dirinya di rumah besar itu. Dia mampu menjaga dan melindungi dirinya sendiri. Dia Pahlawan Naga.

Baru sahaja Hanna mahu membuka langkah meninggalkan papanya, namanya diseru sekali lagi. Kali ini nada suara papanya cukup dalam. Cukup serius bunyinya. Dengan rasa berat hati, Hanna berpaling ke belakang. Papanya itu sedang berdiri merenungnya.

“Hanna, jaga diri...”


Hanna tidak dapat tidur lena malam itu. Biarpun badannya cukup letih, biarpun badannya mahukan rehat, dia masih saja tidak dapat melelapkan matanya. Dia sedang runsing. Dia sedang buntu dan keliru. Kata-kata papanya beberapa jam sebelum itu betul-betul mencuri perhatian Hanna.

Kenapa papanya perlu menitip pesan dengan nada sedemikian rupa. Nada yang serius. Nada seolah-olah akan ada hal yang tidak baik yang bakal terjadi. Sudah itu renungan matanya pula lain macam. Hanna tidak dapat menafsirkan renungan itu. Renungan itu cukup dalam. Renungan yang cuba menyampaikan sebuah harapan.

Kenapa? Kenapa dia berfikiran sedemikian rupa? Ya Allah, lindungilah papa. Lindungilah Hanna dan keluarga.

                                                                       **********

Jam di dinding bilik Hanna berdeting 10 kali. Hanna yang dari tadi setia menanti di atas katil kecilnya pantas melompat turun. Senyuman di wajahnya ketika itu semakin jelas kelihatan. Tidak lama lagi usianya akan genap sembilan tahun.

Hanna membuka langkah, berjalan menghampiri pintu. Telinga kirinya pantas dilekapkan pada pintu kayu itu. Dia mahu memasang telinga. Mencari tahu masa papa dan mama akan tiba ke biliknya bersama kek cawan vanila. Kek yang sering menjadi menu utama sambutan hari jadi Hanna. Kek yang cukup Hanna gemari.

Sebaik sahaja telinga kecilnya dapat menangkap bunyi derap tapak kaki ACP Tevard yang gagah, serta derap langkahan lemah lembut Mama Alia, Hanna pantas melompat naik ke atas katil kecilnya semula. Selimut nipis corak kepala kucing segera dia tarik menyelubungi wajahnya. Mahu pura-pura tidur konon.

“Hanna, selamat hari jadi!” Serentak, papa dan mama bersuara sebaik sahaja pintu biliknya ditolak dari luar. Hanna pantas mencelikkan matanya semula. Selimutnya kembali dibuang ke tepi. Dia berpaling ke arah jam dinding. 10.05 malam. Satu minit lebih awal jika diukur menggunakan jam dinding biliknya itu.

“Selamat hari jadi, sayang,” Puan Alia Lee membelai lembut rambut Hanna yang pendek dan terpacak di bahagian belakang. Satu kucupan sayang pantas Hanna hadiahkan ke pipi mamanya itu. Lama. Setelah itu barulah dia mendapatkan ACP Tevard.

Pinggang ACP Tevard pantas menjadi mangsa pelukan drastik anak kecilnya itu. Mujur sahaja ACP Tevard sudah letakkan dulang berisi kek dan jus buah ke atas meja tulis. Jika tidak, habis dengan dulang itu sekalilah tubuhnya Hanna terkam. Hanna merenung wajah papanya itu. Mulutnya dimuncung jauh ke depan. Sah, dia masih tidak puas hati kerana tangan kecilnya masih belum mampu merangkul pinggang papanya itu sepenuhnya.

“Papa! Kuruslah sikit!” Hanna bersuara kecil dalam nada mengarah. ACP Tevard cuma mengangguk kecil. Anaknya itu macam-macam ragam. Ada sahaja yang mahu diperkatakan oleh mulut kecilnya.

Malam itu, sekali lagi seluruh isi keluarga Tevard meraikan hari ulang tahun kelahiran Hanna. Hanya Adam Nicholas sahaja tiada bersama mereka malam itu. Abangnya itu telah pulang ke asrama dua hari yang lalu. Ah, apa Hanna peduli dengan abangnya yang suka mengusik itu! Lagi bagus jika abangnya itu tiada.

Malam itu, ada hal yang lebih penting. Malam itu adalah malam yang telah Hanna nantikan sejak setahun yang lalu. Malam yang istimewa. Malam itu – tepat jam 11 malam, ketika mama sudah berlalu keluar menatang dulang yang berisi piring dan gelas kosong, papa akhirnya mula bersuara.

“Hanna mahu hadiah?” ACP Tevard menyoal ringkas.

Hanna mengangguk laju. Dia sudah tidak sabar lagi untuk menerima hadiah tahunannya. ACP Tevard yang melihat reaksi Hanna itu pantas mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia meletakkan telefon itu di atas meja katil. Setelah itu, dia mencium pipi mongel Hanna sebelum meninggalkan Hanna sendirian. Sendirian dengan telefon yang seketika kemudian mula berdering.

“Assalamualaikum, sayang. Selamat ulang tahun ke-9. Apa khabar anak ayah? Mahu dengar cerita?” satu suara kedengaran menyapa Hanna sebaik sahaja panggilan dijawab. Hanna pantas menjawab salam. Pantas juga dia menjawab mahu.

Itulah hadiah yang dinantikannya saban tahun. Setiap kali ulang tahun kelahirannya, itulah hadiah yang ditunggunya. Mendengar suara ayah. Ayah kandungnya. Biarpun Hanna tidak pernah dapat melihat wajah lelaki yang bergelar ayah itu, Hanna tetap gembira. Hatinya akan melonjak girang setiap kali ulang tahunnya tiba.

“Kita sambung cerita tahun lepas, ya? Kisah keluarga besar kita. Kisah Hideki-ojisama kamu. Kisah Pahlawan Naga yang seterusnya.”

Hanna mengangguk laju seolah-olah aksinya itu dapat dilihat oleh ayahnya. Dia mahu tahu lebih banyak tentang keluarganya. Dia mahu lebih kenal dengan keluarganya. Dia mahu, suatu hari nanti, jika dia berpeluang bertemu dengan keluarga kandungnya, dia sudah tahu serba sedikit tentang keluarganya. Tidaklah nanti dia terpinga-pinga bagai orang bodoh apabila berjumpa keluarganya itu.

Malam itu, Hanna disajikan cerita yang panjang. Cerita yang berlarutan hingga ke jam 2 pagi. Cerita tentang keturunan sebelah bapanya. Cerita tentang moyangnya, Fuji Yuuto. Cerita tentang kelahiran abang serta dirinya. Cerita tentang pak ciknya. Cerita tentang Puak Api Fuji yang mula berpecah menjadi dua. Cerita yang dia harus tahu. Cerita yang wajib dia tahu. Cerita yang harus diketahui oleh seorang Pahlawan Naga!

“Hanna...”

“Ya?” Hanna bersuara perlahan. Kini dia sudah tidak lagi dapat menahan kantuknya.

“Sayang ayah mengantuk, ya?” ayah Hanna menduga.

“Ha’ah,” Hanna membalas disusuli satu nguapan panjang.

“Hanna,” ayah Hanna memanggil nama Hanna sekali lagi.

“Ya?”

“Hanna Afza, jaga diri ya,” pesanan akhir ayahnya itu tiba-tiba bergema. Terganggu. 

Sedetik, seekor haiwan bertubuh panjang, bersisik di badan, dengan cahaya berwarna-warni bak pelangi menyelubungi jasad, menerpa laju ke arah tubuh kecil Hanna.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.