Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Lima Belas – Teknik Taraf Tinggi!

Awal petang Jumaat, tatkala kaum adam mula bergerak menuju ke masjid, bersedia untuk mengerjakan Solat Jumaat, Hanna telah terpacak di dalam ruangan gimnasium yang berada bertentangan dengan gelanggang badminton di bahagian belakang rumahnya. Ruangan itu telah menjadi bilik keduanya sejak Ahad lalu.

Tengah hari itu, pulang sahaja dari sekolah, Hanna terus naik membersihkan diri di bilik air peribadinya. Setelah itu, dia pantas menyumbatkan telekung putih serta kain sembahyang di dalam beg galasnya. Tubuhnya pula sudah siap disarungkan dengan sut khas kalis api di bahagian bawah jaket sukannya. Setelah selesai menjamah makan tengah hari yang disediakan Che’ Na, dia terus bergegas ke situ. Ke gimnasium peribadi milik keluarga Tevard.

Gimnasium itu bukanlah sebahagian dari pelan asal kediaman rasmi Ketua Polis I-CoST itu. Gimnasium itu ditambah kemudian setelah tiga bulan Datuk Tevard sekeluarga menetap di situ. Gimnasium itu sengaja papanya bahagikan kepada dua ruangan berlainan fungsi. Satu ruangan di bahagian hadapan untuk kegunaan umum. Satu ruangan lagi di sudut kiri bahagian belakang gimnasium itu. Ruangan seluas 30 meter persegi itulah yang menjadi ruangan khas untuk Hanna mempraktis kebolehan elemen naganya.

Ruangan itu telah Datuk Tevard ubah suai agar menjadi lebih kukuh. Lebih selamat untuk Hanna melakukan aksi-aksi elemen naganya. Dindingnya serta lantainya telah dipasang dengan bahan kalis api. Cermin kaca yang dipasang bagi memantulkan imej Hanna turut diperbuat daripada bahan yang cukup tinggi takat leburnya. Sistem penggera kebakaran juga telah dipindah keluar dari situ. Yang tinggal hanyalah penggera bagi mengesan penceroboh.

Ketika Hanna mula-mula dibawa masuk oleh papanya ke ruangan itu empat tahun lalu, Hanna cukup gembira. Cukup senang dan seronok. Ternyata papanya itu benar-benar memahami keperluannya. Keperluan yang dibutuhkan oleh seorang pengguna elemen naga sepertinya.

Petang itu, selesai melakukan latihan ringan di bahagian umum, Hanna bingkas bangkit menuju ke bilik air yang tersedia di sudut kanan bangunan gimnasium itu. Dia mahu mensucikan dirinya. Wajahnya dicucurkan dengan air sejuk yang mengalir dari paip besi. Wuduknya pantas diperbaharui. Dia mahu segera menunaikan kewajipannya. Kewajipan sebagai seorang muslim.

Tikar sembahyangnya Hanna hamparkan ke lantai beralas tilam getah yang menjadi ruangan senaman Adam Nicholas. Tilam getah itu benar-benar diletakkan menghadap ke arah kiblat. Sedikit serong ke kiri. Sengaja Adam Nicholas berbuat begitu. Katanya, jika berbuat demikian, barulah dirinya mendapat lebih semangat sebagai seorang pejuang agama.

Ya, Hanna tahu itu. Apa-apa pun, tujuan utama dalam hidupnya adalah untuk berkhidmat demi agamanya yang satu. Itulah pesan papa. Itulah pesan mama. Itulah juga pesan ayahnya. Hanna tidak akan pernah melupakan pesanan yang cukup penting itu. Dia akan sentiasa mematuhi pesanan itu. Hidupnya biarlah untuk Islam. Untuk Allah dan rasul-Nya.

Selesai bersolat dan melafazkan doa ringkas, barulah Hanna kembali memanaskan badan selengkapnya. Setelah itu barulah dia akan bergerak ke ruangan khas. Ruangan yang ditanda menggunakan simbol bunga. Simbol yang benar-benar melambangkan nama yang cukup dibanggakan oleh dirinya.

Hanna masih ingat antara isi perbualan pertama antara dia dan ayahnya tidak lama dahulu. Ketika itu ayahnya begitu asyik bercerita mengenai dirinya. Bercerita mengenai pelbagai kenangan manis yang dialami ayah dan ibu tatkala Hanna masih berada dalam kandungan ibu. Hanna cukup seronok apabila dia mendengar tentang pelbagai cadangan nama yang mahu diberikan oleh ayah dan ibu kepadanya.

“Kemudian, ibu cadangkan kepada ayah untuk beri nama Hanna. Ayah pun terus tanya ibu, ‘kenapa Hanna?’ Dan, ibu terus balas, ‘Sebab, dia akan jadi bunga (hanna) hidup saya.’ Kerana itulah ayah dan ibu beri nama Hanna, Hanna,” cerita ayah. Hanna yang masih kecil ketika itu cuma ketawa. Seronok mendengar kisah ibu dan ayahnya.

Kini Hanna sudah dewasa. Dia sudah cukup faham dengan cerita yang disampaikan ayah ketika itu. Kadang-kadang, apabila hal itu diingat kembali, hati Hanna mula menangis. Tangisan yang hanya terlahir dalam dirinya. Langsung tidak pernah dia zahirkan tangisan itu di luar. Dia mahu kuat. Biar dia tidak sempat menjadi bunga hidup ibu di dunia ini tapi, Hanna sudah berjanji bahawa dia akan menjadi bunga hidup ibu di syurga nanti.

Hanna menggeleng perlahan. Tangannya pantas menggosok-gosok bahagian dadanya. Cuba menenangkan hatinya yang mula dilanda rasa sebak. Hari itu dia harus kuat. Hari itu adalah hari yang penting. Hari itu adalah hari terakhir. Hari terakhir untuk dia memantapkan kekuatan dirinya. Dia tidak harus sia-siakan hari itu.

Hari itu dia akan melakukan persiapan terakhir sebelum pertembungan pagi besok. Hari itu, dengan lafaz bismillah, kaki kanan mendahului langkah Hanna masuk menuju ke ruangan khas.


Sudah lima hari Hanna melatih diri untuk menguasai pelbagai bentuk serangan. Baik corak serangan yang lama, mahupun corak serangan yang baru dicipta, dia telah mantapkan kesemuanya sehabis baik. Pedang api, perisai api, peluru api serta macam-macam lagi gerakan yang dapat meningkatkan kemungkinan untuk dia memenangi pertembungan pada pagi Sabtu.

Hari ini, Hanna tidak mahu melakukan semua itu. Hari ini dia mahu mempelajari hal yang baru. Hari ini Hanna mahu menguasai satu teknik rahsia. Teknik yang dapat melayakkan dirinya diiktiraf sebagai Pahlawan Naga Taraf Tinggi jika dia membesar di kampung halamannya. Hari ini Hanna akan cuba menguasai teknik pengguna elemen naga api yang agak hebat. Teknik yang bakal membolehkan dirinya memancarkan elemen api tanpa perlu bersuara mahupun menggunakan isyarat tangan. Teknik Gerakan Hati Naga Api.


Sudah tiga jam Hanna duduk dalam posisi yang sama – posisi duduk tahiyat awal dengan tapak kaki didirikan serta ibu jari dilipat ke dalam. Sedikit pun dia tidak berganjak. Tangannya diletakkan ke atas riba. Matanya dipejam rapat. Fikirannya dibiarkan kosong. Dia mahu perhatiannya terfokus sepenuhnya kepada aliran tenaga dalamannya. Aliran elemen naga yang mahu dia alirkan secara sekata ke seluruh tubuhnya.

Trr!

Hanna berpaling ke kiri. Itulah kali pertama dia menoleh. Mengalihkan wajahnya dari dinding kaca di hadapannya. Matanya dicelikkan sebelah. Merenung ke arah telefon pintarnya yang sedang bergetar kuat di atas lantai. Seketika rakaman lafaz iqamah oleh Eric Iskandar mula kedengaran. Rakaman suara itu dirakamkan sendiri oleh Hanna semasa Festival Kebudayaan Islam Akademi Utara berlangsung pertengahan tahun lalu.

Usai rakaman suara itu berbunyi, Hanna pantas bangkit dari duduk. Dia tahu apa yang patut dia lakukan ketika itu. Dia sendiri yang telah mensetkan masa bagi memainkan rakaman suara itu. Dia sendiri yang telah melakukan hal itu untuk memberi peringatan terhadap dirinya. Memberi peringatan agar dirinya tidak terus terleka dengan urusan dunia. Memberi peringatan agar dirinya segera mengerjakan suruhan Allah.

Betapa besarnya kekuasaan Allah, kaki Hanna yang sudah begitu lama menampung berat badannya, hari itu tidak berasa kebas dan sengal-sengal seperti selalu. Kakinya biasa-biasa sahaja. Hanna tahu, Allah mahu mempermudahkan urusannya. Allah telah mengatur segala-galanya dengan cukup baik. Cukup sempurna. Kaki kanannya mendahului langkah menuju ke bilik air. Dia mahu memperbaharui wudhu’nya.

“Bismillah,” Hanna bersuara separuh berbisik. Hanna memulakan wudhu’nya dengan basuhan pada tangan hingga ke paras pergelangan. Setelah itu dia mencuci hidung dan berkumur-kumur bagi membersihkan mulutnya. Ya, memang itu amalan sunat. Tapi, Hanna tidak pernah lupa untuk melakukannya. Prinsip Hanna senang sahaja, amalan sunat adalah tampungan untuk amalan fardu.

Hanna menadah tangannya, mengumpul air bagi membersihkan wajahnya. Setelah itu dia melalukan air pada kedua-dua belah tangannya hingga ke siku. Ketika cecair jernih itu mencecah siku kirinya, telinga Hanna dapat menangkap bunyi sesuatu. Bunyi air sedang diwapkan. Mata Hanna pantas ditumpukan ke arah lengan kirinya. Lengannya itu kemerah-merahan dari paras siku ke atas.

Hanna tersenyum kecil sebelum kembali menyambung wudhu’nya. Apabila tiba masanya untuk kakinya dijirus, sekali lagi mata Hanna dapat menangkap wap-wap nipis yang sedang terhasil pada telapak kakinya. Ternyata usahanya hari itu sudah mula menampakkan hasil. Maha Suci bagi Allah kerana telah mempermudahkan urusannya pada hari itu.


Usai solat, Hanna memutuskan untuk mencari makanan di dapur. Perutnya kini sedang berkeroncong kuat. Minta untuk diisi. Malas untuk menyarungkan kasut sukannya, Hanna pantas berlari dengan kaki ayam masuk ke dalam rumah melalui pintu gelongsor di ruang makan. Che’ Na yang sedang membersihkan meja cuma menggeleng melihat kelakuan Hanna. Bertuah betul anak majikannya itu. Habis lantai yang telah dia bersihkan tengah hari tadi berpasir kembali.

“Che’ Na dah masak makan malamkah?” Hanna pantas menyoal setelah memberi salam dan mencium pipi wanita tua itu. Hanna cukup sayang dengan Che’ Na. Semenjak Mama Alia meninggal, Che’ Na adalah individu yang menjadi tempat Hanna menumpang kasih ibu.

Che’ Na yang telah mengasuh Hanna ketika kecil. Che’ Na yang telah mengajarnya mengenal huruf jawi. Yang telah mengajarnya membaca Iqra’ dan Muqaddam. Che’ Na juga yang telah mengajarnya menulis. Yalah, kerana selain Che’ Na, seluruh isi keluarga Tevard – baik papa, mama mahupun Abang Nick, tiada seorang pun yang pandai menulis menggunakan tangan kiri.

“Che’ Na tengah salai ikan, ingat nak buat masak lemak.” Mendengar jawapan Che’ Na, Hanna terus bersorak girang. Jika ikan, pasti tiada ikan lain selain ikan keli kegemaran Hanna yang bakal dihidangkan pada malam itu. Hanna memang cukup tahu bahawa hanya dirinya seorang sahajalah pemakan ikan dalam keluarga Tevard. Dan, satu-satunya ikan yang dimakannya adalah ikan keli. Tidak kiralah sama ada ikan sungai itu digoreng minyak banyak, dibakar mahupun disalai atau dimasak gulai, Hanna akan setia meratahnya.

“Hanna dari mana ni? Merah semacam saja kulit kamu Che’ Na tengok,” Che’ Na menegur pantas. Memang kulit Hanna ketika itu cukup merah. Gaya orang baru pulang mengerjakan sawah sepanjang hari sahaja kulit anak majikannya itu.

Mendengar kata-kata Che’ Na itu Hanna pantas berlalu ke cermin kaca yang dilekatkan bersebelahan gerbang menuju ke dapur. Sah, kata-kata Che’ Na itu ada betulnya. Kulitnya ketika itu cukup merah. Merah seperti apa yang dia mahukan. Merah yang menandakan kuasa elemen api miliknya sedang membahagi ke seluruh tubuhnya.

“Hanna ada latihan sukan, ya? Awal pula mula tahun ni,” Che’ Na menduga sendiri setelah lama menanti pertanyaan pertamanya dibalas. Hanna cuma mengukir senyuman lebar. Matanya yang sepet terus terpejam dek senyuman terlampau ikhlasnya itu. Jelas, hatinya sedang gembira meraikan keberhasilan proses meditasinya.


Lewat senja, selepas Hanna selesai mandi dan mengerjakan Solat Maghrib, anak gadis itu terus berlari turun menuju ke dapur. Makanan sudah terhidang di atas meja makan. Siap ditudung. Che’ Na pula sudah tiada di dapur. Hanna menoleh ke arah jam dinding, pukul 7.45 malam. Pasti Che’ Na sudah dijemput Pak Deen pulang ke rumah mereka.

Tanpa berlengah, Hanna segera menyenduk nasi ke dalam piring makannya. Dua senduk penuh. Setelah itu dia membanjirkan nasinya dengan kuah masak lemak ikan keli salai. Ikan keli saiz sederhana besar itu Hanna kerat separuh. Sejurus, dia mencedok bahagian ekor ikan kegemarannya itu ke dalam piring makan di hadapannya.

Dua jenis lauk yang lain langsung tidak dia sentuh. Memang, jika sudah dapat ikan keli, Hanna tidak pandang hidangan yang lain. Biarlah salad inggeris serta ayam masak sos itu menjadi juadah makan malam Datuk Tevard yang masih belum pulang dari Ibu Pejabat.

Habis pusingan pertama makan malamnya, Hanna menambah lagi. Kali ini dia mencedok satu setengah senduk nasi putih. Buat kesekian kalinya pada malam itu, Hanna membanjirkan nasinya dengan gulai lemak. Kali ini dia mencedok masuk bahagian kepala ikan pula ke piringnya.

“Um, sedap betul!” Hanna bersuara girang seusai menghabiskan pusingan kedua makan malamnya. Dia menjilat bersih hujung jarinya. Sunah Nabi harus diikut. Sebelum bangkit membasuh piring makannya, Hanna menadah tangan membaca doa selesai makan. Menyatakan rasa syukur terhadap rezeki yang telah Allah kurniakan kepada dirinya hari itu.

Selesai mencuci bersih piring makannya, Hanna segera membuka pintu peti sejuk. Air jus oren yang telah disediakan Che’ Na lewat petang tadi sedang disejukkan di dalam peti sejuk itu. Tanpa berlengah, Hanna pantas mengeluarkan botol minuman sukan yang berdiri tegak bersebelahan jag air itu.

Setelah itu, dengan botol minuman berisi jus oren didakap rapat ke dada, Hanna berlari keluar menuju ke gimnasium di belakang rumah. Kali ini dia berselipar jepun. Ketika dia sedang membuka kunci pintu gimnasium itulah, Hanna dapat lihat cahaya dari lampu kereta BMW 5 Series Datuk Tevard sedang menyinari halaman rumahnya.


Lebih 30 minit Hanna duduk bersandar menonton televisyen mini di ruangan hadapan. Merehatkan perutnya. Setelah perutnya berasa lebih selesa, barulah dia bangkit menuju ke ruangan gimnasium khas di bahagian belakang.

Hanna menanggalkan pakaian sukannya, membiarkan hanya sut kalis api kekal di tubuhnya. Tidak mahu dia menggadaikan pakaian sukan berjenamanya semata-mata untuk menjayakan latihan pada malam itu. Hanna pantas meletakkan beg galasnya ke dalam kabinet kalis api. Setelah itu dia mula mengambil posisi.

Hanna berdiri menghadap dinding yang dipasang cermin kaca. Dia memejamkan matanya. Sedetik, dengan begitu pantas, Hanna segera merendahkan dirinya. Kaki kirinya dihalakan keluar. Dengan tubuhnya ditampung sepenuhnya oleh kaki kanan, Hanna melakukan satu pusingan kemas di tengah-tengah ruangan gimnasium itu. Api merah yang cukup besar menyala keluar dari telapak kakinya, menyerang dinding serta cermin kaca yang tidak bersalah.

Dengan mata yang dibuka separuh, Hanna tersengih sendiri. Dia tahu dia sudah berhasil melakukan gerakan tanpa perlu bersuara. Tanpa perlu melibatkan permainan emosi. Dia sudah berhasil mengawal teknik tempurnya. Latihan tempurnya sepanjang minggu itu akhirnya membuahkan hasil.

“Sekarang,” Hanna bersuara kecil. Dia menarik nafas dalam. Matanya dibuka luas mengiringi hembusan kuat nafasnya. Hembusan nafas yang disusuli satu serangan bebola api yang cukup besar.

Hanna kemudiannya melompat tinggi, cuba menyentuh siling. Kakinya ditujah ke hadapan dan tangannya didepa ke tepi dengan pantas. Sekali lagi, api merah menyala keluar menyambar dinding ruangan gimnasium itu. Gerakannya cukup hebat. Cukup hebat hingga membuatkan diri Hanna tersenyum puas. Sesuatu yang dia jarang lakukan.

Tubuh Hanna jatuh ke bawah dengan pantas. Namun, telapak tangannya lebih dahulu mencecah lantai. Hanna mengimbangi tubuhnya sebelum kembali berdiri dalam posisi pertamanya. Sejurus, dia kembali melakukan pelbagai teknik tempur menggunakan elemen api. Sekejap dia bergolek di lantai, sekejap dia sudah berada di udara – melompat tinggi.

Malam itu, Hanna Afza bersunguh-sungguh mempersiapkan dirinya.


Ketika jam di dinding mula berlagu menandakan sudah pukul 11 malam, Hanna sudah berada dalam posisi duduk tahiyatnya seperti tadi petang. Sudah lebih 50 minit dia bersimpuh begitu. Cuba menyeimbangkan aliran tenaga dalamannya.

Hampir 5 minit berlalu barulah Hanna mencelikkan matanya. Dia merenung ke arah pantulan dirinya pada cermin kaca di hadapannya. Dia tersenyum kecil. Kulitnya sudah kembali merah seperti lewat petang tadi. Kali ini lebih sekata tonanya. Kali ini Hanna tahu bahawa sel naga di dalam badannya sudah berjaya diseimbangkan hampir sepenuhnya.

Hanna kembali berdiri. Dia kini berada dalam posisi iktidal. Tangannya diletak rapat ke paha. Kakinya tidak rapat seperti selalu namun dijarakkan sedikit. Hanna berdiri memandang cermin. Dia kembali memejamkan matanya. Memaksa fikirannya untuk memikirkan sejenis serangan baru. Serangan yang tidak memerlukan dirinya untuk bersuara. Serangan yang tidak memerlukan dirinya melakukan gerakan tangan. Serangan yang dapat dihasilkan secara semula jadi.

Hati Hanna bertasbih laju. Selaju degupan jantungnya ketika itu. Hanna dapat rasakan ada sesuatu sedang berlaku pada tubuhnya. Ada sesuatu yang sedang keluar melalui tubuhnya. Tubuhnya ketika itu serta-merta menjadi hangat. Kehangatan yang selesa. Cukup selesa buat Hanna, seorang pengguna elemen api.

Hanna mencelikkan sebelah matanya. Dia dapat melihat dengan jelas pantulan tubuhnya di cermin kaca. Dia mencelikkan pula matanya yang sebelah lagi. Kali ini senyuman puas terserlah di wajah jepunnya. Senyuman yang meraikan kejayaannya. Kejayaan membentuk satu teknik rahsia. Teknik Taraf Tinggi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.