Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Sebelas – Dua Pilihan?

Pulang dari I-CoST de Prima lewat petang itu, Hanna terus meluru ke bilik bacaan di aras dua. Dia pantas menuju ke kabinet fail di sudut kanan bilik bacaan itu. Sebuah fail plastik berwarna kuning air pantas Hanna tarik keluar. Setelah itu, dia pantas duduk bersila di lantai beralas permaidani, membelek satu-persatu isi fail kuning itu.

Hanna membelek isi fail itu dengan berhati-hati. Fail yang berisi dengan segala macam perjanjian yang pernah dimeterai antara dirinya dengan Datuk Tevard. Dia tidak mahu ada yang terlepas dari pandangannya. Satu demi satu dokumen bercetak yang disudahi dengan beraneka jenis tanda tangan milik Hanna itu dibaca namanya. Daripada tandatangan yang hurufnya dieja satu per satu hinggalah kepada tandatangan berbunga-bunga miliknya kini.

Perjanjian tidak akan menarik rambut orang lain, perjanjian tidak akan menggigit orang lain, perjanjian tidak akan mengejutkan orang dengan cara menjerit di telinga. Hanna tersengih sendiri membaca nama-nama perjanjian itu. Kesemua perjanjian itu dilakukan ketika dia masih kecil. Mungkin lima atau enam tahun. Atau mungkin lebih muda lagi.

Hanna semakin pantas menyelak. Pasti dokumen perjanjian yang dicarinya berada lebih jauh di bahagian belakang fail plastik itu. Beberapa detik kemudian, dia kembali berhenti menyelak. Nama perjanjian yang tertera di atas kertas kajang itu dibaca secara berbisik, “perjanjian tidak akan menyalakan api tanpa alasan kukuh.”

Hanna tersengih. Perjanjian itu dibuat ketika usianya 9 tahun. Pagi sebelumnya, karpet gebu dalam bilik Adam Nicholas sudah hangus ditelan bara yang berpunca dari diri Hanna. Hanna tersengih makin lebar apabila wajah masam mencuka Adam Nicholas ketika itu kembali terbayang di fikirannya. Sejak itu, abang susuannya yang nakal itu sudah tidak berani lagi mengusik adiknya ini.

Hanna mengerling pula ke arah dokumen perjanjian di sebelahnya – Perjanjian Papa dan Hanna – Jika Dapat Semua A dalam UPSR Akan Dibawa Melancong ke Eropah. Eh, bila pula perjanjian ini dimeterai, ya? Wah, kena tuntut segera ni! Sudah lima tahun berlalu sejak dia memperoleh gelaran pelajar cemerlang UPSR Daerah Kinta. Bukan senang mahu buat Datuk Tevard setuju untuk membawa dia melancong ke luar negara. Pasti papanya sudah lupa akan janjinya yang ini. Tak mengapa, papa. Hanna ada untuk ingatkan papa.

Hanna menyelak pula lembaran yang seterusnya. Matanya pantas membuntang. Inilah dia! Inilah dia dokumen yang sedang dicarinya! Dokumen Perjanjian Hanna, Papa dan Eric Iskandar – Rahsiakan Keistimewaan. Hanna tersenyum seketika apabila memori ketika hari perjanjian itu dimeterai kembali menerpa fikirannya.

Hari itu rahsia besarnya telah dikongsi berlima. Hari itu rahsia besarnya telah diketahui Eric Iskandar. Dan, hari itu jugalah dia dan Eric telah berjanji untuk melindungi rahsia itu sepenuh hati. Rahsia yang besar. Rahsia yang cuma diketahui oleh papa, mama, abang, Eric dan Hanna. Tapi, kini, sebahagian rahsia itu turut dikongsi dengan rakan-rakan barunya. Rakan-rakan yang juga memiliki kebolehan yang sama seperti dirinya – Rizqy, Faris dan Laila. Nazrey juga.

Hanna terus merenung dokumen perjanjian itu. Senyumannya mula memudar. Fikirannya mula buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Hatinya berbelah bahagi. Di sebelah pihak, dia sudah terlanjur berjanji. Mana mungkin dia mahu memungkiri janji. Dia tidak mahu bergelar insan munafik. Dia tidak rela dicap sedemikian rupa. Di pihak yang lagi satu pula, hatinya itu benar-benar mahu membantu. Dia mahu jadi orang yang sentiasa mampu menghulurkan bantuan.

Ah, dia kini buntu! Dia kini keliru! Sekali lagi, untuk kesekian kalinya pada petang itu, Hanna mengeluh lagi. Kali ini lebih kuat. Lebih panjang. Dan, lebih kecewa bunyinya.

“Tak baik mengeluh,” satu suara lembut menyapa Hanna dari belakang. Hanna pantas menoleh. Wajah yang cukup dikenali sedang berdiri betul-betul bersebelahan meja kayu tempatnya bersandar. Adam Nicholas yang manis rupanya itu sedang tersenyum kecil merenungnya.

“Abang!” Hanna bersuara terkejut. Dia bingkas bangun dan mendakap kemas tubuh Adam Nicholas. Melepaskan rindu, atau lebih tepat lagi melepaskan kerunsingan dan kebuntuan yang sedang menimpa diri. “Bila abang sampai?” Hanna menyoal laju.

Adam Nicholas tidak segera membalas. Wajah Hanna, adik kesayangannya itu ditenung lama. Jarang benar Hanna mendakap tubuhnya seerat itu. Kali terakhir adalah dua tahun lalu ketika dia membawa pulang set DVD anime HunterxHunter sebagai cenderahati dari Jepun untuk adiknya itu. Setelah itu, tiada lagi.

Adiknya itu sendiri yang memperingatkan Adam bahawa dirinya ketika itu sudah cukup umur. Batas pergaulan, biar dengan abang susuan sekalipun tetap harus dijaga. Tapi, hari ini lain pula ceritanya. Bukan main lama lagi tubuh sasa Adam didakapnya. Mahu melepaskan rindukah? Baru tiga minggu tidak berjumpa, jika setahun bagaimanalah agaknya. Atau, mungkin...

“Abang...” Hanna bersuara manja. Akhirnya dakapannya dilepaskan. Dia merenung wajah kacak Adam Nicholas lama-lama. Mengharap pengertian. Mengharap sokongan dari abangnya itu. Adam Nicholas cuma tersenyum tawar. Sah, adiknya itu ada udang di sebalik batu!


Selesai Solat Maghrib diimamkan Adam senja itu, Hanna menyambung lekas ceritanya yang tertangguh. Habis segala apa yang berlaku semenjak pertemuan pertamanya dengan Rizqy diceritakan kepada abangnya itu. Mujur hari itu Datuk Tevard pulang lewat ke rumah. Jika tidak, pasti sukar untuk Hanna meluahkan segala ‘beban’ yang terbuku di hati.

“Kenapa adik nak tolong mereka?” Adam yang sedang membilas pinggan yang digunakan ketika makan malam mereka sebelumnya menyoal ringkas. Dia mengerling ke arah Hanna yang begitu rajin menemankannya di dapur malam itu.

“Sebab mereka kawan Hanna!” pantas sahaja Hanna membalas. Nada suaranya cukup tegas dan yakin sekali. Saling tak ubah macam gaya Datuk Tevard bercakap.

“Sebab itu aje?” Adam Nicholas menduga.

Hanna tidak pantas menjawab. Dia tahu, jika dia mengiyakan dugaan abangnya itu, itu bermaksud dia telah berbohong. Sudah tentu dia tidak mahu menjadi pembohong. Dia hanya mahu hal yang benar sahaja terbit dari bibir merah jambunya. Dia mahu jadi orang yang jujur. Orang yang amanah. Orang yang boleh dipercayai. Dan, hal itu tidak akan mampu dia kecapi jika dia bercakap bohong!

“Sebenarnya...” Hanna tergak-agak memulakan bicara. Sesekali dia menoleh ke arah dinding kaca di ruang makan. Mana tahu jika Datuk Tevard tiba-tiba pulang awal. Naya sahaja jika apa yang mahu diperkatakannya ini didengari papanya itu. Pasti teruk dia dileteri papanya itu nanti.

“Sebenarnya, Hanna rasa, Hanna sudah cukup matang untuk gunakan keistimewaan sel naga. Hanna tak mahu keistimewaan ini tersia-sia tidak digunakan. Hanya dibiarkan sebegini rupa. Hanna mahu jadi orang berguna. Hanna mahu menabur jasa. Semaikan budi. Menjadi seorang warga yang berbakti.” Panjang benar kata-kata Hanna malam itu. Sudah itu, ayatnya lain macam pula skemanya. Seperti lirik lagu sahaja kedengarannya. Ya, macam lirik lagu nasyid yang asyik dilagukan Adam tidak lama dulu.

“Hanna mahu gunakan keistimewaan ini bagi membantu orang lain. Orang yang dalam kesusahan. Orang yang perlukan pertolongan. Dan, sudah tentulah Hanna akan menjaga identiti Hanna. Hanna tak akan senang-senang biarkan diri Hanna dipergunakan orang lain. Hanna sudah dewasa,” hujahnya Hanna sambung. Dia menarik nafas dalam sebelum kembali bersuara bagi mencuri perhatian Adam Nicholas.

“Abang Nick bantu Hanna buat keputusan, ek. Hanna buntu. Hanna tak tahu nak pilih yang mana,” Hanna bersuara. Kali ini nadanya berubah menjadi sebuah rayuan manja pula. Hanna membulatkan matanya yang sepet itu. Terus memerhati ke arah wajah Adam Nicholas yang sedang membilas piring makan yang terakhir. Abangnya itu pantas menggeleng melihat telatah adiknya yang seorang itu. Macam-macam!

“Hanna, macam adik cakap tadi, adik dah besar, bukan? Abang rasa, adik yang berhak buat keputusan sendiri. Baik bagi adik, baik juga bagi abang. Asal adik tak ada niat yang terpesong sudahlah,” Adam Nicholas akhirnya bersuara. Memberi pandangan jujur. Dia pantas mengeringkan kedua-dua belah tangannya dengan kain bersih yang tersangkut di dinding ruang dapur.

“Lagipun, bukankah ada tertulis yang perjanjian itu boleh dibatalkan jika adik sudah bersedia untuk menggunakan keistimewaan itu. Jadi, batalkan sajalah,” Adam bersuara lagi. Kali ini kepalanya dipalingkan ke belakang.

Wajah murung adiknya itu Adam renung lama. Adiknya itu kini sedang mengerutkan dahinya. Wah, wah! Senang-senang sahaja abang cadangkan cadangan mengarut seperti itu. Mana mungkin dia boleh membatalkan perjanjian itu sebelah pihak. Apa-apa pun, dia harus memaklumkan hal itu kepada papanya. Hal yang Hanna cukup yakin akan menjadi bahan soal-siasat papanya. Datuk Tevard orangnya cukup tegas. Hanna yakin, papa tak akan benarkan dia gunakan keistimewaannya untuk membantu pihak berkuasa, atau seperti apa yang papa selalu kata – mengganggu pihak berkuasa. Hal itu tidak boleh ditimbang tara. Keputusan sudah muktamad!

Hanna pantas menggeleng. Dia tidak setuju. Dia tidak sanggup untuk bersemuka dengan Datuk Tevard bagi membatalkan perjanjian empat tahun lalu itu. Mana mungkin dia berani untuk memberitahu Datuk Tevard alasan dia mahu membatalkan perjanjian itu. Mana mungkin dia boleh berterus terang akan hal ini kepada papanya itu.

Melihatkan reaksi adiknya itu, Adam Nicholas bersuara lagi. Memberi pandangan terakhir, “Abang tahu adik boleh buat keputusan yang bijak. Abang percaya dengan adik. Tapi, jika adik masih buntu, masih keliru. Istikharahlah. Allah itu Maha Tahu yang terbaik buat adik.”

Hanna mengangkat wajah. Dia terpempan seketika di kerusi kayu itu. Ya Allah! Kenapalah dia boleh tak terfikir hal yang mustahak sedemikian rupa. Benar kata Abang Nick, hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Untuk Hanna juga, pasti tidak terkecuali. Hanna bingkas bangkit dari duduk.

“Hah, mahu ke mana pula tu?” Adam Nicholas menyoal. Kening sebelah kanannya diangkat. Sungguhpun dia sudah dapat mengagak arah tujuan adiknya itu, namun dia masih saja mahu bertanya. Wajah penuh keazaman Hanna direnung tepat.

“Hanna nak Solat Isyak, kemudian Hanna nak buat Solat Istikharah. Abang betul, biarlah keputusan ini dikuatkan dengan petunjuk dari Allah. Terima kasih, Abang Nick!”

Sekali lagi untuk hari itu, tubuh berotot kental Adam Nicholas didakap oleh Hanna Afza.


Usai salam diberi dan doa dilafazkan, Hanna bingkas bangkit mencari telefon pintarnya. Entah kenapa, terlupa pula dirinya mengubah mod telefon bimbit itu kepada mod senyap seperti selalu sebelum dia memulakan solatnya sebentar tadi. Habis hilang khusyuk solatnya dek telefonnya yang tidak henti-henti berlagu sejak dia masih lagi dalam sujud akhirnya.

Siapa pula yang terdesak menelefonnya bertalu-talu begitu? Ada hal pentingkah?

Hanna pantas mengimbas nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon pintarnya itu. Dia menghela nafas pendek sebelum menekan butang jawab. Perbualan malam itu Hanna mulakan dengan salam ringkas, “Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam, er... Hanna, awak masih marah dengan saya ke?” suara maco yang keluar dari telefon bimbit Hanna kedengaran menyoal. Nadanya gusar sekali.

“Saya tak marah awak, Rizq. Saya cuma tak setuju dengan tindakan awak saja,” Hanna membalas. Telekung putih yang tersarung di kepalanya pantas ditanggal. Langkah kakinya dibuka menuju ke arah katil berkembarnya.

“Saya minta maaf. Bagi pihak Faris dan Lail juga, saya minta maaf. Saya tiada niat untuk bebankan awak dengan hal kami,” Rizqy bersuara kesal. Bersungguh-sungguh benar dia mengemukakan permohonan maaf kepada Hanna. Hanna tidak segera membalas. Dia sengaja mengunci mulutnya. Membenarkan Rizqy menyudahkan kata-katanya.

“Kalau awak rasa usul saya petang tadi tu keterlaluan, awak boleh abaikan saja. Saya janji saya tak akan bangkitkan hal ini lagi. Awak percaya saya, bukan?” Rizqy menyambung bicara. Meluahkan kekesalannya. Hanna pula masih kekal berdiam. Membiarkan soalan Rizqy tidak berjawab.

“Saya tak tahu kenapa saya boleh cadangkan hal yang mengarut sebegitu. Mungkin sebab saya dah tak tahan dengan sikap Naz tu. Mungkin. Mungkin juga kerana sejak kali pertama kami lihat awak hasilkan elemen berganda di Diamond Park tempoh hari, kami dapat rasa, ada sesuatu aura yang istimewa dengan diri awak. Macam, ya, yang selalu Nazrey gelarkan dirinya, Pahlawan Naga,” Rizqy menambah.

Suasana mula bertukar sunyi. Masing-masing tidak bersuara. Rizqy, kerana sudah buntu untuk meneruskan cerita dan Hanna pula, entah kenapa gelaran Pahlawan Naga yang baru disebut Rizqy itu benar-benar terkesan di hatinya. Dia terpempan di bucu katil peribadinya untuk seketika.

“Kamu mahu tahu siapa Pahlawan Naga yang memimpin Puak Api - Morino selepas pak cik kamu, Hideki mati?” entah kenapa soalan yang pernah ditanyakan kepada Hanna lebih 10 tahun yang lalu kembali berlegar dalam fikirannya. Memori ketika kali pertama dia diceritakan tentang asal-usul keluarga kandungnya ketika itu kembali menerpa.

Ketika itu Hanna hanya mengangguk kecil. Dia benar-benar ingin tahu apa jawapannya. Jawapan yang akhirnya menjadi sebahagian besar rahsia dirinya sehingga hari ini. Jawapan yang langsung tidak pernah dia sangka.

Aniki...” tanpa sedar, Hanna menuturkan perkataan itu.

Rizqy yang masih setia menanti respons Hanna terpinga-pinga mendengar kata-kata rakannya itu. Apa yang aniki? Hanna tidak apa-apakah? Mungkinkah fikiran rakannya itu kini sedang bercelaru dek memikirkan usul merepeknya tadi siang? Ah, apa yang kau dah buat ini Rizqy! Menyusahkan kawan betul!

“Rizqy,” kedengaran suara lembut Hanna memanggil nama Rizqy. Rizqy menoleh. Dia seperti orang bingung seketika. Memerhati lama ke arah telefon pintarnya dengan penuh tanda tanya.

“Rizq, awak masih di sanakah?” Hanna bertanya.

“Ya,” Rizqy membalas ringkas. Dia masih keliru. Keliru dek rasa bersalah yang sedang menghantui diri.

“Rizq, fasal hal petang tadi...” Hanna berhenti mengambil nafas. Kata-katanya dibiarkan tergantung. Semangatnya cuba dikuatkan. Hatinya cuba diyakinkan. Dia tidak mahu salah membuat pencaturan. Dia harus bijak membuat pilihan. Ini bukan pilihan yang biasa. Ini pilihan luar biasa. Pilihan yang mungkin bakal membangkitkan kemarahan papanya. Atau mungkin pilihan yang bakal mengecewakan rakan-rakannya. Dia cuma boleh pilih satu.

Hanna menarik nafas dalam. Ya Allah, kuatkanlah tekad dan istiqamahkanlah hati hamba-Mu ini dalam menegakkan yang haq dan menumbangkan yang batil. Kuatkanlah hati hamba jika ini adalah jalan yang terbaik untuk diri ini. Hanna menyapu wajahnya. Lama. Setelah itu barulah dia kembali mencapai telefon pintarnya

“Rizq! Fasal hal petang tadi, saya dah buat keputusan!” Hanna bersuara yakin.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.