Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Enam – Gaduh dan Cemburu

Hanna merenung tepat ke arah skrin telefon pintarnya. Nama yang tertera di skrin tersebut diteliti agak lama. Memang sah dia sudah tersalah panggil! Alamak, bagaimana dia boleh cuai benar! Habislah segala rahsia dirinya dan Eric. Segala-galanya telah terbongkar!

“Er... awak okey ke?” suara Rizqy muncul semula. Mematikan suasana sepi itu. “Hanna?” dia menyeru nama Hanna. Inginkan kepastian.

“Saya tak okey!” Hanna membalas. “Apa saya dah buat ni! Saya tak seharusnya beritahu hal itu kepada orang lain. Saya tak sepatutnya beritahu hal tu kepada awak. Bagaimana jika awak ceritakan hal tu kepada orang asing? Apa harus saya buat sekarang ni?!” Hanna bersuara panjang. Nada suaranya jelas menunjukkan betapa gusarnya dirinya ketika itu.

“Hanna, awak tak percayakan saya ke? Kitakan kawan. Awak jangan risau. Rahsia awak dan Eric akan saya jaga sepenuh nyawa. Saya janji, tiada orang asing yang akan tahu fasal hal ini. Saya janji dengan awak,” Rizqy memberi janji. Hanna diam lagi. Kali ini hanya sebentar. Tidak lama seperti tadi.

“Awak janji?”

“Ya, saya janji.”

“Kalau begitu, saya percayakan awak Rizq,” ujar Hanna lega. Dia mengukir senyum tawar.


“Hah?! Awak beritahu Rizq pasal Pahlawan Naga?!” Eric separa menjerit.

Hanna lekas-lekas memberi isyarat. “Shhh!” jari telunjuk kirinya dihampirkan ke bibir. “Awak ni, elok-elok hanya Rizq sorang yang tahu, habis satu kampus ni pun tahu nanti.”

Eric menekup mulutnya. Dia merenung sekeliling. Mujurlah hanya tinggal beberapa pasang mata sahaja yang masih tertumpu ke arah mereka berdua. Itupun hanyalah jelingan geram kerana Eric telah mengganggu masa sarapan mereka dengan jeritan yang menyakitkan telinga.

“Kenapa awak beritahu Rizq? Dia tidak ada kena-mengena pun dalam hal ini,” Eric menyoal. Kali ini nada suaranya lebih lembut dan perlahan. “Dan, awak tak seharusnya bercerita kepada orang lain sebelum saya!”

“Saya tak sengaja. Saya mati-mati sangka nombor yang saya dail tu nombor awak. Lepas saya dah bercerita hampir separuh, barulah Rizq tegur dan beritahu yang saya tersalah panggil. Saya betul-betul tak tahu,” Hanna membalas. Dirinya berasa sungguh kesal dengan apa yang berlaku. Eric mengeluh kecewa. Nasi sudah menjadi bubur. Tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengembalikannya menjadi nasi.

“Hai!” Satu suara lantang menyapa Eric dan Hanna. Kedua-dua orang rakan baik itu menoleh serentak. Rizqy sedang tersenyum memandang mereka berdua.

“Hai, Rizq. Segak hari ni,” Hanna bersuara girang. Dia menarik kerusi. Memberi tempat kepada Rizqy untuk duduk semeja dengan dirinya dan Eric.

Rizqy melabuhkan punggungnya. “Terima kasih,” katanya lembut. “Saya segak pun sebab awak.” Memang benar, jika Hanna tidak murah hati mendahulukan wangnya bagi membeli kelengkapan sekolahnya semalam, pasti dia masih lagi belum memiliki seragam yang lengkap.

Hanna mengangguk. “Sekarang ini, tinggal tunggu blazer awak siap saja. Kan, Eric?” Hanna berpaling ke arah Eric yang wajahnya jelas menunjukkan kebimbangan.

Rizqy turut menoleh. “Awak bimbang fasal hal semalam, ya? Jangan risaulah, saya janji saya akan jaga rahsia korang. Saya bangga ada rakan yang istimewa macam awak berdua,” ujar Rizqy. Nada suaranya kedengaran benar-benar ikhlas.

Eric mengangguk. “Saya gembira jika awak rasa begitu,” tutur Eric perlahan. Lengan kemeja pengawasnya ditolak sedikit. Menampakkan jam tangan US Submarine miliknya.

“Sudah lewat. Mari kita pergi bertugas Hanna,” Eric mengajak. Setelah itu dia membuka langkah menuju ke pintu kafetaria sekolah itu. Hanna menoleh ke arah jam elektronik yang terlekat di dinding kafetaria tersebut. memang benar kata Eric. Tinggal lima minit sahaja lagi sebelum loceng kedua berbunyi. Hanna menoleh ke arah pintu kafetaria. Eric sudah berada di luar. Hanna menoleh pula ke arah Rizqy yang baru hendak memulakan sarapan.

Hanna sedar ada yang tidak kena dengan Eric. Mungkin sahaja dia masih marah akan hal semalam. Tapi, dia tidak seharusnya menunjukkan rasa tidak puas hatinya di hadapan Rizqy. Seharusnya, semua itu dilepaskan kepada Hanna. Bukan kepada Rizqy.


Eric menutup pintu kelas yang terakhir. Dia tersenyum. Akhirnya tugasnya hari itu telah sempurna dijalankan. Eric bergerak laju menuruni anak tangga di hujung blok D. Dia sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah. Eric mempercepatkan langkahnya menuju ke bilik guru disiplin. Dua orang pengawas lelaki yang juga baru selesai meronda sudah berada di situ. Eric merupakan yang terakhir menyelesaikan rondaannya. Pintu ruangan kecil itu masih berkunci. Pasti Cikgu Razali masih belum kembali ke bilik kecilnya itu.

“Dah selesai?” Cikgu Razali yang baru tiba bersuara. Kopiah putih di kepalanya dibetulkan. Cikgu Razali berjalan menuju ke mejanya. Anak matanya terus merenung ketiga-tiga orang pelajar berseragam pengawas di hadapannya. Satu pandangan yang cukup menggerunkan untuk dilihat.

“Sudah, cikgu!” Eric bersuara lantang. Kedua-dua orang pengawas di hadapannya sekadar mengangguk. Cikgu Razali mengangguk. Dia menarik kerusinya ke belakang. Punggungnya dilabuhkan.

“Macam biasa. Seorang, seorang.” Ketiga-tiga orang pengawas mengangguk. Pengawas yang paling besar susuk tubuhnya mengetuk pintu masuk ke ruangan kecil milik Cikgu Razali. Meminta izin. Setelah Cikgu Razali mengangguk, barulah pengawas bertubuh gempal itu melangkah masuk.

Pengawas yang seorang lagi mula bergerak ke kerusi rotan yang beralas dengan kusyen-kusyen empuk. Dia menghempaskan badannya dengan kasar ke atas kerusi rotan itu. Eric pula sekadar bersandar di dinding yang bercat kuning. Pandangannya dialihkan keluar.

“Hanna,” Eric berbisik girang apabila melihat kelibat Hanna melintas di hadapan pintu kaca itu. Dia mengukir senyum. Namun, senyuman yang manis dipandang itu segera pudar apabila melihat Rizqy datang menghalang jalan Hanna. Kedua-dua mereka, Hanna dan Rizqy berbual-bual bersama. Betul-betul di hadapan mata Eric. Eric berdengus geram. Hatinya tiba-tiba berasa tidak senang apabila melihat Hanna dan Rizqy berbual begitu. Bibirnya dimuncungkan ke depan.


“Tadi saya nampak awak dengan Rizq,” Eric bersuara perlahan.

“Apa?”

“Saya lihat awak dengan Rizq,” Eric mengulang semula kata-katanya tadi. Kali ini nada suaranya lebih jelas.

“Bila?”

“Di hadapan Bilik Disiplin,” Eric membalas.

“Oh, itu! Rizq nak bayar balik duit yang saya gunakan untuk beli kelengkapan sekolah dia hari tu,” Hanna membalas jujur. Dia tersenyum memandang Eric.

“Awak nampak seronok saja waktu berbual dengan dia,” Eric mengomel lagi. Kali ini nadanya kembali perlahan. Namun, Hanna masih mampu menangkap butir bicaranya itu.

“Awak ni kenapa? Salah ke jika saya gembira waktu berbual dengan kawan-kawan saya? Tak mungkinlah saya nak buat muka monyok pula jika mahu berbual dengan orang lain,” Hanna bersuara membantah.

“Bukan itu maksud saya. Saya cuma tak suka awak lebih rapat dengan Rizq berbanding dengan saya,” Eric meluahkan apa yang mengganggu fikirannya. Dia mengenakan topi keledar sebelum melompat naik ke atas motosikal. Hanna mengerutkan dahinya. Apa yang tidak kena pada Eric? Apa mungkin Eric cemburu? Mustahil.

Hanna sudah kenal Eric lama. Sudah hampir lima tahun. Hanna tahu rakan baiknya itu hanya menganggap dirinya sekadar teman rapat. Tiada yang istimewa.


Eric menghempaskan badannya ke katil. Sungguh kasar hingga katil kayu itu bergegar sedikit. Seragam sekolah masih tersarung di tubuhnya. Tidak disalin terus seperti selalu. Dia mengiring ke kiri. Sesaat, dia beralih ke kanan pula. Kemudian, ke kiri semula. Setelah itu dia duduk. kepalanya menunduk ke arah cadar kosong berwarna ungu kegemarannya. Kedua-dua belah tangannya menyokong wajahnya.

“Arghhhhh!!!” Eric menjerit dengan kuat. Melepaskan geram yang terbuku dalam hatinya. Eric menoleh ke kanan. Ke arah meja belajar yang menghadap jendela. Dia bangun dari katil. Menuju ke arah meja itu.

Eric menarik kerusi. Duduk. matanya ditumpukan ke arah satu bingkai gambar yang terhias kemas di atas meja besi tersebut. Bingkai yang menempatkan foto dirinya bersama-sama Hanna semasa hari terakhir program orientasi mereka empat tahun lalu.

Tangan Eric mengambil bingkai gambar tersebut. Kenangan pada hari foto itu diambil masih tersemat dalam fikiran Eric. Hari-hari awal dia bertemu dan berkenalan dengan Hanna. Dia tersenyum sendiri. Namun senyuman itu tidak kekal lama di wajahnya. “Kenapa Hanna tidak faham?” Eric menyoal dirinya sendiri.

“Kita dah berkawan bertahun lamanya. Saya tak suka awak rapat dengan budak lelaki lain. Saya tak suka awak rapat dengan Rizq!” Eric bersuara tegas.

“Saya lebih hebat berbanding Rizq! Saya akan buktikan!” Eric membina azam. Rasa cemburu telah menyebabkan Eric Iskandar lebih bersemangat.


Bip! Telefon pintar jenama Samsung itu berbunyi dan bergetar. Di skrinnya jelas menunjukkan ada mesej ringkas yang baru masuk. Hanna yang sedang tekun menghabiskan bacaan majalah Komik Remaja bingkas bangun menuju ke meja belajar.

‘Assalamualaikum, ni Rizq. Saya nak cari buku rujukan baru petang ni. Saya harap awak dapat temankan saya. Saya belum biasa dengan jalan-jalan di i-CoST. Saya harap awak tak kisah.’ Hanna tersenyum sendiri. Dia menekan punat-punat kecil di skrin telefon pintarnya itu. setelah itu dia menekan butang panggil. Seketika kemudian, talian bersambung.

“Assalamualaikum,” Hanna memulakan bicara.

“Waalaikumsalam.”

“Jadi, pukul berapa?” Hanna menyoal.

“Awak setuju temankan saya?” kedengaran suara Rizqy membalas. Juga dalam bentuk soalan.

“Ya, tapi... dengan syarat! Kita ajak Eric sekali. Boleh?”

“Semestinya! Sebenarnya, saya ingat nak ajak Eric seorang sahaja. Tapi, dah puas saya SMS dan call handphone dia, dia tak juga balas dan jawab panggilan saya. Mungkin dia masih marah dengan saya fasal hal semalam,” ujar Rizqy agak panjang. “Mungkin jika awak yang ajak, dia mahu. Saya betul-betul tak suka lihat kita bertiga bergaduh,” Rizqy menambah. Nada suaranya jelas menunjukkan kebimbangan.

Hanna diam. Eric tidak sepatutnya berkelakuan begitu. Cukuplah wajahnya sahaja yang kebudak-budakan. Tetapi, bukan perangainya. Hanna harus berbuat sesuatu.


Eric mengikat kemas tali kedua-dua belah kasutnya. Dia mencapai beg galas yang diletakkan di atas almari kasut. Beg itu digalas ke belakang badan. “Siap!” ujar Eric penuh semangat. Dia berdiri lalu berpaling ke belakang. Ke arah Puan Elina yang dari tadi asyik memerhati gelagat anak sulungnya itu.

“Is pergi dulu,” ujar Eric lembut. Meminta izin daripada ibunya. Tangan kanan Puan Elina ditarik lalu dicium. Rutin yang biasa dilakukan Eric setiap kali mahu keluar rumah.

“Saya gembira awak ajak saya keluar. Saya ingat awak marah fasal hal kat kampus tadi,” Eric meluahkan rasa gembiranya. Hatinya turut lega.

“Saya tak akan senang-senang marah kawan-kawan saya. Dan, sebenarnya, Rizq yang ajak kita berdua pergi temankan dia cari buku rujukan baru. Bukan saya,” Hanna membalas. Eric terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Hatinya tiba-tiba mula merungut marah. Kenapa mesti Rizqy? Kenapa bukan orang lain? Saya tidak suka! Hati Eric bersuara kesal.

Petang itu Eric diam tidak bersuara. Dia tidak ceria seperti selalu. Sepatah ditanya, sepatah dia membalas. Kadang-kadang langsung tiada jawapan. Wajahnya monyok sahaja. Mi kari kegemarannya juga tidak terluak sedikit pun. Hanya tangannya sahaja yang tidak berhenti mengacau kuah merah pekat tersebut.

“Kenapa dengan awak ni, Eric? Tidak sihatkah?” Hanna menyoal. Tangannya dilambai-lambai di hadapan wajah Eric. Eric berhenti bermain-main dengan mi karinya. Dia mengangkat wajahnya yang dari tadi asyik ditundukkan ke lantai. Dia tidak membalas. Anak matanya menjeling Rizqy agak lama sebelum kembali menunduk merenung bumi.

Bukankah bagus jika dia tidak memperkenalkan Rizq kepada Hanna sebelumnya. Pasti hal ini takkan terjadi. Pasti dia tidak perlu merosakkan wajah kacaknya dengan aksi mengerutkan muka pada petang itu.

Hanna berdengus geram. Dia menarik mangkuk mi kari di hadapan Eric. “Apa masalah awak Eric?” Hanna menyoal. Dia berdiri.

“Apa?” Eric menyoal balas. Dia sedikit terkejut dengan sikap Hanna itu.

“Rizqy dah minta maaf kat awak banyak kali walaupun itu sebenarnya bukan salah dia! Tapi, awak...” ayat Hanna tergantung. Dia menarik nafas dalam dan menghela dengan kuat. Wajah terkejut Eric direnungnya.

“Awak patut marah saya! Bukan marah Rizq! Saya yang cuai! I’m the careless one, not him! Marah saya, marah saya Eric!” Hanna bersuara penuh perasaan. Perasaan yang bercampur-baur. Dia tidak peduli dengan jelingan-jelingan daripada orang awam disekeliling mereka. Yang penting, dia harus selesaikan hal ini dengan segera.

Rizqy merenung wajah Hanna yang berkerut di dahi. Eric pula terus diam. Hatinya diganggu rasa bersalah. “Saya minta maaf,” Eric bersuara perlahan. Dia menoleh ke arah Rizqy. “Saya minta maaf, Rizq.” Eric menghulurkan tangannya. Rizqy menyambut huluran itu dengan senyuman. Dia menoleh ke arah Hanna. Sebelah matanya dikenyitkan.

Hanna mengangguk. Dia kembali tersenyum. Namun senyuman manis itu kembali hilang apabila Eric menyambung bicaranya, “ Mulai detik ini, kita bersaing secara adil. Tak ada lagi gaduh-gaduh.”

Hanna dan Rizqy saling berpandangan. Masing-masing terdiam. Masing-masing tidak mengerti apa yang cuba disampaikan Eric. masing-masing mula mengangkat sebelah kening. Wajah jambu Eric dipandang hairan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.