Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Tujuh – Eric, oh Eric...

“Apa maksud awak bersaing secara adil?” Soal Hanna. Dia tidak mahu terus keliru dengan kata-kata Eric itu. Dia mahu penjelasan. Penjelasan yang lebih terang dan jelas. Kening kirinya Hanna naikkan. Wajah Eric yang kini kembali dihiasi senyuman manis direnung tepat. Kemudian dia berpaling pula ke arah Rizqy yang turut mengerutkan dahi.

“Awak masih tak faham? Saya suka awak, Rizq pun suka awak. Jadi, lepas ini kitorang akan bersaing secara adil untuk memenangi hati dan perasaan awak. Faham?” selamba sahaja Eric berkata-kata. Terang dan jelas. Langsung tidak bertapis!

Kali ini kerutan di dahi Hanna semakin bertambah. Daripada hanya sepuluh, kini sudah berevolusi menjadi lima puluh kerutan. Sungguh jelik untuk dilihat. Mulutnya pula sedikit ternganga sebaik sahaja mendengar penjelasan Eric itu. Hanna menoleh ke arah Rizqy. Wajah itu direnung dengan pandangan semacam. Meminta bantuan.

“Awak dah salah faham. Saya dan Hanna tak ada apa-apa. Kami cuma rakan baik. Sama macam awak dengan Hanna,” giliran Rizqy bersuara. Laju sahaja dia menyangkal kata-kata Eric. Hanna mengangguk setuju. Eric diam seketika. Dia masih belum pasti apa yang harus dibalas. Dia berpaling semula ke arah Hanna.

“Tapi, tak salah bukan jika saya suka awak? Awak tak kisah, kan?” Eric bersuara. Nada pertuturannya kembali pasif. Hanna tidak segera membalas. Dirinya langsung tidak pernah menyangka Eric memiliki perasaan sebegitu terhadap dirinya. Hanna menoleh ke arah Rizqy, sekali lagi dengan tujuan meminta bantuan. Namun, kali ini Rizqy tidak dapat berbuat apa-apa.

Hanna menarik nafas dalam. “Eric, saya rasa, itu hak awak untuk suka dengan saya. Saya tak boleh nak halang. Tapi, Eric... awak mesti ingat yang kita masih bersekolah. Dan saya tak mahu terjebak dengan hal ini sebegini awal.” Hanna menghela nafas panjang. Lega sungguh rasanya apabila dapat menjawab dengan lancar. “At least, until we finish our SPM,” Hanna menambah.

Hanna menoleh ke arah Eric yang sudah menunduk memandang lantai. Dirinya berharap agar Eric dapat memahami akan keputusan yang dibuatnya. Eric mengeluh. Hatinya terasa begitu hampa. Kecewa. Namun, dirinya hormat dan faham akan keputusan Hanna. Lagipun, peperiksaan SPM juga sudah semakin hampir. Tinggal tujuh bulan sahaja lagi untuk mereka menghadapi peperiksaan penting itu. setelah itu mereka bebas. Dan mungkin ketika itu, Hanna betul-betul sudah bersedia untuk menerima dirinya.


“Joging?” Hanna menyoal acuh tak acuh. Hanna memang kurang gemar bersenam di luar rumah. Cukuplah dia membina stamina di gimnasium setiap hari. Cukuplah dia bermain kejar-kejar bulu tangkis dengan Datuk Tevard setiap petang. Rasanya, dia tidak perlu menghabiskan tenaganya untuk bersesak-sesak dengan orang ramai semata-mata untuk mengeluarkan peluh.

“Ya! Bolehlah... dah lebih seminggu saya tak keluar joging. Sejak saya pindah ke I-CoST, saya langsung tak pernah pergi joging. Badan saya betul-betul rasa lain,” Rizqy merayu. Hilang sungguh sifat machonya apabila dia berbuat demikian.

Eric diam. Dia berpaling ke arah Hanna. Meminta kata putus. Sekiranya Hanna bersetuju, Eric juga akan bersetuju. Jika sebaliknya, sudah tentulah dia juga tidak mahu meletihkan badan untuk menemani Rizqy berjoging. Hanna tidak segera membalas. Dia mula mencongak-congak. Mempertimbangkan permintaan Rizqy.

“Macam nilah, besok, pukul 6.30 pagi, kita kumpul kat rumah awak. 6.45 kita gerak ke Diamond Park. Rasanya taman tu kosong besok sebab ada festival di Pusat Budaya. Setuju?” Hanna meminta persetujuan. Eric mengangguk. Rizqy mengukir senyum. Tangannya lantas diseluk ke dalam kocek seluar. Pantas jarinya yang sudah menghafal kedudukan setiap tombol pada telefon bimbitnya itu bergerak. Menulis pesanan ringkas kepada seseorang.


“Jaga diri,” Datuk Tevard menitip pesan sebaik sahaja kereta yang dipandunya itu dihentikan di hadapan banglo keluarga Eric. Hanna mengangguk. Dia menolak pintu kereta hingga muat tubuhnya untuk keluar. Tangan Datuk Tevard ditarik lalu dicium.

“Hanna pergi dulu,” ujar Hanna lembut. Dia melangkah turun daripada kereta BMW 5 Siri itu. Pintu kereta ditutup kembali dengan cermat. Setelah kereta papanya itu hilang dari pandangan, barulah dia menekan punat loceng pintu kediaman rakan baiknya itu. Punat kecil empat segi tepat itu ditekan berulang kali.

“Hanna! Lama Tunggu?” Rizqy yang sedang membuka kunci pagar rumahnya menyoal. Hanna menggeleng.

“Saya baru sampai,” ujar Hanna sambil mengukir senyum manis buat Rizqy. Rizqy membalas senyuman Hanna. Dia menuntun basikalnya ke luar pagar.

“Awak tak bawa basikal? Bukankah Diamond Park agak jauh dari sini?” Rizqy menyoal lagi. Memang benar, Hanna pagi itu datang hanya dengan sebuah beg galas di belakang badan.

“Eric dah setuju untuk pinjamkan saya basikal dia yang satu lagi. Tapi, masalahnya sekarang, dia belum lagi keluar dari rumah,” Hanna mengomel geram. Sekali lagi punat loceng pintu itu ditekan. Kali ini sedikit kasar. “Sekarang dah pukul 6.40. Dia dah lewat 10 minit!” Hanna bersuara marah. Nada suaranya kedengaran sedikit tinggi.

Hanna menarik beg galasnya ke hadapan badan. Zip yang paling belakang dibuka. Dia menyelukkan tangannya ke dalam ruang beg galas itu. Mencari-cari telefon pintarnya. Setelah berjumpa, dia lekas-lekas memanggil nombor telefon bimbit Eric.

“Eric, awak dah siap ke belum?” Hanna menyoal setelah memberi salam ringkas.

“Dah. Kejaplah, saya nak keluarlah ini,” kedengaran suara Eric membalas setelah salam dijawab.

“Cepat sikit boleh tak? Saya dan Rizq dah tunggu awak kat luar ni,” Hanna membalas. Panggilan yang durasinya tidak sampai satu minit itu segera ditamatkan. Telefon pintarnya itu kembali Hanna letakkan ke dalam beg galas.

Seketika kemudian, pintu pagar utama itu terbuka. Kelihatan Eric muncul dari balik pintu kayu berukir bersama-sama Puan Elina. Tangan gebu Puan Elina ditarik lalu dicium. Setelah itu Eric mendapatkan basikalnya dari garaj. Basikal itu dituntun ke luar pagar.

“Awak bawa basikal yang ini. Saya bawa basikal yang lagi satu,” Eric bersuara lembut. Setelah itu, dia kembali berlari anak ke garaj mendapatkan basikalnya yang satu lagi. Eric meloncat naik ke atas basikalnya. Dia merenung ke arah Rizqy dan Hanna. Memberi isyarat untuk mereka memulakan kayuhan awal pagi itu.

Rizqy menghirup nafas dalam. Dia mendepakan tangannya seluas mungkin. Cuba menikmati suasana tenang Diamond Park pagi itu. “Nyaman betul udara kat sini! Saya tak pernah hirup udara sesegar ni di bandar,” Rizqy bersuara girang. Hanna mengangguk. Memang taman rekreasi yang menjadi kebanggaan warga I-CoST itu cukup terkenal dengan kualiti udara yang cukup bagus. Tiada siapa yang dapat menafikan hal itu.

“Baiklah,” Hanna bersuara seusai melakukan regangan, “nanti kita lalu di sini, sini, sini... dan sini. Kita tamat di pancuran air di tengah taman,” Hanna memberi arahan sambil jarinya bergerak laju menyelusuri peta taman rekreasi itu. Memberi petunjuk. “Boleh?”

“Boleh!” Eric menyahut penuh semangat. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk membuktikan kepada Hanna bahawa dirinya lebih bagus daripada Rizqy. Rizqy pula hanya mengangguk dua kali tanda mengerti.

“Kalau begitu, kita gerak sekarang!” Hanna memberi arahan sebelum memulakan langkah mengepalai aktiviti joging pagi itu. Eric bersorak girang. Sekali lagi dengan penuh semangat untuk menawan hati Hanna.


Baru sepuluh minit mereka berjoging, Eric sudah mula kepenatan. “Tunggu saya!” Tenggelam timbul suara Eric dek bunyi nafasnya yang agak kuat. Dirinya sudah termengah-mengah mengejar Hanna dan Rizqy yang kini sudah jauh ke hadapan.

“Eric, awak okey ke? Kalau awak nak rehat kejap, kita boleh berhenti rehat kat depan tu,” Rizqy memberi pendapat. Dia mula berpatah balik mendapatkan Eric. Hanna mengikutnya dari belakang.

“Itulah, lain kali jangan nak tunjuk lagak. Hebat sangatlah tu kononnya dapat pecut kami,” giliran Hanna pula bersuara. Nada suaranya jelas menunjukkan dia sedang menyindir tindakan Eric awal tadi. Hanna membuka zip tepi beg galasnya. Sebotol air mineral ditarik keluar lalu dihulurkan kepada Eric. “Nah!”

Eric menyambut huluran Hanna. Tangannya pantas memulas penutup botol itu. Setelah terbuka, dia terus menghalakan mulut botol itu ke bibirnya. Sekelip mata sebotol penuh air mineral habis diteguknya. Sungguh gelojoh sekali.

“Ish, awak ni! Sampai habis air minuman saya awak kerjakan! Saya bagi awak minum sikit sajalah!” Hanna mengomel geram. Dia merampas botol pet di tangan Eric lalu mencampakkan botol itu ke dalam tong sampah.

“Maaflah, saya betul-betul dahaga. Nanti saya gantikan dengan yang baru, ya? Kalau awak nak yang 1.5 liter itu pun boleh. Saya belanja,” Eric membalas selamba. Hanna mencebikkan bibirnya.

“Sudahlah! Jom, kita sambung balik!” Langkah pantas Hanna buka bagi menyambung aktiviti joging pagi itu. Rizqy turut mengikut langkah Hanna. Eric pantas berdiri dan melakukan sedikit regangan. Zip baju panasnya diturunkan sedikit. Dia menarik nafas dalam sebelum mula mengejar Hanna dan Rizqy. Dia tidak mahu ketinggalan lebih jauh lagi.

“Hei, nantilah!” Eric melaung. Dia mempercepatkan langkahnya agar dapat mengejar dua orang rakannya itu. Namun, malang tidak berbau. Entah apa silapnya, kaki Eric terlanggar sekeping plat batu yang sedikit terjungkit keluar. Akibatnya, dia jatuh tersungkur menyembah bumi.

“Aduh!” Eric mengaduh. Agak kuat juga bunyinya. Hanna dan Rizqy yang mendengar jeritan Eric itu segera memberhentikan langkah mereka. Kedua-duanya menoleh ke arah Eric yang masih terbaring kesakitan.

“Eric!” Hanna pantas berlari mendapatkan Eric. Rizqy juga pantas mengekori Hanna. Sekali lagi, aktiviti joging pada pagi itu tergendala disebabkan Eric.

“Macam mana awak boleh jatuh, ni?” Hanna menyoal risau. Eric tidak menjawab. Dia hanya membuat mimik muka menahan sakit. Namun, sikap ambil berat Hanna kepada dirinya ketika itu membuatkan hatinya tersenyum girang. Sayang juga Hanna kepadanya.

“Eh, kaki awak patah ke Eric? Biru semacam aje saya tengok,” Rizqy yang baru selesai menanggalkan kasut sukan yang tersarung kemas pada kaki Eric menyoal. Satu soalan ringkas yang pantas mematikan lamunan Eric.

“Mana patah?” Eric menyoal pantas. Dia menunduk untuk melihat kaki yang dimaksudkan. Sah! Kaki putihnya sudah bertukar warna kebiru-biruan.

“Apa kita nak buat, ni?” Rizqy menyoal panik.

“Kita pergi klinik nak?” Hanna memberi cadangan. Eric lekas-lekas menggeleng tanda tidak setuju.

“Eh, jangan! Terseliuh saja ni, bukan patah!” Eric bersuara membantah. “Lagipun, saya tak sukalah pergi hospital,” dia menambah lagi.

“Eric!” Hanna bersuara geram. Geram dengan sikap Eric. “Habis tu, kita nak buat apa?” Hanna menyoal. Eric mengangkat bahu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Apa yang dia tahu ialah dia tidak mahu pergi ke hospital. Dia tidak mahu kakinya disimen lagi. Cukuplah sekali dahulu. Janganlah hal itu berulang lagi.

“Beginilah, saya balik ambil first-aid kit. Kita tengok apa yang kita boleh buat untuk redakan bengkak ni,” Hanna menyuarakan pendapat. Dia memandang Eric dan Rizqy. Menunggu jawapan balas.

“Macam nilah, saya rasa baik saya sahaja yang pergi ambil peti pertolongan cemas. Rumah saya lebih dekat, bukan?” giliran Rizqy mengutarakan pandangannya. Tanpa menunggu respons daripada Hanna dan Eric, dia lekas bangun dan menggalas beg sandangnya. “Lagipun, saya boleh beritahu hal ni kepada mama Eric,” Rizqy menambah.

Hanna mengangguk setuju. Eric juga begitu. Entah kenapa dalam keadaan dirinya menahan rasa sakit ketika itu, hatinya masih boleh berlagu riang. Adakah kerana hanya dirinya dan Hanna sahaja yang akan berada di situ sebentar lagi? Eric tidak tahu.

“Saya pergi dulu,” Rizqy meminta diri. Dia berjalan laju menuju ke arah gerbang keluar Diamond Park.

Hanna mengeluarkan tuala muka merah jambu dari poket baju panasnya. Dia membuka langkah ke arah paip air minuman di hujung taman. Tuala muka merah jambu itu dibasahkan sedikit. Setelah itu, dia kembali semula kepada Eric. Hanna menarik tangan Eric. Luka calar pada telapak tangan Eric dibersihkan menggunakan tuala muka merah jambunya dengan cermat.

“Lain kali, boleh tak awak lebih berhati-hati?” Hanna menyoal. Nada geram bercampur risau terserlah pada nada suaranya ketika itu.

Eric diam. Tidak menjawab. Senyuman tawar muncul di sebalik wajah berkerutnya yang sedang melawan rasa sakit. Dia tahu Hanna mengambil berat akan dirinya. Dia gembira. Eric mendongak ke langit. Betul-betul ke arah Matahari pagi yang sedang naik. Silau mentari pagi menerkam ke arah matanya, membuatkan Eric kembali menunduk.

“Ish, awak ni! Duduk diam-diam boleh tak?” Hanna merungut geram. Dia mengeluarkan tin penyembur pencegah bau badan yang selalu dibawanya ke mana-mana. Tin itu digoncang sebelum dibuka penutupnya.

Kaki seluar Eric disinsing ke atas. Menampakkan semula kesan lebam biru yang berada betul-betul di buku lalinya. Tanpa berlengah, Hanna segera menyemburkan serbuk kering pencegah bau badan itu ke kaki Eric. Serta-merta, bahagian kaki yang lebam itu terasa sejuk dan nyaman, serta berbau wangi.

“Awak buat apa ni?” Eric menyoal hairan.

“Nak redakan bengkaklah!” Hanna membalas geram. Dia kembali berdiri.

“Awak nak pergi mana pula ni?” Eric menyoal lagi. Dia memandang tepat ke arah wajah serius Hanna. “Awak marah sa...,” soalan yang mahu disambung terhenti separuh jalan. Eric mengetapkan bibirnya sambil memberikan isyarat mata kepada Hanna.

“Apa?”

Eric memuncungkan bibirnya ke hadapan agar selari dengan isyarat mata yang diberikannya. “Ada orang belakang awak....”

Hanna menoleh. Memang benar kata Eric. Seorang remaja lelaki tinggi lampai sedang berdiri di belakangnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.