Home Novel Fantasi Dragon Warrior Jr. (Manusia + Sel Naga)
Bab Satu – Hanna Afza

Pukul 5.30 pagi. Bilik tidur serba luas yang tadinya ditelan kesunyian malam kini dihujani bunyi deringan dari jam loceng yang terletak kemas di atas meja katil. Seorang remaja yang masih berselubung tubuhnya dengan selimut mencelikkan sebelah matanya. Dia bingkas duduk dan menggeliat. Selimut yang membaluti tubuhnya tadi segera dicampak ke tepi. Hanna menguap beberapa kali sambil tangannya meraba-raba ke arah meja katil. Jam loceng yang masih mengeluarkan bunyi yang membingitkan itu dicapai.

Hanna menggosok-gosok matanya. Skrin sesentuh pada pemuka jam loceng bertemakan anime Naruto itu ditatap lama-lama. Satu soalan dalam Bahasa Inggeris terpampang di skrin kecil itu – apakah makanan kegemaran Naruto? – lengkap dengan pilihan jawapannya sekali.

Hanna mengeluh malas. Dia melalukan jarinya ke skrin sesentuh itu, memilih jawapan yang betul. Setelah soalan itu dijawab, barulah bunyi deringan menyakitkan telinga itu tidak lagi kedengaran. Hanna mengembalikan semula jam loceng istimewa itu ke posisi asalnya. Dia menguap lagi sebelum melompat turun dari katil berkembarnya.

Doa bangun tidur dilafaznya secara berbisik. Almari pakaian bersebelahan dengan katilnya itu dihampiri. Pintu yang paling kanan didorong ke tepi. Tangan kirinya segera mencapai pakaian ganti yang mahu dipakainya pagi itu. Setelah itu, dengan pakaian bersih didakap rapat ke dada, Hanna berjalan menuju ke bilik mandi.

Azan Subuh kedengaran sayup-sayup tatkala Hanna melangkah keluar dari kamar mandi peribadinya. Dia meletakkan pakaian kotor ke dalam raga plastik bersebelahan pintu bilik air. Lantas, dia bergerak ke cermin solek. Wajah putihnya yang dipantulkan cermin ditatap lama-lama.

“Bentuk wajah kamu memang mirip ibu kamu, tapi tona warnanya – rambut, kulit dan mata kamu – memanglah saling tak ubah macam ayah kamu,” kata-kata Datuk Tevard tentang raut wajah unik yang dimilikinya itu terngiang-ngiang di telinga Hanna. Dia tersenyum kecil, namun tidak kekal lama. Senyumnya mula memudar. Hatinya, entah kenapa, tiba-tiba diusik rasa sayu.

Loket perak yang disambungkan dengan tali pintal dilucutkan keluar melalui kepalanya. Loket itu kepunyaan ayah Hanna sebelumnya. Itulah antara apa yang diceritakan papa kepadanya hampir lima tahun lalu. Loket itu dibuka. Dua keping gambar berbeza menghiasi ruangan dalam loket itu. Gambar ibu dan abangnya.

“Hanna,” satu suara lantang kedengaran memanggil namanya. Pintu kayu yang menjadi penghubung antara bilik tidurnya dengan koridor aras tiga turut diketuk. Hanna berpaling ke pintu. Lekas-lekas loket di tangannya disarungkan semula ke leher. Dia mencapai telekung putih yang tersidai kemas pada penyangkut besi yang dipaku ke dinding. Pantas dia berjalan menuju ke pintu. Wajah mesra papanya yang sudah menanti di hadapan pintu disambut dengan kucupan.

Datuk Tevard membalas dengan membelai rambut Hanna yang pendek separas leher itu. Hanna tersenyum gembira. Hatinya terdetik rasa syukur kerana memiliki Datuk Tevard dan arwah mama sebagai pengganti ibu dan ayahnya.

“Jom, abang Nick dah tunggu di bawah,” tutur Datuk Tevard. Lembut saja nada suaranya kedengaran. Hanna mengangguk. Pantas pergelangan tangan kanan papanya dirangkul sebelum mereka beriringan menuruni tangga ke ruang solat di tingkat dua.

Usai solat subuh, usai ma’thurat dan doa dibaca, Hanna pantas menarik tangan papanya. Tangan yang dihiasi beberapa parut kecil itu dikucupnya lama. Setelah itu, tubuh sasa papanya itu Hanna dakap seerat mungkin. Dia mahu melepaskan rindunya. Datuk Tevard menurut saja. Dia menggosok-gosok belakang tubuh anak buahnya itu penuh kasih sayang.

“Papa saja? Abang?” suara nakal Adam Nicholas kedengaran mengusik suasana syahdu di subuh hari itu. Dia menghulurkan tangannya kepada Hanna. Pantas Hanna menyambut huluran itu. Tangan putih melepak milik Adam turut dikucupnya.

“Abang Nick tak balik kuarters ke? Tak bertugas?” soal Hanna ketika dia melipat telekung putihnya. Dia mengerling ke arah Adam Nicholas yang sedang melipat tikar-tikar sembahyang yang telah selesai digunakan. Datuk Tevard telah lama menghilang menuju ke dapur. Sudah menjadi rutin untuk dia menyediakan sarapan bagi seluruh isi rumah banglo tersebut setiap pagi.

“Tak, hari ni kan hari jadi mama,” Adam membalas pantas. Dia menepuk-nepuk telapak tangannya, menghapuskan debu yang melekat. Hanna pantas mengangguk. Benar, setiap tahun, apabila tiba hari ulang tahun kelahiran Puan Alia Lee – arwah mama mereka, mereka pasti akan luangkan masa bersama untuk menziarahi pusara mama.

“Adik tak pergi sekolah ke? Dah pukul 6.20 ni.” Adam Nicholas mengetuk-ngetuk pemuka jam tangannya, memberi isyarat. Lekas-lekas Hanna menampar dahi. Bagaimanalah dia boleh lupa yang hari itu sekolah telah dibuka semula. Alahai, baru seminggu cuti sudah nyanyuk. Hanna bingkas bangun, meminta diri untuk bersiap.

Hanna berlari mendaki tangga. Dia langsung tidak peduli dengan suara amaran Datuk Tevard dari dapur. Apa yang dia peduli, dia harus siap tepat pada masanya. Telekungnya Hanna sangkut ala kadar ke penyangkut besi. Setelah itu dia segera bergerak mengemas katilnya. Bantal kepalanya, dan beberapa biji bantal tambahan ditepuk-tepuknya sebelum disusun kemas di kepala katil. Setelah itu dia menegangkan pula cadar bercorak jingga-hitam yang membaluti katil kembarnya. Selimut gebu yang tercetak deretan lukisan kepala watak anime Naruto dilipat kemas sebelum diletak elok di kaki katilnya.

Hanna segera menyelongkar almari. Dia menarik keluar seragam sekolahnya. Mujur tabiat menggosok baju selepas siap dibasuh telah dipraktikkan dari kecil, jika tidak, pakailah dia baju tidak bergosok hari itu. Seluar slek hitam disarung lalu dikancing kemas. Setelah itu dia menyarungkan pula kemeja merah mudanya. Dengan kemeja yang masih tidak berbutang, Hanna berlari anak menuju ke cermin solek. 

Tangannya pantas menyapu cecair pelembap serta krim muka ke wajahnya. Setelah itu, dia mencapai pula balang berisi lilin rambut. Rambut paras lehernya itu Hanna gayakan semirip mungkin dengan gaya rambut Kim Hyun-Joong dalam drama bersiri korea Naughty Kiss. Cekak rambut hitam yang tersangkut bersebelahan dengan cermin solek itu pantas diambil dan dikenakan ke kepala agar tiada helaian rambut jatuh menutup wajah Jepun aslinya.

Tudung dua lapis warna senada dengan kemeja sekolahnya disarungkan ke kepala. Kelepek pada tudung itu Hanna kemaskan serapi mungkin. Setelah itu, barulah kemejanya dibutangkan. Tali leher warna merun yang tersimpan di dalam laci meja belajarnya segera dicapai. Hanna membetulkan kedudukan tali lehernya itu sebelum menurunkan kolar kemeja sekolahnya.

Hanna tersenyum puas melihat pantulan dirinya yang lengkap berseragam pengawas di cermin solek. Sambil itu tangan kanannya pantas disarungkan dengan jam tangan G-Shock pemberian papanya dua tahun yang lalu. Hanna kembali ke almari pakaiannya. Vest pengawas serta blazer sekolahnya dicapai, lalu ditanggalkan dari dua penyangkut berbeza. Pantas kedua-dua pakaian tambahan itu disarungkan ke tubuh sederhana bidangnya. Setelah sarung kaki disarung ke kaki, setelah suis lampu dan pendingin hawa dipastikan mati, Hanna pantas mencapai beg galasnya dan berjalan laju menuju ke ruang makan di aras satu.

Adam dan Datuk Tevard telah menantinya di situ. Tiga biji piring makan disusun kemas di atas meja dengan semangkuk besar mihun goreng terhidang di bahagian tengah meja kayu itu. Hanna mengambil tempat duduknya di sebelah kanan Datuk Tevard, bertentangan dengan Adam Nicholas yang kini mula mencedok mihun ke dalam setiap piring bujur di atas meja itu.

“Eh, stop! Pagi-pagi ni Hanna makan sikit je,” Hanna mengangkat tangannya, menghalang Adam Nicholas dari mencedok lebih banyak mihun goreng ke dalam piring di hadapannya.

“La, sejak bila adik abang ni reti nak diet? Tak payahlah diet, badan kamu tu okey dah. Nanti kurus melidi baru tahu. Kurus sangat pun bukan elok untuk kesihatan,” laju sahaja Adam Nicholas memberi teguran. Wah, mahu tunjuk ciri-ciri sebagai doktor yang baikkah? Dia meletakkan kembali mangkuk berisi mihun goreng yang kini telah luak separuh ke atas meja.

Hanna mendengus geram. Sah, abangnya itu masih tidak lupa untuk menyakat dirinya. Dia mencapai piring yang terhidang hirisan telur goreng sebelum mengemukakan ayat balas, “adik bukan nak diet, tolong sikit! Adik dah cukup kurus okey!” Dengan menggunakan garpu, dia menolak hampir separuh hirisan telur itu ke dalam piring berisi mihun gorengnya.

Hanna menggaul rata mihun gorengnya menggunakan garpu sebelum menambah lagi, “adik cuma nak sediakan ruang untuk makan sandwic tuna Mak Cik Suria kafeteria saja.” Dia mendengus lagi sebelum mula menadah tangan dan membaca doa makan. Dengan gaya orang yang sudah setahun tidak menemui makanan, dia menghabiskan mihun gorengnya dalam masa tiga minit. Adam Nicholas yang baru hendak mula makan terus berhenti. Dia ketawa perlahan melihat gelagat adiknya itu.

“Sudah, Adam,” Datuk Tevard menegur. Dia merenung tepat ke arah anak terunanya itu sambil memberi isyarat mata. Segera Adam Nicholas menyudahkan ketawa dan kembali menyambung sesi sarapan paginya. Hanna mengembungkan sebelah pipinya. Bibir merahnya dikesat dengan tisu muka sebelum dia bangun dan menggalas kembali beg sekolahnya.

Datuk Tevard sekadar menggeleng. Dia menyelukkan tangannya ke dalam kocek belakang seluar kerjanya. Dompet kulitnya dikeluarkan. Dua helai not RM 10 ditarik. Duit kertas berwarna merah itu diunjukkan kepada Hanna. Hanna segera menyambut huluran itu. Duit kertas itu dilipat dua lalu diselitkan dalam saku blazer hitamnya. Tangan Datuk Tevard pantas ditarik lalu dikucup. Dia meminta diri. Lafaz salam diberi sebelum dia keluar mendapatkan motosikalnya.

Bunyi deruman enjin motosikal berkuasa tinggi itu mencuri tumpuan Adam Nicholas. Dia berhenti menyuapkan mihun goreng ke mulutnya. Badannya diregangkan sedikit agar dia dapat mengintai pergerakan adik perempuannya itu melalui jendela ruang makan. “Sejak bila pula dia guna ZX-6r?” soal Adam Nicholas sambil matanya mengerling ke arah Datuk Tevard.

“Sejak dia dapat lesen B bulan lepaslah,” selamba Datuk Tevard membalas. Dia kembali menyambung sesi sarapan paginya tanpa mempedulikan reaksi wajah kurang senang Adam Nicholas. Wah, adiknya itu! Kecil-kecil lagi sudah dapat superbike.


Hanna tiba di sekolah lewat dua minit dari hari-hari sebelumnya. Dia menanggalkan topi keledar yang melindungi kepalanya. Segera kelepek-kelepek yang terbentuk pada tudung sekolahnya dibetul dengan cermat. Dia meloncat turun dari motosikalnya. Tayar hadapan motosikal itu dirantai kepada palang besi yang telah disediakan khas oleh pihak sekolah untuk kemudahan para penunggang motosikal.

Sebuah motosikal model Kawasaki Er-6f mengambil ruang kosong di sebelah motosikal Hanna. Lekas-lekas Hanna berdiri. Remaja lelaki yang menunggang motosikal itu menanggalkan topi keledarnya dengan cermat. Rambut perang terpacaknya dikemaskan agar kelihatan lebih rapi. Setelah berpuas hati barulah dia mengenakan kaca mata berbingkai petaknya ke wajah kacukan Inggeris – Cinanya.

Remaja itu turun dari motosikalnya. Jaket penunggang yang membaluti tubuhnya segera ditanggal lalu dilipat kemas. Dia mengukir senyuman manis ke arah Hanna. “Selamat pagi, Hanna Afza!” tuturnya dalam lagak bangsawan.

Hanna membalas senyuman remaja lelaki itu. Dia menahan ketawa mendengar susunan ayat yang baru terlontar keluar dari mulut remaja lelaki itu. Sejurus, dengan nada yang hampir serupa – skema dan teratur, dia membalas sapaan itu.

“Assalamualaika, Eric Iskandar.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.