Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 20

 

Amri memandang keluar jendela pesawat. Hanya kepulan awan sahaja yang kelihatan. Di sebelahnya Zurina sedang melelapkan mata.Aizat, Liza dan Syuhada pula leka bersembang di hujung sebelah sana.

Amri mengambil kesempatan cuti semester Aizat untuk mereka sekeluarga menunaikan umrah. Bukan mudah untuk mendapat waktu terluang bersama-sama. Fikiran Amri melayang mengingatkan semula detik-detik perkenalannya dengan Syafika.

 

Penerbangan yang mengambil masa lapan jam setengah itu memberikan ruang masa yang cukup untuk Amri mengimbau semula kenangan sepanjang dia berkenalan dengan Syafika.Dia terbayang-bayang wajah Syafika ketika kali pertama gadis itu mula menatap wajahnya di webcam. Amri juga teringat bagaimana riak muka Syafika yang begitu gugup semasa datang ke pejabatnya bersama dengan Shikin.

Dia teringat bagaimana getar di jiwanya apabila buat pertama kali dia mengenggam tangan Syafika dalam pertemuan kedua mereka. Dia teringat wajah sayu Syafika dalam samar-samar cahaya malam apabila dia mengungkapkan kata-kata yang perhubungan mereka berdua tidak patut diteruskan pada pertemuan terakhir mereka 14 hari yang lepas di tengah-tengah hujan lebat di malam yang gelap gelita.

Lamunan Amri terhenti seketika apabila pengumuman yang makanan tengahari akan dihidangkan sebentar lagi. Amri menggerakkan Zurina untuk bangun. Dengan wajah manis bertudung pramugari menghidangkan makanan tengahari.

Selepas makan Zurina menyambung tidur. Tangannya erat mengenggam tangan Amri. Amri meninjau ketiga-tiga anaknya yang rancak berbual. Aizat seolah-olah tidak ingin melepaskan peluang dari cuti singkatnya untuk merapatkan hubungan dengan adik-adiknya. Jemaah umrah yang lain kelihatan membuat hal masing-masing. Ada yang tidur. Ada yang membaca alQuran. Ada juga yang kelihatan membaca dan merujuk bahan bacaan berhubung dengan ibadat umrah yang akan mereka lakukan.

 

Amri ingin melelapkan mata tapi setiap kali dia menutup mata wajah Syafika bermain di mindanya.Amri teringat peristiwa yang berlaku selepas pertemuan terakhir dengan Syafika tempoh hari.

 

Sebaik sahaja Amri menghantar Syafika kembali ke rumah sewa dia terus balik ke rumah. Selesai mandi dan solat Isyak dia menelefon Zurina yang ketika itu berada di Kuala Lumpur.Dia berbual selama beberapa minit dengan Zurina. Dia menghantar sms kepada Syafika.’Sayang, maaf pada apa yang berlaku tadi. Abang terlalu menurut perasaan.”. Tidak sampai seminit kemudian Syafika membalas mesej dari Amri yang berbunyi ‘ Sayang letih. Sayang nak tidur. Love u forever

 

Amri mematikan telefon bimbitnya dengan senyuman. Dia tau Syafika mudah merajuk tapi dia juga tahu yang Syafika mudah dipujuk.

 

“ Abang, nanti bila abang pergi umrah sayang nak minta sesuatu dari abang boleh ke?” kata Syafika.

“ Nak minta apa? ‘ tanya Amri.

Amri menjawab sambil memegang gagang telefon. Dia sedang berada di dalam pejabat sementara Syafika pula sedang berkemas-kemas untuk balik ke kampung. Abahnya telah berjanji untuk datang menjemputnya pada petang nanti. Terlalu banyak barang yang perlu dimasukkan ke dalam kotak. Tuan rumah telah meminta mereka mengosongkan rumah itu sebelum berakhir minggu ini kerana pelajar-pelajar baru pula akan mula masuk. Syafika dan rakan-rakannya yang telah menamatkan pengajian akan kembali ke tempat asal masing-masing. Malam tadi mereka telah mengadakan majlis ringkas perpisahan meraikan kerjayaan mereka menamatkan pengajian di Universiti Permata Timur. Banyak air mata yang mengalir memandangkan selama 4 tahun bersama mereka telah menjadi seperti adik beradik.Terlalu banyak kenangan pahit dan manis yang mereka kongsi bersama.

 

“ Sayang nak abang belikan jubah ke? Boleh aja tapi abang kena agak-agaklah saiz sayang.Nanti kalau labuh ke, besar ke sayang kena pakai juga. Kalau sayang tak nak pakai jubah tu nanti abang kecik hati,” kata Amri.

“Taklah. Sayang tak pernah minta apa-apa dari abang, “ kata Syafika. “ Cuma sayang nak minta abang doakan  supaya sayang dipertemukan dengan jodoh dari kalangan orang yang baik-baik. Supaya sayang dimurahkan rezeki, cepat dapat kerja dan supaya sayang diberi kesihatan yang baik. Tak susah kan permintaan sayang tu? “ kata Syafika sambil tangannya sibuk menyusun buku kedalam kotak untuk dibawa balik kerumah petang nanti.

“ InsyaAllah.Abang doakan yang terbaik untuk sayang. Orang kata kalau soal jodoh Jabal Ramahlah tempat yang paling baik untuk berdoa. Nanti abang doakan sayang di Jabal Ramah,” jawab Amri.

“Satu lagi,doakan jodoh sayang bukan suami orang ye. Hihi. “ kata Syafika bergurau.

“ Apa salahnya kalau suami orang pun. Kalau suami orang tu jutawan. Duit tak habis nak makan takkan tak nak, “ balas Amri sambil tertawa.

“ Kalau macam tu Prof Amri bukanlah suami orang yang bakal menjadi suami saya sebab Prof Amri bukan jutawan,”  kata Syafika sambil tertawa. Amri turut tertawa sambil membayangkan wajah manis Syafika.

 

Dalam melayan angan-angan itu Amri terlelap. Dia cuma tersedar sebaik sahaja pengumuman yang pesawat  akan mendarat di lapangan terbang Madinah sebentar lagi.

 

Sebaik sahaja keluar dari pesawat angin dingin menerpa ke muka Amri. Dia memang sengaja merancang menunaikan umrah pada hujung tahun kerana cuacanya yang lebih nyaman  berbanding dengan umrah pada musim panas. Tambahan pula Aizat pulang bercuti semester dari Amerika. Liza yang akan ke Ireland pada bulan Februari tahun depan juga meminta agar mereka dapat meluangkan masa bersama sekurang-kurangnya untuk beberapa hari.

 

Hotel mereka yang terletak kurang dari 100 meter dari Masjid Nabawi memudahkan mereka berulang alik menunaikan solat 5 waktu di Masjid Nabawi .Amri dan keluarga menghabiskan banyak masa di masjid disamping menggunakan kesempatan mengikut rombongan melawat beberapa tempat menarik di Madinah seperti Jabal Uhud, kilang mencetak Al Quran dan ladang kurma.

 

Sekembalinya dari menunaikan solat Zohor Amri dan Zurina berjalan berdua menyusuri kedai-kedai yang banyak menjual pelbagai jenis jubah. Liza, Aizat dan Syuhada berdiri mengekori mereka dari belakang.

“Bang. Cantiknya jubah ni. Nak belilah. Susah nak cari kat Malaysia corak macam ni, “ Kata Zurina membelek-belek sehelai jubah yang tergantung di kedai yang mereka singgahi.

 

Amri terbayang wajah manis Syafika jika dia memakai jubah yang sedang dipegang oleh Zurina.

“Abang pun nak cari sehelai jubah perempuan” jawab Amri ringkas.

Zurina berpaling kepada Amri dengan wajah kehairanan.

“Eh semenjak bila pulak abang berminat dengan pakaian-pakaian perempuan ni?Biasanya abanglah orang yang paling tak sabar kalau mengikut kami bershopping. Nak balik cepat-cepat aja,” tanya Zurina seolah-olah meragui perubahan sikap Amri.

“ Taklah. Ada budak kat pejabat tu kirim. Dia janji nak bayar. Tak sampai hati pulak nak kata tak boleh sebab dia banyak tolong abang kat pejabat tu, “ jawab Amri berdalih.

“ Oh. Kalau macam tu biar Ina yang tolong pilihkan. Budak tu muda ke tua? Badan dia besar ke kecik? “ tanya Zurina.

“ Awal 20an lah lebih kurang. Badan sederhana aja,” balas Amri.

“ Biar Inalah yang tolong carikan. Abang bukannya tau sangat taste orang perempuan,” kata Zurina sambil membelek-belek jubah yang tergantung.

 

Sebaik sahaja mendapat apa yang dihajati Amri membayar pembelian. Hatinya berbunga rasa gembira apabila membayangkan wajah Syafika menerima hadiah jubah pemberian darinya nanti.

 

Selepas beberapahari di Madinah mereka berangkat ke Mekah. Di Mekah mereka sekeluarga sempat beberapa kali menunaikan umrah . Mereka juga di bawa melawat kebeberapa tempat bersejarah di sekitar bandar Mekah.

 

Sebaik sahajadia selesai menunaikan solat sunat selepas ibadat umrah Amri menghadap Kaabah dan berdoa agar dia diberi kesihatan yang baik, jodoh yang berpanjangan dan diberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Air matanya bercucuran mengenangkan betapa banyak dosa yang dia telah lakukan selama ini. Dia benar-benar insaf atas dosanya selama ini.

 

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

 

“Saudara saudari jemaah umrah yang dikasihi sekelian. Hari ini kita akan berziarah ke kawasan sekitar Mekah. Kita akan melawat Jabal Nur, Jabal Ramah, Ke Jamrah , ke Arafah ke Mina dan dalam perjalanan balik ke Mekah nanti kita akan singgah di ladang unta.sesiapa yang nak minum susu unta boleh beli di ladang unta nanti, “ jelas mutawif yang sedang berdiri di sebelah pemandu bas. Semua jemaah yang telah memenuhi bas mendengar dengan tekun penerangan dari mutawif.

 

Amri yang duduk di sebelah Zurina memang ke luar tingkap bas, memerhatikan susanaa hiruk pikuk bandar suci Mekah di pagi hari.Setelah memastikan semua jemaah telah berada di dalam bas, bas bergerak perlahan meninggalkan kota suci Mekah menuju ketempat-tempat yang akan dilawati.

 

Sesekali mutawif menunjukkan sesuatu di luar bas dan memberi penerangan kepada jemaah umrah.Lebih kurang setengah jam kemudian bas bergerak perlahan-lahan menghampiri kawasan Arafah di mana di situlah jutaan manusia berwukuf semasa menunaikan haji.

 

Sebaik sahaja bas menghampiri  sebuah bukit berhampiran dengan Padang Arafah mutawif menunjuk ke arah bukit sambil memberi penerangan ringkas tentang Jabal Ramah

 

“ Jabal Ramah adalah tempat pertemuan Nabi Allah Adam dan Hawa selepas mereka terpisah ratusan tahun sebaik sahaja diperintah keluar dari syurga oleh Allah kerana melanggar perintahnya. Jemaah yang telah berumahtangga eloklah berdoa di Jabal Ramah untuk meminta Allah memanjangkan jodoh. Bagi yang belum berumahtangga pula bolehlah berdoa untuk dipertemukaan jodoh. Saya ingin berpesan kepada jemaah –jemaah wanita agar mengawasi dengan dekat suami masing-masing dan dengar apa yang mereka doakan. Jangan pula nanti mereka berdoa untuk menambah nombor dua, tiga dan empat dan saudari yang mengaminkan pula doa suami saudari,“ kata mutawif berjenaka disambut dengan derai ketawa jemaah yang masih berada di dalam bas.

“ Tapi jemaah wanita semua tak perlu rungsing sebab saya yang dah berpuluh kali berdoa di Jabal Ramah ini pun masih mempunyai seorang isteri,” kata mutawif lagi. Sekalilagi jemaah menyambut kata-kata itu dengan ketawa.

 

Amri mengiringi Zurina dan anak-anak berdiri di kaki bukit sambil berdoa. Selepas berdoa Aizat,Liza dan Syuhada berlari-lari mendaki bukit menggunakan anak tangga yang memang tersedia.

“ Aizat, Liza,Hada. Hati-hati,” pesan Amri sambil melihat anak-anaknya berlumba lumba mendaki bukit.

 

“ Abang, Ina nak naik atas bas dulu. Lenguh berdiri lama-lama ni. Abang tak nak naik bas ke? “tanya Zurina.

“ Ina naik dululah. Abang nak tunggu anak-anak ni,” jawab Amri.

 

Sebaik sahaja Zurina berjalan menuju ke arah bas Amri mendekati semula kaki bukit dan berdoa agar dia dan Syafika diberikan jalan terbaik oleh Allah. Jika jalan terbaik baginya dan Syafika adalah dengan bernikah dia rela terima segalanya tetapi andaikata jodohnya bukan dengan Syafika dia juga rela dengan ketentuan Allah.

 

Selang beberapa minit kemudian anak-anaknya telah pun berada di kelilingnya.

“Masa bila awak semua turun ni? Abah tak perasan pulak” kata Amri.

“Itu tandanya abah berdoa dengan khusyuk sekali,” kata Aizat sambil tersengih memandang ayahnya.

 

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

 

Sebaik sahaja Amri melepasi pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dia terus mencari satu sudut yang agak jauh dari orang ramai dan terus menelefon Syafika.

Terdengar wajah ceria Syafika menjawab panggilannya.

“ Abang, sayang rindu abang. 10 hari abang di sana rasa macam setahun kita tak jumpa, “ suara manja Syafika menyentap jiwa lelaki Amri. Terlupa sebentar dengan doa-doa dan lafaz –lafaz taubat yang baru sahaja dia ucapkan beberapa hari yang lepas.

 

“ Sayang, abang tak boleh lama ni. Akak dan anak-anak semua ada kat sini. Abang ada beli sesuatu untuk sayang. Harap sayang suka. Bye sayang. Love u, “ kata Amri menutup bicara.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.