Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 37

Amri melangkah perlahan keluar dari kereta.

Di lobi fakulti beberapa orang pensyarah dan kakitangan menunggu kehadiran Amri. Mereka berebut-rebut ingin bersalaman dengan Amri.Selepas tiga bulan bercuti sakit hari ini hari pertama Amri masuk kerja semula.

Mata Amri mencari wajah Syafika di celah-celah kakitangan dan pensyarah yang beratur.Matanya berhenti mencari apabila memandang wajah Syafika yang berpakaian serba biru pada pagi itu.Sebaik sahaja pandangan mata mereka bertemu Syafika cepat-cepat menundukkan pandangannya.Dia tidak sanggup melihat wajah Amri yang agak cengkung.Tiga bulan mereka tidak bertemu membangkitkan rasa rindu yang teramat sangat di hati Syafika. Namun apabila berpeluang menatap wajah Amri, Syafika pula yang merasa malu.

Selepas Timbalan Dekan menyampaikan ucapan ringkas meraikan kehadiran semula Amri ke kampus, Amri diminta memotong pulut kuning sebagai tanda bersyukur .Ustaz diundang untuk membaca doa selamat.

Selepas majlis bersurai Amri masuk ke bilik pejabatnya.Suriati dan Syafika sedang menunggunya.Syafika sedang menunggu waktu yang sesuai untuk memaklumkan yang dia akan berhenti dan menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Amri.

Syafika bimbang dengan keadaan kesihatan Amri yang belum pulih sepenuhnya akan memberi kesan jika dia mendapat tahu yang Syafika akan meletak jawatan.

Hati Syafika berbelah bagi. Surat perletakan jawatan yang telah siap ditaip dan dimasukkan di dalam sampul surat telah tersimpan di dalam laci meja pejabat beberapa hari sebelum Amri masuk bertugas semula.Berat rasanya bila Syafika memikirkan dia akan meninggalkan pejabat Amri yang menyimpan seribu satu kenangan.

Syafika masih ingat kali pertama dia melangkah ke pejabat Amri bersama Shikin untuk mengundang Amri ke majlis yang diadakan oleh pelajar-pelajar Universiti Permata Timur.Dia masih lagi ingat betapa gugupnya dia memandang wajah Prof Amri semasa dia masuk melangkah ke pejabat itu.Syafika teringat betapa dia merasa begitu cemburu melihat gambar Amri sekeluarga yang diletak di sudut meja pejabat Amri.

Syafika juga masih ingat betapa dia merasa gementar semasa memulakan tugas di pejabat Amri sebagai pembantu penyelidik. Syafika masih tidak lupa ciuman Amri di pipinya semasa mereka berdua di dalam bilik Amri.Semua itu akan menjadi kenangan dan rahsia peribadi antara dia dan Amri.

“Syafika, Boleh jumpa saya sekarang ?Ada tugasan yang saya nak bincang dengan awak,” kata Amri kepada Syafika sambil berjalan perlahan-lahan menuju ke biliknya. Syafika mengekori Amri dari belakang. Di tangan Syafika tergenggam kemas surat perletakan jawatan untuk diserahkan kepada Amri.

Sebaik sahaja Syafika melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan  dengan Amri dia terus menatap wajah lelaki itu.Amri cuba mengenggam tangan Syafika tapi dengan pantas Syafika menarik tangannya.

“ Sayang,kenapa? “ Tanya Amri. “ Tak ada  apa,”jawab Syafika ringkas.

“Kenapa sayang?Tiga bulan tak jumpa sayang dah berubah hati? “ Amri bertanya sambil merenung wajah Syafika yang tunduk memandang meja.

“Prof kata tadi nak bincang tentang tugasan saya.” Kata Syafika dengan nada yang formal.

“Sebenarnya tak ada apa apa tugasan pun.Abang cuma nak berbual dengan sayang.Dah lama kita tak jumpa.Dah lama kita tak bersembang, berbual,” kata Amri.Dia cuba menyelami hati dan perasaan Syafika pada ketika itu.Dari raut wajah gadis itu Amri dapat merasakan sesuatu yang tak kena dengan Syafika pada pagi ini.

“Sayang ok ke?Ke ada sesuatu yang bermain di fikiran sayang pada masa ini?” Amri bertanya sambil fikirannya cuba menelah apakah yang sedang bermain di minda Syafika pada ketika ini.

Amri berfikir betapa mudahnya hati manusia berubah disebabkan jarak dan waktu.Amri tahu Syafika perlukannya disaat hubungannya dengan Haikal tidak berjalan dengan baik. Amri dapat meneka hubungan terlarangnya dengan Syafika akan berakhir juga satu masa nanti. Persoalannya bila?

“Prof, saya nak bercakap sesuatu dengan Prof,” kata Syafika memandang wajah Amri yang kelihatan tertanya-tanya.

“Kenapa nak berprof prof dengan abang ni? “ kata Amri. “ Sayang cakaplah apa yang sayang  nak cakap.Abang sanggup dengar,”kata Amri lagi.

“Saya nak letak jawatan,” kata Syafika ringkas sambil meletakkan sampul surat berisi surat perletakan jawatannya di depan Amri.

Amri langsung tidak mengambil surat yang diletakkan oleh Syafika.Dia cuba mencari jawapan di sebalik raut wajah Syafika yang kelihatan sugul.

“Kenapa awak bawa berita ini dalam keadaan saya yang tidak begitu sihat?Tak boleh ke awak tunggu sedikit masa lagi untuk berhenti?’ kata Amri menukar gantinama dari‘Sayang’ kepada ‘awak’.

“Sayang pun tahukan.Abang belum cukup sihat. Abang banyak kerja yang perlu dibuat,” kata Amri dengan nada merayu.

“ Prof boleh aja cari orang lain untuk gantikan saya. Ramai aja yang nak bekerja dengan Prof,”kata Syafika.

“Memanglah ramai yang nak kerja dengan saya, tapi bukan senang nak latih orang baru.Kesian Suriati yang terpaksa mengajar balik budak baru.Fika dah tau banyak perkara.Mudah untuk Suriati dan mudah untuk abang juga,” kata Amri.

Alasan, bisik hati Syafika.Bukannya susah pun kerja yang perlu dibuat. Bancuh kopi semua orang pandai buat. Menaip semua orang tahu. Cuma Prof tak boleh pegang tangan,tak boleh cium pipi aja kalau orang lain menggantikannya. Alah, prof ni ulat bulu, sekejap aja budak tu dia goda jadikan kekasih dia. Timbul pula rasa cemburu bila Syafika mengenangkan akan ada perempuan lain yang akan mendapat kesempatan  berjumpa dengan Amri setiap hari.Tambah cemburu bila membayangkan Amri mengusap tangan perempuan lain dan mencium pipi perempuan lain.Di hati Syafika hanya dua orang perempuan sahaja yang dibolehkan bermesra dengan Amri, iaitu Puan Zurina isteri Amri dan syafika sendiri.

“Fika dah dapat kerja di tempat lain ke? ‘tanya Amri apabila melihat Syafika mendiamkan diri.

Syafika tersentak dari lamunannya apabila Amri menegurnya.

“Tak ada pun kerja lain,” jawab Syafika ringkas.

“Dah tu kalau tak ada kerja lain nak buat apa aja? Takkan nak duduk rumah tiap-tiap hari .Mesti awak akan rasa jemu nanti,” kata Amri.”Kalau Fika kerja dengan saya sekurang-kurangnya dapat juga sedikit sebanyak membantu Fika dari segi kewangan.” Tidak ada lagi istilah ‘abang’ dan ‘sayang’ dalam perbualan mereka berdua.

“Sebenarnya saya dah  rancang nak cari kerja di KualaLumpur. Tak lama lagi saya nak bertunang. Bakal tunang saya yang galakkan saya berpindah ke Kuala Lumpur.Nanti bila dah kahwin pun memang saya merancang untuk menetap di Kuala Lumpur, “ujar Syafika.

Selama ini Syafika cuba mengelakkan bercakap tentang Haikal di depan Amri.Dia cuba sebaik mungkin menjaga hati Amri. Dia tahu Amri seorang yang kuat cemburu.Tapi pagi ini Syafika tidak ada pilihan.Dia perlu berterus terang dengan Amri yang Haikal adalah masa depannya.

“Tidak ada lagi pertimbangan  dari Fika tentang keadaan saya?” kata Amri seolah-olah merayu kepada Syafika agar memikirkan semula keputusannya untuk meletak jawatan.

“Maaf Prof. Saya dah fikir semasak-masaknya keputusan ini.Saya rasa bersalah selama ini menjadi seorang yang berpura-pura.Saya banyak berbohong kepada kekasih saya.Saya berbohong kepada emak saya.Saya ganggu kehidupan keluarga Prof.Saya berdosa besar kepada isteri Prof.Sampai bila kita nak hidup dalam kepura-puraan begini.Saya perlu menarik diri kalau Prof tidak ada kekuatan untuk melepaskan saya.Terima kasih kerana selama ini abang begitu mengambil berat tentang Fika,”air mata Syafika mula bergenang di kelopak matanya.Cepat cepat Amri menghulurkan tisu kepada Syafika.

“Abang tahu betapa susahnya sayang nak buat keputusan ini.Betul kita kenal tak lama. Tapi Fika sayang pada abang sangat-sangat. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya hati Fika nak tinggalkan abang. “ Syafika menangis teresak esak.

Amri bangun dan mengunci pintu pejabatnya.Dia bimbang kalau-kalau Suriati atau sesiapa juga ternampak adegan drama  airmata yang sedang berlaku di dalam bilik itu.

Amri kembali semula ke ke kerusinya. Syafika masih teresak esak menahan sendu.

“Abang tahu abang yang bersalah dalam soal ini.Abang yang goda Fika.Abang  sebagai orang yang lebih dewasa dari Fika tidak seharusnya mengambil kesempatan keatas sikap naïf Fika,” tutur Amri.

“Kita sama-sama bersalah dalam soal ini. Fika tak salahkan abang. Fika yang jahat menganggu suami orang. Sekarang  ini Fika dah dapat rasakan betapa pedihnya hati kita dilukai.Kalau boleh Fika nak jumpa isteri abang. Nak minta maaf banyak-banyak sebab menumpang kasih sayang abang selama ini,” kata  Syafika.

“Fika dah habis fikir ke nak berhenti ni? Abang ada satu cadangan.Fika terus bekerja dengan abang sampai Fika dapat kerja di Kuala Lumpur.Sekurang-kurangnya Fika tak perlu menganggur.Kalau duduk rumah saja-saja pun nanti stress juga,” kata Amri memberi cadangan.

“ Sayang takut nanti kita semakin lama semakin jauh terpesong.Biarlah sayang yang cuba mengumpul kekuatan pergi jauh dari abang,” kata Syafika.

“Kalau sayang dah cakap macam tu, abang tidak ada pilihan,” kata Amri. Sayang dan awak bersilih ganti dalam perbualan mereka pagi itu.

“Cuma abang nak ucap terima kasih pada sayang kerana selama kita berkawan sayang mengambil berat tentang abang. Abang tahu satu hari nanti semua ni akan berlaku.Samada kita suka atau tak memang perpisahan ini tak dapat dielakkan. Abang harap bila sayang pergi dari hidup abang sayang simpanlah memori kita ini di sudut hati sayang,” kata Amri.

Amri lantas membuka sampul surat didepannya.Dia menulis ‘diluluskan’ dan menandatanganinya.

Berjurai airmata Syafika melihat Amri meluluskan permohonannya untuk meletak jawatan.

Perletakan jawatan Syafika berkuat kuasa serta merta. Ini bererti hari ini adalah hari terakhir Syafika bertugas di pejabat Amri.

“ Nanti sayang minta Suriati copkan surat ini dan uruskan perletakan jawatan sayang.” Kata Amri berdiri mengiringi Syafika ke arah pintu.

Mereka berdakapan sambil Amri mengesat air mata Syafika yang tak berhenti-henti mengalir membasahi pipinya.Sebahagiannya menitik membasahai bahu Amri.

“Dah, jangan menangis.Nanti malu kalau orang nampak,” kata Amri.

Dia membuka pintu dan Syafika bergerak perlahan menuju ke mejanya. Nasib baik Suriati tidak kelihatan.Mungkin Suriati ke tandas atau keluar minum. Kalau tidak mesti Suriati akan nampak perubahan yang berlaku di wajah Syafika.

Surat yang telah ditandatangani oleh Amri masih dalam genggaman Syafika.Tiba –tiba timbul rasa dihatinya untuk tidak melepaskan jawatan. Fika, Fika, kau kena buat keputusan.Jangan berbelah bagi.Bisik hati Syafika.

Perlahan-lahan Syafika meletakkan surat itu ke dalam laci dan mengunci laci itu. Dia perlukansatu hari lagi untuk membuat keputusan terakhir. 

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.