Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 39

Syafika merasakan peluh membasahi tubuhnya walaupun penyaman udara di bilik dipasang  maksima.Ira , adik bungsunya yang duduk bersebelahan dengannya mengesat peluh yang bermanik di dahi Syafika.Dua  orang kawan rapat Syafika Ayu dan Rita teman serumahnya semasa di universiti juga  juga ada menemani Syafika.

“Senyumlah sikit Fika. Orang nak bertunang patutnya senyum lebar tapi aku tengok kau ni masam aja. Macam tak suka aja nak bertunang,” kata Ayu mengusik.Bilik yang agak luas itu dirasa begitu sempit oleh Syafika.

“Entahlah Ayu. Aku letihlah”jawab Syafika sambil melihat wajahnya di cermin. Kelihatan matanya yang bengkak kerana menangis semalaman cuba dilindungi dengan solekan yang tebal.

“Belum apa-apa dah letih? Hihi,”Rita ketawa mengilai sambil diperhatikan oleh Ira dengan tanda tanya.Tidak memahami apakah yang lucu sangat dengan kenyataan kakaknya.

“Yelah. Ingat senang ke bila fikirkan tanggungjawab nak jadi isteri orang tak lama lagi.Aku ni memasak pun tak pandai,” kata Syafika.

“Alah, benda tu benda kecik aja,”kata Ayu sambil membetulkan tudung di atas kepala Syafika.

Perlahan-lahan Ayu berbisik  ditelinga Syafika.

“ Profesor tu tahu tak kau nak bertunang hari ni?” tanya Ayu

“Profesor mana pulak? “ Syafika berpura-pura bertanya kepada Ayu

“Alah, dia  tu lah,” kata Ayu sambil mengerling kepada orang lain, takut-takut perbualan mereka berdua didengar oleh orang keliling.

“Tahu,” jawab Syafika ringkas.

Punca sebenarnya dia tidak tidur pada malam tadi pun kerana profesor itu jugalah. Syafika berbalas sms dengan Amri sehingga pukul 3 pagi walaupun Syafika tahu pada ketika itu Haikal dan rombongan peminangan dari Kuala Lumpur telah pun sampai ke Kota Bharu .Mereka bermalam di salah sebuah hotel di Kota Bharu.

Semenjak dia meletak jawatan beberapa minggu lepas Amri tak habis habis memujuk Syafika untuk bekerja semula dengannya. Namun Syafika berkeras untuk tidak mengubah keputusan.Biarlah dia simpan rindu yang mendalam untuk menatap wajah Amri namun bagi Syafika dia kena mulakan hidup baru.Dia kena setia pada Haikal, bakal suaminya.

Setiap sms Amri dibalas oleh Syafika. Syafika tertunggu-tunggu sms dari Amri .Setiap kali deringan sms dari telefonnya berbunyi Syafika amat berharap ia datangnya dari Amri.Malahan jika sms itu datang dari orang lain termasuk Haikal Syafika akan merasa kecewa.

Di luar bilik, Rahman ayah Syafika kelihatan mundar mandir di ruang tamu.Sesekali dia melihat jam di tangannya.Dia juga merasa debaran menunggu rombongan peminangan yang dijangka akan sampai bila-bila masa saja lagi.

Beberapa orang tetamu yang diundang terdiri dari qariah masjid berdekatan dan Pak imam turut berbual kosong sesama mereka. Di dapur kedengaran gelak ketawa perempuan- perempuan jiran yang diundang oleh Noraini, emak Syafika untuk membantu persiapan majlis serba ringkas pada petang itu.

Syafika mengintai dari dalam bilik sambil memasang telinga mendengar kalau-kalau ada  deruan enjin kereta menghampiri rumah mereka.Sambil itu dia melihat-lihat telefon di tangannya. Mesej dari Haikal danAmri silih berganti. Haikal memaklumkan rombongan mereka akan sampai dalam tempoh kurang dari 10 minit.Amri mengucapkan selamat bertunang kepada Syafika.Apabila membaca sms dari Amri Syafika tidak membalasnya.Dia takut nanti dia tidak dapat mengawal perasaan.

Beberapa minit kemudian kedengaran deruan enjin kereta mematikan perbualan tetamu yang hadir.Kesemua mata tertumpu keluar jendela melihat 5 buah kereta bergerak menghampiri rumah.Rahman terus menghampiri anak tangga dan turun bersalaman dengan lelaki separuh umur.Dia mengagak itulah bapa Haikal.Di belakangnya berdiri seorang wanita yang bertudung litup berumur sekitar hujung 50an atau awal 60an.Rahman mengagak itu adalah ibu Haikal.

“Sila-sila,” kata Rahman ayah Syafika dengan wajah teruja.Di kereta yang terakhir Haikal muncul dengan wajah yang berseri-seri. Dia mengenakan kemeja berwarna hijau muda, sedondon dengan pakaian Syafika. Syafika mengintai dari celah jendela melihat wajah Haikal persis seorang putera raja yang baru turun dari kayangan.Sejenak itu juga dia membayangkan wajah Amri yang tidak sekacak Haikal tapi begitu tenang dengan wajah seorang lelaki yang matang.

Noraini turut bersalam dengan Ibu Haikal sambil menguntum senyuman mesra.Salam Noraini disambut oleh ibu Haikal dengan senyuman lebar.

Haikal bersama dua orang kawan lelaki yang sebaya dengannya duduk di satu sudut di ruang tamu.

Tanpa melengahkan masa pihak Haikal memula bicara menyatakan hajat mereka untuk meminang Syafika.Pebincangan tentang wang hantaran, tempoh pertunangan dan perkara-perkara lain tidak jelas di telinga Syafika kerana  dia masih berada di dalam bilik.Ayu dan Rita mengintai-intai dari daun pintu bilik yang sedikit terbuka.

Perbincangan tidak mengambil masa begitu lama.Kira-kira 15 minit perbincangan tamat.Syafika diminta keluar ke ruang tamu untuk upacara menyarung cincin tunangan.

Sebaik sahaja Syafika melangkah keluar dari bilik semua mata tertumpu kepadanya.Haikal melihat wajah Syafika dengan rasa bangga.Sedikit pun tidak ada rasa penyesalan di hatinya menjadikan gadis yang berdiri di depan matanya sebagai bakal isterinya.Syafika sempat mengerling kearah Haikal tapi dia malu untuk merenung wajah bakal suaminya dengan lebih lama.

Syafika duduk bersimpuh di depan bakal ibu mertuanya.Dia tertunduk malu apatah lagi dia menyedari banyak mata yang memandangnya pada ketika itu.

Ibu Haikal mengeluarkan sebentuk cincin dan menyarungkannya  ke jari Syafika. Pada ketika itu airmata Syafika mengalir tanpa dapat ditahan-tahan.Pada ketika itu dia merasa sedih yang amat sangat.Satu perasaan yang tidak sepatutnya dirasakan oleh seorang yang baru mengikat tali pertunangan.

Syafika tiba-tiba teringat apakah perasaan Amri pada ketika itu.Semalam Amri telah menyatakan kepada Syafika yang dia akan cuba mengalihkan fikirannya dari memikirkan majlis pertunangan Syafika. Kalau boleh dia ingin tidur 48 jam supaya apabila dia bangun  dari tidur majlis pertunangan Syafika sudahpun berlalu.

Ayu yang duduk dibelakang Syafika cepat-cepat menghulurkan  tisu kepada Syafika apabila melihat semakin banyak air mata membasahi pipi Syafika sehingga merosakkan solekan di wajahSyafika.

Sebaik sahaja cincin telah disarungkan Salmah, ibu Haikal mencium kedua-dua pipi Syafika.

Sesudah selesai majlis rombongan peminangan meninggalkan rumah Rahman dan Noraini selepas menjamu selera roti canai dan gulai kambing yang ditempah khas.

Sebaik sahaja tetamu yang hadir meninggalkan rumah Ayu dan Rita meminta diri untuk balik.Syafika mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi hadir ke majlis pertunangannya pada petang itu.

Syafika membuka tudung dan menukar pakaian. Dia berbaring sambil membelek  cincin di jari manisnya.Cantiknya cincin ini, mestilah mahal harganya.Bisik hati Syafika.dia merasa begitu dihargai oleh Haikal.Tiba-tiba dia teringat telefonnya yang dimatikan tadi untuk tidak menganggu  semasa majlis berlangsung.Berderet mesej dari Amri apabila dia membuka telefon itu.Dia membaca satu persatu mesej-mesej dari Amri.Betapa sedihnya perasaan Syafika  membaca deretan mesej dari Amri.Spontan juga dia ingin membalas mesej dari Amri tapi naluri hatinya membantah keras .Fika, kau sekarang dah jadi tunangan  orang. Hatinya mengingatkanSyafika.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Amri melihat jam di tangannya.Sekarang sudah pukul 5 petang.Tentunya pada masa ini majlis pertunangan Syafika sedang berjalan.Hatinya merasa begitu resah sekali.Karipap yang terhidang di depannya tidak disentuh langsung.

“Abang, kenapa tak jamah langsung karipap tu. Orang goreng penat-penat dia tak nak makan pulak,” kata Zurina dengan suara separuh merajuk.Teramat jarang mereka berdua dapat meluangkan masa bersama-sama.Masing-masing sibuk dengan kerjaya.

“Kejap lagi abang makan.Nak baca suratkhabar ni kejap,” jawab Amri sambil membelek  dada akhbar.Muka surat yang sama ditatap oleh Amri semenjak 10 minit yang lepas. Hatinya tidak pada berita di akhbar tapi sedang memikirkan syafika.

Matahari  petang yang bersinar  memberi suasana yang damai pada petang itu.Zurina meletak buku yang sedang dibacanya dan bergerak masuk kedalam rumah meninggalkan Amri di beranda rumah.

Sebaik sahaja melihat Zurina bergerak masuk kedalam rumah Amri cepat-cepat mengambil telefon  dan melihat kalau-kalau Syafika membalas mesejnya.Kalaupun Syafika tidak ada masa untuk menaip, membalas mesej kosong pun mampu meredakan keresahan di hatinya.Namun Amri hampa apabila mesejnya tidak berbalas.

Sesekali dia merasakan perit di dada kirinya bekas pembedahan yang belum betul-betul pulih.Amri, kau kena tabahkan hati.Bersyukurlah kerana tuhan meminjamkan kebahagiaan kau dengan Syafika walapun untuk sekadar waktu.

Dia masih tertunggu-tunggu jawapan sms dari Syafika namun telefonnya terus membisu. Masa merangkak menghampiri Maghrib.Dia bergerak perlahan-lahan masuk ke dalam rumah,bersedia untuk mandi dan bersolat Maghrib.

Sebaik sahaja azan berkumandang,Amri mengimamkan solat Maghrib bersama-sama Zurina dan Syuhada.Namun jauh di sudut hati Amri masih berharap Syafika akan membalas sms darinya.kalau pun tidak hari ini, mungkin besok. Kalau tidak besok mungkin lusa.Yang penting Amri tidak putus berharap.

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.