Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 31

Amri bangkit bangun dari tidur sebaik sahaja dia dikejutkan bunyi  panggilan telefon dari Syafika.

“Sayang,bangunlah. Dah pukul 5.30 pagi ni,” terdengar suara Syafika di hujung talian.

Amri memasang lampu terletak bersebelahan katilnya. Hari ini dia berada di sebuah hotel di Kuantan kerana dia diundang untuk menyampaikan kertas kerja di dalam satu seminar di sana.

Bilik hotel itu begitu sunyi. Amri bangun sambil menggosok-gosok matanya. Rasa belum puas lagi tidur dah terjaga. Malam tadi dia telah berjaga sehingga larut malam . Membaca bahan-bahan yang akan dibentangkan pada pagi ini.

Selesai mandi dan solat Subuh Amri mengenakan pakaian dan bersiap-siap untuk turun bersarapan. Dia mengenakan kemeja dan tali leher dengan warna yang sedondon.Memang dari dulu hinggalah sekarang Amri tidak pernah ambil tahu tentang pemakaiannya.Semuanya ditentukan oleh Zurina. Amri tidak cerewet dalam soal berpakaian.

Pagi ini Amri merasa tidak sedap badan. Mungkin kerana keletihan. Semalam pun dia memandu berseorangan dari Kota Bharu ke Kuantan.Sampai di hotel hampir pukul 10 malam.Selepas itu berjaga sehingga lewat malam untuk mempastikan pembentangannya pada pagi ini berjalan dengan sempurna.

Sebaik sahaja dia memasuki lif hotel untuk menuju ke restoran yang terletak di tingkat bawah dia merasa kesakitan yang mencucuk-cucuk di sebelah kiri dadanya. Dia teringat maklumat yang dibacanya berhubung dengan serangan jantung. Mengikut apa yang dia tahu serangan jantung biasanya bermula dengan tanda-tanda yang dia alami.Rasa menyucuk di sebelah kiri dada.

Tak mungkin aku kena serangan jantung. Baru aja jumpa doktor Rosli beberapa minggu lepas dan dia mengesahkan aku  sihat. Mungkin tak cukup rehat aja. Di dalam lif cuma Amri dan beberapa orang lain yang sama-sama  kelihatan berpakaian kemas.Mungkin mereka inilah yang akan ke seminar.Amri melempar senyum kepada yang berada di dalam lif tapi dia merasakan kesakitannya semakin kuat menyerang. Dia bersandar di dinding lif.Terasa perjalanan lif menuruni tingkat 10 menuju kearah lobi bergerak begitu perlahan. Amri dapat merasakan peluh  dingin mula membasahi bajunya dan tengkuknya.Memang sah dah aku kena serangan jantung, bisik hati Amri.

Sebaik pintu lif terbuka Amri gagahkan diri untuk melangkah keluar tapi dia rebah betul-betul di depan lif.Segala-galanya menjadi gelap dan pekat.Amri sudah tidak sedar lagi apa yang berlaku selepas itu.

Keadaan menjadi kelam kabut sebaik sahaja Amri rebah ke lantai betul-betul di depan pintu lif hotel.

“Cepat panggil ambulan,” kata seorang lelaki yang mungkin petugas di hotel itu, mengarahkan mereka yang berada di ruang resepsi membuat panggilan telefon.Gadis yang bertugas di ruang resepsi seakan tergamam dengan apa yang berlaku.Dia terus membuat panggilan kecemasan sebaik diarah oleh lelaki itu.

Beberapa orang kelihatan mengerumuni Amri yang terbaring.

Seorang lelaki dalam lingkungan 30an bergegas ke arah Amri.

“ Minta lalu sikit. Saya doktor,” kata lelaki itu. Beberapa orang yang sedang berdiri berhampiran dengan tempat di mana Amri terbaring bergerak ke tepi memberi laluan kepada doktor. Selepas memeriksa nadi Amri doktor itu meminta mereka yang berhampiran membantunya melonggarkan ikatan tali leher Amri dan talipinggangnya bagi memudahkan pernafasan Amri.

Selang beberap aminit kemudian ambulan datang dan membawa Amri terus ke hospital.

Seminar yang sepatutnya berlangsung sepenuh hari terpaksa disingkatkan menjadi separuh hari sahaja kerana Profesor Amri disahkan terkena serangan jantung dan telah dimasukkan ke hospital.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Sebaik sahaja Amri membuka mata dia melihat Zurina dan Syuhada berada di depannya. Dia masih terlalu lemah untuk berkata-kata. Air mata Zurina dan Syuhada bercucuran membasahi pipi masing-masing. Air mata syukur kerana Amri telah sedar dari tidur Zurina mengusap-ngusap rambut Amri.Amri cuba berkata sesuatu tetapi Zurina memegang bahu Amri.

“Abang jangan cakap apa-apa buat sementara waktu ini.Doktor suruh abang berehat banyak-banyak,” kata Zurina.

Amri mendiamkan diri sambil memandang wajah Zurina dan Syuhada silih berganti. Di sebelah Zurina seorang lelaki yang tidak dikenalinya berdiri.Amri mengagak itu adalah doktor yang merawatnya.Dia cuba berkata sesuatu tetapi tidak ada kata-kata yang keluar dari mulutnya.Dia memejam matanya.Beberapa minit kemudian Amri terlelap semula.

“Puan Zurina,keadaan Prof ini amat-amat berbahaya. Kita perlu lakukan pembedahan pintasan jantung secepat mungkin.Banyak saluran arterinya yang tersumbat,” kata doktor Rujhan sebaik sahaja Amri terlelap. Pada masa ini Syuhada hanya memerhatikan sahaja perbincangan antara Zurina dan doktor Rujhan.

“Saya serahkan kepada doktor.Buatlah apa yang terbaik untuk dia,” kata Zurina.

Zurina dan Doktor Rujhan seolah-olah berbisik supaya tidak menganggu Amri yang sedang tidur. Sebelum ini doktor Rujhan telah memaklumkan yang Amri diberi ubat tidur untuk membolehkan dia berehat. Pelawat juga tidak dibenarkan kecuali keluarga terdekat.Zurina telah memaklumkan kepada Liza dan Aizat apa yang berlaku kepada Amri. Liza dijangka akan sampai di Kuantan pada bila-bila masa sahaja.Aizat yang  berada jauh di Amerika tidak balik memandangkan jarak yang jauh.Tambahan pula pada masa ini Aizat sedang menghadapi peperiksaan akhir semester.

Doktor Rujhan menulis sesuatu pada buku catatannya.Zurina sekadar memerhatikan sahaja perbuatan doktor Rujhan.

“ Puan Zurina,boleh tak kita berbincang di bilik saya? Kalau bincang di sini takut menganggu Prof yang perlukan banyak rehat.Anak Puan boleh ikut sekali. Nanti saya panggilkan jururawat untuk menjaga Prof,” kata doktor Rujhan.

Sebaik sahaja doktor Rujhan memasuki biliknya diikuti dengan Zurina dan Syuhada, mereka terus membincangkan tentang pemindahan pintasan jantung Amri. Semua perkara dibincangkan termasuk risiko pembedahan, kos , tempoh pemulihan dan pelbagai perkara lagi.

Zurina bersetuju dengan kos pembedahan walaupun memang mahal. Bagi Zurina nyawa Amri lebih penting dari segala-galanya.

“Bila nak buat pembedahan tu doktor? “ Zurina bertanya seakan tidak sabar untuk suaminya kembali sihat.

“ Kita akan pantau tahap kesihatan Prof terlebih dahulu. Buat masa ini kita tak boleh buat sebab dia terlalu lemah,” kata doktor Rujhan.

Zurina mengucapkan terima kasih kepada doktor Rujhan. Sebaik sahaja selesai mengadakan perbincangan dengan doktor Rujhan, Zurina dan Syuhada bergerak semula ke bilik rawatan yang menempatkan Amri.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Sebaik menerima berita tentang apa yang berlaku kepada Amri, Syafika tidak berhenti-henti menangis. Suriati juga agak kehairanan melihat reaksi Syafika yang begitu sedih.

“Syafika, akak pun sedih juga dengan apa yang berlaku pada Prof. Kalau jadi apa-apa kesian pada isteri dan anak-anak dia kan?,” kata Suriati sambil memandang wajah Syafika. Mereka berdua berada di rumah sewa.

Sebaik sahaja Suriati menamatkan kata-katanya esak tangis Syafika semakin menjadi-jadi.Timbul sedikit rasa hairan di hari Suriati.Tidak dinafikan Profesor Amri seorang ketua yang baik tetapi dia melihat reaksi Syafika agak berlebihan. Entah-entah Syafika dengan Amri ni ada apa-apa, bisik hati Suriati.

“Fika, janganlah sedih sangat sampai macam ni,” kata Suriati memujuk.

“Saya sedihlah kak. Kalau Prof tu sakit di Kota Bharu ni saya nak jaga dia tiap-tiap hari.Saya nak tunggu dia 24 jam,” kata Syafika dicelah-celah esak tangisnya.

Lain macam aja Syafika ni, Suriati berfikir. Aku yang kerja lebih lama lagi dari dia pun tak sesedih dia bila Prof ni jatuh sakit. Sah-sah dah Syafika ni ada menaruh hati pada Prof Amri, bisik hati Suriati lagi.

“Dia kat Kuantan Fika. Kalau di sini boleh lah kita ziarah dia. Ini kat Kuantan sana. Kalau Fika betul-betul nak ziarah Prof apa kata kita ke Kuantan  hujung minggu ni. Akak boleh aja bawak kereta. Duit minyak kita kongsilah sama-sama. Setuju?”tanya Suriati kepadaSyafika.

Bagaikan orang mengantuk disorong bantal Syafika terus menyatakan persetujuannya.

“ Terima kasih kak. Saya takkan lupa jasa baik akak kepada saya,” kata Syafika sambil mendakap Suriati.

Memang sah budak ni dah jatuh hati dengan Prof Amri tu, kata Suriati berbisik di dalam hati.

“Fika, akak nak tanya harap Fika tak marah. Kenapa Fika nampak begitu ambil berat terhadap Prof?” Suriati bertanya.

Syafika cuma diam membisu. Suriati merenung wajah Syafika.

“Akak ni orang perempuan Fika. Naluri orang perempuan lain,” kata Suriati.”Cara Fika beri reaksi bila Prof jatuh sakit akak boleh agak yang Fika menganggap Prof bukan sekadar ketua di tempat kerja tapi lebih dari itu.”Suriati cuba mencungkil rahsia dari Syafika.

“Taklah kak.Saya memang berjiwa sensitif. Mudah rasa sedih,”kata Syafika cuba menafikan perhubungannya dengan Amri melebihi perhubungan sebagai ketua dan orang bawahan.

“Tak apalah kalau Fika kata macam tu.Takkan akak nak paksa Fika mengaku pada benda yang tak betul.  Cuma sebagai kawan akak rasa nak bagi sikit nasihat kepada Fika. Prof Amri tu memang lelaki idaman wanita.Ada jawatan tinggi, baik dan agak kacak juga untuk lelaki yang dah berusia.Fika jangan mudah terperangkap dengan pujuk rayu suami orang. Suami orang ni kalau masa bercakap lembut gigi dari lidah.Tapi bila dia dah dapat apa dia nak, dia akan lempar kita jauh-jauh,” kata Suriati.

Ini seorang lagi yang macam Shikin. Kenapalah kawan-kawan aku semuanya berperangai ala-ala ustazah jemputan, bentak hati Syafika.

Syafika berkira-kira ingin menghantar sms kepada Amri tapi dia takut bukan Amri yang membaca mesejnya.Dia tak mahu dalam keadaan Amri yang sedang sakit dia menjadi pengacau rumahtangga orang.

“Tadi kat pejabat pun semua orang bincang tentang Prof. Macam-macam cerita yang akak dengar tentang kejadian yang menimpa Prof Amri. Ada kata dia rebah di bilik hotel.Ada yang kata di depan pintu lif.Ada juga yang kata dia rebah semasa menyampaikan ceramah di seminar tu. Tak tahu yang mana satu yang betul,” kata Suriati sambil membelek-belek majalah hiburan di tangannya. Televisyen yang terpasang di ruang tamu tidak ada siapa pun yang menontonnya. Syafika mengambil alat kawalan jauh dan menutup televisyen.

Selagi dia belum dapat melihat dengan mata kepalanya keadaan Amri  selagi itulah hatinya tidak tenteram. Hari ini baru hari Isnin. Kalau nak tunggu hujung minggu bermakna paling awal dia dan Suriati boleh ke Kuantan hari Khamis. Kelantan hujung minggunya hari Jumaat. Kalau nak ke Kuantan petang Khamis bermakna Suriati terpaksa memandu ke Kuantan selepas kerja.

Syafika sedar dia tidak patut mendesak Suriati untuk mengambill cuti semata-mata untuk memenuhi kehendaknya melawat Amri secepat mungkin.Shikin pun terkejut apabila dia memberitahu tentang Amri.

“Ya Allah ya tuhanku. Kau perkenankanlah permintaan hambamu yang lemah ini. Panjangkanlah umur Amri, “ Syafika berdoa sambil air mata terus mengalir membasahi pipinya.Dia malu kalau-kalau Suraiti nampak yang dia sedang menangis lagi.Cepat-cepat dia masuk ke biliknya dan menyembamkan mukanya ke bantal sambil menangis tersesak-esak.

Segala kenangannya  bersama Amri terus bermain di mindanya.Bagaimana kali pertama mereka bertemu di Yahoo messenger, bagaimana gugupnya dia bertemu semasa menjemput Amri untuk ke seminar. Bagaimana untuk kali pertama dia menaiki kereta Amri.Semua peristiwa itu begitu jelas di dalam mindanya.

Amri, jangan mati dulu………….


 

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.