BAB 19

Sejak daripada insiden tersebut hubungan mereka menjadi semakin akrab. Makin hari mereka menjadi semakin mesra. Kadangkala terbit kerinduan sekiranya tidak berjumpa. Telefon menjadi perantara yang mengeratkan hubungan mereka berdua. Bukan sahaja antara peminat dan novelis bahkan sudah mejadi kawan akrab. Atau lebih daripada itu? Rahsia tersebut hanya tersimpul di hati Raimy Nazri dan Anis Suraya.

Raimy Nazri menggoreng sosej dan nugget berserta telur dadar. Segelas jus oren turut disiapkan olehnya. Itulah juadahnya untuk malam ini. Bagi seorang bujang seperti dirinya, makanan tidak menjadi satu masalah. Asal kenyang cukuplah.

Sambil menjamu selera, Raimy Nazri menonton televisyen. Leka dia menonton sehinggalah dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Pantas telefon tersebut dicapai. Seraut senyuman mula terukir di bibir tatkala membaca mesej yang diterimanya sebentar. Pastinya mesej tersebut adalah daripada Anis Suraya.

- Malam indah sekiranya disulami dengan keserian warna.

Buat seketika, Raimy Nazri memikirkan makna di sebalik ayat yang diterimanya itu. Puas difikirkan akhirnya dia membalas mesej tersebut.

+ Keserian hanya di siang hari kerana malam adalah tempat sang bulan melepaskan rindu pada pungguknya.

Selang beberapa minit mesej tersebut berbalas. Raimy Nazri segera membuka peti simpanan mesej dan membacanya.

- Kerinduan yang sejak dahulu dipendam setelah dipisahkan oleh ruang dan masa.

+ Bermadah pula malam-malam begini. Sukar untuk difahami.

- Hati yang dibadai rindu sahaja yang memahami. Bukan semua yang dapat fahami walaupun seorang penulis.

Perlahan-lahan Raimy Nazri dapat mengagak makna di sebalik setiap bait mesej yang cuba disampaikan oleh Anis Suraya. Bibirnya mengukir senyuman. Walaupun tiada lafaz yang terucap tetapi dalam diam dia mengakui Anis Suraya mula mendaki takhta hatinya itu.



Azril melangkah keluar daripada bilik pengarah urusan. Mukanya serius tanpa segarit senyuman. Wajahnya tegang. Api kemarahan mengalir dan membara dalam jiwanya. Nafasnya turun naik lantaran menahan kemarahan yang tidak terhingga. Sehingga membuatkan seluruh tubuhnya terasa menggeletar. Kewarasannya terasa terbius. Bibirnya diketap geram. Sakit hatinya makin bertambah-tambah. Dia meluru melangkah menuju ke arah meja Raimy Nazri.

Raimy Nazri sedang tekun menyiapkan kerja tidak perasan dengan kehadiran lelaki tersebut. Sebuah fail yang dilemparkan ke atas mejanya membuatkan Raimy Nazri tersentak. Matanya terbuntang melihat ke arah Azril.

“Apa hal ni, Azril?”soal Raimy Nazri kehairanan. Dia kurang senang dengan sikap biadap Azril.

“Apa hal dengan aku?! Masalah dengan kau sebenarnya! ”bentak Azril dengan nada suara yang tinggi. Tali lehernya dilonggarkan. Matanya mencerlung tajam melihat ke arah Raimy Nazri.

“Masalah apa dengan aku? Apa yang aku dah buat?”soal Raimy Nazri ingin tahu.

Dia mula bangun daripada kerusi. Pekerja yang lain memerhati sambil berbisik antara satu dengan yang lain.

“Apa yang kau dah ampu bos sampai kertas kerja yang aku buat kena reject! Sedangkan kau punya diterima. Apa yang kau busuk hati sangat dengan aku?”tengking Azril. Darahnya terasa membuar-buar.

“Kenapa kau tak tanya bos saja pasal hal ni? Perlu ke kau tanya aku?”sanggah Raimy Nazri tenang.

Azril mencebik.

“Kau jangan buat bodoh depan aku. Aku tahu kau dah hasut fikiran bos sampai kerja yang aku buat kena reject! Kau memang dengki dengan aku kan? Sejak dari dulu lagi kau memang tak senang hati bila tengok aku senang kan?”rengus Azril.

Rakan-rakan yang lain cuba menenangkan tetapi ditolak kasar oleh Azril. Kemarahannya benar-benar berada pada tahap maksimum.

“Kau fikir sendiri lar? Aku kerja makan gaji, kau kerja makan gaji. Rezeki masing-masing terima. Aku tak ada masa nak buat part time jadi pengampu bos pulak. Kalau bos pilih kerja yang aku buat itu hak dia. Kenapa kau nak pertikai dan kau nak salahkan aku dalam hal ni?”tanya Raimy Nazri. Dia memandang tepat wajah Azril.

“Sebab siapa lagi yang benci aku dalam ofis ni melainkan kau! Lagipun projek di Shah Alam hanya kita berdua saja yang dapat. Tapi salah seorang sahaja yang akan dipilih. Semua orang tahu pasal hal tu. Tapi aku lebih lama kerja dalam ofis ni. Sepatutnya aku yang lebih layak untuk dapat. Tapi sebab mulut kau, kerja aku kena tendang.”ujar Azril tidak berpuas hati.

Raimy Nazri tenang mendengar tuduhan tersebut. Dia masak dengan sikap Azril yang gemar mencetuskan provokasi.

“Kau ada bukti nak tuduh aku macam ni?”soal Raimy Nazri.

Azril hanya terdiam. Dia merengus nafasnya sambil mengetap bibir. Matanya tajam menikam wajah Raimy Nazri.

“Tak ada kan? So, I think better you go back to your desk and continue your work. Aku pun ada banyak kerja nak kena buat.”ujar Raimy Nazri. Telapak tangannya dikembangkan dan didepakan sedikit sebagai isyarat menyuruh Azril beredar.

Azril masih tercegat tidak berpuas hati.

“Aku takkan berganjak ke mana-mana. Bagi aku manusia yang busuk hati macam kau tak patut wujud dekat dunia ni.”sengaja dia melemparkan provokasi.

Raimy Nazri membuat acuh tidak acuh. Malas melayan karenah Azril.

“Azril, lebih baik kau pergi sambung kerja lagi bagus tau tak. Aku pun dah naik menyampah tengok kau asyik nak cari gaduh dengan si Raimy ni sejak dari dulu lagi dia masuk kerja. Aku rasa manusia macam kau yang sepatutnya tak wujud dekat dunia ni. Hidup hanya tahu nak menyusahkan orang sahaja.”tempelak Fahrin.

Berdesing telinga Azril mendengar kata-kata tersebut. Dia meluru ke arah Fahrin dan mencekak kuat leher baju lelaki tersebut.

“Apa hal kau nak bela sangat si bodoh tu? Berapa banyak duit haram dia dah sumbat dalam mulut kau!”tengking Azril.

Fahrin terkial-kial cuba melepaskan diri. Raimy Nazri segera menghampiri untuk campur tangan.

“Azril, masalah sekarang antara kau dengan aku sahaja. Tolong lepaskan Fahrin.”pinta Raimy Nazri berlembut.

Azril melepaskan genggamannya. Tetapi hatinya masih sakit dengan kata-kata Fahrin sebentar tadi.

“Aku memang tak puas hati dengan kau! Dari dulu lagi! Aku harap kau mati satu hari nanti macam mana tunang kau mampus dahulu!”bentak Azril. Jarinya menuding ke wajah Raimy Nazri.

Serta merta darah Raimy Nazri terasa panas membuar. Suhu badannya terasa hangat. Hal kematian tunangnya dibangkitkan membuatkan kemarahan mula memancing dirinya. Orang boleh cakap apa sahaja tentang dirinya tetapi bukan tunangnya. Walaupun wanita itu telah tiada tetapi hatinya tetap menyayangi wanita tersebut.

“Kurang ajar!”

Baju Azril dicekak kuat di bahagian leher. Giginya diketap. Matanya mencerlung melihat wajah Azril. Tangannya diangkat untuk melepaskan penumbuk ke wajah lelaki tersebut di atas sikap biadabnya.

“Apa hal ni?!”

Teguran tersebut membuatkan tingkah lakunya terhenti. Semua mata tertancap ke arah Dato’ Mustapha yang sedang memerhati ke arah Azril dan Raimy Nazri.

“Kamu berdua masuk ke bilik saya sekarang!”tegas Dato’ Mustapha memberikan arahan.



Raimy Nazri pulang ke rumah lewat pada hari itu. Selepas waktu pejabat, dia meluangkan waktu bersama Anis Suraya. Meluahkan segala rasa yang terpendam. Setiap masalah yang menghantui dirinya. Mendengar kata-kata nasihat dari wanita itu membuatkan dirinya terasa tenang. Terasa kurang sedikit beban yang menyesakkan otak. Siang tadi dia dan Azril telah dipanggil masuk ke bilik pengarah urusan.

Setiap perkara dan isu berbangkit yang diketengahkan oleh Azril telah diselesaikan secara baik oleh Dato’ Mustapha. Sememangnya lelaki itu mempunyai kriteria seorang pemimpin yang berkaliber kerana mempunyai sikap sabar, berwawasan di samping etika yang luhur. Ternyata Azril bersalah kerana melemparkan tuduhan melulu kepada Raimy Nazri.

Dato’ Mustapha memilih hasil kerja Raimy Nazri kerana lelaki itu mempamerkan hasil kerja yang berkualiti dan bermutu tinggi berbanding dengan Azril. Akhirnya perkara itu diselesaikan secara baik tanpa dikenakan hukuman kepada mana-mana pihak. Azril dan Raimy Nazri diarah bersalam dan bermaaf-maafan.

Walaupun begitu, jauh di sudut hati Raimy Nazri dia seakan yakin Azril akan mengulangi lagi sikapnya tersebut. Tetapi yang penting dia tidak menyimpan dendam terhadap lelaki itu. Hanya mengharapkan suatu masa nanti lelaki itu akan berubah.

Raimy Nazri membuka peti sejuk. Dia mencapai sebotol air minuman dan menuang cecair sejuk ke dalam cawan. Dia meneguk melepaskan dahaga. Lampu di bahagian dapur dibiarkan tidak bernyala. Hanya lampu hiasan dinding sahaja yang terbias memuntahkan warnanya samar-samar.

Tiba-tiba Raimy Nazri terlihat sesuatu sedang berada di belakangnya. Bayangan tersebut dilihat menerusi ekor mata. Pantas Raimy Nazri berkalih tetapi tiada apa yang kelihatan. Wajah Raimy Nazri beraut serius. Matanya dililaukan ke serata arah dan ceruk.

Sebaik memastikan tiada apa-apa, Raimy Nazri berkalih semula. Dia menutup pintu peti sejuk. Tidak semena-mena situasi yang sama berulang lagi sekali. Raimy Nazri memalingkan wajahnya, tetapi tidak kelihatan sesuatu yang berada di belakangnya. Fikirannya mula tersorot perkara yang sama berlaku sewaktu di Pulau Pinang tempoh hari. Jantungnya mula berdegup laju.

Raimy Nazri segera meninggalkan ruangan dapur. Tiba-tiba matanya dengan jelas dapat menangkap satu susuk tubuh kecil mirip seorang kanak-kanak sedang berlari melintasi ruangan dapur menuju ke ruang tamu. Raimy Nazri menelan liurnya sendiri. Tidak pernah dia mengalami situasi sedemikian rupa.

Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke ruang tamu. Jantungnya berdebar laju. Peluh terasa membasahi tubuh. Liurnya ditelan berulang kali.

“Satu.. dua.. tiga..”

Suara kanak-kanak sedang mengira jelas kedengaran di telinganya. Membuatkan Raimy Nazri menjadi semakin tidak betah. Situasi yang dialami terasa lebih menyeramkan daripada novel bergenre seram yang ditulisnya.

Matanya jelas menangkap satu susuk tubuh kecil sedang mencangkung sambil mengira nombor. Liurnya ditelan sekali lagi. Lonjakan rasa semakin hebat terasa. Cukup mendebarkan. Kakinya bertapak selangkah demi selangkah ke arah kanak-kanak itu. Terasa seolah-olah tapak kakinya tidak berpijak di atas lantai.

Sebaik berada di belakang tubuh kecil itu, tangan Raimy Nazri dihulur perlahan-lahan. Dia ingin menyentuh tubuh kanak-kanak tersebut. Sebaik jarinya tersentuh tubuh kanak-kanak yang lengkap berpakaian tersebut, kanak-kanak tersebut memalingkan wajahnya.

Raimy Nazri terkejut besar. Mulutnya terlopong. Jantungnya terasa berhenti berdenyut. Serentak itu, dia jatuh terjelupuk di atas lantai tidak sedarkan diri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.