Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benar Aku Suka
Benar Aku Suka
Lily Js
7/3/2018 22:42:13
72,976
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 23


Perlahan-lahan Hana menghirup udara segar pada pagi yang cerah. Gadis manis itu bersyukur kepada Allah kerana dia masih bernafas dan diberikan kebahagiaan di samping keluarganya yang kecil. Walaupun ada ketika gadis cantik itu diselimuti rasa duka yang tidak dipinta. Lumrah kehidupan manusia biasa yang ada sahaja dugaan dalam hidup. 


Tujuh tahun berperang emosi, minda dan fizikal, akhirnya Hana berjaya menamatkan persekolahan. Sekali lagi Hana mengucapkan rasa syukur kepada Allah yang tak terbatas, kerana dia dapat menjawab kertas soalan dengan baik dan sebagainya. Bak mutiara kata di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Seperti pelajar lain, Hana juga mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Hana mahu melepaskan hasrat hati yang sudah lama terbuku. 


"Selamat pagi ayah," sapa Hana ceria. Pagi hujung minggu itu Harith tidak bekerja. Waktu sesuai untuk Hana berbincang dengan ayahnya dari hati ke hati.


Harith membalas senyuman ceria Hana. Dia bersyukur akhirnya Hana kembali ceria. Sebelum itu Harith selalu risau melihat wajah kesedihan Hana. Sebagai ayah tunggal, Harith sulit untuk memujuk anak gadisnya yang semakin meningkat dewasa. Harith hanya mampu berdoa dan tawakal kepada Allah supaya masalah yang dihadapi oleh setiap anaknya selesai dengan sempurna. 


"Selemat pagi juga nak Hana. Hana nampak ceria, ada apa-apa berita baik ke?" ujar Harith dengan bahasa berbunga-bunga. 


Hana tersenyum simpul. "Berita baik? Tak adalah ayah. Cuma... hidup kena ceria selalu ayah. Lagipun tersenyum selalu umpama sedekah. Bila orang lain melihat kita tersenyum, orang di sekeliling kita juga turut tersenyum. Tersenyum juga boleh menghilangkan stress. Selain itu tersenyum salah satu penawar untuk kelihatan muda atau baby face. Terapi yang simple namun jarang orang ramai amalkan."


Harith mengangguk seraya tersenyum simpul. Hana jarang bertazkirah namun bila menyentuh tentang kesihatan dan manfaat kepada tubuh badan manusia, Hana umpama kaunselor. Sebagai ayah pada Hana, Harith kagum dengan kecantikan dan kulit cerah yang Hana miliki. Mungkin berkat kesabaran anaknya yang selalu tersenyum walaupun menghadapi masalah. 


"Baik Hana. Terima kasih... Mulai sekarang ayah nak kerap tersenyum. Siapa tahu esok-esok ayah akan kembali muda seperti bayi." Harith cuba bergurau-senda. 


Hana tergelak kecil mendengar loyar buruk ayahnya. Walaupun usia Harith sudah lanjut namun kudrat ayahnya masih kuat. Maklumlah, ayahnya semenjak dulu seorang lelaki aktif dan rajin bersenam. Di samping melakukan kerja ringan atau berat, Harith tidak lupa mengambil vitamin D, pengambilan kalsium seperti susu soya dan sayuran hijau untuk mengekalkan tulang yang sihat. 


"Ayah, Hana nak cakap sesuatu dengan ayah," pinta Hana setelah berbual mesra dengan ayahnya. Mood Harith agak baik pagi itu dan Hana berdoa agar ayahnya boleh kompromi. 


Harith melepaskan keluhan halus melihat wajah was-was Hana. Semenjak dia menegah Hana untuk menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki muda, Hana berubah. Sukar bergurau mahupun berbicara dari hati ke hati. Harith berasa bersalah apabila dia seperti seorang ayah yang gagal mendidik dan menjaga anak dengan baik.


"Nak Hana, hanya katakan apa sahaja yang menganggu fikiran Hana," jawab Harith cuba berlembut dan mencuba memahami isi hati Hana. 


"Ayah, Hana nak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi selepas keputusan keluar. Hana tidak mahu bertunang atau berkahwin dulu. Tapi Hana nak sambung belajar lagi. Boleh ke ayah?" pinta Hana berhati-hati. Rasa resah tidak menghilang dari wajahnya yang cantik. 


Harith ternganga seusai mendengar permintaan Hana yang tidak dijangka. Harith terpegun apabila Hana bertekad meminta restu semata-mata mahu melanjutkan pelajaran. Dari dulu Harith sudah maklum, Hana seorang anak yang rajin belajar. Sudah tentu Hana mahu mencapai cita-cita sebelum melangkah ke alam perkahwinan. 


"Tapi Hana... Hana tak boleh macam itu. Tarikh dan masa sudah ditetapkan. Mahu tak mahu, Hana kena juga bertunang dengan Nurhan. Nanti apa pula kata keluarga sahabat ayah, Hana..." Harith cuba menyedarkan Hana ke alam yang nyata. Walaupun dia tidak sanggup terus menyakiti hati anaknya, namun Harith juga tidak mahu menimbulkan masalah lain.


Hati Hana merundum kecewa mendengar jawapan ayahnya. Hana tidak memahami mengapa jalan hidup yang dia lalui selalu mengecewakan dan menyakitkan. Hana mahu kehidupan seperti gadis remaja yang lain. Boleh melanjutkan pelajaran setelah mendapat keputusan cemerlang, sehingga memiliki kerjaya dalam hidup. Hana juga mahu... mahu memiliki teman hidup yang secocok. Bukan teman hidup plastik yang hanya terpaksa untuk diterima dan menerima. Namun hanya sekelip mata impian Hana musnah untuk selamanya. 


"Harith, siapa awak nak mengatur hidup Hana?" tegur seorang pemilik suara. 


Mendengar suara lantang yang tak asing di pendengaran, Hana lantas mengangkat wajah ke arah kamar tetamu. Hana tersenyum ceria melihat kehadiran insan yang dia sayangi semenjak kecil. Ketika dia berkecil hati dengan kedua orang tuanya, Hana akan ke pelukan wanita tua nan manis itu. Nenek Hana ialah penasihat ajaib Hana. 


"Apa pula mak merepek? Saya ayah Hana. Sudah tentu saya berhak ke atas hidup Hana." Harith menjawab yakin. Sedikit demi sedikit, kemunculan emaknya di ruang tamu agak meresahkan Harith.


"Itu mak tahu, Harith. Tapi sebagai ayah kandung juga awak tak boleh memaksa Hana untuk bernikah dengan lelaki itu. Hana masih muda, Harith. Usia ideal wanita berkahwin pada usia 24 sehingga 27 tahun. Lagipun, awak tak merasa bersalah ke menyerahkan Hana pada lelaki yang belum tentu elok budi pekerti?" tegur Nek Inayah selaku nenek Hana yang penyayang.


Nenek Inayah, wanita berusia 78 tahun namun masih memiliki tubuh badan yang sihat. Wanita itu tidak bersetuju apabila Hana dikahwinkan pada usia muda. Pada wanita berusia tapi super active, dia mahu Hana melanjutkan pelajaran di institut pengajian terlebih dahulu. Inayah bersimpati dengan nasib cucunya, sedangkan gadis polos itu berhak memilih cara hidup yang tersendiri.


"Mak, pemuda itu anak kepada sahabat saya, Tuan Qasim. Masakan mak tak kenal siapa Qasim? Qasim lelaki baik, dia juga banyak membantu kami. Sudah tentu anak lelaki dia berbudi pekerti." Harith menjelaskan dengan panjang lebar.


Nek Inayah mengeluh mendengar penjelasan anak lelakinya yang lebih kepada andaian tapi bukan kenyataan. Setelah mengetahui Hana dijodohkan dengan lelaki bukan pilihan hati, Inayah berasa tak sedap hati. Entah apa yang menggusarkan dia. Wanita itu mahu perjodohan Hana dengan lelaki itu dihentikan tanpa alasan. Hana, cucunya yang baik hati dan manja, bukan barang yang harus dijual beli dengan suka hati. Hana juga mempunyai harga diri seperti perempuan lain.


"Harith, mak faham. Qasim sahabat awak yang baik dan awak terhutang budi tapi... Tentang jodoh dan perkahwinan kita tidak berhak ke atas Hana. Lagipun Hana nak belajar lagi. Harith, beri peluang pada anak awak. Selepas itu terserah pada Hana mahu memilih lelaki itu atau sebaliknya." Emak Harith memberi buah fikiran.


"Maksud mak, Harith perlu membatalkan pertunangan Hana yang tidak lama lagi?"


Nek Inayah mengangguk. "Benar Harith. Membatalkan pertunangan Hana adalah jalan yang terbaik. Walaupun itu menyinggung perasaan di pihak sana." Wanita berusia itu menjawab yakin. Dia tidak mahu anak lelakinya membantah arahan. 


Harith mengeluh berat. Dia sangat kenal siapa emaknya. Wanita kental dan lantang bersuara. Arwah ayahnya dulu sering tunduk dengan pesona emaknya. Kini giliran Harith harus mengikuti telunjuk emaknya. Sebagai anak juga harus menghormati keputusan ibu bapa. Mengenangkan rencana emaknya, Harith merasa risau dengan penerimaan keluarga Tuan Qasim. Apatah lagi, Nurhan yang bersungguh-sungguh mahukan Hana.


"Nek, terima kasih. Hana sayang sangat nenek..." luah Hana rasa terharu seraya memeluk erat tubuh neneknya. Harith yang melihat gelagat Hana hanya tersenyum hambar. Benarlah, selama itu dia hanya menyakiti hati Hana yang murni. 


"Maafkan saya, Maria. Saya... Saya selalu gagal menyelami perasaan Hana. Saya kerap kali menyakiti perasaan anak kita," bisik Harith di dalam hati. Merasa bersalah kepada arwah isteri tercinta mahupun kepada Hana. 


******


Hana merasa gembira dan bersyukur apabila ayahnya cuba kompromi dan membatalkan pertunangan dia dengan Nurhan. Lelaki yang tidak disenangi oleh Hana, walaupun ayahnya dan penduduk kampung melabel Nurhan sebagai lelaki berbudi pekerti, malah memuji Nurhan kerana mempunyai kerjaya yang baik. 


Melihat Merlin Adam dari jauh yang semakin baik dan tampak bahagia bersama dengan seorang perempuan muda, Hana merasa lega. Telahan Hana selama itu benar belaka, akhirnya Adam memilih perempuan seusia dengan umurnya. Walaupun pada awal perpisahan dia mahupun lelaki itu terasa terseksa.


Hubungan Hana dan Hani semakin baik seperti hubungan adik-beradik yang saling membantu dan mengasihi. Sesekali Hani berkasar namun Hana tahu, adiknya mempunyai hati yang lembut dan mengasihi dia. Hani juga sering keluar rumah dengan wajah berseri-seri. Hani hanya menjawab acuh tak acuh setiap kali Hana bertanya tentang 'keceriaan' Hani. 


"Hana, sudah-sudah berangan... Silap haribulan Hana jalan tak tengok kiri kanan. Tubuh Hana bukan diperbuat dari besi. Pemandu lebuh raya pula ada saja yang tidak bertanggungjawab. Cuai dan tidak berhemah, ditambah lagi pejalan kaki yang tak berhati-hati ketika menyeberang jalan raya. Hana faham ke maksud nenek?" Nenek Inayah membebel panjang lebar menyebabkan wajah Hana merah padam. 


"Hana faham nenek. Maafkan Hana. Nasihat berharga nenek, Hana akan semat di hati," jawab Hana dengan nada lembut. Dia menghargai pesanan ikhlas neneknya yang prihatin.


Nek Inayah mengangguk seraya tersenyum. Sebelum menjelang malam, wanita tua itu mengajak Hana membeli-belah di pasar raya berdekatan. Dia mahu memasak special untuk seisi keluarga itu setelah sekian lama tidak bersua muka. Tubuh Hana agak kurus berbanding Hani, meresahkan Nek Inayah. Gadis remaja seperti Hana memerlukan tenaga setelah berperang dengan pelbagai masalah.


Nek Inayah dan Hana leka memilih bahan masakan setelah tiba di pusat beli-belah. Pelbagai jenis pilihan yang menggoda mata dan membuat Hana rambang mata, mujurlah Nek Inayah lebih peka memilih. Maklumlah, Nenek Inayah mahir dalam dunia masakan. Manakala, Hana kurang mahir dalam dunia memasak.


"Hai... Awak kak Hana ke?" tegur seorang gadis muda.


"Err... ya, saya Hana. Awak?" jawab Hana agak tersentak dengan teguran gadis yang tak asing di mata. Wajah gadis muda itu sering mengganggu di ruang minda Hana yang kecil. 


"Saya Diana. Saya sepupu kepada Dhafir dan... dan juga teman rapat Adam," jawab Diana lancar dan ramah. 


Hana mengangguk perlahan apabila Diana dengan sukarela memperkenalkan diri. Senyuman nipis mekar di wajah cantik Hana setelah mendengar nama Adam disebut mesra oleh Diana. 


Diana, gadis comel dan cantik yang berjaya mendekati Adam setelah Hana berjaya menyakiti hati Adam. Kedua pasangan muda itu tampak serasi bersama. Hubungan mesra mereka dikenali orang ramai dan setiap dari mereka hanya mampu memasang wajah cemburu setelah Diana berjaya menjadi teman mesra Adam. 


"Sa... Saya gembira mendengarnya Diana," ujar Hana perlahan.


Diana tersenyum manis menatap wajah Hana yang tampak tidak tentu arah. "Terima Kasih kak Hana. Saya nak beli-belah. Saya nak bawa ke rumah Adam."


Hana terpana mendengar kenyataan Diana yang tidak dijangka. Kini Hana yakin, hubungan Adam dan Diana lebih dari teman rapat. Perasaan sakit perlahan-lahan menjamah hati Hana.


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Js