Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benar Aku Suka
Benar Aku Suka
Lily Js
7/3/2018 22:42:13
73,018
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 22

Hani memandang sekeliling kelas namun empu badan yang dicari yang tidak ditemui. Walau apapun dia harus bersemuka dengan Adam. Hani sudah tidak sanggup melihat keadaan kakaknya yang terluka dalam. Walaupun reaksi Hana seperti tiada apa yang berlaku, namun Hani tahu kakaknya sedang memendam perasaan dan akan memakan diri sendiri. 


"Hmm... Boleh saya tahu apa masalah awak?" tegur seorang pelajar lelaki. Sedari tadi dia melihat gadis itu terjenguk-jenguk melihat ke dalam kelas. Entah apa tujuan pelajar perempuan itu datang ke kelasnya. 


Hani agak terpempan dengan teguran Dhafir yang kurang mesra. Dia tahu Dhafir ialah salah satu kawan Adam. "Saya nak jumpa Adam. Tapi dia kat mana ya?" soal Hani sopan-santun.


Dhafir mengangguk-angguk kepala sambil menatap wajah tenang Hani. Kedua mata Dhafir juga tak lari dari menatap tubuh fizikal Hani yang agak menarik hati. 'Hani' nama yang cantik persis wajahnya yang cantik menawan. 


"Boleh saya tahu apa tujuan awak mahu berjumpa dengan Adam? Tak puas menyakiti dia lagi setelah apa kakak awak telah lakukan pada Adam. Awak... jangan bermimpi boleh berjumpa dengan Adam, Hani." Dhafir menjawab sinis. Dia juga berdendam apabila dia dan Rifqi mengambil tahu alasan Hana putus hubungan dengan Adam, namun Hani hanya membisu. Kini apa 'jadah' Hani mahu mencari Adam? 


Hani mengeluh. Merasa geram dengan Dhafir yang terkenal sebagai pelajar paling nakal. Dia mahu bertanya bukan untuk bersoal jawab dengan Dhafir.


"Saya ingin berjumpa dengan dia atau apa, bukan urusan awak, Dhafir. Dan... kalau awak taknak beritahu tidak usah berdolak-dalik. Saya tidak perlukan bantuan dari orang seperti awak." Hani mencuci telinga Dhafir yang seperti memandang dia sebagai perempuan remeh. 


Dhafir tertawa kecil mendengar jawapan sinis Hani. Dia tidak menjangka Hani bukan sahaja memiliki paras rupa yang cantik tapi juga memiliki aura sebagai perempuan jahat dan garang. Hani amat berbeza dengan gadis-gadis kenalan Dhafir. Keinginan Dhafir untuk mendekati pelajar garang itu bercambah di jiwa. 


"Hani, Awak tidak perlu berkasar dengan saya. Siapa tahu saya boleh membawa awak untuk berjumpa dengan jejaka tampan itu. Awak tak mahu ke?" Tawar Dhafir sambil menjengkit kening kirinya. 


Bila-bila masa sahaja Dhafir boleh membawa Hani untuk berjumpa dengan Adam. Tapi mengenangkan Adam ketinggalan banyak pelajaran, Adam perlu untuk bersendirian. 


Hani meleretkan senyuman mengejek apabila Dhafir bermain tawar-menawar. Jika tidak memikirkan Hana, Hani tidak sanggup berbual kosong dengan lelaki bongkak itu. Namun demi Hana yang sudah banyak berkorban untuk dia dan ayahnya, Hani sanggup melakukan apa sahaja. Hani mahu membalas budi baik Hana walaupun dia sering menyakiti hati kakaknya.


"Dhafir, ini tentang kakak saya dan lelaki itu. Sebelum terlambat dan lelaki itu menyesal seumur hidup, beritahu saya sekarang Adam di mana? Atau awak tak faham bahasa?" ujar Hani cuba bersabar walaupun bahasanya tetap kasar.


"Boleh Hani. Kenapa tidak? Tapi... tak semudah itu Hani. Awak faham maksud saya?" Dhafir masih berteka-teki. Dia ada rancangan tersendiri untuk menjerat hati Hani yang agak bermakna di mata tajamnya.


Hani menggeleng kepala. Telahan dia benar belaka. Dhafir bukan sahaja pelajar nakal tapi seorang pelajar lelaki yang sulit untuk memahami bahasa melayu. Dia terdesak untuk berjumpa dengan Adam namun Dhafir masih berdolak-dalik. 


"Hanya katakan apa yang awak inginkan, Dhafir?" jawab Hani dengan wajah dingin. Tahap kesabarannya semakin tipis melayan kerenah Dhafir.


Dhafir tersenyum jahat memandang wajah dingin Hani. Tubuhnya yang tinggi perlahan-lahan mendekati Hani sehingga wajahnya berada di hadapan wajah Hani. "Jadilah kekasih saya, Hani. Hanya itu syaratku. Selepas itu awak boleh berjumpa dengan Adam. Awak mahu Hani?" ujar Dhafir bersahaja sambil membongkok tubuh di hadapan Hani yang tampak terkejut.


Dhafir tahu Hani pernah melamar Adam sebagai teman lelaki. Malangnya Adam tidak berminat terhadap perempuan lain. Kasih dan cinta Adam sudah terpaut Kepada Hana. Kini Dhafir ingin menyentuh hati Hani. Dhafir yakin dia berhak membahagiakan Hani yang kecewa dalam cinta. Dari Hani merasa cinta bertepuk sebelah tangan, lebih baik Hani menerima dia. 


Mendengar syarat Dhafir yang agak kurang ajar di pendengaran. Hani lantas mengangkat tangannya ke arah pipi Dhafir. Dia mahu mengajar lelaki itu yang tidak reti beradab melalui tamparan hebat. Melihat pipi kanan Dhafir yang sudah kemerahan, senyuman sinis mekar di wajah angkuh Hani. Menampar lelaki tidak asing pada Hani. Dhafir harus sedar dia bukan boneka yang dijual beli seperti yang tersusun kemas di rak kedai boneka.


Dhafir menyentuh pipinya bekas tamparan Hani. Tamparan Hani di pipinya agak kuat. Dia hanya membiarkan Hani menyentuh pipinya. Dalam sejarah hidup, Dhafir tidak melawan apabila tubuhnya dikasari. Malah, sebelum perempuan mengasari dia, Dhafir terlebih dahulu bertindak kasar. Layanan Dhafir terhadap Hani amat berbeza. Pendek kata, Dhafir sudah jatuh hati pandang pertama kepada Hani. Namun mengapa kini dia baru menyedari setelah sekian lama mereka berada di bawah satu bumbung sekolah.


"Awak terlalu kasar dan degil Hani. Saya musykil, adakah benar awak ialah adik kandung kepada Hana yang penuh sopan-santun itu. Awak pelik tapi tetap menarik hati saya, Hani." Luah Dhafir sambil di hujung kata dia meleretkan senyuman.


Sejenak Hani terpana melihat senyuman Dhafir yang entah mengapa menyejukkan jiwa dan matanya memandang. Dia telah menampar Dhafir, masakan Dhafir tidak bertindak balas. Gossip Dhafir yang agak kejam kini amat berbeza di mata Hani. 


"Dha... Dhafir awak okay tak?" Hani menyoal dengan suara dengar tak dengar. 


Melihat wajah Hani di antara terkejut dan keliru menggelikan hati Dhafir. Dia berasa geram dengan sikap Hani yang berubah-ubah. Sekejap kasar sekejap lembut. Hani menepati cita rasa Dhafir. 


"Berhentilah berlakon seolah-olah awak tidak terpaut dengan karisma jahat saya, Hani. Awak hanya membuat saya semakin gila, tahu tak?" ujar Dhafir seraya mengambil tangan Hani lalu mengheret untuk berjalan bersama.


"Eh, awak lepaslah... Sakit tahu," pekik Hani. Tidak menyenangi tindakan Dhafir yang agak kasar. Dia bukan haiwan peliharaan yang perlu diheret ke sana sini. 


"Hani, kita kena lekas berjumpa Adam sebelum waktu rehat tamat." Dhafir menjawab tanpa melepaskan tangan Hani malah semakin erat. Mahu tidak mahu Hani terpaksa menuruti keinginan Dhafir dengan wajah kesal. 


*****


Hani memandang wajah Dhafir dengan riak tidak puas hati. Lelaki itu sangat menyebalkan hati. Dhafir menghalang dia untuk bersemuka dengan Adam. Dia tak faham mengapa Dhafir menegah dia untuk bertemu dengan Adam, sedangkan dia mempunyai urusan penting dengan Adam.


"Siapa perempuan murahan itu?" soal Hani agak tegas.


Dhafir mengeluh kecil mendengar tuduhan melulu Hani. Pelajar perempuan yang mendampingi Adam di library bukanlah gadis murahan. Gadis itu sepupu kepada Dhafir dan juga cinta pertamanya. Malangnya cinta Dhafir hanya bertepuk sebelah tangan. Dia juga pernah membantu gadis comel itu untuk bersatu dengan Adam apabila Adam tidak berminat bercinta dengan mana-mana perempuan. Melihat kemesraan Adam dengan sepupunya, Dhafir tidak perlu masuk campur lagi.


"Jangan menuduh dia seperti itu Hani. Dia gadis suci. Adam pula lelaki single sekarang. Ingat Hani, kakak awak sudah mengecewakan Adam. Adam sudah cukup menderita selama itu. Awak atau kakak awak berhentilah mendekati Adam. Saya harap awak faham, Hani." 


Senyum tawar terukir di wajah dingin Hani mendengar nasihat Dhafir yang tidak munasabah. Hani tidak berpuas hati apabila mereka meletakkan semua kesalahan di atas bahu Hana. Sesungguhnya, Hana menjadi mangsa kepada keadaan. Melukai hati seorang insan tiada dalam kamus hidup Hana. Malah, sehingga kini Hana berasa bersalah dan menggelar dirinya sebagai perempuan jahat. 


"Dhafir, awak yakin Hana meninggalkan Adam dengan sengaja? Tidak Dhafir! Malah saya mendengar gossip di luar sana, awak juga salah satu punca mereka putus. Jika saya berada di posisi kakak, mulutmu yang busuk itu akan saya jahit Dhafir. Jadi berhentilah menyalahkan kakak saya. Hana melakukan kerana terpaksa. Bukan seperti yang ada di fikiran kotor awak, Dhafir." Hani menegur Dhafir dengan panjang lebar. Dia tidak peduli dengan bahasanya yang kasar. 


"A... apa Hani merepek? Dia menuduh saya sebagai penyebab mereka putus? Hana terpaksa putus dengan Adam? Apa semua ini?!" rungut Dhafir tidak berpuas hati walau dia mengakui kenyataan Hani.


Melihat tubuh indah Hani yang sudah jauh meninggalkan dia. Dhafir mengangkat kaki kanan lalu menendang sebuah rak penyimpanan di luar library. Dia tidak boleh berdiam diri. Dia harus menebus kesalahan dia kepada Adam mahupun kepada Hana. 


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Js