Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benar Aku Suka
Benar Aku Suka
Lily Js
7/3/2018 22:42:13
72,876
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 18


Dhafir menatap lama wajah gadis yang tidak jauh darinya berdiri. Kini dia faham mengapa Adam tergilakan gadis itu. Senior mereka tapi memiliki baby face yang luar biasa. Wajah Hana cantik, comel dan ayu seperti gadis melayu terakhir. Pelajar yang bernama Hana mampu memukau sesiapa sahaja.


"Arghhh! Apasal dengan minda ini? Tetapkan tekad Dhafir. Berjumpa dengan Hana bukan untuk bermain mata tapi untuk menyakiti hati perempuan itu. Perempuan yang berjaya mengubah Adam 360 darjah," bentak hati kecil Dhafir agak kejam. Minda dan jiwanya saling berlawan. 


"Dhafir, kenapa ya awak nak berjumpa dengan saya?" soal Hana lemah-lembut setelah Dhafir hanya memandang kosong ke arahnya.


Dhafir tersentak mendengar suara lunak Hana. Sedikit demi sedikit rasa menyesal bercambah di jiwa. Berdua dengan Hana hanya menggalaukan Dhafir. Dia harus mengajak Rifqi namun mengenangkan Rifqi berbeza dengannya dan mungkin menggagalkan rancangannya yang jahat, Dhafir tidak sanggup. 


"Maaf kalau saya membuang masa awak, Hana. Tapi saya membawa berita penting untuk awak. Amat penting untuk hidup dan mati awak, Hana." Dhafir mula menjalankan rancangan jahat.


Hana tersenyum pahit memandang wajah yakin dan dingin Dhafir. Sahabat Adam yang agak pelik. Dhafir suka menimbulkan masalah dengan menyakiti orang di sekeliling dia. Dhafir sering mengajak Hana untuk bertemu namun dia menolak. Namun pada waktu rehat itu Hana tidak menolak untuk bersua muka dengan Dhafir.


"Hanya katakan apa yang penting Dhafir?" soal Hana keliru dengan bahasa basa-basi Dhafir.


"Adam sebenarnya tidak sukakan awak, Hana. Adam itu tidak pernah cintakan awak. Kalau awak tahu selama ini dia hanya mempermainkan perasaan awak. Awak fikirlah, siapa awak sehingga Adam perlu ikhlas untuk bercinta dengan perempuan seperti awak, Hana?" ujar Dhafir sinis. 


"A... Apa awak katakan? Adam hanya pura-pura sukakan saya?" jawab Hana dengan riak wajah tidak percaya.


"Benar Hana. Adam itu jahat. Dia hanya pura-pura menjalinkan hubungan dengan awak, Hana. Malah, saya mempunyai bukti jika awak mahu dengar dan lihat dengan biji mata awak sendiri, Hana." Dhafir tidak berputus asa memburukkan Adam. Malah melihat pelbagai reaksi yang terlukis di wajah polos Hana, Dhafir semakin bersemangat. 


"Itu tidak mungkin Dhafir. Awak cuma... cuma menipu saya. Adam lelaki baik. Saya kenal dia, sangat kenal. Tidak mungkin Adam seperti itu." Hana cuba mempertahankan Adam di hadapan Dhafir yang sangat menyakitkan hati.


"Ya Tuhan, Hana... Awak nampak saya sedang bergurau? Nampak wajah saya seperti seorang penipu? Lagipun kalau awak tidak percaya, saya ada bukti. Kenapa tak nak tengok Hana?" ujar Dhafir agak mendesak sambil mengeluarkan telefon pintar di poket seluar. Hendak menunjukkan 'bukti' namun Hana pantas menolak. 


"Tidak perlu Dhafir. Saya tak perlukan semua itu," jawab Hana agak lirih. 


Dhafir tersenyum senang mendengar suara pasrah Hana. "Baik kalau itu pilihan Hana. Sekarang apa perasaan Hana setelah dikhianati tanpa sebab oleh lelaki yang awak puja dan cintai itu?" soal Dhafir bersahaja tanpa riak rasa bersalah.


"Awak tanya apa perasaan saya?" soal Hana pula bertabah. Dia sebenarnya tidak faham mengapa Dhafir memperlakukan dia seolah-olah dia adalah perempuan jahat dan harus terluka.


Dhafir mengangguk yakin. "Iya Hana. Jangan cakap yang awak tidak terluka sama sekali. Sebenarnya bukan hanya itu yang Adam lakukan di belakang awak. Tapi banyak, terlalu banyak dan terlalu jahat. Dan awak cuma perlu menunggu apabila hubungan awak dengan Adam lebih dari sebulan, Adam akan meninggalkan awak seperti 'rubbish.' Hana tahu apa itu rubbish?" tokok Dhafir sinis seperti selalu. Dia sangat berpuas hati melihat kejutan demi kejutan yang terukir cantik di wajah Hana yang sudah resah.


"Cukup Dhafir. Cukuplah awak cuba... Cuba memburukkan Adam. Dia tetap sahabat awak. Sayang sekali awak tidak pernah menghargai Adam. Awak nampak menyedihkan pada saya, Dhafir." 


Hana mengukuhkan pendirian. Mempercayai kata-kata orang yang tidak dikenali dan tanpa bukti yang sahih itu bukan cara hidup Hana. Walau Tuhan yang tahu Hana terluka dalam mendengar kenyataan Dhafir yang tampak sombong dan penuh tipu muslihat.


Dhafir terpempan mendengar kritikan Hana. Selama dia hidup tiada seorang perempuan yang berani menyinggung mahupun menegur sikapnya yang bongkak. Hana adalah yang pertama dan mungkin yang terakhir. Ikut kata hati yang hitam mahu sahaja Dhafir menjahit mulut Hana yang terlalu berani menegur kejahilan dia.


"Nampaknya awak tidak faham bahasa Hana. Keras Kepala dan terlalu lurus untuk ditipu. Saya berani bersumpah, Adam bakal meninggalkan awak kerana perempuan seperti awak terlalu tidak sesuai untuk Adam. Itu awak kena sedar diri Hana," jawab Dhafir keji sambil tersenyum jahat. Di matanya Hana adalah gadis hina walaupun Hana adalah senior yang harus dihormati.


"Jangan terlalu tinggi diri Dhafir. Saya sedar siapa saya tapi awak juga perlu sedar diri. Sikap awak sudah jauh menyimpang, Dhafir. Awak hanya tahu menyakiti perasaan orang lain tanpa belas kasihan. Awak juga tidak perlu membuang masa melakukan semua ini kerana saya ada cara sendiri, Dhafir."


Hana tidak mahu tunduk pada Dhafir yang dikenali sebagai lelaki kejam. Dia harus melawan ketakutan apabila dia berada di pihak benar. Walau bayang-bayang menakutkan semakin menghampiri Hana. 


"Awak...! Awak tunggulah nasib malang yang akan menjemput awak, perempuan." Dhafir menyumpah Hana sambil jari telunjuknya menikam tajam ke wajah ayu Hana yang resah. Dhafir panas hati lalu pergi meninggalkan Hana di sudut koridor di atas bangunan sekolah.


Hana melepaskan keluhan berat seraya menarik nafas perlahan-lahan. Sungguh memikirkan Adam, membebankan Hana. Dia keliru di mana hala tuju hubungan mereka. Kehadiran Dhafir juga menyakitkan hati Hana. Lelaki jahat itu membuat Hana rasa terhina dan merasa lemah untuk mempertahankan hubungan dia dengan Adam.


"Adam, what should I do? Awak terlalu baik tetapi mengapa kini saya semakin meragui perhubungan ini. Bukankah cinta itu seharusnya indah dan tidak menyakitkan. Atau haruskah saya memilih Nurhan? Lelaki pilihan ayah tapi saya tidak pernah mahu mengenali. Saya harus memilih dia, mungkin ini jalan yang terbaik," bisik hati kecil Hana agak kecewa.


******


Hana memandang sekeliling restoran mewah yang dipilih oleh Nurhan dan terletak di tengah bandar yang sentiasa sibuk. Dia memesan minuman fresh mango juice, walau Nurhan menawarkan dia untuk memesan makanan namun Hana menolak. Sebelum keluar berjumpa Nurhan, Hana sudah mengisi perut di rumah. Hana tidak mahu terhutang budi pada Nurhan yang tampak bergaya tapi sombong di hadapannya. 


"Semakin lama awak semakin menarik dan menggoda Hana," luah Nurhan setelah lama menatap wajah cantik Hana yang tampak tidak selesa.


Mendengar pujian Nurhan yang entah ikhlas atau hanya membuat dia terbang ke langit, Hana hanya meleretkan senyuman kecil. 


"Apa tujuan abang Nurhan bertemu dengan saya?" soal Hana mahu mengalihkan pujian Nurhan yang hanya menjengkelkan hati. 


Nurhan tergelak kecil mendengar soalan Hana yang tidak reti menyembunyikan rasa gelisah. Nampaknya dia perlu menjinakkan Hana untuk tidak merasa kekok apabila bersama dengan dia.


"Hanaku yang comel... Jangan bertanya seperti itu lagi. Saya adalah lelaki yang bakal menjadi suami awak. Sebagai bakal suami awak yang tak lama lagi, bukan masalah bila saya ingin bertemu dengan awak. Hana faham?" ulas Nurhan tegas. Nurhan mahu Hana sedar diri bahawa dia berhak ke atas dirinya.


"Nurhan Kita belum ada ikatan apa-apa. Kita cuma dijodohkan tapi belum bernikah. Awak jangan terlalu yakin awak boleh bertemu saya ikut suka hati awak," jawab Hana yang entah bila sudah berani berbalas kata dengan lelaki.


Mendengar jawapan Hana yang agak kurang ajar di telinga, Nurhan mendengus kasar. Kedua pasang matanya tajam menikam wajah tenang Hana. Berani sungguh gadis kampung itu bertikam lidah dengannya. Dia tidak sabar mengajar Hana siapa dia yang sebenar.


"Jaga mulut awak, Hana! Jika tidak mahu mulut awak yang menggoda itu hancur. Oh ya... Siapa lelaki budak hotel itu? Hubungan awak dengan dia lebih dari sahabat. Awak jangan cuba menipu saya sebab saya berbeza dari orang-orang tua itu yang mudah diperbodohkan oleh awak." Akhirnya Nurhan melepaskan rasa benci yang selama itu sangat mengganggu mindanya.


"Lelaki hotel? A... Apa abang Nurhan cuba sampaikan?" soal Hana sedikit gugup. Dia terkejut apabila lelaki dewasa itu mengetahui rahsia tentang dirinya. 


Nurhan tersenyum jahat melihat wajah Hana yang terkejut tapi cuba menyembunyikan. 


"Sudah berapa kali kamu berdua tidur bersama di bilik hotel, Hana?" tanya Nurhan memandang hina pada Hana. Wajah polos dan sikap murni Hana sudah tidak bernilai di mata dingin Nurhan.


"A... Awak sudah melampau abang Nurhan. Saya tidak sehina seperti yang ada di fikiran awak," jawab Hana dengan rasa gementar, malu dan kecewa. Teganya lelaki dewasa itu menuduh dia seperti seorang perempuan yang tidak mempunyai harga diri. 


"Jangan syok seperti gadis suci, Hana. Katakan saja sudah berapa kali atau kamu berdua sudah kerap kali melakukan hubungan intim. Siapa tahu saya boleh menggantikan posisi lelaki jahanam itu Hana," tambah Nurhan lagi mahu mencuci minda Hana melalui kata-kata biadap. 


"Cukup abang Nurhan. Awak dah melampau. Hana nak balik sekarang," jawab Hana agak lantang. Dia sudah tidak peduli mata-mata pengunjung restoran yang kerap kali melirik ke arah mereka sedari tadi.


"Terserah Hana. Tapi awak jangan mimpi awak boleh terlepas begitu saja. Awak akan mendapat upahnya kemudian, Hana." Ancam Nurhan sambil tersenyum jahat seperti selalu. 


Nurhan membiarkan Hana pergi. Belum tiba masa untuk mengajar gadis kampung itu, walau minda kotor dan jiwanya sudah meronta-ronta untuk mengajar Hana. Menjadi sebahagian dari hidup Nurhan, Hana perlu diajar dengan fikirannya yang sesat. 




Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Js