Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
206,226
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bab 3

Rizman Fakhruddin menghembuskan asap rokoknya ke udara. Wajahnya yang tampan seakan berkerut menahan kesakitan hati. Alangkah kejamnya gadis itu yang menghancurkan cinta suci mereka. Tergamak Sahara curang di belakangnya. Alangkah tidak adilnya Sahara meninggalkannya tanpa rela dan hanya kad undangan yang diterima saat percintaan mereka berkembang mewangi. Semua perempuan sama! Hanya tahu melukai hati lelaki..pandai berjanji, namun hanya tahu memungkiri. Ah! Aku benci pada perempuan!. Fakhruddin mencampak potret yang masih menghiasi meja soleknya. Kacanya berselerak di lantai seperti mana hancurnya hati lelakinya. Seketika kedengaran suara seseorang memanggil Fakhruddin. Mungkin terkejut dengan bunyi tersebut.

“ Riz..apa Riz buat tu?” suara puan Salbi kedengaran cemas. Pantas dia menuju ke bilik anak bujangnya. Dia mengentuk pintu berkali-kali, namun tidak diendahkan.

“ Riz..buka pintu ni..Riz kenapa?”

“ Tak ada apalah mama!”

“ Riz cakap betul-betul..tadi mama dengar…” belum sempat Puan Salbi meneruskan percakapannya, pintu dibuka dari dalam.

“ Ada apa mama?” Fakhruddin bersuara perlahan. Dia duduk di birai katil sambil memandang ke arah kaca yang bersepah di atas lantai.

“ Ya Allah..Riz, Riz kenapa ni?” seraut wajah Puan Salbi berkerut seribu. Dia melangkah masuk ke bilik anak bujangnya dengan berhati-hati. Risau kaca yang berada di atas lantai menikam kakinya.

“ Sahara!” Fakhruddin bersuara perlahan.

“ Kenapa dengan Sahara?” Puan Salbi mengerutkan dahinya.

“ Dia dah nikah dengan orang lain..tinggalkan Riz macam tu je. Sampai hati dia mama. Selama ni Riz sangka dia perempuan terbaik untuk Riz. Tapi Riz silap!” tutur Fakhruddin dengan penuh kesal.

“ Pasal tu Riz mengamuk! Pasal seorang perempuan yang berpura-pura menyintai Riz? Riz, Riz sudah dewasa dan telah matang untuk memikirkan mana yang baik atau buruk. Mana kekuatan Riz selama ni?” Puan Salbi duduk di tepi Fakhruddin. Wajah anak tunggalnya dipandang lama. Sebagai ibu, dia tahu kelukaan yang dirasai oleh Fakhruddin. Dia juga tahu menilai baik buruknya Sahara. Jiwa keibuannya seakan tidak mampu menerima gadis itu sebagai menantu lantaran sikap dan tingkah lakunya.

“ Dia cinta pertama Riz, mama.” Fakhruddin masih mempertahankan cintanya yang telah hancur berkecai.

“ Cinta pertama itu tidak penting Riz. Tapi kebahagiaan..sudahlah..lupakanlah dia. Suatu hari, Riz akan jumpa jodoh yang lebih baik. Atau senang-senang, mama je yang carikan calon untuk Riz!”

“ Tak naklah mama. Biarlah dulu. Hati Riz masih sakit sangat-sangat!”Fakhruddin bersuara hiba.

“ Riz, bercinta, putus cinta tu perkara biasa! Sedangkan orang yang dah berkahwin boleh bercerai, inikan pula Riz yang belum ada apa-apa ikatan lagi dengan Sahara tu! Dengarlah nasihat mama, lupakanlah dia. Oklah..mama keluar dulu. Nanti Riz bersihkan kaca tu. Tak pasal-pasal terkena kaki nanti!”

“ Yelah mama.” Fakhruddin bersuara perlahan. Ah! luka di hatinya lebih parah. Mungkin lebih sakit dari terluka kerana tusukan kaca. Semoga kau bahagia Sahara! Terima kasih di atas cinta kita yang tiada manis akhirnya!

“ Riz, Ooo..Riz..Arman datang ni,” Puan Salbi melaung tiba-tiba dari luar. Kemudian kedengaran derap kakinya melangkah ke bilik Fakhruddin.

“ Cakap je Riz tak ada..” tutur Fakhruddin apabila melihat mamanya yang berdiri di muka pintu. Dia tiada mood untuk berjumpa sepupunya atau sesiapa saja buat masa itu. Hatinya yang terguris perlu diubati. Tidak mungkin dia dapat menyembunyikan kesedihannya di hadapan Arman yang sudah dianggap sebagai abang.

“ Riz..Arman kat ruang tamu tu..dia kata ada benda nak bincang,” Puan Salbi seakan memujuk.

“ Mama..Riz penatlah!” Fakhruddin masih memberi alasan.

“ Tetamu Riz! Patut Riz hormati.Sudah, pergi jumpa Arman tu..nanti merajuk pulak dia,” Puan Salbi seolah-olah memberi arahan. Pantas Fakhruddin bangun dari katil.

“ Yelah..” Fakhruddin bergegas keluar dari bilik. Puan Salbi hanya mampu menggelengkan kepala dengan kerenah anak kesayangannya. Dia masuk ke bilik Fakhruddin dan membersihkan kaca yang masih berselerak. Wajah anaknya dan Sahara tersenyum manis di dalam potret tersebut dipandang lama. Ada bahagia pada raut wajah mereka. Namun kini hanya Fakhruddin yang menangis sendiri. Dan Puan Salbi turut merasai kesedihan Fakhruddin.

****

“ Lama kau sampai Man?” Fakhruddin bertanya dengan senyuman yang hambar. Dia duduk berhadapan dengan lelaki itu yang memandang lama ke arahnya. Sesekali matanya berkalih ke arah televisyen yang terpasang.

“ Baru je..kau kenapa? Aku tengok lain macam je!” Arman Mustaqim dapat menangkap mata Fakhruddin yang sedikit merah.

“ Aku kurang sihat..agaknya nak demam.” tutur Fakhruddin beralasan. Wajah Sahara yang datang, cukup menyesakkan dadanya.

“ Kau dah kerja ke belum? Kalau belum, kau telefonlah member aku. Maybe ada kerja sesuai untuk kau,” Arman Mustaqim pantas mengambil sesuatu di dalam walletnya. Sekeping kad berwarna biru dihulurkan kepada Fakhruddin.

“ Aiman Ezri? Siapa dia ni?” Fakhruddin menjungkit kening sambil membelek-belek kad tersebut. Lama dia menatap kad nama tersebut dan berkalih pandang kepada sepupunya.

“ Em..kawan aku. Dia ada ofis sendiri. Nama Syarikat, Ezis Sdn Bhd. Kau call lah dia. Semalam aku dah cakap pasal kau. Nanti apa-apahal, kau cakap aku yang suruh call.” Tutur Arman Mustaqim dengan panjang lebar.

“ Oklah! Kalau macam tu. Aku sekarang ni asyik tanam anggur je! Hasilnya langsung tak ada! Kau pulak, kenapa tak kerja je dengan dia?’’

“ Em..aku kan dah kerja.Buat apa nak tukar-tukar lagi.Kerja kat bengkel tu pun dah kira ok! Sayang pulak nak tinggal,” Arman Mustaqim mencapai sebatang rokok dan menyedutnya dengan rakus. Seketika asap dihembus dan terkumpul di udara dan hilang dalam sekelip mata.

“ Kerja apa yang ada?” ujar Fakhruddin lagi sambil meminta sebatang rokok untuk menikmati bersama. Pantas dia memetik pemetik api dan menyedutnya dengan puas dan turut melepaskannya ke udara.

“ Em..aku pun tak pastilah. Tak sempat nak tanya. Tapi, aku bagi cadanganlah, kau mintak kerja yang bersesuaian dengan bidang yang kau ambil! macam mana?”Arman Mustaqim menjungkit kening.

“ Masa study aku ambil bidang perakaunan..” tutur Fakhruddin singkat. Dia sendiri tidak pasti kerja apa yan sesuai untuknya saat itu. Semangatnya seakan hilang diragut oleh kecurangan kekasihnya.

“ So..kau cuba minta bahagian pengurusan kewangan!”Arman Mustaqim memberi cadangan. Lama Fakhruddin termenung dan menggigit bibir. Bukan dia tidak berminat untuk terjun ke bidang itu sebagai kerjayanya, namun memikirkan banyak fail yang perlu di kemaskinikan sentiasa, dia seakan teragak-agak. Risau kalau-kalau dia tidak mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan sepenuhnya.

“ Boleh ke? Aku tak nak pulak dia cakap aku memilih kerja.”

“ Cuba tanya dulu. Kalau tak ada kena mengena dengan bidang kau, kau sapulah kerja apapun! Janji ada kerja.” Fakhruddin menggigit bibir sekali lagi. Wajahnya berkerut seolah-olah sedang memikirkan masalah negara.

“ Oklah! Ada masa, aku jumpa dia nanti!”

“ Jangan kau tak pergi pulak! Aku rasa dia dah sediakan kerja untuk kau tu!” Arman Mustaqim sekadar mengingatkan. Dia menjeling jam di tangan. Hampir jam 6.00 petang. Dia mencari kelibat Puan Salbi namun tidak kelihatan.

“ Emm..kalau macam tu, aku balik dulu. Apa-apahal kau callaku,” Arman Mustaqim bangun dari tempat duduknya.

“ Kau tak minum dulu ke?” Fakhruddin turut bangun dan memandang seraut wajah Arman Mustaqim.

“ Tak apalah..aku dah minum tadi. Kau jangan lupa tu, call Aiman Ezri!” Arman Mustaqim mengingatkan sekali lagi. Fakhruddin menganggukkan kepalanya dan beriringan bersama sepupunya menuju ke pintu utama.

“ Kirim salam kat mak ayah kau!” pesan Fakhruddin dengan senyuman. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dan disambut oleh sepupunya yang turut tersenyum.

“ Insya’Allah...kau pun jangan lupa kirim salam kat mama kau tu! Aku balik ni tak cakap pun dengan dia.” Arman Mustaqim berlalu dan masuk ke perut kereta. Kemudian dia menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan kawasan rumah sepupunya dengan honbeberapa kali. Fakhruddin bergegas semula ke dalam rumah. Dia melabuh semula punggungnya ke atas sofa. Ingatannya kepada Sahara kembali semula. Wajah Sahara yang manis, senyumannya, gelak tawanya, datang menari-nari di hadapan Fakhruddin semakin dekat dan dekat. Saat dia ingin mencapainya, bayangan gadis itu hilang entah ke mana.

“ Emm...mana Arman? ’’ soalan Puan Salbi menyentap lamuana Fakhruddin. Entah dari mana mamanya muncul, dia sendiri tidak pasti. Dia membalikkan dirinya di atas kerusi dan memandang mamanya yang menjungkit kening.

“ Dah balik mama. Dia kirim salam..’’

“ Cepatnya! Borak apa je? ’’ soal Puan Salbi lagi sambil melabuh punggung di hujung kaki Fakhruddin. Pantas Fakhruddin bangun dan melunjurkan kakinya ke bawah.

“ Dia tanya Riz nak kerja ke tak. Pastu dia bagi kad suruh Riz jumpa pengurus syarikat tu! ’’ sambung Fakhruddin lagi dengan wajah yang monyok, tidak bersemangat.

“ Kalau macam tu okeylah..tapi kenapa muka tu monyok semacam je? Kalau pasal Sahara, mama tak nak dengar lagi. Dah! Jangan nak sedih-sedih! ’’ Puan Salbi berlalu menuju ke dapur. Fakhruddin pula hanya mampu menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan keluhan yang berat.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.