Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
206,426
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Bab 2

Pagi menampakkan diri. Nur Jannah cuba bangun, namun entah kenapa kepalanya seakan berat. Badannya terasa sedikit panas. Dia cuba juga keluar dari bilik untuk melihat kalau-kalau Ezri tertidur di ruang tamu.Namun hatinya menangis pedih melihat tiada tanda-tanda suaminya telah pulang. Makanan yang disediakan di dapur malam tadi, masih setia menanti untuk dijamah. Nur Jannah menarik kerusi dan duduk. Air matanya bertakung di kelopak mata. Seksa benar dirinya menghadapi ragam suami kesayangan. Seingatnya sepanjang bergelar isteri Ezri, lelaki itu tidak pernah memanjakannya. Siang dan malamnya hanya bertemankan air mata walau hakikatnya mereka masih di alam berbulan madu. Puas dia berfikir apa kesalahan dan dosanya setelah menjadi isteri kepada lelaki itu. Ezri hanya tahu memberontak dan memarahinya tanpa belas kasihan. Seringkali dia mengatakan perkahwinan itu satu kesilapan. Benarkah? Sedangkan mereka telah mengenali antara satu sama lain setahun lamanya. Apakah Ezri mempunyai perempuan lain? Ah! Nur Jannah mengeluh menahan kesakitan hati. Dia kembali ke bilik dan mendail nombor Ezri.

“ Helo..” Nur Jannah bersuara penuh harapan agar panggilannya dijawab oleh Ezri, namun tiada jawapan walaupun panggilannya telah bersambut.

“ Abang..tolong jawab panggilan Nur! Please abang!”Nur Jannah mula teresak-esak. Ingin dia mendengar suara suaminya yang sengaja menjauhkan diri tanpa sebarang alasan.

“ Apa hal kau call aku?” kedengaran suara kasar Ezri di hujung telefon. Nur Jannah menyapu air matanya yang masih mengalir. Cuba dia mengawal suaranya yang mulai serak.

“ Abang kat mana? Abang janji nak balik! Nur masak malam tadi tapi abang tak balik!”

“ Aku tak suruh pun kau masak. Kalau kau tak puas hati, tak payah lagi susah-susah fikirkan pasal aku..sudahlah aku sibuk! Banyak lagi kerja..bukan dengar kau merepek je!” kata-kata Ezri bagaikan belati menghiris jiwa Nur Jannah.

“ Abang..” talian dimatikan tanpa sempat Nur Jannah menyambung perbualan. Dia terduduk di penjuru dinding. Wajahnya diraup berkali-kali menyapu air mata yang masih galak mengalir.

“ Ya Rabbi..apa salah dan dosaku padanya?Aku ingin menjadi seorang isteri yang taat, tapi kenapa Ezri berkelakuan begitu! Aku terseksa Ya Allah..andainya dia bukan jodohku, Kau tunjukkanlah Ya Allah!” Nur Jannah bersuara hiba. Terasa gelap dan kelam hidupnya tanpa suami di sisi. Kepada siapa harus dia mengadu tentang kekecewaan hatinya dan keruntuhan rumahtangganya yang baru dibina! Kepada siapa? Seketika telefonnya berbunyi dan dengan pantas Nur Jannah menjawabnya.

“ Nur..kau sibuk ke? Jom teman aku pergi shopping kat Masjid India. Boleh tak?” kedengaran suara Maria di hujung telefon. Nur Jannah serba salah untuk menolak. Namun dia tidak betah untuk keluar.

“ Emm…Ezri tak adalah Mar..aku kena minta izin dia dulu. Nanti kalau Ezri bagi, aku callkau ek!” Nur Jannah bersuara lemah. Sungguh, Ezri telah meragut kebahagiaan dirinya.

“ Kau kenapa? Lain je aku dengar suara!” tutur Maria sedikit cemas.

“ Aku kurang sihat. Badan pun panas..” tutur Nur Jannah kembali sebak.

“ Demamlah tu..kau tak payahlah teman aku. Kau tak ajak ke suami kau tu ke klinik.Waktu bercinta bukan main lagi!” Maria membebel di corong telefon.

“ Kejap lagi baliklah dia. Sorryye Mar. Maybe lain kali aku teman kau.”

“ Balik ? Dia dah pergi kerja ke? Kau pesan kat Ezri tu, jangan sibuk sangat sampai abaikan diri kau tu! Aku tak sukalah perangai lelaki macam ni!” omel Maria dengan perasaan geram.

“ Yelah Mar! kau janganlah marah-marah sangat!” Nur Jannah bersuara sedih.

“ Aku ok je. Aku tak marah pun! Cuma aku tak suka dia abaikan kau macam tu! Oklah! Apa-apa hal kau calllah aku ek!” talian diputuskan selepas mereka berbalas salam. Nur Jannah terduduk di tepi dinding. Air matanya kembali mengalir. Kesepian itu benar-benar menyesakkan dadanya. Pada siapa dia harus mengadu? Pada orang tuanya? Ah, mana mungkin dia memburukkan Ezri yang dianggap cukup baik sebagai menantu. Pada keluarga mertua..tidak mungkin dia mencanangkan keretakan rumah tangganya. Jadi pada siapa? Nur Jannah bangun dan bergegas ke bilik air untuk mandi. Selepas mandi dia ke dapur mengemas makan malam yang tidak berusik. Selesai semuanya Nur Jannah duduk di sofa dan menekan remote televisyen untuk mencari siaran yang menarik. Seketika kedengaran pintu ditolak dari luar. Pantas Nur Jannah memandang ke arah susuk tubuh suaminya yang melepasi pintu.

“ Abang, abang kata ada kerja?” Nur Jannah bersuara lembut. Dia bangun mengampiri suaminya. Wajah suaminya yang kelat dapat dilihat dengan jelas. Hilang seraut wajah suaminya yang tampan dengan senyuman. Entah ke mana menghilang!

“ Aku punya hal, kau jangan masuk campur. Tak habis lagi merepek! Dalam telefon bising kat luar pun kau nak buat hal?” wajah Ezri menyinga tiba-tiba. Benci benar dia pada isterinya itu. Dia terus ke bilik dan mengambil pakaiannya yang tersusun di dalam almari dan memasukkan ke dalam beg pakaian. Nur Jannah yang meluru masuk terkejut dengan sikap suaminya.

“ Abang nak ke mana?” pantas Nur Jannah merapati suaminya.

“ Aku nak keluar, tenangkan fikiran. Kau jangan pandai-pandai nak mengadu kat orang tua aku. Kalau aku dapat tahu, siap kau aku kerjakan!” Ezri memberi amaran dengan nada yang keras. Nur Jannah terpinga-pinga dengan sikap suaminya yang semakin berubah.

“ Tapi apa salah Nur, bang? Abang nikah dengan Nur atas dasar cinta. Jadi apa sebenarnya? Nur tak faham! Jangan hukum Nur macam ni bang! Apa kata mak ayah Nur kalau mereka tahu!” Nur jannah teresak-esak. Apa salahnya sehingga dilayan bagai anjing kurap. Apa dosanya dalam perhubungan mereka. Sungguh dia tidak mengerti.

“ Yang kau bodoh nak bagitahu tu kenapa? Aku pun sendiri hairan, kenapa aku boleh nikah dengan kau, sampaikan aku tinggal dia macam tu je!” Ezri melepas kata.

“ Apa maksud abang? Abang ada orang lain ke?Tapi kenapa abang nikah dengan Nur?” Nur Jannah benar-benar terkejut. Benarkah apa yang dikatakan Ezri. Andai benar, alangkah kejamnya lelaki itu memusnahkan kehidupannya. Setahu Nur Jannah, Ezri lelaki yang baik dan setia. Waktu bercinta mereka memang jarang berjumpa. Kata Ezri tidak manis dilihat orang. Perhubungan mereka juga hanya berlandaskan janji dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Cinta? Nur Jannah menyintai Ezri sepenuh hati. Kerana itulah dia menerima Ezri yang beria-ria ingin menyunting dirinya menjadi suri di dalam hati lelaki itu.

“ Sudahlah! Malas aku nak dengar kau merepek. Aku balik bukan kau nak masak ke, buat air ke, hanya tahu memekak je!” Ezri berlalu dengan membawa beg di tangannya.

“ Abang please…jangan tinggalkan Nur. Jangan buat Nur macm ni!” Nur Jannah memegang erat tangan suaminya. Air matanya yang mengalir mulai lebat membasahi pipi. Pantas Ezri menepis dan menolaknya dengan kuat. Nur Jannah tidak mampu mengimbangi badannya terjelepuk ke atas lantai.

“ Sampai hati abang buat Nur macam ni! Apa salah Nur abang?” jerit Nur Jannah dalam sendu. Dia cuba bangun, namun tiba-tiba badannya menjadi lemah dan Nur Jannah terkulai dan jatuh ke lantai.

****

“ Kenapa lambat? Takkan tak habis lagi berbulan madu?” Arman Mustaqim tersenyum sumbing. Wajah kelat Ezri dipandang lama. Lelaki itu pantas menarik kerusi dan duduk. Suasana tenang tasik layang-layang tidak dapat menenangkan hatinya yang kacau. Fikirannya terganggu dengan tangisan Nur Jannah sebentar tadi. Marah, benci, menyampah semuanya menjadi satu dan bertapak di hatinya kini.

“ Banyaklah kau punya bulan madu, aku sakit kepala bukan kau tahu!” Ezri merengus geram.

“ Aik, dapat bini cantik pun pening kepala. Kau kenapa Ezri?” Arman Mustaqim mengerutkan dahinya.

“ Tak ada apalah!” kasar suaranya melepas kata.

“ Em..atau kau masih ada hati kat Azrina? Tulah, aku suruh kau jangan bermain dengan api, kau tak nak dengar.Tak pasal-pasal terbakar! Sekarang pening kepala pulak!” Arman Mustaqim masih ingin menduga.

“ Mulut kau ni Man, mengalahkan mulut murai tahu tak. .pandai-pandai je! Apa hal kau nak jumpa aku ni?” Ezri memandang ke arah Arman Mustaqim yang tersengih lama. Sejak bila pula nama Zurina ditukar Azrina. Lelaki ni senget ke apa!

“ Ofis kau masih perlukan pekerja tak? Sepupu aku tu, sampai sekarang masih menganggur.” Arman Mustaqim mula menukar tajuk cerita.

“ Siapa nama dia?” Ezri menjungkit kening sambil mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakannya dengan pemetik api. Kemudian dia menghisapnya dengan rakus dan menghembuskan asapnya ke udara.

“ Rizman Fakhruddin..” terlontar nama itu dari mulut Arman Mustaqim.

“ Em…apa kerja yang boleh dia buat?” Ezri mula serius bila membabitkan kerja.

“ Apa aje Ezri..jadi secretary ke?” tutur Arman Mustaqim yang sesekali mencuri aksi orang ramai yang bermain layang-layang di tasik itu. Ada juga beberapa orang yang berjogging mengelilingi tasik yang agak luas.

“ Emm..Zurina aku nak campak kat mana?”Ezri menjeling Arman Mustaqim sekilas.

“ Aik! aku ingat ke dia jadi bodyguard kau. Kau pergi mana, dia ada. Kau pergi lunch dia ada, kau pergi main bowling kat shopping kompleks dia ada. Pendek kata, mana kau pergi dia ada. Agaknya Ezri..budak tu masih cintakan kau tak?” Arman Mustaqim melepas kata. Ezri hanya menggelengkan kepala melihat temannya yang suka busy body.

“ Kau tu, tak habis-habis nak kenakan aku. Kau tu bila lagi. Rambut dah beruban, takkan nak membujang sampai ke tua!” Ezri mengenakan lelaki itu kembali. Panas juga bila asyik dia yang terkena.

“ Aku? Ada jodoh, aku kahwinlah..tapi aku nak tanya kau..bini kau yang cantik tu siapa nama? Aku lupalah..bertuah kau Ezri..sudah berpunya masih ada yang mengejar,” Arman Mustakim tergelak kecil. Sedangkan Ezri hanya menarik muka dari tadi.

“ Nur Jannah!” singkat kata-kata Ezri. Sememangnya dia tidak berminat bercakap tentang perkahwinannya. Selebihnya hatinya sakit kerana bukan Zurina menjadi suri di rumahnya.

“ Emm…cahaya Syurga..insya’ Allah, dia akan memberi cahaya pada kehidupan kau Ezri!” tutur Arman Mustaqim bersungguh benar tampaknya.

“ Emm…betullah tu!” tutur Ezri acuh tak acuh.Tiba-tiba telefonnya menjerit minta diangkat. Pantas Ezri menjawab apabila melihat nama Zurina di kaca skrin.

“ Helo..ye baby, ada apa?” Ezri sengaja bersuara kuat agar didengari oleh Arman Mustaqim. Wajah temannya yang sedikit berkerut dipandang dengan senyuman.

“ Abang kat mana? Tak rindu Ina ke?” suara Zurina manja di hujung telefon.

“ Emm..abang jumpa Arman kejap.Ina kat mana?”

“ Ina kat rumahlah. Boringlah bang, cuti-cuti ni. Jom tengok wayang. Nak tak?”

“ Ok..kejap lagi abang ambil Ina ek!Siapa ada kat rumah?” Ezri bersuara lembut. Arman Mustaqim yang mendengar, masih mengerutkan dahinya. Ezri ada hubungan lagi ke dengan Zurina? Kalau betul alangkah malangnya Nur Jannah!

“ Maisarah adalah. Ok..Ez jangan lambat ek!Bye miss you!”

Miss you too,” Ezri mematikan talian. Kemudian pandangannya melekat kepada Arman Mustaqim yang berwajah tegang. Dia melempar senyum buat lelaki yang masih memandang lama kepadanya.

“ Seronoknya kau bersama buah hati!” Arman Mustaqim bersuara sinis. Namun hanya senyuman yang terukir di bibir Ezri. Kata-kata Arman Mustaqim tidak terkesan di hatinya. Sungguh, dia benar-benar bahagia bersama Zurina. Biar temannya itu tahu, cintanya masih untuk gadis secantik Zurina. Bukan untuk Nur Jannah atau mana-mana gadis yang berada di luar sana.

“ Tahu tak apa! Kau je yang tak tahu menilai erti cinta Arman. Tengoklah sampai sekarang, belum berpunya! Aku, bukan ada isteri je tahu! Kekasih pun ada,” Ezri seakan memerli. Tergambar kepuasan di wajah tampannya.

“ Emm..buat apa kalau ada isteri kalau sekadar untuk menjadi suami curang Ez! Kekasih diagung-agungkan, isteri kat rumah lelah menanti? Sudahnya, lama-lama cinta Nur Jannah untuk kau turut mati! Masa tu, jangan kau nak menangis sudah!” pedas kata-kata Arman Mustaqim pada pendengaran Ezri.

“ Aku bukan curang Man! Kau tahukan, aku dan Zurina dah lama bercinta!” Ezri masih menafikan kata-kata lelaki di hadapannya.

“ Dengan Nur Jannah? Kerana nafsu? Atau kau dipaksa? Kalau bukan curang? Apa namanya Ez?” soalan Arman Mustaqim datang bertubi-tubi. Dia sendiri hairan bin ajaib apabila pengantin perempuan yang dipilih oleh Ezri bukannya Zurina. Tentang Nur Jannah, tidak pernah sekali lelaki itu bercerita. Tak sangka playboy juga kau Ezri! Getus Arman Mustaqim sendiri.

“ Aku tak terfikir semua tu, Man! Aku pun tak tahu macam mana aku boleh kahwin dengan dia. Memang kami bercinta, tapi jarang berjumpa. Pada masa yang sama Zurina juga kekasih aku. Lagi lama daripada Nur Jannah, ”Ezri memberi alasan. Sememangnya dia tidak pernah memberitahu Nur Jannah tentang Zurina. Begitu juga Zurina yang menyangka cinta Ezri hanya miliknya seorang.

“ Kau dah jadi suami orang! Sebagai ketua keluarga, kau dah ada tanggungjawab yang besar. Sepatutnya kau cintakan Nur Jannah! Bukannya Zurina! Ezri..cinta pada isteri adalah yang sewajibnya, dan kau sebenarnya telah kalah dalam menilai erti cinta!” kata-kata Arman Mustaqim membuatkan Ezri terdiam tidak terkata.

“ Aku tak mampu untuk terima Nur Jannah lagi. Pada aku, Zurina adalah yang terbaik. Pasal perempuan lain aku malas nak campur! ’’ Selamba kata-kata yang dituturkan oleh Ezri. Arman Mustaqim memandang tajam wajah temannya. Hampir tersembul biji matanya melihat temannya yang membuat mimik muka sepuluh sen.

“ Perempuan lain? Nur Jannah tu perempuan lain? Habis tu, yang kau pergi akad nikah, belanja ribu-ribu tu, untuk apa? Saja suka-suka? ’’

“ Sudahlah Man! Sakit kepala aku ni! Kau pun satu, asyik sebelahkan dia buat apa? Apa yang kau dapat? ’’

“ Sekurang-kurangnya, aku cuba selamatkan masjid yang dibina oleh kawan baik aku Ez! Tapi kalau kau tak nak terima, terpulanglah! ’’ Tutur Arman Mustaqim sedikit kesal. Penat dia menasihati lelaki seperti Ezri. Namun hanya cemuhan yang dia dapat.

“ Bukan itu maksud aku Man! Aku sebenarnya pening juga fikirkan masalah aku ni!’’ tutur Ezri melihat wajah Arman Mustaqim yang mula berubah.

“ Kasihan Nur Jannah! Oh ye Ezri, kalau Rizman Fakhruddin datang ofis kau, kau kasilah dia kerja. Kasihan juga aku tengok dia asyik tukar kerja je.” Tiba-tiba Arman Mustaqim mengubah topik cerita.

“ Yelah..” Ezri bersuara acuh tak acuh. Sakit hatinya dinasihati oleh temannya sebentar tadi.

“ Oklah Ezri, aku pergi dulu.Kau pun, buah hati dah menunggu. Ada masa kita jumpa lagi,” bahu Ezri ditepuk lembut dan Ezri hanya mampu mengetap bibirnya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.