Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
206,118
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

Bab 24

Suasana rumah Ejay riuh rendah dengan suara saudara mara dan beberapa orang kampung. Mereka sibuk menyediakan persiapan memasak untuk kenduri malam nanti. Nelly dan Airi adik kesayangan Nur Jannah entah ke mana.Nur Jannah turut menolong memotong bawang. Begitu juga dengan Maria yang terkial-kial memotong carrot untuk dibuat ayam masak merah. Mak Leha memandang sambil tersenyum melihat gelagat gadis itu.

“ Kita orang perempuan kena rajin buat kerja kat dapur. Nanti dah kahwin, tak adalah suami lari,” Mak Leha separuh bergurau. Dia pantas memotong ayam yang masih berbaki. Kemudian diletakkan ke dalam bekas yang tersedia.

“ Maria tu mak, kalau kat sana tak ada masaknya.Order je!” Nur Jannah tergelak. Maria mencebik tidak puas hati. Dia memandang Nur Jannah dan membuat mimik muka menyebabkan Nur Jannah tertawa kuat.

“ Emm..orang tu pun jangan ketawa lebih-lebih..Mak Long tak pernah pun tengok Nur masak. Dah jadi isteri orang ni, kenalah pandai semua tu,” Mak Siah selaku kakak sulung Mak leha bersuara dari belakang.Dia duduk di sebelah Nur Jannah dan disalami anak saudaranya itu. Maria juga pantas menghulurkan tangannya.

“ Mak Long, dari tadi Nur cari, baru nampak muka. Mak Long sihat?” tutur Nur Jannah sambil melemparkan senyuman manis.

“ Alhamdulillah..tadi Mak Long ada kerja sikit,” Mak Siah turut tersenyum senang.

“ Maria..ni lah, mak abang Ejay..”Nur Jannah bersuara separuh berbisik. Maria yang mendengar melemparkan senyuman manis. Inilah bakal mak mertua aku! Boleh tahan. Maria tersenyum sendiri.

“ Kawan Nur ni namanya siapa?”Mak Long bersuara sambil memandang Maria. Maria yang tersenyum sedikit menggelabah.

“ Maria… mak cik.” tutur Maria sambil menjeling Nur Jannah yang tersenyum-senyum. Entah apa yang kelakarpun tak tahulah minah ni! Getus Maria di dalam hati.

“ Dah kahwin?” Mak Long masih bertanya. Nur Jannah sedikit tergelak melihat wajah Maria yang tersengih-sengih bagai kerang busuk.Pantas bahu Nur Jannah dicubit dan gadis itu terjerit kecil. Mak Leha yang melihat hanya menggeleng kepala.

“ Belum kahwin lagi mak cik.Belum ada calon!” Maria bersuara jujur. Matanya terkelip-kelip melihat ke arah Mak Siah yang tersenyum penuh makna.Dia kemudian meneruskan kerjanya sambil menunduk ke lantai. Resah hatinya berhadapan dengan wanita separuh abad itu yang asyik memandang kepadanya.

“ Nur macam mana?” wajah Mak Siah teralih kepada Nur Jannah. Pandangan lama menatap wajah ayu anak saudaranya. Teringat dia kepada anak bujangnya yang meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat memiliki sekeping hati Nur Jannah. Dari kecil mereka sememangnya rapat dan sentiasa bersama. Entah macam mana ada cinta yang terpahat di hati Ejay.

“ Macam mana apa Mak Long?”Nur Jannah sedikit hairan. Dia memandang ke arah Mak Siah lama.

“ Dah ada ke?” soalan itu seakan tergantung. Nur Jannah benar-benar tidak faham.

“ Ada apa Mak Long?”

“ Nur belum hamil lagi ke? Tak sabar Mak Long dengan mak Nur nak menimang cucu,” Mak Siah melirik ke arah adiknya yang mencuri dengar. Nur Jannah yang mendengar bagai terkesima. Serasa darahnya naik ke muka mendengar soalan Mak Longnya. Tiba-tiba hatinya digigit pilu. Kalaulah Ezri mendengar, mungkin dia bertepuk tangan bersorak gembira melihat kesedihan di wajahnya sebagai seorang isteri.Air matanya seakan ingin keluar saat itu. Tiba-tiba matanya terarah ke arah tingkap. Ejay yang berdiri di situ memandang tajam kepadanya dan Nur jannah menunduk, cuba menyembunyikan wajah.

“ Belum lagi Mak Long.” Perlahan suaranya menutur kata.

“ Belum ada rezeki! Nanti adalah tu Kak Long..” Mak Leha menyampuk. Dia memandang ke arah anaknya yang mula berubah wajah. Beberapa orang yang turut membantu hanya tersenyum mesra.

“ InsyaAllah..Mak Long ni pun nak juga cucu.Tapi si Ejay tu pun tak kahwin lagi. Nak tunggu bidadari kayangan agaknya. Kalau macam tu, berjanggutlah Mak Long tunggu.”

“ Ala kak Long ni..tak adanya janggut tu tumbuh! Kalau lelaki yelah!” Mak Leha tergelak kecil. Pandai pula kakaknya itu membuat lawak percuma.

“ Kak Long umpamakan je! Bilalah Si Ejay tu nak bernikah.Calon pun tak ada lagi. Kalau Nur tak kahwin lagi, bolehlah jadi menantu Mak Long!” Mak Siah bersuara sedikit hiba. Nur Jannah yang mendengar seakan terkejut. Mak Long tahu ke perasaan Ejay padanya! Kalau tahu pasti orang tua itu terasa dengan penolakkannya.

“ Mak Long! Maria ni solo lagi.Apa kata Mak Long jadikan dia menantu.Orangnya baik Mak Long. Nur suka kalau abang Ejay nikah dengan Maria ni!” Nur Jannah cuba memujuk. Maria yang mendengar pantas mencubit.

“ Sakitlah Mar! Kau ni cubit bukan main lagi kuat,” Nur Jannah menjerit kecil.

“ Kalau Maria sudi, apa salahnya. Nanti Mak Long tanya Ejay tu!” Mak Siah menjawab cepat. Maria yang terkebil-kebil, geram dengan sikap Nur Jannah.

“ Dah siap semua Kak Long. Bolehlah masak! Nanti terlambat pula,” Mak Leha menghentikan perbualan mereka. Maria memandang ke arah Nur Jannah sambil mencebik.Nur Jannah hanya tergelak kecil. Dari luar, Ejay menyaksikan perbualan mereka. Ada simpati pada emaknya yang tidak sabar inginkan menantu. Dan saat itu matanya terarah ke arah Nur Jannah, kemudian matanya menangkap pandangan Maria yang merenung lama kepadanya.

****

Jam 9.00 malam, bacaan Yassin dimulakan. Kedengaran suara orang ramai membaca ayat suci Al-Quran dengan khusyuk. Nur Jannah dan Maria tidak ketinggalan. Mereka turut menghadiahkan doa buat arwah Encik Muhammad. Selesai semuanya, para tetamu dihidangkan dengan nasi dan lauk-pauk kampung. Ejay yang duduk, bangun untuk membantu. Dia menjeling kepada Nur Jannah dan Maria yang sibuk mengangkat makanan dan menghulurkan kepadanya.

“ Abang..jangan asyik jeling si Maria tu!”Nur Jannah sekadar mengusik. Ejay yang mendengar hanya tersenyum. Selesai makan, masing-masing meminta diri untuk pulang. Mak Long tidak habis-habis mengucapkan terima kasih di atas kedatangan mereka.

“ Nur dan Maria jangan balik lagi ye.Tolong Mak Long basuh pinggan!”Mak Siah seakan mengarah. Nur Jannah menganggukkan kepala dan memerhatikan Maria yang tersenyum. Apahal pulak minah ni! Tersengih sorang-sorang..

“ Memang patut pun mak tak bagi dia orang balik. Tadi Ejay tengok bukan main lagi dia orang ni makan. Memang patut kena denda!” Ejay bersuara sambil ketawa.

“ Ek eleh abang ni! Dah masakan sedap, mestilah makan banyak-banyak! Tak gitu Mar?” Nur Jannah menyinggung bahu Maria yang asyik memandang Ejay.

“ Apa kau cakap Nur?” wajah Maria sedikit berubah apabila ditegur secara tiba-tiba. Matanya berkalih kepada Nur Jannah yang tersenyum sinis.

“ Kau ni berkhayal ke apa?Dahlah, jom kita basuh nanti lambat pulak balik rumah.”

“ Malam ni tidur je rumah Mak Long!” Nur Jannah dan Maria berpandangan. Ejay pula hanya tersenyum penuh makna.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.