Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
205,788
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Bab 17

Nur Jannah mundar-mundir di hadapan rumah.Matanya tidak henti-henti memandang ke arah jalan.Bayang Ezri masih belum kelihatan walau jarum jam menunjukkan jam 7.00 petang. Nur Jannah cuba menghubungi suaminya, namun panggilannya tidak dijawab. Dia mengetap bibir beberapa kali. Sebak di dadanya usah ditanya. Dia rindu pada Ezri! Mengapa Ezri tidak mengerti. Pantas pesanan ringkas dihantar, namun tiada balasan. Dia menghubungi pejabat suaminya kalau-kalau lelaki itu masih belum pulang, namun tiada juga jawapan.
Nur Jannah masuk ke rumah apabila azan berkumandang. Dia bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk. Setelah solat maghrib, Nur Jannah menadah tangan dan meminta keberkatan rumah tangganya. Air matanya bercucuran mengadu nasib kepada yang Maha Pencipta. Jiwanya benar-benar sakit dan hanya pada Allah tempat dia meluah rasa. Kepada Allah juga dia memohon agar kesabaran sentiasa dekat di hatinya untuk melalui setiap dugaan yang terpaksa dilalui dengan tabah dan sabar.
Selesai solat Nur jannah bergegas ke dapur. Dia duduk di atas kerusi dan memandang ke arah makanan yang belum terusik. Seketika dia terdengar pintu dibuka dari luar. Pantas Nur Jannah bergegas ke arah pintu utama.

“ Em..abang, lambat abang balik.Jom makan. Nur dah masak,” Nur Jannah bersuara sedikit ceria. Wajah suami yang dirinduinya dipandang lama. Dia cuba mencapai briefcase yang dipegang oleh suaminya, namun ditepis dengan kasar.

“ Aku balik sebab nak ambil baju,” lantang suara Ezri menusuk ke jantung Nur Jannah. Pantas dia berlalu ke bilik dengan wajah yang mencuka.

“ Ambil baju lagi? Abang nak ke mana?Abang, kenapa abang layan Nur macam ni?” Nur Jannah bersuara lirih. Lain yang diharapkan lain yang dia dapat. Dia mengekori Ezri ke bilik. Pantas suaminya mengeluarkan baju yang tersusun di dalam almari. Dia melangkah ke arah suaminya dan mengambil semula baju yang dikeluarkan.

“ Kau jangan susahkan aku boleh tak?” Ezri merenung tajam wajah Nur Jannah. Serasa ingin ditelannya perempuan yang mengganggu hidupnya. Ingin juga dia mencakarnya wajah Nur Jannah yang sentiasa menunjuk muka tanpa perasaan malu.Dasar perempuan tak sedar diuntung!

Kenapa dengan awak, Aiman Ezri?”Nur Jannah mula hilang sabar.Dia memandang tajam ke arah suaminya. Sakit hatinya bagai dimamah-mamah. Kesalahan apa yang dilakukannya sehingga dilakukan sebegitu. Puas dia bertanya di mana silapnya.Namun Ezri hanya membeku seperti ais.

“ Kau jangan nak berkurang ajar dengan aku boleh tak?” Ezri menengking kuat. Matanya merah menahan marah. Bagai ingin ditelannya Nur Jannah yang kelihatan kecil di matanya.

“ Abang atau Nur yang kurang ajar? Hari tu mak Nur datang, ada abang ambil tahu! Abang sibuk berkepit dengan perempuan lain? Betulkan?” Nur Jannah bersuara marah. Hilang rasa hormatnya kepada Ezri. Tidak patut Ezri meminggirkan keluarganya kerana pertelingkahan mereka.

“ Kalau betul pun kenapa? Aku berhak nikah dua atau tiga. Kau tak ada hak untuk menghalang!” Ezri menggunakan kuasanya sebagai seorang lelaki. Nur Jannah yang mendengar seakan ingin meraung disitu. Namun dia tidak mahu kalah di mata Ezri. Biarlah dia terseksa, namun untuk dianggap lemah tidak sekali-kali.

“ Abang boleh kahwin lebih dari tiga. Nur takkan menghalang. Tapi sebagai seorang suami, ada abang jalankan tanggungjawab abang pada Nur? Cinta apa yang ada pada seorang suami sehingga meninggalkan isteri yang sah kerana perempuan lain yang belum ada apa-apa ikatan? Sebagai lelaki mungkin abang cukup sempurna namun sebagai suami, abang sebenarnya kalah!” Nur Jannah bersuara sepuas hati. Sakit hatinya dengan kata-kata angkuh Ezri. Sudahlah tidak tahu menjaga hati isteri, bercakap pula pasal hukum agama! Hendak berkahwin lebih dari satu, namun ilmu agama hanya sebesar hama. Hati Nur Jannah menyumpah keras.

“ Cinta aku bukan untuk kau!” Selamba Ezri menutur kata.

“ Jadi selama ini? Abang kahwin dengan Nur kerana terpaksa? Macam tu! Siapa yang paksa abang merosakkan hidup Nur? Siapa?”Nur Jannah mula membentak. Air matanya yang ditahan mula mengalir laju membasahi pipi. Ezri sengaja mencurah asid di hatinya.

“ Dulu betul aku cintakan kau!”Ezri bersuara perlahan. Namun jelas kedengaran di telinga Nur Jannah.

“ Sekarang?” Nur Jannah mengetap bibir menahan kelukaan hati.

“ Aku tiada jawapan untuk itu.” Ezri kembali berkasar. Malas dia untuk melayan soalan yang hanya memeningkan kepalanya.

“ Nur ada jawapannya..Nur nak bercerai!” Suara Nur Jannah lancar melafazkan kalimah itu. Sedangkan Ezri yang mendengarnya tanpa sengaja melepaskan satu tamparan yang maha hebat. Nur Jannah benar-benar terkejut dengan tindakan pantas Ezri. Pantas Nur Jannah berlari keluar dari bilik dan menangis semahunya di ruangan dapur. Sudah tekad di hatinya untuk berpisah. Biarlah dia sendiri kalau itu lebih baik. Untuk apa bersama andai jiwa terseksa. Sampai bila perlu ada sengketa dan menambah luka di hatinya. Nur Jannah benar-benar tekad. Namun memikirkan orang tuanya, Nur Jannah merasa terdera.

****

Kereta yang dipandu dibawa laju. Aiman Ezri mengetap bibir berulang kali. Sesekali dia menumbuk stereng kereta. Panas hatinya mengenangkan pertengkaran dengan Nur Jannah sebentar tadi. Tidak disangka Nur Jannah meminta perceraian. Apa yang tidak boleh dilupakannya adalah tamparan sulung yang hinggap di pipi gadis itu. Ah! Bukankah itu yang kau mahukan Ezri? Bukankah kau ingin mengahwini Zurina? Peluang sudah di hadapan mata. Tunggu apa lagi! Lagipun kau tak cintakan dia. Ezri bingung mendengar suara hatinya yang memaksanya untuk membuat keputusan. Teringat Ezri kembali percintaannya dengan Nur Jannah. Kelembutan Nur Jannah menjadikan dia meminggirkan cinta Zurina. Gadis polos yang menyintainya sepenuh jiwa tanpa sebarang syak wasangka. Namun setelah membina mahligai cinta, Nur Jannah dibiar sepi lantaran cintanya kini beralih arah untuk Zurina seorang. Tiba-tiba telefon Ezri berbunyi. Pantas dia menjawab panggilan tersebut.

“ Abang..abang kat mana? Janji nak ambil Sahara kan? Dah pukul berapa ni!” Kedengaran suara Zurina di corong telefon. Ezri menjeling ke arah jam, hampir 8.30 malam.

“ Awal lagikan. Nanti abang datanglah.” Ezri memicit kepalanya yang sakit kerana terlalu banyak berfikir.

“ Awal apa nya bang! Dah jam berapa ni. Abang kat mana? Berkepit dengan perempuan tu ke?” Zurina bersuara marah. Kata-kata Zurina semakin menyakitkan kepalanya yang berserabut.

“ Abang kata abang datang nantikan! Yang Ina merepek bukan-bukan ni kenapa? Kalau tak, suruh je Sahara tu naik teksi!” Ezri mula panas hati. Sakit hatinya mengenangkan pertengkaran dengan Nur Jannah belum hilang, ditambah pula dengan bebelan gadis itu. Sungguh! Ezri merasa rimas.

“ Abang ni kenapa marah-marah Ina? Agaknya dibomohkan perempuan bodoh tu! Ina tak kira, kalau abang tak datang sekarang, Ina takkan layan abang lagi!” talian diputuskan. Ezri menghentak strengnya sekali lagi. Dia menekan pedal minyak dengan laju. Sakit hatinya malam itu bukan sedikit. Kalau tidak mengenangkan cintanya pada Zurina, mahu dimakinya gadis itu sepuasnya. Ezri meluncur keretanya ke arah rumah Zurina. Hampir dua puluh minit dia sampai di hadapan rumah kekasihnya. Beberapa kali hon dibunyikan, barulah Zurina keluar dengan wajah yang masam mencuka. Dia pantas meloloskan diri ke dalam kereta dan duduk di sebelah Ezri.

“ Ambil kat mana Sahara?” Ezri bersuara apabila memulakan perjalanan. Zurina yang hanya membeku dipandang sekilas. Wajahnya yang masam menceritakan segalanya. Dia tidak suka Ezri memarahinya sebentar tadi.

“ Sayang..abang cakap ni..kenapa diam je?” Suara Ezri mulai lembut tidak seperti tadi. Jari-jemari Zurina digenggamnya seolah-olah tidak ingin dilepaskan. Zurina yang mendiamkan diri mula teresak-esak mengejutkan Ezri.

“ Sayang ni kenapa? Abang minta maaf pasal tadi. Abang tahu, abang yang salah. Tadi abang tension sangat pasal daddy call and marah-marah sebab abang tak balik rumah,” Ezri mereka cerita. Rimas juga dia melihat Zurina yang sentiasa merajuk sedangkan dia tidak gemar untuk memujuk.

“ Ina sayangkan abang. Tapi kenapa abang tak faham?” Zurina membentak keras.

“ Abang faham sayang! Cuma tadi abang tertekan pasal daddy. Abang minta maaf ek!”

“ Betul abang tak balik rumah tu?” Suara Zurina berbaur cemburu.

“ Betul buat apa abang tipu. Dah senyum sikit. Malu jelah besar-besar macam ni menangis,” Ezri menyapu air mata Zurina yang membasahi pipi.

“ Abang janji jangan marah-marah Ina lagi!”

“ Yelah sayang, abang janji..sekarang nak ambil Sahara kat mana?” Ezri mengangkat tangannya separas bahu. Zurina yang melihat mula tersenyum.

“ Em..dia tak call lagi. Kejap Ina call Sahara,” Zurina mengambil telefon dan menghubungi gadis itu. Namun tiada jawapan. Dicuba sekali lagi, namun masih tidak berangkat.

“ Tak dapatlah bang!”

“ Em`..tak apalah nanti dia call.Ina dah makan dah?”

“ Belum.” Zurina bersuara singkat. Seketika mereka mendiamkan diri.

“ Kalau macam tu kita pergi makan dulu. Nanti Sahara call baru kita ambil dia k!”

“ Ina tak kisah, janji dengan abang,” Zurina melirik senyum. Ezri yang tergelak kecil menarik hidungnya kuat dan Zurina terjerit kecil bersama tawa yang mula meletus

****

Sahara bergegas melangkah keluar rumah.Panggilan John David tidak dihairaukan. Sudah tekad di hatinya untuk berpindah. Andai lelaki itu menceraikannya, dia sendiri tidak kisah. Sudah puas dia terseksa dan merana. Dia yang tersilap memilih teman hidup yang dianggap permata dengan meninggalkan Fakhruddin. Sudahnya setiap hari dia bermandikan air mata.

“ Sahara, where you want to go?” John David meretap tangan isterinya. Sahara yang berang menepis dengan sekuat hati. Benci dia untuk menatap wajah lelaki yang menjadikan dirinya seperti neraka.

I want get out from this house and from your life!You understand?” Sahara menempik kuat.

But why? I’m your husband. You don’t forget about it Sahara!” John David tidak mahu mengalah.

“ Because, I hate you so much!”

Please Sahara, I want you and I love you so much..”

“ Nonsense!”Sahara cuba berlalu namun John David masih menghalang. Dia berlutut di kaki isterinya dan meminta maaf berkali-kali.

I am sorry John David,” Sahara berlalu. Tiada ruang lagi dihatinya untuk lelaki itu. Cukuplah sengsara yang dirasainya. Dia melangkah keluar dan menahan teksi untuk ke Chow Kit. Sesampai di sana Sahara menghubungi Zurina.

“ Helo..Zurina, aku ni Sahara.Kau kat mana?”

“ Emm..tengah makan dengan Ezri ni. Tadi aku callkau tak angkat. So kita orang makan dulu kat Kampung Baru ni. Kau kat mana?” suara Zurina kedengaran.

“ Em..datang kat Chow Kit. Dekat jejantas. Kau tahu kat mana kan?”

“ Yelah. Kejap lagi kami sampai. Kau tunggu kat situ!” Zurina memutuskan talian. Sahara mundar-mundir melihat orang ramai yang masih berada di situ. Sesekali matanya mencuri pandang pada sepasang kekasih yang asyik ketawa dari tadi. Ah! Kalaulah dia bersama Fakhruddin, mungkin juga dia diselimuti kebahagiaan. Namun sayang, semuanya telah terlambat. Dia bukan lagi anak dara yang boleh menjadi saingan untuk mendapatkan kembali Fakhruddin.Pasti lelaki itu tidak akan memandang padanya walau sebelah mata. Teringat dia bagaimana reaksi Fakhruddin ketika di pejabat Ezri, wajahnya hanya bersahaja tanpa kata.Jauh sekali untuk melemparkan senyuman. Sungguh, mengenangkannya hati Sahara merasa terdera. Tiba-tiba bunyi hon mematikan lamunannya. Wajah Zurina yang tersenyum tersembul keluar tingkat. Pantas Sahara membuka pintu kereta dan naik di tempat duduk belakang.

“ Aku call kau tak angkat. Kenapa? Zurina bersuara apabila kereta meluncur ke jalan Tengku Abdul Rahman. Ezri di sebelah hanya menyepikan diri. Malas untuk menyampuk.

“ Tadi aku tak perasan. Ada hal sikit. Kau dah bagitahu Maisarah pasal aku?”

“ Emm..dah.”

“ Apa katanya?” Sahara ingin tahu.

“ Macam-macam! Salah satunya jangan bawa lelaki masuk rumah dan jaga tingkah laku. Jangan kau lebih teruk dari aku!” Zurina bersuara selamba. Sedangkan Ezri mula menjeling tidak faham.

“ Teruk? Maksud kau?” Sahara mengerutkan keningnya.

“ Aku ni, apa-apahal suka mengamuk depan dia. Tu dia harap kau tak macam aku,” Zurina tergelak kecil. Sahara yang mendengar hanya tersengih.

“ Sahara, dah ada boyfriend?” Ezri tiba-tiba bersuara. Wajah gadis itu dilihat sekilas melalui cermin pandang belakang. Sahara sedikit tersedak mendengar pertanyaan lelaki itu. Bukankah di pejabat tadi, aku dah cakap? Getus Sahara sendiri.

“ Em..saya solo lagi. Tak ada masa nak fikirkan boyfriend.” Sahara cuba berlagak tenang. Wajah suaminya yang merayu sebentar tadi bermain di matanya.

“ Ye ke kau ni? Jangan-jangan boyfriend keliling pinggang,” Zurina sekadar menyakat.Dia memandang lama ke arah Sahara yang sememangnya cantik. Pasti ramai yang berkenan!

“ Tak adalah!” Sahara mulai rimas. Ezri tidak lagi menyampuk. Dia menumpukan perhatian pada pemanduannya. Sesekali dia membunyikan hon apabila ada kenderaan yang mencuri masuk tanpa memberi signal.

“ Tak ada, tak apalah. Maybe nanti kau kerja kat pejabat tu, mana tahu nanti ada yang berkenan!” Zurina melepas kata. Kemudian dia hanya mendiamkan diri. Begitu juga dengan Sahara yang melayani fikirannya yang berkecamuk. Selepas setengah jam, akhirnya mereka sampai di rumah Zurina.

****

Fakhruddin berdiri di ambang tingkat.Matanya menatap ke dada langit. Cuba mengira bintang yang bertaburan, namun kegelapan lebih terasa. Mengapa Sahara harus bekerja disitu. Tidak puas lagikah gadis itu menyakitinya. Curang, kemudian berkahwin dan datang kembali menagih cintanya. Tiba-tiba dia teringat isteri Aiman Ezri yang dijumpai ketika menonton wayang di KLCC bersama Arman Mustaqim. Wajahnya cukup tenang walau di hatinya pasti bergelodak. Mengapa Ezri tergamak menduakan isterinya yang dianggap cukup sempurna. Adakah kerana Zurina yang saban waktu memandangnya dengan kebencian. Dia cukup pasti kekasih gelap Ezri itu tidak menyukainya. Mungkin kerana dia tidak gemar melempar senyuman apalagi perempuan seperti Zurina. Ah! Sesiapa saja boleh berlaku curang! Fakhruddin mencampakkan badannya ke atas tilam. Matanya cuba dipejamkan namun kenangan semalam menjelma lagi. Entah jam berapa dia terlelap, Fakhruddin sendiri tidak pasti.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.